BAB 18

Humor Completed 44234

"Tahniah diucapkan kepada lima orang pelajar yang mendapat A plus dalam mata pelajaran Kesusteraan Melayu."

Ayat pengumuman Cikgu Ashraf terhenti di situ. Semua pelajar ternanti-nanti nama bertuah yang dimaksudkan itu. Mira menggenggam jari jemarinya. Bagaikan rebana yang dipukul bertalu-talu debaran didadanya ketika itu. Tangannya digosok-gosok seperti tidak sabar menanti keputusannya diserahkan. Sudah tentulah dia mengharapkan, dia adalah salah seorang pelajar bertuah itu.

"Kamal, Naim, Natasya, Umairah dan Sofea, tahniah cikgu ucapkan. Pelajar-pelajar lain jangan kecewa. Ada masa lagi untuk memperbaiki keputusan anda."

Lantang suara Cikgu Ashraf mengumumkan nama-nama pelajar cemerlang Kesusteraan Melayu untuk peperiksaan percubaan SPM tahun itu. Kata-kata semangat disuntikkan kepada para pelajar lain sambil menyerahkan markah keputusan yang dipegangnya kepada pelajar satu persatu. Natasya dan Umairah adalah orang yang paling gembira menerima keputusan itu, bukan gembira sebab dapat A tetapi gembira melihat Mira jatuh.

Mira menatap markah keputusan yang kini berada di tangannya. Tertera huruf C plus dalam bulatan kecil di atas kertas markah yang dipegangnya itu. Mira kecewa lagi. Markah yang diperolehinya tidak ubah seperti markah yang pernah dicatatnya ketika Cikgu Badrul mengajar dulu. Ternyata dia gagal lagi mempertahankan rekod cemerlang yang dicatatnya sebelum ini.

Cikgu Ashraf pula seperti tidak mengendahkannya. Sewaktu Cikgu Badrul dulu, telinganya akan dicuci oleh cikgu itu dengan berbagai pertanyaan tentang kemerosotannya. Ternyata Cikgu Badrul lebih prihatin tentang diriku jika dibandingkan dengan Cikgu Ashraf. Ah! Apa yang sedang aku fikirkan ini, cikgu yang aku benci itu muncul juga dalam benak fikiran aku! Mira seperti tidak dapat nenerima kenyataan.

"Jangan pernah putus asa ya, ini cuma percubaan sahaja, pastikan fikiran anda tiada gangguan daripada sebarang perkara yang akan hanya melemahkan semangat anda. Fikirkan tentang masa depan anda, nama baik sekolah dan tentunya harapan orang tua anda. Anda tak mahu melihat mereka kecewa, bukan? Jadi mulakan dari sekarang untuk membetulkan niat sebenar anda untuk ke sekolah." Panjang lebar kata-kata Cikgu Ashraf menyuntik semangat para pelajarnya. Lembut sahaja tuturnya menyampaikan nasihat itu.

"Ingat tu, siapa yang angau tu sedar diri sikit!" Natasya pula mencelah. Menyiku Umairah sambil mengerling wajah Mira yang sedang duduk tension melihat keputusannya.

"Natasya, jangan terlalu berpuas hati dengan keputusan anda, sekelip mata sahaja markah itu akan berubah andai anda lalai. Sibukkan memperbaiki diri sendiri daripada sibuk hal orang lain." pantas Cikgu Ashraf meningkah. Dia dah mula membaca perangai sebenar Natasya itu.

Mira menundukkan sahaja wajahnya, kecewa dengan keputusan markahnya, marah dengan tingkah laku Natasya dan patah hati dengan perubahan layanan Cikgu Ashraf terhadap dirinya, namun tiada dayanya untuk menghalang semua itu. perasaan malu yang masih menebal dalam diri menjadi benteng lakunya untuk mewarasi tindakan apapun yang berlaku dalam hidupnya. Kata-kata nasihat Cikgu Ashraf itu menjadi petanda bahawa dia hanya bertepuk sebelah tangan mengenai hubungan mereka berdua.

"Baiklah class, sebab jadual masa kita pun tak panjang hari ini, jadi cikgu ucapkan selamat berjaya untuk anda semua, ulangkaji jangan lupa pula," putus Cikgu Ashraf sebelum berlalu meninggalkan kelas Lima A itu. Tiada senyuman mahupun kata-kata gurauan yang sepatutnya menjadi sebahagiaan dirinya ketika mengajar dalam kelas itu.

"O.K la tu..aku pun B aje. Cikgu silap kira markah agaknya,"

Nina yang faham akan keadaan Mira, cuba berusaha untuk menenangkan keadaannya walaupun yang lebih patut ditenangkan adalah dia sendiri. Walau bagaimanapun Nina gembira sebab dia dapat mempertahankan rekod B yang dicapainya hasil usaha keras bersama Mira dan Diya sebelum ini. yang Mira boleh pula tak dapat kekalkan pencapaiannya apa hal. Tu la..angau sangat dengan Cikgu Ashraf tu! Kata Nina dalam hati. Nak cakap kena bersuluh, nanti tak fasal-fasal pula budak angau ni moody sepanjang hidup!

Mira hanya tersenyum pahit. Selepas Diya, Nina adalah orang kedua yang sentiasa prihatin tentang dirinya. Kini tinggal Nina lagi yang yang masih setia sebagai sahabat karibnya. Diya pindah sekolah tanpa pesan. Walaupun mulut Nina itu kadang-kadang sentap dan suka 'berkicau', tapi Mira tahu hatinya baik.

VRRTT.....telefon Mira bergetar dalam beg yang dipakainya. Segera dia mengeluarkan telefon itu.

Annyeong. Sepatah perkataan tertera dalam mesej yang dihantar secara private.

"Siapa pula ni, aku pun suka juga K-pop tapi taklah sampai berbual dalam Bahasa Korea."

Mira kemudiannya memadam mesej yang dihantar itu. Dia tidak berminat untuk mengambil tahu. Tak main la SMS sesat! Mira menyombong.

"Siapa?" tanya Nina.

Kepalanya disondol ke arah telefon yang Mira pegang. Sekali-sekala punggungnya terhenyak di atas kerusi duduk dalam bas yang mereka naiki apabila bas itu melalui jalan yang berlubang.

"Entah private number, dalam Bahasa Korea pula tu," jawab Mira.

Entah makhluk mana salah nombor, atau memang sengaja mengenakannya, Mira malas nak ambil kisah.

"Secret admirer agaknya," jawab Nina pula sambil tersenyum mengusik Nina di sebelahnya. Mira hanya tersenyum mendengar andaian pantas daripada Nina. Kalau bab mengusik Ninalah yang paling manang.

Kurang dua puluh minit perjalanan, Mira dan Nina pun sampai di kedai buku.

"Cik, majalah remaja sudah habis jual?" tanya Mira.

Seorang perempuan muda yang sedang menyusun buku-buku di atas rak didekati oleh Mira setelah dia tak menjumpai majalah yang dicarinya.

"Sudah habis dik, naskhah terakhir baru saja di beli sebentar tadi," kata perempuan muda yang Mira percayai pekerja di situ.

"Aduh...." Mira menepuk dahinya versi India. Mahu menunjukkan rasa kecewanya kerana terlepas memiliki buku itu, tapi dalam masa yang sama ada sesuatu yang kurang enak dirasai berlegar di sekelilingnya.

Mira menoleh ke kiri dan kanan belakangnya. Seperti ada orang yang memerhatikannya.

"Awak ni kenapa? Toleh sana, toleh sini," tanya Nina yang sedar akan perilaku Mira.

"Tiada apa," jawab Mira ringkas.

Malas dia bercakap banyak di dalam kedai itu. Sudahlah kedai sempit, manusia pula berpusu-pusu masuk tiada hentinya. Pendek kata macam ikan sardin.

"Tiada siapa pun di belakang awak tu."

Nina seperti tahu saja apa yang berlaku padanya. Macam Nujum Pak Belalang pula. Mira mengerutkan dahinya ke arah Nina.

"Eh, jomlah keluar, rimaslah lama-lama sini." Mira membayar segera peralatan sekolah yang di belinya. Boleh pengsan lama-lama tinggal dalam kedai ni, apasal pula ramai sangat orang hari ni, selalu pergi lengang aje! Gerutu hati Mira.

"Tunggulah aku tak dapat lagi buku yang aku cari tu, tunggu aku kat luar ajelah..." jawab Nina sambil rancak tangannya membelek buku-buku rujukan yang menimbun di atas rak itu.

"O.K, aku tunggu kat luar ya, jangan lama pula, lenguh kaki aku ni nak berdiri nanti," ujar Mira lalu keluar mencari tempat berdiri untuk menunggu Nina. Nak duduk! jangan haraplah kedai ini menyediakan tempat duduk kat luar ni, yang ada pun timbunan kotak aje. Sekali sekala Mira terintai-intai Nina di dalam kedai itu namun yang kelihatan para pengunjung yang tak henti masuk.

Eh, macam budak Natasya dan Umairah aje tu, deorang pun ada kat sini, tak perasan pula tadi kat dalam kedai buku tu, ke...dari kedai lain. Mira berharap sangat agar Nina muncul ketika itu, memastikan apa yang dilihatnya itu adalah benar.

"Apesal terintai-intai tu, kau nampak apa?" Nina benar-benar muncul.

"Tu, tu...Natasya dan Umairah, kan?" Mira menjuihkan bibirnya ke arah kelibat Natasya dan Umairah yang dilihatnya tadi.

"Isy...mana ada, hantu deorang kut," jawab Nina pula sambil tersengih.

"Dah kau tak nampak, deorang dah berlalu, tadi memang ada, aku rasa aku tak silap," balas Mira lagi.

"Biarlah kalau deorang pun, bukan urusan kita."

"Tapi aku rasa lain macam aje dalam kedai tu tadi, macam ada orang sedang memerhatikan aku, kut-kut deorang punya kerja."

"Ah, lupakan aje dia tu, buang masa aje nak fikir budak sengal dua orang tu."

Selesai berdialog, Nina dan Mira pun berlalu.

Click ! Bunyi kamera Nina menangkap gambar. Pemandangan matahari terbenam yang terlihat dari tepi laut dataran esplaned itu begitu memukau pandangan.

Setelah selesai membeli barang, Nina dan Mira singgah duduk di atas tembok tepi laut itu yang hanya terletak beberapa meter sahaja dari kedai buku tadi.

Air laut yang tenang ketika itu, memperlihatkan dasarnya yang dihuni oleh berbagai spesies hidupan laut. Ikan-ikan kecil berkejar-kejaran melalui celahan batu yang sekali-sekala dihanyutkan oleh pukulan ombak yang beralun lembut, benar-benar menampakkan satu panorama yang tidak cukup indah dengan hanya digambarkan melalui lisan. Bak kata pepatah tiada bahasa secantik pandangan. Mira kehilangan seketika masalah yang dihadapinya.

"Wei...melayang dah ke Negeri China?"

Suara Nina menyedarkan Mira yang sudah terpukau oleh keindahan panorama itu. Nina yang keasyikan mengambil gambar panorama laut tadi akhirnya menyerah kalah.

"Bagi tengok gambar yang awak tangkap tadi tu, berapa puluh keping dah," kata Mira. Kamera yang Nina pegang direbutnya. Lepas ni, kerja dia nak upload gambar kat Faclah tu! Tak sah kalau tak upload gambar dalam sehari. Mira sudah mengagak apa yang bakal Nina lakukan.

"Memory full la....," jawab Nina.

Dia memusingkan badannya membelakangi Mira. cuba mengelak telefonnya di ambil oleh Mira. dalam masa yang sama tangannya ligat membuang gambar-gambar yang dirasakannya tidak perlu.

Nina membetulkan duduknya semula. Sekali-sekala matanya menjeling orang ramai yang lalu lalang di dataran itu. Mira pula melayan kembali matanya menikmati keindahan matahari terbit. Kalau diikutkan hati, memang takkan puas duduk setengah jam di situ.

"Eh, macam kenal aje susuk tubuh tu!"

Nina menjuihkan bibirnya ke arah lelaki dan wanita yang berjalan beriringan menuju ke sebuah gerai makanan yang terdapat di situ.

"Cikgu Ashraf?"

Terkeluar nama itu daripada mulut Mira. Ya, memang Cikgu Ashraf, tapi siapa pula wanita yang mengiringinya itu. Adakah isteri atau kekasihnya? Tidak terjawab apa yang dipersoalkannya itu.

JAM menunjukkan pukul sepuluh malam. Bayang Cikgu Ashraf bersama wanita yang dilihatnya bersama Nina sewaktu mengunjungi dataran esplaned petang tadi masih menganggu fikirannya. Puas dia mencuba untuk melelapkan mata namun matanya tetap setia berjaga. Ternyata perubahan Cikgu Ashraf bersebab, ada perempuan lain pula dalam hidupnya. Ah, ternyata dunia ini kecil, tak mampu menyembunyikan kebenaran. Yang tersembunyi pasti muncul juga. Mira meraup wajahnya. Kecewa benar dengan apa yang mereka lihat tadi, tapi apakan daya, aku cuma budak hingusan yang bertepuk sebelah tangan. Mira merasakan dirinya begitu tak bermakna mahu merebut cinta Cikgu Ashraf.

Orang lain tidak akan tanya

Apa yang telah kita dapat

Tapi orang lain akan tanya

Apa yang telah kita buat.

Kemaskini terbaru daripada Fac Arif Mulia. Mira membaca berkali-kali apa yang dimaksudkan dengan ayat itu. Tentu Arif Mulia ini bukan calang-calang orangnya, fikir Mira dalam hati. Keinginannya untuk mengetahui siapakah Arif Mulia yang sebenarnya mula mendesak hatinya. Mira menekan link biru yang tertulis Arif Mulia, dia mula menjelajah dan menerokai profil Arif Mulia itu tapi tak banyak yang dikongsikannya di situ, namun kata-kata ringkas dan bermakna yang tertera di timelinenya cukup memberi gambaran pada Mira bahawa pemilik empunya Fac ini bukanlah budak-budak remaja yang lebih suka menyalahgunakan media sosial yang satu ini.

Mira tewas lagi oleh godaan Facnya. Semakin dia cuba melawan keinginannya untuk melayani Fac, semakin dekat dunia Fac itu di hatinya. Nama dua orang rakan baru Fac yang tak dikenalinya itu membuatkan Mira semakin seronok melayani Fac. Kalau tak baca status dua orang rakan baru itu dalam sehari, tangannya bagaikan ditolak-tolak untuk menekan huruf-huruf paswordnya itu.

Akhirnya Mira pula yang menjadi tontonan Facnya sampai ke pagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience