BAB 19

Humor Completed 44246

“Mira… Mira…dah takde orang lain ke engkau nak tackle, Cikgu Ashraf juga pilihan engkau, akukan ada,” ujar Balan selamba.

Langkah Mira yang diatur menapak di pintu pagar sekolah pagi itu tiba-tiba terhenti apabila disekat oleh Balan dan geng-gengnya.

“Eh, awak nak apa ni, tepilah!” ujar Mira bengang.

Jalannya mundar mandir ke kiri dan kanan mencari laluan apabila Balan bertindak menyekat perjalanannya.

“Awak ingat kalau muka awak tu cantik, boleh buat suka-suka je jalin cinta dengan cikgu ye,” gertak Balan.

Lagaknya bagaikan ayam sabung yang nak tunjuk kehebatannya.

“Engkau cakap apa ni, jangan nak cuba cari masalahlah, ini sekolah bukan gelanggang nak tunjuk kuat, kalau nak jadi samseng bukan kat sekolah ni tempatnya!” jawab Mira.

Marah diperlakukan tiba-tiba sebegitu oleh budak yang tak dikenalinya itu. Dahlah hatinya patah seribu, sekarang muncul pula tuduhan liar yang sememangnya tak berpihak pada dirinya ketika itu.

“Hoi! lepaskan Mira, engkau nak ni ke? Tak sedar diri punya samseng!”

Bentak Nina sambil mengarahkan sebatang kayu di tangannya ke kepala Balan. Keningnya dijongket-jongketkan untuk cuba menakutkan Balan. Matanya yang sudah sedia besar dipaksa lagi untuk membesar bagaikan terkeluar dari soketnya.

“Hah!hah! Awak ingat aku takut ke? Setakat engkau dengan Mira ni, aku jentik dengan jari kelengkeng aku pun boleh tumbang tau!” jawab Balan angkuh. Kayu yang dipegang oleh Nina diragutnya lalu dilontar.

Tap! Kayu yang dibaling itu tepat mengenai kaki Cikgu Ashraf yang baru melangkah masuk di pintu pagar sekolah.

“Apa hal kamu bertiga ni?”

Cikgu Ashraf meninggikan suaranya. Kayu yang mengenai kakinya tadi diangkat dengan lagak seperti memukul, membuatkan Mira dan Nina kecut perut. Balan pula buat selamba seperti tidak bersalah.

“Balan ni cikgu…..”

“Sudah, pergi masuk kelas masing-masing!” arah Cikgu Ashraf bengis.

Nina yang cuba bercakap bagi menjelaskan keadaan yang berlaku, dipintas kata-katanya oleh Cikgu Ashraf tanpa diambil peduli. Cikgu Ashraf lalu pergi meninggalkan mereka yang masih tercegat di situ.

“Takpe, awak terlepas kali ini, lain kali jangan harap!” bisik Balan ke telinga Mira.

Mira yang diperlakukan sebegitu selajur menepis muka Balan dengan sebuah buku yang sedang dipegangnya lalu pergi meninggalkan tempat itu. Nina pula terkocoh-kocoh mengejar Mira di hadapannya yang berjalan seperti dalam acara lumba jalan kaki seratus meter saja gayanya.

“Apa yang berlaku sebenarnya, Mira?” tanya Nina dengan lagak biasanya.

Apa lagi kalau bukan lagak pemegang watak mami jarum. Beg sekolah yang digalasnya dihempaskan saja di atas kerusi duduknya sebelum meluru ke arah Mira yang sudah pun melabuhkan duduknya di atas kerusi.

“Entah, tiba-tiba pula ada samseng muncul di sekolah kita ni,” jawab Mira kelihatan resah.

Sehelai sapu tangan dikeluarkan dari begnya. Kipas siling yang berpusing di dalam bilik darjah itu belum mampu mengeringkan keringat yang menitis di sebalik tudung sekolah yang dipakainya lalu menjirus ke seluruh mukanya.

Loceng sekolah dibunyikan. Perbualan Mira dan Nina terhenti di situ. Seperti biasa, perhimpunan sekolah akan diadakan pada hari pertama persekolahan setiap minggu. Mira, Nina dan rakan-rakan lain bangkit menuju ke dewan untuk tujuan itu. Guru-guru juga melakukan perkara yang sama.

Mira berdiri di tengah-tengah barisan terakhir bahagian perempuan dalam dewan perhimpunan itu. Manakala barisan lelaki pula di sebelah kanan. Semua pelajar berdiri menghadap guru-guru yang juga berbaris duduk di hadapan para pelajar.

Dari jauh, Mira memandang curi Cikgu Ashraf yang berkemeja putih di situ. Dalam hatinya melahirkan kekaguman atas kesempurnaan fizikal dan rupa paras yang dimiliki Cikgu Ashraf itu. seketika yang dipujanya itu menjadi milik hatinya, namun itu hanya tingal kenang-kenangan kini. Musnah dalam sekelip mata sahaja tanpa sebab sahih yang diketahuinya.

Akhirnya Mira tersentak apabila Nina menyiku punggungnya. Nina yang memerhatikan tingkah laku Mira di sebelahnya sedari awal lantas menayangkan sengihnya ke arah Mira. seperti biasa Nina umpama nujum pak belalang yang sentiasa tahu apa yang difikirkannya. Itulah telahan Mira terhadap Nina.

Di barisan lelaki pula, Balan yang berdiri tidak berapa jauh, ligat memerhatiakan Mira di situ. Tiada secarik senyum pun terukir di bibirnya. Hanya pandangan tajam yang dilemparkan menikam wajah Mira. sorot matanya bagaikan burung helang yang mahu menerkam mangsanya.

CIKGU Ashraf sudah puas mengamati satu persatu wajah pelajar dalam dua buah kelas sastera yang diajarnya. Ternyata wajah pelajar lelaki yang membaling kayu dan mengenai kakinya pagi tadi tidak ditemui. Kelas lain mungkin, desis hatinya.

“Li kenal tak dengan budak India bernama Balan,” soal Cikgu Ashraf.

Ditenungnya wajah Cikgu Ali yang bermisai tebal disebelahnya dalam bilik guru itu. Tak sanggup lagi dia berteka teki dengan kemunculan budak ala-ala samseng filem Tamil itu. Setelah melakukan risikan kepada pelajar, dapatlah dia tahu nama budak itu ialah Balan.

“Oo…budak India yang satu-satunya di sekolah ni tu….kenal. Budak tu sebenarnya dibuang dari sekolah lain. Datang merayu sini nak sekolah. Entah apa angin pengetua terima pelajar yang banyak kes buruk tu!” jawab Cikgu Ali.

Sempat dia melahirkan kekesalannya. Masakkan dia tak tahu, budak Balan itu sebenarnya salah seorang pelajar dalam kelas yang diajarnya.

“Begitu…, sebenarnya saya nampak budak tu bergaduh dengan pelajar lain pagi tadi, lihat muka dia macam tak pernah jumpa, itu yang tanya Li tu,” ujar Cikgu Ashraf.

Sengaja dia menyembunyikan perkara yang sebenar. Risau jika tersebar lagi gosip dia dan Mira. Biarlah Mira dilindunginya di dalam hati tanpa diketahui sesiapa. Melindunginya sebagai seorang pelajar yang berhak untuk berjaya, bukan berhak untuk dicintainya ketika itu, namun kerisauan mula menerjah fikirannya dengan kemunculan budak baru yang bernama Balan itu. Kelihatannya budak itu menyimpan dendam yang tidak terjangkau oleh akal Cikgu Ashraf.

Peristiwa Mira diugut Balan masih mencerna di fikiran Cikgu Ashraf. Dia mula memikirkan kerelevanan tindakannya memulaukan Mira.

“Cikgu Ashraf nampak macam gajah baru beranak je, apa yang merisaukan sangat?” soal Cikgu Ali. Tersungging senyum di bibirnya.

Tak terjangkau oleh mata fikirannya apa yang menganggu fikiran Cikgu Ashraf ketika itu melainkan satu perkara yang sudah diketahuinya sedari awal.

“Tiada apalah Li…saja terfikir soal budak baru tu,” jawab Cikgu Ashraf sambil meneruskan kerjanya.

“Bukan sebab ada kaitan dengan Mira ke…?”

Cikgu Ali tersenyum sumbing. Ditepuk-tepuknya bahu Cikgu Ashraf yang sedang leka memarkahi kerja-kerja pelajarnya. Sebenarnya Cikgu Ali melihat dari dalam kereta peristiwa yang berlaku itu. Dia pun kebetulan baru sampai di lot parkir kereta pada waktu itu.

“Ye ke? Saya fikir tiada sesiapa yang nampak kejadian itu memandang pagi masih terlalu awal ketika itu,” jawab Cikgu Ashraf setelah Cikgu Ali membuat pengakuan melihat kejadian itu.

Pantas juga ekor mata Cikgu Ali ni nak menangkap! fikir Cikgu Ashraf. Senyumnya dilebarkan walaupun masih dijentik perasaan gusar di hati kecilnya.

“Come on Cikgu Ashraf, janganlah skeptikal sangat, tak salah saya rasa kalau Ash ambil peduli budak Mira tu. Budak tu pun dah kehilangan ayah, tak salah dia menumpang kasih, tapi pandailah jaga supaya ‘kibasannya’ tak sampai ke telinga bos nanti. Budak tu pun bijak, saya pasti dia boleh bezakan antara ‘madu dan hempedu’,” kata Cikgu Ali.

Perlahan dia membisikkan kata-kata itu ke telinga Cikgu Ashraf lalu mengenyitkan matanya.

“Lelaki gentleman tak akan ambil jalan pintas untuk dapatkan peluang,” balas Cikgu Ashraf pula separuh mengusik.

Cikgu Ali mengosok-gosok telinganya mendengar balasan Cikgu Ashraf itu sambil tersenyum. Kalah playboy! Selajur tawa Cikgu Ali dan Cikgu Ashraf pecah di bilik guru itu. Tercengang sebahagian guru perempuan yang melihat aksi mereka berdua. Tak kurang juga yang menggeleng-gelengkan kepala.

Lelaki….lelaki… kalau dah bercakap fasal perempuan dialah yang 'dominion'! Cikgu Lisa yang duduk tak berapa jauh dari Cikgu Ashraf dan Cikgu Ali turut sama melepaskan tawa manja. Hatinya juga turut berbunga melihat jejaka kacak dan sporting yang suka buat lelucon di bilik guru itu.

“pssst!”

Cikgu Ali menjongketkan keningnya kepada Cikgu Ashraf, tapi anak matanya menjeling ke arah Cikgu Lisa yang sedang tekun menulis di atas mejanya. Cikgu Ashraf menjongketkan keningnya kembali, mengisyaratkan kepalanya ke arah cikgu itu juga. Mereka berdua mengulum senyum. Cikgu Lisa ni pun apa kurangnya? Mujur aku ni dah kahwin, bisik hati Cikgu Ali.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience