BAB 14

Humor Completed 44234

"Ada cikgu tahu Diya ambil cuti balik sini ke?" Tanya Nek Timah.

Ye la..pelajar nak ambil peperiksaan besar tahun ni, takkan nak berkeliaran lagi ke sana ke mari waktu-waktu sekolah ni. Nanti yang kena belasah persoalan ibu bapa juga bila anak-anak ada masalah di sekolah. Walaupun dia tahu Diya bukanlah jenis anak macam tu tapi, budak-budak remaja ni kadang-kadang tak dapat diduga isi hati mereka. Darah muda....

"Tidak, nek," jawab Diya jujur.

Selesai bersalam dengan nenek yang menyambut kedatangannya itu, dia duduk di atas lantai papan langgar rumah itu. Untuk apa dia beritahu cikgu dia nak balik kampung yang cuma sehari dua! Hilang privasi aku! Diya memberontak dalam hati. Kalau bukan fikirannya kusut ketika itu, dia pun tak balik kampung waktu-waktu sekolah ni. Kedatangannya itu pun nak menenangkan fikiran saja.

"Peperiksaan Diyakan tak lama lagi, banyak ketinggalan pelajaran pula nanti," ujar Nek Timah lagi.

Dia juga mahu melihat kejayaan cucunya itu. Kalau bukan cucu-cucunya siapa lagi yang nak ditimang, semua anak-anaknya dah tua-tua, dengan cucu-cucu sajalah dia nak tumpang glamour. Wah, macam artis pula! Nak tumpang gembira...

"Tak mengapa nek, Diya boleh tanya rakan-rakan nanti." Diya cuba menenangkan kerisauan neneknya.

"Nek, rumah siapa yang cantik hujung sana tu?" soal Diya tiba-tiba.

Dia menjuihkan bibirnya ke arah Rumah Banglo yang sedang dibina di tepi jalan raya di hujung kampung itu. Baru sebulan dia tak balik kampung, dah ada Rumah Banglo bakal siap di kampung neneknya itu.

"Oh, itu rumah doktor , anak Pak Seman orang kaya kat kampung ni," jawab Nek Timah.

Hmm...anak orang kaya, kerja pun doktor! Tak hairanlah berdiri Rumah Banglo. Getus hati Diya.

"Tapi doktor suami isteri tu tak ada kat sini, masing-masing bekerja, anak pun tak ada," terang Nek Timah lagi.

Manusia zaman sekarang ni bijak-bijak. Buat rumah cantik-cantik, mewah-mewah lepas tu bagi sewa kepada orang lain. Kan pendapatan dah berkali ganda! Hati Diya berputik angan. Tapi orang mana yang nak duduk sewa banglo kat kampung ni?hmm...

Diya mengalihkan pula pandangannya ke tempat lain. Angin petang yang bertiup menyapu tubuhnya ketika itu, bagaikan berada di puncak Gunung Kinabalu. Pemandangan sawah padi yang menguning dan menanti untuk dituai benar-benar memukau pandangannya. Inilah tempat yang paling sesuai untuk dia menenangkan fikirannya yang sedang kusut itu.

Beg sandang yang disangkutnya pada paku yang terpahat pada sebatang tiang yang terpacak di tengah-tengah langgar rumah itu, dicapainya dengan sekali lambungan. Sekeping kertas yang dilipat segiempat dikeluarkannya dari poket beg itu lalu dibukanya perlahan-lahan.

Diya menatap isi kandungan kertas itu lalu membaca baris demi baris rangkap puisi yang dicipta bagi mewakili perasaannya terhadap Cikgu Ashraf, dengan harapan Cikgu itu dapat memahami isi hatinya, namun itu semua hanya impian yang tidak kesampaian. Dia mengambil keputusan untuk tidak menghantar tugasan puisinya itu setelah dia mengetahui Mira sahabat karibnya mempunyai perasaan yang sama terhadap Cikgu Ashraf.

Diya sudah jatuh cinta dengan Cikgu Ashraf, walaupun dia tahu perasaan itu tidak sepatutnya hadir pada saat itu, tapi dia juga terpaksa akur dengan perasaan cinta yang hadir secara semulajadi dalam dirinya.

"Kenapa pula cucu nenek ni, macam ada masalah aja, putus cinta ya?" Nek Timah yang baru siap menggoreng cucur udang menepuk lembut bahu Diya sambil tersenyum. Sepinggan cucur udang dan dan dua cawan kopi dihidangkan di hadapan Diya.

"Ish...nek ni, buat Diya terkejut aja, sedapnya....sayang nenek." Diya memeluk bahu neneknya.

"Yelah tu...nenek buatkan cucur udang sayanglah..." Nek timah berseloroh.

Dia tahu cucur udang itu adalah kuih kegemaran Diya. Kuih inilah yang menjadi bekalnya sewaktu bersekolah di sekolah rendah dahulu.

Bagi Diya pula kuih ini jugalah yang banyak menyimpan kenangan terindah dalam hidupnya suatu ketika dulu.

"Tu, surat apa pula yang dipegang tu," Nek Timah menjuihkan bibirnya ke arah sekeping kertas di tangan Diya.

"Err...ini, tak ada apalah nek, kertas aja ni untuk tulis-tulis nota." Diya teragak-agak. Cepat-cepat dia memasukkan kertas itu ke dalam beg sandangnya. Parah kalau Nek Timah pula tau. Mulut nek ni bukan boleh percaya sangat, nanti karang dia lapor kat mak dan ayah aniaya aku. Diya pura-pura membetulkan duduknya.

"Hehe...cucu nenek dah jatuh cinta ya, bagus-bagus dapat juga nenek masak nasi minyak," usik Nek Timah pula. Kepala Diya digosok-gosoknya. Diya tersipu-sipu. Sporting pula nenek aku hari ni, Diya menggigit bibir bawah.

"Ish...nek ni ke situ pula, Diya muda lagilah nek, takkanlah awal sangat nak kahwin," tingkah Diya pula.

"Aii...kalau dah jodoh apa nak kata, siapa bakal cucu menantu nenek tu?" Nek Timah terus mengasak, menggunakan ilmu psikologi untuk menundukkan hati Mira bagi mencungkil isi hati cucu kesayangannya itu.

"Mana ada nek, yang nek beria sangat nak tahu ni kenapa?" soal Diya pula. Tak mahu dia tunduk dengan kebijaksanaan neneknya itu untuk mengetahui isi hatinya. Biarlah ia menjadi rahsia hati. Diya bertekad.

"Tak adalah...lihat muka cucu nenek ni macam tak keruan aja, tu yang nak tahu tu, jiwa remajalah katakan...masakan tiba-tiba aja muncul tanpa sebab, selalu datang jenguk nenek waktu cuti atau hujung minggu, ini ponteng sekolah pula," seloroh Nek Timah.

"Sajalah nek, tiba-tiba rindu kat nenek pula." Dengan lagak manja Diya memeluk erat neneknya. Kepalanya dijatuhkan ke atas riba neneknya itu. Mahu beralih daripada topik itu agar tidak terus dipersoalkan.

"Nek, yang pemilik rumah banglo tu, apasal nek kata tak ada anak ya, kahwin tua ke nek," soal Diya menukar topik sambil mendongak wajah neneknya.

Eh...jauh panggang dari apilah kalau aku ditakdirkan kahwin tua pula, kempunanlah nak dapat zuriat. Hatinya menolak bala. Beristighfar beberapa kali sebab andaian pantas tak berasas yang muncul spontan di benaknya itu.

"Taklah tua, dah nasib deorang agaknya, tapi isteri dia tu ada anak angkat lelaki seorang, dia ambil dari kampung seberang sana tu, orang kata anak tu dah kehilangan ibu dan ayah. Dahlah tak baik sibuk Fasal orang, sibukkan fasal diri kita lagi berbaloi, ni dah Solat Asar ke belum," ujar Nek Timah mengingatkan Diya tentang kewajiban. Punggungnya lalu diangkat meninggalkan Diya tertanya-tanya di situ.

"Yalah nek, lepas mandi nanti Diya solat," jawab Diya lalu beredar juga mendapatkan biliknya di tengah-tengah rumah itu.

"DIYA....." rakan-rakan sekampung Diya datang menyerbu.

"Apesal lama benar kau tak balik ya, berkulat sudah kami tunggu kau di sini. Eh, abang Zul kau kat mana ya sekarang." Dora tergedik-gedik.

"Abang Zulkan sekolah sama dengan kau, ish dia ni pura-pura pula nak tanya," ujar Diya lalu melabuhkan punggungnya di atas batang urat-urat pokok besar di tengah-tengah kampung tempat pertemuan biasa mereka itu.

"Ya la...tapi kita orangkan kat kampung sekarang ni, kut-kut ada kat rumah Nek Timah sekarang ni." Dora melebarkan sengihnya.

"Korang berdua ni harap aja kembar tapi duduk jauh-jauh, takkan adik-beradik kembar tak serasi kut," Farhana pula mencela.

"Taklah, aku dan Abang Zulkan adik kembar tak seiras, tentulah ada perbezaannya, aku perempuan dia lelaki. Korang di kampung ni apesal, cuti ke?" Diya tergaru-garu kakinya yang digigit nyamuk.

"Cuti peristiwa...sehari dua aja ni, lepas tu baliklah ke asrama semula, yang kau balik pula kenapa? Rindulah tu dengan kenangan cucur udangnya," usik Dora pula. Selajur Dora mencuit lengan Diya yang tergaru-garu dek digigit nyamuk.

"Tak ada maknanyalah rindukan cucur udang tu, mengarut aja kau ni, cerita basi yang dah berkarat," ujar Diya pula memasamkan mukanya.

"Alaa...mulut aja tu cakap, dalam hati kau rindu dia, kan? mengaku ajalah..." Dora merapatkan wajahnya ke muka Diya sambil membuntangkan matanya, berseloroh. Mira pula menepis muka Dora yang dibuat-buat hodoh itu.

"Ek eleh....mengata orang dia tu mandi tak basah makan tak kenyang rindukan Abang Zul, pi la...." Usik Farhana pula.

"Psst...tak sporting betullah kau ni..." Dora meletakkan jari telunjuk di bibirnya sebagai isyarat diam.

"Baguslah tu, ada juga tolong jaga Abang Zul aku tu, karang dibuli lagi oleh samseng tak sedar diri tu, kesian pula dia."

Diya teringat pula peristiwa abangnya itu dikerjakan teruk oleh kumpulan samseng di sekolahnya beberapa tahun lepas. Dua tiga hari Zul ditahan di wad hospital sebab kecederaan teruk di bahagian kepalanya.

"Dah cau pun samseng tu, dia sekolah sana tingkatan dua aje, lepas tu tak tahu pergi mana dah, kawan-kawan dia pun dah di buang sekolah baru-baru ni sebab peluang yang diberi untuk berubah sentiasa diingkari," jelas Dora mengimbau peristiwa itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience