BAB 13

Humor Completed 44234

BERLALULAH hari ke hari. Keakraban Cikgu Ashraf dan Mira mula tersebar di kalangan guru-guru dan para pelajar. Cikgu Ashraf dan Mira hampir setiap hari bertemu dan makan bersama di restoran milik keluarga Mira. Di sekolah juga mereka selalu berjalan beriringan. Mereka dilihat bukan lagi seperti murid dan gurunya.

“Boleh Cikgu Ashraf datang ke bilik saya sekarang?”

Pengetua yang bernama Abu Bakar tiba-tiba muncul mengejutkan Cikgu Ashraf. Tak sempat lagi Cikgu Ashraf menenangkan mengahnya awal-awal pagi itu, nak kena bertemu pula dengan superiornya. Apa kes!

“Baik cikgu,” jawabnya ringkas.

Terasa kecut perut pula dia dipanggil sebegitu! namun dia berusaha untuk kelihatan tenang. Kut-kut naik pangkat, siapa tahu! berangan pula!

“Begini cikgu, saya banyak dengar gosip daripada guru-guru dan para pelajar sekolah yang mengatakan cikgu hangat bercinta dengan pelajar tingkatan lima yang bernama Mira. Adakah benar apa yang saya dengar ini?” soal pengetua kepada Cikgu Ashraf yang sudah pun duduk tenang di hadapannya.

Wajah pengetua yang menampakkan kerut di dahinya bagaikan kelapa kering, membuatkan Cikgu Ashraf diam seketika untuk memikirkan apakah jawapan sesuai yang harus diberikannya.

“Memang benar saya dan Mira agak rapat sekarang ini cikgu, tapi hubungan kami tidak lebih daripada hubungan guru dan pelajarnya. Saya tidak berniat mengganggu pelajaran dia dan dia juga tidak terganggu dengan kehadiran saya,” jelas Cikgu Ashraf.

Panjang lebar dan bersungguh-sungguh dia menafikan kewujudan rasa istimewa antara dia dan Mira.

“Apa buktinya kehadiran cikgu tak menganggu pelajarannya? Saya telah di fahamkan yang budak Mira ini semakin sukar mengekalkan pencapaian asalnya. Budak ini pelajar cemerlang, tapi akhir-akhir ini, prestasinya semakin menurun.”

Tegas suara pengetua menuturkan kata-katanya. Mira adalah salah seorang pelajar harapan di sekolahnya. Pelajar yang bakal mengharumkan nama sekolahnya nanti. Sudah tentu namanya sebagai pengetua di sekolah itu juga akan dikenali di segenap ceruk rantau kerana melahirkan pelajar sekolah yang cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti.

Cikgu Ashraf terdiam. Betul ke aku penyebabnya? nampak tiada apa pun yang berubah pada budak tu! Atau aku yang dah terleka. Fikir Cikgu Ashraf mula meletakkan kesalahan pada dirinya.

“Baiklah, walau apa pun hubungan istimewa antara dia dengan Cikgu, saya tidak berniat untuk menganggu tetapi sebagai seorang pengetua saya harus menjaga etika para guru dan pelajar di sekolah ini. saya harap cikgu faham maksud saya.” Pengetua mengakhiri kata-katanya.

Cikgu Ashraf seperti budak sekolah yang baru dicuci telinganya dengan leteran. Dia mengangguk faham dan kemudiannya berlalu pergi sambil diekori oleh mata pengetua yang tersembunyi di sebalik kaca matanya.

Ini kes rupanya! Bisik hati Cikgu Ashraf. Rasa macam diperbudakkan pula! gosip-gosip sebegini selalunya dimonopoli oleh pelajar sekolah. Ini guru pula jadi heronya! tak semena-mena terbit rasa bersalah dalam dirinya.

“Apa yang berlaku Ash?” Tanya Cikgu Ali.

Kehairanan melihat Cikgu Ashraf yang terburu-buru keluar dari bilik pengetua. Masakan awal-awal pagi pengetua tu nak bagi ceramah percuma! Fikir Cikgu Ali dalam hati. Dia faham benar dengan sikap pengetuanya yang tegas tak kena tempat itu. Maklumlah dah nak pencen! Lepas ni dia dah tak boleh nak mengarah lagi.

“Tiada apalah....itu semua urusan antara bapa dan anak,” jawab Cikgu Ashraf selamba.

Bibirnya menyumbing ke arah Cikgu Ali. Cikgu Ali yang sememangnya suka ketawa selamba menghamburka gelakknya apabila mendengar jawapan sebegitu daripada Cikgu Ashraf.

“Aii….’masakan pokok bergoyang kalau tak ditiup angin’,” kata Cikgu Ali sambil tersenyum.

Cuba berkias dalam gurauan. Seolah-olah dapat membaca apa yang telah dilalui oleh Cikgu Ashraf bersama pengetua sekolah tadi. Ini mungkin berkaitan dengan budak Mira tu! terka Cikgu Ali tepat.

“Ya Li…bukan angin saja yang goyangkan tapi ribut taufan telah melanda, satu sekolah huru-hara!” jawab Cikgu Ashraf pula. Siapa lagi yang lebih tahu tentang dirinya selain Cikgu Ali yang sporting tu.

Lantas gelak terhambur bersama.

WALAUPUN subjek sastera tidak wajib lulus dalam peperiksaan, tetapi ianya mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan kita. Siapa diantara anda yang bercita-cita menjadi penulis?”

Lantang suara Cikgu Ashraf memberi penerangan dan soalan kepada para pelajarnya di dalam Kelas Lima A itu. Raut wajahnya tidak seperti biasa yang sentiasa membangkit mood ceria kepada para pelajar. Mungkin sebab terkesan dengan nasihat pengetua awal pagi tadi. Dahlah fikirannya juga masih dalam proses pemulihan setelah bertemu dengan sepupunya, permintaan daripada sepupunya yang sememangnya berat untuk diputuskan. Semua itu membuatkan fikiran Cikgu Ashraf sedikit kebingungan.

“Ash fikirlah pula tentang saya, hati ini dah lama terseksa, bagilah peluang pada saya untuk perlahan-lahan mengubah hatinya.” Permintaan sepupunya itu membuatkan hati Cikgu Ashraf berbelah bahagi. Secara tak langsung moodnya terikut rentak apa yang ada difikirannya kala itu.

“Saya, cikgu,” jawab Mira.

Tanpa segan dia bingkas bangun dan mengakui minatnya. Bagaikan nak menjawab soalan terakhir Who Is The Milionare saja lagaknya. Yang dapat duit juta-juta tu!

“Mira, sila nyatakan sebab anda minat menulis?” soal Cikgu Ashraf lagi.

Wajah Mira dipandangnya galak. Seolah-olah nak meletakkan kesalahan pada Mira pula. Orang yang tak tahu apa-apa, jadi mangsa kecelaruan dia pula. Ini kes replacement la ni! Tiada senyuman secarik pun terlukis dibibirnya.

“Dengan menulis saya boleh menzahirkan imaginasi dan apa saja yang tersirat di dalam hati saya, selain berkongsi ilmu dan pengalaman.” Mira menjawab pantas.

Harapannya agar Cikgu Ashraf terkesan dengan jawapannya yang berunsur keperibadian itu, pelik dengan tingkah Cikgu Ashraf yang tidak kelihatan seperti biasa memperlakukan dirinya. Baru beberapa hari mereka bertemu, bergurau senda dan bergelak tawa tapi hari ini tingkah laku Cikgu Ashraf amat berlainan. Jika hari-hari biasa senyum itulah yang tak pernah terlepas menguntum kearahnya dan lirikan mata itulah yang tak pernah jemu mengerling curi kearahnya, tapi hari ini semua yang dinanti dan diharapkannya itu telah hilang.

“Walaubagaimanapun karya sastera semakin dipinggirkan kerana faktor-faktor tertentu. Sila nyatakan apakah faktor itu?” soal Cikgu Ashraf lagi.

Tangannya disilang ke belakang sambil berjalan-jalan di celahan meja pelajar dalam kelas itu. Nampak sangat betapa seriusnya dia mengajar ketika itu. Bagaikan mutasi, semua pelajar juga beriak seperti cikgunya.

“Karya sastera sukar difahami dan terlalu panjang. Golongan remaja sukakan yang mudah dan ringkas!”

Diya bangkit pula dan menjawab pantas seperti peluru M-Sixteen yang menggelungsur laju menepati sasarannya. Tak sangka pula dia yang sebelum ini lebih banyak mendiamkan diri dalam kelas, tiba-tiba menunjukkan keghairahannya menjawab soalan itu. Mira dan Diya saling bertukar pandang. Tiada senyuman terukir antara mereka.

Mira kebingungan. Cikgu Ashraf dan diya seperti orang yang tidak dikenalinya sebelum ini. aku ada buat salah ke? Mira tercari-cari di dalam diri sekiranya ada kesalahan yang pernah dilakukannya kepada guru pujaan dan sahabatnya itu. Tak pernah sekali pun Diya berkelakuan pelik macam ni! Ini apa kes? Cikgu Ashraf pula macam perempuan datang bulan je, sejak bila pandai tunjuk garang. Cool cool dia ni, boleh juga pula naik temperaturenya. Omel Mira dalam hati.

“KENAPA pula muka monyok lagi ni? Aku kadang peliklah dengan perangai engkau ni,” ujar Nina.

Lariannya kini menyamai larian Mira yang sedikit di hadapannya tadi.Joging, joging juga tapi takkan buat muka monyok semacam! Macam kehilangan anak je!

“Apa yang awak pelik, ada tanduk ke tumbuh atas kepala aku,” jawab Mira separuh bergurau.

Punggungnya dihenyakkan di atas jongkang-jongkit di taman itu sambil mengipas-ngipaskan badannya yang sedang bermandi peluh. Sekilas senyum dilemparkan ke arah Nina yang sudah pun terjengket-jengket kakinya di atas batu refleksologi di situ.

“Kadang-kadang engkau ni terlalu pendiam dan kadang pula tu terlebih gurau.” Selar Nina. Tak fasal-fasal pula dia kena ikut rentak mood Mira bila dia duduk bersama dengan minah moody moody ni.

“Biasalah tu kehidupan, ada ups and downsnya,” jawab Mira ringkas.

Nanti kalau cakap memanjang pun dengan Nina kepoh ni, lagi serabut kepala dibuatnya. Manakan tidak, ada je idea gilanya nak masuk isu lain!

“Ye la…’sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’,” kata Nina lagi. Sengihnya memang tak habis. Selagi dia ada bahan nak mengenakan orang, selagi tulah mulutnya takkan berhenti ‘berkicau’.

“Ini kes apa pula sampai mengaitkan tupai?” jawab Mira pula. Pura-pura tidak faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh Nina kepadanya. Sudah la badan terhuyung-hayang di atas batu refleksologi itu macam burung patah sayap, kalau jatuh atas batu tu, bukan dia yang sakit tapi batu tu! Mira tersenyum lucu.

“Aii…’sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula’,” sambung Nina lagi. Sengihnya makin lebar. Adoi…tak habis lagi dia ni mencarut, mentang-mentang belajar sastera semua cakap nak kena berkias. Nak tunjuk terror ke?

“Ah, sudalah bergaharu cendana tu, cakap detail sajalah!” jawab Mira. Geram dengan gelagat Nina yang tak habis-habis mengusiknya. Pantas tangannya singgah di peha Nina yang jelas terlihat kembung di sebalik seluar sleek yang dipakainya.

“Aduh! Apa kau ingat peha aku yang tebal ni tak rasa sakit ke?” gumam Nina. Pehanya yang terasa perit akibat cubitan itu digosok-gosok. Kalah kepit ketam!

“Hah, tahu pun sakit,” balas Mira. Tawa usikannya dihambur. Moody moody pun boleh hilang bila bersama dengan Nina sengih ni. Ngam kalau kerja jadi badut!

“Cik Mira kita yang ‘cantik perasan’ ni, rupa-rupanya fall in love dengan Cikgu Ashraf yang handsome tu….,” usik Nina lagi.

Keningnya dijongket-jongketkan ala-ala Ziana Zain ke arah Mira. Tak habis lagi! Mira meletakkan jari telunjuknya di mulut. Memberi isyarat diam kepada Nina. Takut perkara tu tersebar luas. Nasib baik tiada orang lain kat situ. Tak boleh simpan rahsia betul mami jarum ni! Gumam Mira dalam hati. Nina pula ketawa terkekeh-kekeh.

“Nina tahu Diya kenapa? Dia macam nak menjauhkan diri aja daripada saya. Saya bercakap dengan dia di dalam kelas pun, dia buat tak tahu aja, sekarang ni, dia hilang entah kemana pula.” soal Mira.

Kalau tak alih topik perbualan takut mulut Nina tu akan ‘berkicau’ sampai ke malam. Ceria, ceria juga, jangan sampai jadi riak!

“Engkau tu yang duduk sebelah dia dalam kelas, mustahil tak tahu?” Nina memulangkan soalan balik kepada Mira.

“Dia tak beritahu la.. kalau tanya pun dia kata tiada apa-apa,” jelas Mira lagi.

Kini mereka pula yang pelik dengan perangai Diya yang memang pendiam tapi ada certain pula banyak ambil tahu. kini dengan perangai barunya pula iaitu nak menjauhkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience