BAB 6

Humor Completed 44234

“Eeii…asal aku ada, engkau ada, macam ajalah tak ada orang lain yang Cikgu Badrul nak pilih, dah tak ada orang lain ke yang layak selain kau ni!” Natasya menghentak beg sekolahnya di atas meja. Sekali lagi dia rasa tercabar.

Aku dah kenakan engkau habis-habis di gelanggang pantun hari tu, tak serik lagi! Bentak hatinya.

Mira yang sudah masak dengan perangai Natasya itu menjongketkan bahu. Ada baiknya juga Cikgu Badrul memilih nama aku secara automatik, tak adalah sakit hati aku ni sangat dianggap sengaja ambil bahagian untuk bersaing dengan budak Natasya ni. Mira mencebik.

Natasya semakin menggila, kemarahannya itu disambut selamba oleh Mira. beg sekolah Mira yang tergantung di belakang kerusi disepak kuat. Bertaburan buku-buku Mira di atas lantai.

Mira mengetap gigi. Cuba bertahan agar tiada tarik menarik rambut berlaku dalam kelas Lima A itu. andai saja dia tak bersabar, agaknya gigi Natasya tinggal geraham. Mira duduk mententeramkan dirinya.

“Tak usah lawan, Mira. biarkan aja budak sengal tu melepaskan kemarahannya,” ujar Diya mententeramkan Mira.

“Eeee…apasal engkau ni jahat sangat aa... kau ingat Mira tu suka-suka nak bersaing dengan kau ke, nama dia tu Cikgu Badrul yang pilih, bengap!” Nina meluku kepala Natasya.

Geram melihat Natasya memperlakukan Mira sebegitu. Dahlah Mira tu cakapnya aja mengalahkan Kung Fu Jackie Chan, tapi tak pernahlah berani nak bertindak kasar macam Natasya. Nina pula yang tak tahan melihat Mira dikasari sebegitu.

“Hoi..kau ingat aku takut dengan badan kau yang besar tu ke!” Natasya pula meluku kembali kepala Nina. Nina hampir jatuh. Badan Natasya yang tinggi lampai itu menyenangkan urusannya meluku kepala Nina. Perkataan dipilih Cikgu Badrul tulah yang menyebabkan darjah kemarahan Natasya memuncak. Asyik-asyik dipilih! Asyik-asyik dipilih! laung hatinya.

“Sudah, kenapa dengan korang ni aa..tak habis-habis nak bertekak, nak aku laporkan perangai korang ni kepada guru disiplin!” kamal pula mencelah. Natasya yang tak makan saman itu, selamba memperlekehkan kewibawaan kamal sebagai ketua kelas.

“Alah, buatlah kalau berani, kau ingat aku takut dengan guru disiplin yang macam sotong tu ke!” Natasya menghentakkan punggungnya di atas kerusi, nak tunjuk kuat tapi dalam hati kecut juga kalau Kamal benar-benar bertindak demikian. Kalau dia digantung atau dibuang sekolah, bukankah bapanya akan menggantung kepalanya di atas pokok pula.

“HARI ini adalah penghantaran terakhir cerpen anda, sesiapa yang menyertai pertandingan menulis cerpen sempena minggu sastera itu, sila hantar segera.” Cikgu Badrul memberi peringatan terakhir.

Natasya dan Umairah menyiapkan cerpen mereka, menulis nama dibelakang kertas walaupun terpampang ruang kosong di depan kertas cerpennya itu.

Nina pula mewakili Mira menghantar cerpennya, tak kuasa Mira nak menghulur kertas itu di tangan Cikgu Badrul. Mahu termuntah dibuatnya memandang muka Cikgu Badrul di situ.

“Mira, silakan hantar cerpen anda.” Tiba-tiba cikgu itu melaung namanya. Hanya dia yang tak dilihat oleh Cikgu Badrul menapak menuju ke meja guru. Mira kebejatan kata.

“Dah hantar, cikgu. Saya hantar sekali dengan cerpen saya,” jawab Nina mewakili Mira.

“Sila ambil kembali, Nina. Biarkan Mira menghantar karyanya sendiri,” ujar Cikgu Badrul pula. Nina kecut perut, segera dia mengambil kembali cerpen itu lalau diserahkan kembali kepada Mira.

Natasya dan Umairah ketawa mengekeh, merasakan diri menjadi juara kerana Mira dibuli sebegitu oleh Cikgu Badrul. Mira yang benar-benar cuak melangkah galak menuju ke meja guru lalu meletakkan karyanya di depan Cikgu Badrul. Merasa diri diperbodohkan pula oleh Cikgu Badrul. Oleh sebab perasaan menghormati guru itu masih menebal di dalam diri, membiarkan sahaja dirinya diketawakan oleh Natasya dan Umairah.

“JOMLAH, pengecut betullah kau ni,” Natasya menarik tangan Umairah memasuki bilik guru. Sementara bunyi loceng masuk dibunyikan, mereka sengaja menawarkan diri kepada Cikgu Lisa untuk mengemas meja cikgu itu di bilik guru. kebetulan meja Cikgu Lisa dan Cikgu Badrul, hanya dipisahkan oleh sebuah meja guru lain di bilik itu, jadi mereka mengambil kesempatan untuk membelek-belek hasil kerja mereka di meja Cikgu Badrul itu.

“Eh, ini cerpen kita oranglah, alahai…apesal cikgu tak bagi markah lagi… sikit aja pula yang menyertai pertandingan tu, kan.” tangan Natasya semakin rancak membelek-belek hasil karya di atas meja Cikgu Badrul itu.

“Cepatlah, karang cikgu tu nampak kita, tak fasal-fasal kita pusing gelanggang macam Mira hari tu.” Umairah seakan tak berasa selamat berlama-lama di situ.

“Dah siap? terima kasih ya tolong kemas meja cikgu ni.” Cikgu Lisa pun muncul.

Kepala Natasya dan Umairah bagaikan di tolak sepuluh orang untuk memalingkan wajah mereka ke arah suara itu.

“Kenapa terkejut, macam kena rompak aja pula kamu ni.” Cikgu Lisa kehairanan. Seakan tergigit kutu budak berdua itu mendengar sergahannya sebentar tadi.

“Dah, cikgu. Ingat siapa datang tadi, tu yang sedikit terkejut tu,” jawab Natasya. Sebenarnya mereka takut kalau-kalau Cikgu Badrul yang datang sebentar tadi tu.

“Tak nak cikgu belanja ke?” soal Cikgu Lisa sambil tersenyum.

“Tak apa cikgu, kami ikhlas tolong, cikgu ni…nak merasuah kami pula,” jawab Natasya.

Konon-konon nak tunjuk baik. Padahal dialah yang paling suka memburu ganjaran.

“Ye ke ni tak nak? Nah, ambil la…buat belanja minum kat kantin. Janganlah fikir ini rasuah, anggap ajalah cikgu sedekah kat korang berdua.” Sekeping wang kertas bernilai lima ringgit dihulur kepada Natasya dan Umairah.

Natasya mencubit lengan Umairah, cuba menyerahkan keputusan itu kepada Umairah tapi Umairah membalas balik cubitan itu pula. masing-masing ada perasaan segan nak menerima.

“Terima kasih cikgu, kami pergi dulu.” Dengan gaya P.Ramlee dalam Filem yang tak ingat tajuknya, Natasya menghulur tangan mengambil duit itu lalu pergi bersama Umairah.

“Hisy…apesal kau tak ambil…buat malu aku aja kau ni,” rungut Natasya kepada Umairah.

“Aalaa…malu konon, ambil juga pun.” Umairah mencebik.

“Karang aku tak bagi kau, baru kau tau,” tambah Natasya lagi.

“Cubalah kalau berani, aku beritahu Mira apa….”

“Shuuu….mulut tu jaga sikit, kalau tak nak aku sumbat duit ni ke dalam mulut tu!” ugut Natasya pula. Pantas tangannya melekap di mulut Umairah.

KEESOKAN harinya, keputusan pemenang pertandingan menulis cerpen diumumkan. Sudah tentu hadiah lumayan yang ditawarkan oleh Cikgu Badrul adalah buruan para peserta pertandingan itu. hadiah pertama, kedua dan ketiga tentunya menjadi anganan setiap daripada peserta itu. Cikgu Badrul yang sudah siap berdiri di hadapan pelajar dalam perhimpunana itu sedikit sebanyak mendebarkan dada para peserta. Masing-masing berteka-teki kepada siapa pemilik hadiah berupa Ipad di tangan Cikgu Badrul itu akan diserahkan.

“Tempat ketiga, diumumkan…” Cikgu Badrul tercari-cari nama peserta tempat ketiga itu, membelek-belek kertas di tangannya ke depan dan ke belakang. Akhirnya dia jumpa nama di belakang kertas cerpen tersebut.

“Mira binti Malik, dipersilakan kehadapan untuk mengambil hadiah ini.” Cikgu Badrul memutuskan.

Mira dengan berat kaki nak melangkah, menuju ke hadapan perhimpunan itu untuk mengambil hadiahnya. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia meminta bantuan kepada Nina untuk mengambil hadiah itu tapi, lantas teringat peristiwa sebelumnya. Peristiwa dimana Nina terpaksa mengambil semula cerpennya yang telah dihantar kerana Cikgu Badrul mahu dia sendiri yang menghantar cerpen itu. Ah, takkah menyusahkan semua tu! Mira buat-buat cool.

“Seterusnya tempat kedua dan pertama, di persilakan Kamal dan Natasya ke hadapan untuk mengambil hadiah.” Kata-kata Cikgu Badrul berhenti di situ.

Natasya tersenyum lebar, hadiah yang diimpikannya itu tercapai juga akhirnya. Dengan angkuhnya Natasya menuju ke hadapan mengambil hadiah lalu menjulang tinggi hadiah Ipad yang dimenanginya itu di hadapan perhimpunan tersebut. Semua pelajar bertepuk tangan.

“Tahniah kepada para pemenang, khususnya pemegeng gelaran johan kerana menghasilkan cerpen yang begitu baik.” Cikgu Badrul mengakhiri ucapan ringkasnya.

“APESAL nama aku tertulis kat belakang cerpen ni aa…waktu hantar karya hari tu, aku tulis kat depanlah, hei..korang tengok cerpen ni, ini bukan tajuk cerpen akulah.” Mira memanggil semua rakan-rakan sekelasnya. Tulisan hampir sama dengan tulisannya tapi tajuk dan isi cerpen tersebut adalah berlainan. Tiada kesan padaman pada bahagian nama di depan cerpen itu. sememangnya nama ditulis asal di belakang cerpen tersebut.

“Yalah…Mira, ini mesti kerja si bangsat nikan,” jawab Nina. Sekilas dia memandang Natasya dan Umairah yang sedang leka bermain Ipad sambil ketawa mengekeh.

“Hoi Natasya! kau yang sengaja letak nama Mira di belakang cerpen kau ni, kan? hadiah itu bukan milik kau sebenarnya, itu Mira punya, bawa sini cerpen yang kau menang tadi tu!” Nina mendekati meja Natasya lalu menyelongkar lacinya.

“Jangan harap, aku dah masukkan dalam lubang tandas pun cerpen tu! Kenapa, nak mengidam sangat dengan Ipad ni ke, nah ambillah.” Selamba Natasya meletakkan Ipad itu di atas mejanya.

“Ini bukan soal Ipad, Natasya. Tapi kau telah menipu semua orang, kau curi karya Mira semata-mata nak dapatkan hadiah Ipad tu, kau juga memperdaya Cikgu Badrul!” bentak Nina. Marah dengan perangai jelek Natasya itu.

“Haha…mari sini cerpen yang Mira tak mengaku kepunyaan dia tu.” Mira meragut kertas yang tertulis cerpen itu di tangan Diya. Diya mengelak namun sikap rakus Natasya itu dengan mudah melumpuhkan tindakan Diya.

“Hah, ini yang kamu mahu, kan!” Natasya menggumam lalu mengoyak remuk kertas cerpen tersebut. Biar hilang bukti. Siapa lagi yang percaya kalau tiada siapa yang dapat membuktikannya, biar cerpen ini dua-dua lenyap! Pantas Natasya mendapatkan kembali tempat duduknya sebelum Cikgu Badrul memasuki kelas mereka itu pula.

Memang dia yang melakukan perbuatan keji itu, meletakkan nama Mira di belakang cerpennya sendiri dan meniru tulisan Mira untuk mengaburi mata Cikgu Badrul, serta memadam nama Mira lalu menukar kepada namanya, di meja Cikgu Badrul dalam bilik guru ketika dia dan Umairah pura-pura membantu Cikgu Lisa mengemas meja ketika itu. itu semua kerana Ipad. Dia tahu Mira lebih hebat mengarang cerpen. Tanpa perasaan bersalah, Natasya dan Umairah bersatu hati melakukan perbuatan itu.

Mira dan pelajar-pelajar lain dalam kelas itu terkesima dengan tindakan Natasya mengoyak cerpen itu. Nampak benar dia mahu menghilangkan bukti kesalahannya.

“Mira, terserah pada kau untuk membuat keputusan.” Kamal, Diya, Nina dan rakan-rakan Lain memberikan semangat. Menyerahkan kepada empunya diri yang teraniaya untuk membuat apa-apa pun tindakan yang mahu dilakukannya.

“Tak apalah tu, kesian pula aku tengok dia nak sangat memiliki Ipad tu, ini mungkin waktu aku, waktu dia kita tak tahu,” putus Mira.

Malas nak memanjang-manjangkan cerita itu, yang terlibat sama dalam menyelesaikan masalah ini bukankah Cikgu Badrul? Kerana mahu mengelak bertemu dengan Cikgu Badrul, Mira menelan sahaja perbuatan keji Natasya dan Umairah itu.

Tak juga aku kemaruk nak memiliki Ipad daripada Cikgu Badrul tu! bisik hatinya. Walaupun dia tahu membiarkan perkara itu akan hanya menggalakkan Natasya dan Umairah berbuat jahat kerana merasa diri selalu terlepas daripada hukuman, tapi itu sahaja caranya nak mengelak daripada bersemuka dengan Cikgu Badrul lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience