BAB 40

Humor Completed 44234

Saiful memandang gambar seorang budak dalam lingkungan belasan tahun yang sengaja di letakkan di atas meja sudut. Seminggu yang lepas gambar itu di serahkan kepadanya setelah operasi jejak kasih di kampung Pinang Berjaya dilakukannya bagi menjejaki nenek sebelah bapanya.

Dah nasib apa nak buat! Mentang-mentang mak bisu atau ringkasnya OKU, sedap aje pula bapa cari perempuan lain, tak fasal-fasal pula dapat adik pangkat tiri, kata hati Saiful.

Saiful melihat wajahnya di cermin lalu membandingkan dengan wajah budak dalam gambar itu. hmm…macam bumi dengan langit. Siful mengangkat kening.

Sementara menanti waktu untuk turun berjumpa dengan Mira di ibu kota, Saiful menyempatkan diri untuk melayari internet. Memang sudah menjadi kebiasaannya sejak dulu, internet adalah peneman waktu lapangnya. Kalau bukan internet pantas sahaja kakinya itu berlari ke gelanggang bola sepak untuk mengasah bakatnya bermain bola. Itu pun dapat gelaran jaguh kampung saja! Tapi yang hairannya walaupun dapat gelaran jaguh tak juga menjadi jaguh di hati para wanita. Entah mana kurangnya aku! Saiful tersenyum nakal sendirian.

CINTA tak semestinya terluah dalam bentuk ungkapan

Kadang-kadang ia terungkap dalam bentuk perilaku.

Klik! Mira memetik jari disusuli senyuman meleret yang entah bila nak putus.

Sembilan puluh peratus Shah adalah Arif Mulia. Setiap kali ada pertemuan mereka, Arif Mulia pasti menulis sesuatu di muka buku sebagai simbolik kepada apa yang berlaku antara dia dan Shah.

Dulu Arif Mulia lebih banyak menulis kata-kata berupa motivasi. Sejak dia mengenali Shah setiap kata-katanya lebih terarah kepada motivasi percintaan. Mira meronggengkan keningnya.

“Jangan yakin sangat, manusia zaman sekarang ni pandai pilih topeng,” laung Nina tiba-tiba.

Nujum, nujum…dia tengok TV, kita tengok muka buku, tahu pula dia apa yang kita fikirkan! Mira mengangkat kening mencebik bibir.

“Selidik dulu, luahkan apa yang terpendam di hati, jangan main agak saja!” ujar Nina lagi.

Membebel sorang-sorang macam nenek kebayan dalam hutan! Mira menoleh kearah Nina yang hanya melontarkan suaranya.

Hisy…anak kecil pun tak makan sambil terlentang di atas lantai, kaki pula terbantai di atas sofa! Kalah budak tadika. Tak tahulah Shahir nak buat apa dapat bini macam ni! Mira menggelengkan kepala. Tapi sengih-sengih Nina ni pun siapa lagi kalau bukan dia sahabat susah senangnya.

Assalammualaikum….

Tiba-tiba mesej Lee Ji Woo masuk menyapa.

Waalaikumssalam…

Mira membalas. Cepat saja pula tangannya menekan huruf-huruf keyboard bagi membalas mesej Lee Ji Woo yang tak pernah menyapa pun selama bertahun-tahun menjadi rakan muka bukunya. Mira lupa seketika janji temunya dengan Saiful hari ini.

Entah apa anginnya hari ini, macam tertelan sebotol pil hormon ekstrogen aje! Inilah mungkin ‘penangan’ perempuan usia lanjut yang masih tak dapat boyfriend.

“Jangan tersilap andaian,” ujar Nina lagi.

Ini satu lagi kelemahan Mira, dapat sapaan bahasa arab, mulalah beranggapan yang si penyapa itu pakai kopiah, pakai songkok atau pakai jubbah. Konon tersangatlah baik orang tu bila dah bagi salam. Haih…manusia zaman sekarang ni, dengan penampilan pakaian saja, boleh dah mengaku masuk syurga.

Senyuman di bibir Mira tak lagi lekang. Kalaulah boleh dilihat gambaran jiwanya ketika itu, mungkin macam satelit yang di lepaskan ke angkasa. Hati perempuan…kerasnya macam kerak nasi aje! Kalau dah dilembutkan dengan kata-kata lemak berkrim cairlah dia.

Begitulah Mira menerima pelawaan Lee Ji Woo untuk bertemunya secara face to face. Waktu pertemuan telah pun termeterai antara Mira dan Lee Ji woo. Sementara Saiful menghubunginya, Mira sengaja memilih tempat yang mudah dicari Saiful sebagai tempat pertemuannya dengan Lee Ji Woo.

Sesampainya di restoran yang dijanjikan itu, Mira segera mencari meja pertemuan mereka, namun tak pula Mira menemui sesiapa duduk di tempat itu.

Macam kita pula yang terhegeh-hegeh nak jumpa dia, sepatutnya dia lebih dulu datang sini! Omel Mira dalam hati.

Mira melabuhkan punggung di atas kerusi sambil mata meninjau sekeliling. Kebetulan seorang warga emas duduk di meja sebelahnya. Lantas Mira terbayangkan bagaimana wajah sebenar Lee Ji Woo. Adakah seperti yang aku lihat ini? jangan-jangan dia warga emas yang terdesak mencari pasangan. Hisy…aniaya aku! Mira mengulum senyum sendirian.

Dengan senyum Mira yang masih bersisa, tiba-tiba seorang lelaki datang menghampiri sambil menyapa salam. Lelaki itu memakai kaca mata hitam, berkumis tebal dan dagunya ditumbuhi misai sejemput

“Lee Ji Woo?” soal Mira setelah sapaan salam disambut.

Ibu jarinya diarahkan kepada lelaki itu yang kini berdiri di hadapannya. Dahinya sedikit berkerut memanandang wajah lelaki itu. kalaulah lelaki itu tambah satu lagi aksesori di kepalanya, sah! Pak lebai. Mira menyumbingkan mukanya.

“Ya saya, dan saya yakin awak Mira, tak ubah seperti dalam gambar di muka buku,” jawab Lee Ji Woo penuh yakin sambil tersenyum nipis.

“Betul Lee Ji Woo?” soal Mira lagi.

Takut pula dia sedang dipermain-mainkan, nampak dalam gambar macam muka artis korea, tapi muka yang di hadapannya ini macam muka lebai malang. Sah! Warga emas yang terdesak cari pasangan. Mira menelan air liur pekat.

Lee Ji Woo hanya memandang Mira dengan senyuman. Mira pula hanya menumpuhkan perhatiannya pada gelas minuman di hadapannya. Menanti saja patah kata dari Lee Ji Woo. Sekali-sekala Mira menjeling muka Lee Ji Woo yang tersenyum nakal.

Tiba-tiba hati kecil Mira mengatakan ada sesuatu yang tak kena dengan lelaki di hadapannya itu. senyuman yang terukir di sebalik misai tebal itu seperti senyuman seseorang yang dikenalinya.

“Abang biar betul la bang…kalau pun nak bergurau dengan Mira, takkan gurau sampai ke tahap macam ni,” ujar Mira bersahaja. Nampak rajuk bercampur malu pada wajahnya.

Kalau nak menyinga pun dah tiada gunanya. Dia dah dikenakan habis-habisan oleh Saiful. Mujur ini tempat awam, kalau nak bergaduh pun, dia sendiri yang malu diperhatikan orang ramai.

Cermin mata hitam dan misai palsu yang ditarik rakus oleh Mira daripada muka Saiful membuatkan Saiful tidak lagi mampu menyembunyikan dirinya yang sebenar. Apa lagi terhamburlah gelak nakal Saiful. Mira juga turut menahan tawa melihat janggut palsu sejemput yang dipakai Saiful tertanggal.

“Ala…gurau pun tak boleh ke…Mira sepatutnya berterima kasih pada abang tau sebab Lee Ji Woo tunjukkan dirinya yang sebenar,” ujar Saiful berlagak manja. Mira mengetap gigi geram. Mahu saja di piat-piatnya telinga Saiful yang suka sangat mengusiknya.

“Dahlah bang…abang tak pandai tackle awek la bang…patut pun tiada awek nakkan abang, tak romantik langsung! Selar Mira pula dengan niat nak menyakitkan hati Saiful.

“Aalaa…yang Mira terpengaruh dengan Lee Ji Woo tu hingga keluar bertemu sampai ke sini, bukan sebab abang pandai tackle ke, Mira tahu tak kenapa abang pilih meja nombor dua puluh lapan, sebab itu angka usia Mira, apa Mira tak perasan ke? Senangnya awak ni diperdaya!” Tempelak saiful pula.

“Tak nampak pun kaitan semua ini dengan usia Mira,” jawab Mira bersahaja.

“Bila usia dah dua puluh lapan tahun, maknanya kita dah dewasa malah hampir tua, fikiran pun dah matang. Kalau nak cari cinta pun, bukan cinta monyet,” ujar Saiful dengan kata-kata yang lebih terarah kepada perasaannya terhadap Mira.

Mira mengerutkan dahi, rasanya dia tak akan menang dengan Saiful yang terlebih nakal itu. ada saja idea gilanya nak menundukkan aku! Mira mendiamkan diri.

“Sebenarnya abang sayangkan Mira, kalau boleh abang nak Mira jadi suri hidup abang, tapi bila abang fikir-fikirkan balik, tak patut abang berharap pada Mira yang tak pernah pun pandang abang seperti yang abang harapkan,” ujar Saiful berterus-terang.

“Uwa, uwa, uwa…sedihnya….,” ajuk Mira membalas dendam.

Dikesat-kesat matanya pura-pura terkesan dengan pengakuan Saiful.

“Abang nikan, kalau beginilah cara abang nak mengurat awek, gerenti abang ditolak,” ujar Mira.

“Abang buat dengan Mira aje sebab abang tahu Mira tak suka abang,” jawab Saiful.

Sebenarnya Mira tahu perasaan Saiful itu terhadapnya sejak dulu, tapi dia buat-buat tak tahu. Cuma yang membuatkan Mira terharu apabila Saiful sanggup menyamar jadi Lee Ji Woo di muka buku untuk memikat hatinya.

Saiful turut tersenyum dengan gurauan Mira itu walaupun apa yang di katanya itu adalah isi hatinya yang sebenar. Nakal-nakal pun ada waktu juga dia serius.

“Maaf bang, Mira faham perasaan abang tapi Mira tak boleh jadi seperti yang abang harapkan. Mira dah anggap abang seperti abang kandung sendiri,” ujar Mira bersungguh.

Biarlah hubungan dia dengan Saiful seperti adik beradik sahaja. Dia dah serasi dengan Saiful sebagai adik, bukan kekasih mahu pun bakal isteri.

Saiful hanya mengangguk faham. Ada nampak riak kecewa pada wajahnya namun dia cuba menutup dengan cara bergurau dan menunjukkan keprihatinan terhadap Mira.

“Mira tu jangan percaya sangat dengan sesiapa. Mujur abang yang berlakon Lee Ji Woo tadi, kalau orang lain yang memang ada niat jahat macam mana?” ujar Saiful menukar topik.

Suaranya dibuat-buat galak bagi menyembunyikan rasa kecewa dalam hatinya. Lelaki yang yang nak tunjuk rasa kecewa itu bukanlah spesies Saiful!

Pang! Tiba-tiba satu tumbukan hinggap di muka Saiful. Ringan saja penumbuk itu melayang ke muka Saiful. Saiful terpinga-pinga. Meraba-raba pipinya yang terasa perit kerana tumbukan kuat yang tak diduga itu.

“Stop, shah! Apa awak buat ni, tiba-tiba datang nak serang orang!” jerit Mira tanpa mempedulikan pandangan orang di sekeliling.

“Jom bang kita balik.” Mira lalu menarik kasar tangan Saiful. Saiful hanya memandang wajah lelaki yang dipanggil Shah oleh Mira itu dengan penuh tanda tanya.

Bagaimana dia tahu aku di sini bersama Saiful? Tiada angin tiada ribut tiba-tiba muncul cari gaduh. Mira membuang pandangan tajam kepada Shah. Kecewa benar dengan tindakan Shah yang tak diketahui sebabnya.

“Siapa lelaki tu,” soal Saiful ketika dia dan Mira dalam perjalanan pulang.

“Kawan..” jawab Mira ringkas.

Mira enggan menjelaskan ketika itu. dia takut Saiful pula yang akan bertindak lebih agresif apabila dia tahu perkara yang sebenar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience