BAB 4

Humor Completed 44234

Dengan rasa berat hati, Mira melangkah menapakkan kaki di dewan sekolah itu. Sementara menanti acara bermula sempat Mira berkenal-kenalan dengan peserta-peserta dari sekolah lain. Sebab Umairah dan Natasya tak boleh dijadikan sebagai rakannya di situ, Mira terpaksa mencari rakan baru untuk menemaninya. Nak ajak Kamal? Kamal kan lelaki, tak fasal-fasal pula nanti jadi isu baru Natasya Dan Umairah! Mira menelan sahaja segala telahannya disebabkan spesies manusia akhir zaman itu.

“Kita minum kat kantin sekejap, boleh?” Mira menyuarakan hasratnya kepada Najwa selaku wakil dari SMK Sikuati itu.

Harapannya agar dia mendapat ketenangan sedikit. Sepanjang perjalanan tadi otaknya hanya dikerah menghasilkan zat kimia yang dipanggil hormon cortisol, tak ke darah tinggi jadinya!

“Boleh, jomlah aku tunjukkan kau kantin tu, kau belum tahu,kan?” balas Najwa sambil memaut lengan Mira menuju ke kantin. Mira mengangguk setuju.

Gedebuk! Mira jatuh menyembah lantai simen. Mira meraba-raba lututnya yang terasa perit. Najwa membantu. Kelihatan tompokan darah di atas kain kurung yang dipakai Mira.

“Hah, buta ke, nak kena pakai empat mata pula ke baru cukup terang penglihatan tu!” Natasya dan Umairah berlalu sambil mencebik bibir.

“Hei, korang yang tolak aku tadikan, bangsat kau Natasya,” Mira menghamburkan kata-kata kesat. Marah benar diperlakukan sebegitu olah Natasya dan Umairah.

Natasya dan Umairah semakin lantang gelaknya. hilang rasa kasihan pada sahabat seperjuangan mereka itu. Hari tu kau kenakan aku di kelas latihan, sekarang rasalah balasannya. Natasya dan Umairah berlari meloloskan diri dari situ. “karang Cikgu Badrul nampak mati kita,” bisiknya kepada Umairah.

“Mira, apa yang berlaku ni?” soal Cikgu Badrul. Kehairanan melihat keadaan Mira yang sedang di bantu oleh Najwa untuk bangun.

“Ada dua orang budak perempuan tolak dia tadi, cikgu,” jawab Najwa sambil mengarahkan telunjuknya ke arah Natasya dan Umairah melarikan diri, mewakili Mira yang hanya diam tanpa memandang wajah Cikgu Badrul apatah lagi nak menjawab.

Cikgu Badrul sempat menangkap kelibat Natasya dan Umairah meloloskan diri di sebalik bangunan kantin sekolah itu.

“Mira, apa yang berlaku Antara kamu ni, kenapa diam sahaja cikgu tanya, kalau berlaku perkara yang tak diingini, bukankah cikgu juga akan terlibat sama, kalau ada masalah beritahu cikgu, jangan segan!” tegas suara Cikgu Badrul. Geram pula dengan perangai Mira yang lebih suka diam membatu.

Aku aje ke yang nak ditanya, tanyalah budak sengal berdua tu. Dia sendiri pun tahu perangai buruk Si Natasya tu, aku lagilah pula yang nak ditanya, menyampah! Dahlah kita ni tengah sakit, nak dileter lagilah pula! Gerutu hati Mira. Nak diluahkan tak berani, hatinya sajalah yang terpaksa banyak berkata-kata. Karang penangan veto cikgu ni terlancar, jadi gila aku makan denda kat sini! Gumam hati Mira lagi.

Mira dan Najwa pun kembali semula ke dewan, terbantut tujuan nak ke kantin. Hilang selera dek melihat muka Cikgu Badrul dan mengenangkan perangai budak sengal berdua itu.

SELEPAS ucapan alu-aluan pengerusi majlis, pertandingan berbalas pantun pun bermula. Telah diumumkan bahawa wakil dari SMK Abdul Rahim dan SMK Sikuati adalah kumpulan pertama yang akan berentap di gelanggang berbalas pantun itu. Sudah tentu Cikgu Badrul selaku guru pengiring wakil dari sekolahnya merasa debaran seperti mana para pesertanya juga.

“Umairah, Natasya, Mira dan Kamal, pastikan anda melakukan yang terbaik, ingat nama baik sekolah, sekiranyanya berlaku apa-apa kesalahan salah seorang daripada kamu, jangan teragak-agak untuk cover line ya,” pesan Cikgu Badrul. Tinggi harapannya terhadap para pesertanya untuk memenangi pertandingan ini.

Mereka mengangguk faham, kecuali Mira yang tak dapat ditahan-tahan lagi perasaan meluatnya terhadap Umairah dan Natasya. Tiada pula tindakan dari Cikgu Badrul ke atas perbuatan Natasya dan Umairah menolaknya tadi. Perit luka di lututnya semakin panas dirasakan. Jauh sekali Cikgu Badrul bertanya tentang keadaan aku, gerutu hatinya.

“O.K, selamat berjuang.” Cikgu Badrul mengakhiri suntikan semangatnya kepada para pesertanya itu. Isyarat O.K ibu jarinnya di tunjukkan. Mira mencebik.

“Baik, cikgu.” Natasya dan Umairah menjawab gedik. Menjeling sekilas Mira yang terburu-buru menuju ke pentas mahu mengambil segera tempatnya. Begitu juga dengan Kamal.

“Hoi, aku nak duduk sinilah, aku tak nak dekat dengan engkau, kau duduk ajalah di hujung sana tu!” gumam Natasya.

Digoncangnya kerusi yang diduduki Mira. Mira pula enggan menuruti. Menunggu sahaja apa yang dilakukan Natasya terhadapnya. Mengamuklah ikut suka kau kalau kau berani di depan orang ramai ni! cabar Mira dalam hati.

“Kalau ia pun korang nak bertinju, selesaikan dulu kerja yang dipertanggungjawabkan kepada kita ni, fikir nama baik sekolah, bukankah itu pesan Cikgu Badrul?” Kamal cuba mengamankan rakan-rakannya.

Natasya mendengus kasar, terpaksa mengalah dengan Mira kali ini. Tapi lepas ni jangan harap, bisik hatinya. Dengan perasaan cuak, dia duduk di sebelah Mira. Nasiblah korang ambil dulu tempat duduk tu, kalau tak jangan harap aku duduk bergesel dengan kau! Laung hatinya.

Selesai pengerusi majlis mengalu-alukan para peserta dan juri serta memperkenalkan diri masing-masing, acara jual pantun pun bermula, Mira adalah orang pertama yang akan menjualkan pantunnya kepada Faizal selaku wakil dari SMK Sikuati. Tema yang dipilih untuk pusingan pertama ini adalah kemanusiaan. Maka para penjual pantun akan menjual pantun berkaitan dengan nilai-nilai kemanusiaan dalam kehidupan dan seterusnya juga akan dijawab oleh pembeli pantun tersebut.

“Dengar ya, Faizal, ini pantun dari saya.” Mira menundukkan kepala seketika untuk melihat pantun yang dikarangnya di atas meja.

Pagi hari mencari ketam

Sayang kaki terpijak duri

Kalau tuan tidaklah kejam

Sudikah membalut luka dihati.

Selang dua minit Faizal berdiri menjawab pantun selaku pembeli yang telah dipilih oleh Mira. Faizal teragak-agak, memandang sekilas wajah Mira. Cun juga penjual pantun ni, hatinya berdetik.

“Dengar ya Cik Mira yang manis, ini balasan pantun dari saya.” Faizal berlagak maco. Seketika mengukir senyum nipis ke arah Mira.

Sayang kaki terpijak duri

Duri tartanam sejengkal Cuma

Sudikah membalut luka dihati?

Kecil tapak tangan nyiru tersedia.

Natasya mencebik. Perasanlah tu, ada hati nak mengurat Faizal, tak sedar diri! omel hatinya.

Sekarang, giliran Najwa pula nak menjual pantun kepada pihak lawan. Natasya adalah pilihannya. Sengaja Najwa memilih Natasya yang menolak Mira sewaktu mereka ke kantin tadi. Dengan lagak angkuh Natasya bersiap sedia untuk mendengar pantun dari Najwa itu.

“Dengar ya, Cik Natasya, ini pantunnya.” Najwa tersenyum nipis.

Hendak menanti teruna kacak

Dara termenung di langgar rumah

Teruna mana hendak kemaruk

Kalau hati bengkak bernanah.

Tak sampai seminit Natasya bingkas bangun. Benar-benar rasa marah dengan pantun Najwa itu. Ini mesti nak kenakan aku, mahu membela Mira yang aku tolak tadi, marahnya dalam hati. Dengan lagak sombong dia menjawab pantun itu selaku pembeli yang dipilih Najwa.

“Dengar baik-baik Cik Najwa, ini balasan pantunnya.” Natasya memandang galak muka Najwa.

Berjalan perlahan si kura-kura

Hendak mengejar si arnab tangkas

Kalau dah sama macam kura-kura

Jangan mimpi jadi juara.

Natasya mengetap bibir. Puas hati aku! Jerit hatinya. Kamal dan Mira saling berpandangan. Natasya sebenarnya melakukan kesalahan. Pantun yang di berikannya tadi bukanlah jawapan melainkan melontarkan kemarahan semata-mata. Dahlah rimanya tak betul! Pantunnya pula bukan jenis Pantun Berkait.

Juruacara termenung sejenak, memikirkan kesalahan pada pantun yang dijawab oleh pembeli pilihan pihak lawan itu. para juri juga saling tersenyum. Desas desus para penonton juga kedengeran

“Dipersilakan rakan-rakan daripada pembeli pantun pihak lawan, ada sesiapa yang nak betulkan pantun tersebut sebelum masa tamat.” Tuan pengerusi majlis memberikan peluang.

Cikgu Badrul menepuk dahi, cuba mengisyaratkan tangan untuk cover jawapan yang di berikan Natasya itu. Umairah dan Natasya tersenyum sinis. Rasa puas sebab dapat membalas dengan kejahatan. Mira dan Kamal saling menuding. Dengan rasa terpaksa dan menyampah, Mira bangun untuk membantu Natasya membalas pantun selaku pembeli yang dipilih, itu pun markah dah kurang kerana kebodohan Natasya.

“Ini pembetulan pantun tadi ya, Cik Najwa.” Mira tersenyum mesra. Pura-pura seakan tiada rasa meluat dalam hatinya.

Dara termenung di langgar rumah

Hendak menanti teruna kacak

Kalau hati bengkak bernanah

siapkan jiwa untuk berganjak.

Ah, rosak! Musnah harapan aku nak jadi juara, awal-awal lagi dah buat kesalahan. Cikgu Badrul menyandarkan badannya di kerusi menghadap gelanggang berbalas pantun itu. Rasa tak puas hati kerana Natasya melakukan kesalahan, walaupun Mira dah cover jawapan tu, tapi markah tetap akan dipotong juga.

Seperti yang dijangkakan, sekolah mereka tidak mendapat tempat untuk mewakili peringkat seterusnya. Bukan sekali Natasya melakukan kesalahan yang terpaksa dibantu oleh rakan-rakannya. Yang paling banyak membantu adalah Mira. Kalau bukan kerana semangat berpasukan, ‘jauh panggang dari api’. Mira melahirkan kekesalannya kerana perangai jelek Natasya. Walaupun dia benci dengan Cikgu Badrul tetapi tanggungjawab sebagai pelajar tak pernah diingkarinya.

“Bagaimana dengan keadaan lutut Mira, dah baik,” soal Cikgu badrul tiba-tiba ketika mereka dalam perjalanan pulang.

Seakan timbul rasa kasihan di benak hatinya melihat Mira berjalan tertempang-tempang tadi, tapi tak pula dipedulikannya sewaktu kejadian itu berlaku.

“Tak ada apalah, cikgu, sikit aje tu.” pantas Mira menjawab. Tak mahu Cikgu Badrul itu tertanya-tanya. Seperti biasa tiada keinginannya untuk memandang muka cikgu itu.

Sekarang baru nak tunjuk prihatin, waktu kita benar-benar sakit, tiada pula tindakan dibuat, nasib baik dalam bas, nak lari kemana, mahu tak mahu terpaksa juga menghadap muka dia ni! Mira melahirkan ketidakpuasan dalam hati.

Seperti biasa Cikgu Badrul mengalah sahaja dengan perangai Mira yang suka berdiam diri itu. Mahu dimarah atau sebaik mana pun dia bertanya, Mira tetap menjawab dingin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience