BAB 16

Humor Completed 44234

“Assalammualaikum….”

Mira memberikan salam sesampainya dari sekolah. Selalu rumah berkunci dari luar, kali ini dari dalam pula. Takkan mak dah balik. Waktu tengahari ni la….. paling sibuk di restoran! Aikal mana mungkin mak tinggalkan sorang-sorang. Getus hati Mira. Salam dilaungkan lagi sekali….

“Waalaikumussalam…”

Suara serentak dari dalam rumah menjawab salam. Mak leha membuka pintu sambil tersenyum menyambut kepulangan Mira. Mira diam. Aii..macam tak kenal, siapa pula tetamu baru mak aku ni? masakan anak teruna korea boleh sesat sini! Fikirnya. Hanya senyumnya yang menyapa kedua orang tetamu mereka ketika itu.

“Inilah Mira, anak kami,” kata Mak Leha memperkenalkan Mira kepada tetamu sambil memeluk bahu anaknya itu.

Mira tersenyum. Tersipu-sipu malu. Biasanya, lelaki yang selalu bertandang ke rumah mereka itu gelarannya pak long, pak ngah, pak cik dan semua yang ada pak dan mak tapi kali ini lelaki ala-ala korea pula yang datang, kacak pula tu! Siapkah gerangannya? Mira menanti sahaja Mak Leha memperkenalkan tetamu itu.

“Ini Mak cik Zaiton dan anaknya Saiful. Merekalah tetamu yang mak maksudkan tempoh hari. Mak cik Zaiton inilah yang ayah pernah ceritakan dulu tu, yang dijaga orang lain dan dibawa lari. Sekarang mereka sudah kembali ke kampung halaman walaupun tak sempat bertemu dengan ayah kamu lagi,” jelas Mak Leha kepada Mira.

Mira mengangkat kening tanda faham. Kemudiannya bersalam dengan kedua orang tetamu itu. Saudara mara rupanya! ingatkan datang nak menyunting bunga di taman. Ngee…perasan! Ada hati nak disunting, SPM pun belum lepas.

“Mira apa khabar?”

Lelaki yang bernama Saiful itu menyapa Mira. Tak sia-sia kenal dengan keluarga Pak cik Malik ni, ada anak dara cun! Saiful mengukir senyum nakal. Kalau bukan kerana Mak cik Zaiton yang beria-ia nak cari keluarga ni, kempunanlah dia nak kenal dengan sepupunya yang putih melepak tu.

“Baik,” jawab Mira sepatah sambil tersenyum ke arah Saiful.

Mendengar suara dan memandang wajah Saiful itu seakan mengingatkan Mira pada satu peristiwa. Pelanduk dua serupa agaknya! Mira menafikan telahannya, namun mindanya tetap juga dikerah supaya segara memutarkan semula slaid memori yang telah tersimpan dalam ingatannya itu. Mira membiarkan mindanya berputar, tiada keputusan dapat diberikan slaid memorinya ketika itu. Perkara tu kalau urgent memang tak akan datang, cuba kalau tengah duduk mencangkung kat mangkuk tandas, cepat je sesuatu perkara itu terimbas dalam ingatan. Minda Mira melawak pula.

“Mak cik berdua dah lama sampai?”

Mira cuba pula berbasa-basi kepada Mak cik Zaiton yang sejak tadi hanya tersenyum, namun pertanyaannya itu juga masih disambut dengan senyuman dan anggukan faham daripada mak ciknya itu. Selalu orang tua yang banyak tanya dengan anak-anak muda, ini aku pula yang kena bawa dia bercakap. Mira kehairanan. Macam je perangai semua orang tu sama. Orang diam salah, orang banyak cakap lagilah dikutuk! Mira…Mira…

“Maaf Mira, mak saya ni bisu,” ujar Saiful.

Dia memeluk bahu ibunya seraya menepuk nepuk, tanda dia sayangkan ibunya walaupun tak sempurna seperti orang lain. Mak cik Zaiton hanya tersenyum dan mengangguk minta difahami.

“Oh…maafkan saya, saya tak tahu hal ni,” pohon Mira rasa bersalah.

Tak terlintas di fikirannya langsung tentang perkara tu. Dia fikir mak ciknya itu saja-saja diam nak bagi peluang kat dia untuk bercakap dulu. Bisu rupanya.

Mak Leha yang sedang duduk bersama mereka di ruang tamu itu mengangguk kepala ke arah Mira. dia juga baru difahamkan mengenai keadaan sebenar Mak cik Zaiton itu. Yang mak ni pun… tak beritahu awal-awal. Tak fasal-fasal pula aku dapat dosa kering bersangka-sangka! Gerutu Mira dalam hati. Nak salahkan orang lain pulak!

MALAM sudah larut. Mira sudah pun bersedia melelapkan mata selepas mengulangkaji pelajarannya. Tiba-tiba terimbas kembali peristiwa beberapa minggu lepas dalam memorinya. Mira bingkas bangun dan duduk di birai katilnya. Cuba menajamkan ingatannya tentang peristiwa itu.

Sah! Dia tidak silap lagi. Sepupunya yang bernama Saiful itu adalah lelaki yang hampir dilanggarnya di sebuah kedai buku. Waktu itu dia dan Nina tergesa-gesa pergi ke kaunter pembayaran. Suara Saiful itulah yang mengingatkan Mira kepada arwah ayahnya dan muka itu jugalah yang mengingatkan Mira pada artis kegemarannya Lee Jong Suk dalam drama Doctor Stranger. Ternyata dunia ini kecil. Bisik hati Mira. dia menjatuhkan tubuhnya semula di atas tilam. Teka-teki dalam fikirannya telah terjawab.

KEESOKANNYA Mak Leha anak- beranak dan tetamunya sepakat untuk berkelah di Pantai Bak-Bak. Mereka bersantai dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Sekali sekala kedengaran gelak antara mereka.

Mak Leha pula sedaya upaya untuk memahami bahasa isyarat yang digunakan oleh Mak cik Zaiton. Kadang kala Mak Leha terpaksa mencatat di dalam kertas untuk memahamkan Mak cik Zaiton mengenai apa yang disampaikannya.

Mira, Aikal dan Saiful juga begitu. Mereka bergurau dan sesekali berkejaran di gigi air macam lakonan filem Hindustan. Mereka kini seperti sebuah keluarga yang sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Saiful adalah anak tunggal Mak cik Zaiton. Ayahnya juga sudah lama meninggal. Walaupun Saiful lebih berusia daripada Mira dan Aikal tetapi sifat keanak-anakkan dan kenakalannya membuatkan mereka serasi bersama.

“Aikal, Mira, Saiful…tak nak minum ke!” laung Mak Leha. Aikal segera berkejar ke arah Mak Leha, Mira juga menyusul, Saiful pula mengejar Mira dari belakang.

“Argh!…tolong…kaki abang…” Saiful mengerang kesakitan sambil menggengem tapak kakinya.

“Abang, kenapa?” laung Mira. Dia berpatah balik, mendapatkan Saiful yang sedang duduk di atas pasir menahan sakit.

“Ni, tapak kaki abang ni terpijak cengkerang tajam, tolong Mira…” rengek Saiful sambil terjongket-jongket pipinya menahan sakit.

“Sini ya, ha rasakan.. penipu, buat kita ni risau aja!” Mira menggumam, geram. Macam aku tak tahu taktik lawak dia tu, saja nak kenakan orang. Kena cengkerang tajam apanya kalau pakai selipar Bata setebal satu inci ini. Mira mencubit kuat betis Saiful.

“Aduh…kuat juga mencubitnya, kalah kepit ketam!” Saiful menggosok-gosok betisnya yang dicubit Mira sambil ketawa mengusik.

“Hah, itu barulah sakit!” jawab Mira.

“Nah, tolong tarik tangan abang, abang tak boleh bangun, sakit betis ni Mira cubit tadi,” rengek Saiful lagi sambil menghulurkan tangannya ke arah Mira.

“Kirim salam…bye…” pantas Mira berlari meninggalkan Saiful di situ.

“Eh, kenapa pula si Saiful tu, sakit ke apa dia tu?” soal Mak Leha yang perasan dengan lakonan mereka tadi.

“Taklah mak, saja dia tu…” jawab Mira selamba.

“Korang gaduh ke?” Soal Mak Leha lagi.

Mak Zaiton segera mengisyaratkan tangannya, tapi manalah mereka faham bahasa isyarat Mak Zaiton itu.

“Mak kata, Saiful tu suka buat lawak, tak usah percaya sangat dengan dia tu.” Saiful muncul lalu menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan bahasa isyarat Mak Zaiton itu.

“Oo…Mak Leha ingat Saiful benar-benar sakit tadi tu, main-main rupanya,” kata Mak Leha sambil tersenyum memandang wajah Mira yang masih mencuka dikenakan Saiful.

“Sila Saiful, ambil aja nak makan apa, ni ha sambal belacan kegemaran Mira ni, tak sah makan dia ni kalau sambal ni tak ada, asal saja makanan boleh dimakan bersama sambal ni, semua dia redah,” ujar Mak Leha sambil menguntum senyum. Beberapa jenis makanan ringan dan minuman dihidangkan dihadapan mereka.

“Haah la… Mak Leha, sedap. Padan pun Mira tak sah makannya tanpa sambal ni, Saiful pun jatuh cintalah dengan sambal ni,” jawab Saiful sambil mengunyah nugget ayam yang telah dicicah sambal. Dalam masa yang sama matanya mengerling wajah Mira yang masih mencuka.

Mira yang hampir terliur melihat Saiful makan sambal kegemarannya itu, cuba mendapatkan bekas sambal di hadapan Saiful itu tapi tangan Saiful tangkas mengalihkan bekas itu ke tempat lain.

“Abang…bagilah, ish…betullah orang tua ni, nak kepit ketam lagi ke!” Mira masih menghulur tangannya kearah Saiful.

“Nah, ambil. Ambilah…apasal tak ambil.” Saiful menyorong lalu menarik kembali bekas sambal itu. Beberapa kali aksi nakalnya itu dilakukan.

“eii…geram betul akulah dia ni, ada aja caranya nak kenakan orang.” Mira mengulum senyum. Tak jadi marah dek kenakalan Saiful yang mencuit hatinya itu. maka terburailah gelak tawa mereka semua di situ terutamanya Aikal. Sempat Aikal menghantar isyarat O.K ke arah Saiful. Mira yang suka mencubit itu tak juga melepaskan cubitannya kepada Aikal.

“ CIKGU Saiful!”

Seseorang menepuk belakangnya. Setelah kepuasan berkelah di pantai, kini masanya pula untuk menjamu selera di Restoran Bahagia milik keluarga Mira. lantas Saiful menoleh ke belakangnya.

“Ashraf?”

Saiful antara ingat dan lupa wajah Cikgu Ashraf. Mereka kemudiannya bersalaman. Mira terpempan memandang mereka berdua. Sungguh dia tak menyangka Saiful juga seorang guru. Nak jadi guru baru juga ke di SMK Abdul Rahim? Mira membuat andaiannya sendiri.

Cikgu Ashraf yang sudah bertekad untuk mengelak Mira agar tidak lagi rapat dengannya, berpura-pura tidak melihat Mira di situ. Dia tidak mahu Mira terganggu kerana menyimpan perasaan terhadapnya. Dia sedar akan tanggungjawabnya sebagai guru dan tanggungjawab Mira sebagai pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar. Itulah yang diharapkan oleh pengetua sekolahnya. Mira pula seperti biasa, dadanya terasa bergetar setiap kali melihat Cikgu Ashraf. Saat-saat mesranya dengan cikgu itu pasti terimbas kembali apabila mata mereka bertembung. Kerana perasaan malu, Mira mendiamkan diri saja. Malu kerana Cikgu Ashraf berkelakuan seperti tidak pernah mengenalinya, walhal mereka umpama pasangan kekasih sebelum ini.

“Eh, Cikgu Ashraf, duduk sekalilah dengan kami di sini, Mak Leha belanja, saling kenal rupanya kamu semua ni. Mira, tarik kerusi satu lagi letak kat sini untuk Cikgu Ashraf,” arah Mak Leha. Mira terkial-kial, nak tak nak saja menuruti kata maknya itu.

“Takpe Mak Leha, sekejap saja ni dah siap tapau tu baliklah saya, ada hal sikit kat luar.” Cikgu Ashraf menolak sopan, bukan sebenarnya apa yang dikata itu, tapi itu helahnya untuk mengelak diri daripada Mira agar tidak terus asyik kepadanya.

“Jomlah.. dah lama kita tak jumpa, nak juga dengar perkembangan terbaru Ashraf,” Saiful pula mencelah.

“Tak apa Saiful, ada masa, kita jumpa borak-borak, hari ini tak berapa free,” jawab Cikgu Ashraf sambil tersenyum.

Tengok tu, tahu benar nak mengelak daripada aku. Tolonglah Cikgu Ashraf jangan buat hati aku macam ni! aku seksa tau! Laung hati Mira. sesekali matanya mengerling sekilas wajah Cikgu Ashraf yang kelihatan tenang sahaja bagaikan dia orang asing baginya. Tiada lagi senyuman manis dan kerlingan redup yang membuai hati, Mira dapat.

“MENGAPA tidak beritahu Mira yang abang ini seorang guru?” soal Mira.

Saiful yang sedang menghirup kopi sambil melayari internet di luar rumah ketika itu selajur memandang wajah Mira yang tercegat di hadapannya. Macam marah aja! Nak Tanya pun kena muka serius juga ke? Buatlah macam muka Mr. Bean ke! Kata saiful dalam hati.

“Mira ada tanya ke?” jawab Saiful pula.

Senyum selamba diukirkan kepada Mira. orang tanya, dia tanya balik pula. Mira menayangkan sengihnya mendengar jawapan loyar buruk daripada sepupunya itu.

Cikgu Ashraf dan Abang Saiful sudah lama kenal?” soal Mira lagi.

Kelihatan begitu bersungguh-sungguh mahu tahu. macam agen perisik pula. Saiful pula tenang aja disoal siasat oleh Mira.

“Abang mengenali Cikgu Ashraf ketika kami sama-sama belajar di universiti dulu. Kenapa bersungguh nak tahu tentang Cikgu Ashraf ni, Mira kenal ke cikgu tu?” tanya Saiful pula. Pelik dengan tingkah Mira yang serius ambil tahu tentang Cikgu Ashraf dan dia.

“Cikgu Ashraf guru Mira di SMK Abdul Rahim,” jawab Mira ringkas.

Dia tidak mahu Saiful tahu lebih daripada itu. Biarlah perasaan dia terhadap Cikgu Ashraf itu tidak diketahui oleh Saiful. Tak fasal-fasal pula nanti jadi bahan Saiful untuk mengenakan dia. Muka dia ni bukan boleh harap sangat. Satu edisi dengan Nina! Fikir Mira.

“Oh….ye ke..abang fikir kekasih Mira,” jawab Saiful.

Wajahnya diangkat dengan mata yang membuntang serta mulut sengaja dilopongkan ke arah Mira. Mira yang agak serius mukanya tadi tersenyum dengan muka lawak Saiful yang sengaja dibuat-buat itu.

“Abang Saiful mengajar di mana pula?” tanya Mira lagi dengan senyum yang masih bersisa di bibirnya.

“Buat masa ini abang mengajar di sekolah di kampung abang,” jelas Saiful dengan nada suara seperti Doreamon pula.

Mira melepaskan gelaknya. Tak tahan dengan asakan lawak daripada Saiful. Kalau nak dijadikan suami seperti dia ni, alamatnya isteri mengamuk pun takkan jadi baling pinggan mangkuk.

“Apalah abang ni, begini ke cara abang mengajar budak-budak sekolah rendah tu?”

Mira menahan tawa. Rasa terhibur pula dengan kehadiran sepupunya itu. Begini rasanya ada adik beradik yang bergelar abang. Mira berangan. Nak harapkan adik Aikal dia tu seorang, hmm…bukan dia yang terhibur, dia pula yang kena menghiburkan budak tu.

“Ya, budak-budak kena diajar dengan cara bermain, kalau tak, berdengkur satu kelas nanti dibuatnya. Macam Mira juga, kalau abang tak buat lawak tadi tu, Mira soal siasat abang ni macam pesalah jenayah pula,” kata Saiful selamba. Dia rasa lega kerana berjaya membuatkan Mira ketawa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience