BAB 15

Humor Completed 44234

"NAK balik dah?" Tanya Nek Timah yang muncul di muka pintu bilik tidur Diya. Di tangannya memegang sebilah pisau pengetam padi menandakan dia sudah bersedia untuk turun ke sawah ketika itu.

"Ya nek, dah siap kemas barang nanti, Diya nak naik bas dah ni," jawab Diya sambil memasukkan pakaian ke dalam beg sandang yang dibawanya.

Setelah dua hari berada di rumah neneknya dan meninjau-ninjau sekeliling kampung sambil bertemu muka dengan geng-geng lamanya, kekusutan kepalanya terlerai seketika.

Perjalanan dari Taman Orkid ke rumah neneknya ini, mengambil masa lebih kurang satu jam. Kampung yang diberi nama Kampung Pinang inilah Diya menghabiskan sekolah rendahnya. Bangunan sekolah yang masih tersergam indah di hujung kampung itu menggamit kenangan lama yang diabadikannya sehingga kini. Kenangan manis yang tak mungkin luput dalam ingatannya. Kenangan itulah yang sentiasa mendorong dirinya untuk pulang ke kampung. Rumah neneknya yang terletak di tengah-tengah sawah padi dan dipagari beberapa jenis pokok buah-buahan itu juga sememangnya memukau pandangan sesiapa sahaja yang melaluinya. juga salah satu tarikan diri Diya agar selalu pulang bagi menikmati buah-buahan yang digemarinya.

Pip!pip!pip! bunyi hon bas berhenti di depan Diya yang sedang duduk di pondok perhentian bas tidak berapa jauh dari rumah Nek Timah. Tanpa berlengah Diya segera menaiki bas itu.

"Jalan Kolam Taman Orkid, pak cik," kata Diya sebaik saja kakinya melangkah masuk di pintu bas itu.

Awal-awal lagi Diya memberitahu destinasinya kepada pak cik pemandu bas itu. Hampir semua pemandu bas yang berulang alik di jalan itu dikenalinya. Asal ada kelapangan dan cuti, Diya akan balik kampung untuk menziarahi neneknya.

Seperti biasa bas yang berulang alik ini sesak dangan penumpang. Melilau anak mata Diya mencari tempat duduk yang masih kosong, mujur ada lelaki yang baik hati memberikan tempat duduknya kepada Diya.

"Cik, biar saya yang duduk di belakang sana, cik boleh duduk di tempat saya ni," ujar lelaki yang baik hati itu.

Faham dengan keadaan Diya yang terpaksa duduk di tengah-tengah penumpang lelaki di hujung bas itu, lelaki baik hati yang duduk di bahagian tengah bas itu tadi rela hati menyerahkan tempatnya kepada Diya. Kalau tak, terpaksalah Diya mencium bau masam ketiak mamat-mamat di situ. Ngee......

Baik juga mamat ni, muka pun boleh tahan! bisik hati Diya. Hanya senyuman dan ucapan terima kasih yang mampu dibalasnya. Kalau nak cakap lebih-lebih pun bukannya kenal. Kut-kut perempuan separuh abad yang duduk sebelahnya ni tadi, isteri dia! Memang tak padan dengan mukanya yang handsome tu! Diya mencarut.

Lebih kurang satu jam menikmati pemandangan yang indah sepanjang perjalanan, akhirnya pak cik pemandu bas itu berhenti di sebuah pondok yang tertulis, Perhentian Bas Taman Orkid. Diya membayar tambang lalu turun dari bas itu.

"Pak cik, saya mencari Taman Orkid Satu, di sini ke tempatnya?" Tanya seorang penumpang dalam bas itu.

"Ya encik, taman ini ada satu dan dua, kalau memang hajat encik untuk ke sini, di sinilah encik turun."

Pemandu bas itu menjelaskan kepada penumpang yang kelihatan seperti pertama kali datang ke situ.

Eh, macam lelaki yang baik hati tadi tu! apa dia buat kat sini ya? perempuan separuh abad tu pun ada? Bertindih tanda soal di kepala Diya. Kelihatan lelaki dan perempuan itu menuju ke arahnya sambil tersenyum. Dia kenal aku ke? Saudara bau-bau bacang kut! Diya menerka-nerka.

"Cik yang dalam bas tadi tu, kan? Maaf menganggu, cik tinggal di taman ini?" soal lelaki itu berbasa-basi sambil tersenyum.

Takkan dah tak ingat kut muka aku yang dia tolong tadi tu! Omel Diya dalam hati.

"ya, saya," jawab Diya ringkas sambil tersenyum ke arah lelaki dan wanita itu.

Dia bukan juga pernah belek muka penghuni rumah di taman ini satu persatu, tapi muka makhluk di depannya ini macam tak pernah pun nampak kelibatnya. Ini mesti kes jejak kasih! Teka Diya lagi dalam hati.

"Sebenarnya saya mencari rumah pakcik Malik. Kami difahamkan dia tinggal di Taman Orkid," kata lelaki itu berterus terang.

Kelihatan tangannya sekali-sekala mengelap peluh yang menitis di dahinya kerana kepanasan. Sah! Jejak kasih. Diya mengiakan terkaannya tadi.

Diya diam seketika. Berkerut dahinya cuba mengingat seseorang yang bernama Malik. Macam pernah dengar tapi siapa ya? Diya cuba lagi mengerah ingatannya.

"Oh...Pak cik Malik yang ada restoran tu ke?" tiba-tiba Diya teringat Pak cik Malik ayah kepada Mira.

Seingat Diya tiada orang lain yang dikenalinya bernama Malik melainkan bapa Mira tu, itu pun dah jadi arwah. Dia dah tahu agaknya! Diya membiarkan perkara itu. Bukan urusan dia untuk bercerita sampai ke situ kepada orang yang tak dikenalinya itu. Manusia zaman sekarang ni ada yang pakai topeng. Kut-kut berniat jahat! Fikirannya menyimpang pula.

"Ya, mungkin," jawab lelaki itu seperti tidak pasti.

Ada juga dia diberitahu bahawa Pak cik Maliknya itu ada restoran miliknya sendiri. Kalau silap pun takpe, taman ini masih luas. Fikir lelaki itu.

"Mari saya tunjukkan, ini lorongnya pergi ke rumah Pak cik Malik," ujar Diya.

Dari arah belakang perhentian bas itu, Diya membawa kedua orang yang tak dikenalinya itu menyusuri jalan sebelah kiri untuk ke rumah Pak cik Malik. Nasib baik rumah tu tak susah dicari, kalau ya, jadi udang kering aku berjemur di tengah panas waktu-waktu tengahari ni. omel Diya. Walau bagaimana pun dia gembira sebab dapat membantu lelaki yang baik hati memberinya tempat duduk dalam bas tadi. Jadi satu poin satu la...tiada hutang budi..ceh! baru tolong orang sekali dah nak berkira. Tapi ada sesuatu yang pelik, apasal perempuan sebelah dia ni tak bercakap walau sepatah? Takkan meluat dengan aku kut, ye la..tadikan lelaki tu bagi tempat duduknya dengan aku! Diya kehairanan.

"Ini rumahnya," ujar Diya.

Jari telunjuknya diarahkan pada sebuah rumah yang tertera nombor kosong kosong tiga di depan tiang pagar rumah itu.

Lelaki itu mengucapkan terima kasih kepada Diya. Diya pula meneruskan perjalanan untuk balik ke rumahnya yang terletak agak jauh dari rumah itu. Sempat Diya mengerling sekilas wajah lelaki itu sebelum dia berlalu pergi. Apa hubungan dia dengan Mira? sebentuk soalan lahir dari fikirannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience