BAB 24

Humor Completed 44234

“Rasa tak terubat rindu mak ni lagi, Mira dah kena pergi balik pula,” rungut Mak Leha.

Matanya tunak memerhati Mira menyiapkan barang-barangnya untuk kembali semula ke tempat kerjanya di ibu kota. Entah bila lagilah anak dara aku ni ada masa nak balik sini. Dulu sewaktu kanak-kanak kita timang-timang, bila dah dewasa kita pula ditinggal-tinggalkan. Tapi syukur ke hadrat Allah, anak ini berjaya mencapai cita-citanya. Mak Leha tersenyum gembira. Rasa kehilangan seketika itu sememangnya tak boleh dielakkan.

“Terpaksa mak, Mira pun kalau boleh nak juga duduk lama-lama dengan mak tapi apa nak buat, Mira pun masih bergelar pelatih jadi banyak kena belajar lagi. Sibuk mak.”

Sayu saja kedengaran suara Mira. Setelah meninggalkan keluarganya bertahun-tahun kerana belajar, kini terpaksa pula berhadapan dengan kesibukan kerja. Kesian pula dia memikirkan Mak Leha menanggung rindu. Dahlah maknya itu cuma ada dia dan Aikal, terpaksa pula ditinggal-tinggalkan. Nak bawa dia pergi ke kota, hmm…manalah mak mahu tinggalkan restoran yang dianggapnya Taj Mahal peninggalan arwah ayah itu. Mira terfikir pula ke arah itu.

“Mak, kalau begini keadaannya, sampai bila pun mak tak dapat menimang cucu dan Aikal pula kempunan menimang anak saudara. Nampaknya kerjaya akak ni semakin sibuk, mana la….ada masa nak cari pakwe.”

Aikal pula mencelah. Kalau tak cakap yang memanaskan telinga orang tak boleh. Dari dulu hingga kini ada je caranya nak buatkan kakaknya itu beralah. Adalah nanti cerita balas membalas tu akan berlaku kalau dilayan. Macam tukang karut dikir barat. Mira pula selalu memilih untuk jadi blur dengan adiknya ini.

“Isy…adik ni ke situ pula, jodoh tak ke mana la…akak tak kisah digelar andartu andai itulah takdir hidup akak, yang penting akak bahagia dengan kerjaya akak ni.”

Selamba Mira menjawab sambil tersenyum menyebut gelaran itu. tahu benarlah tu, kalau dah masuk perbualan bab-bab kahwin ni, mesti juga orang akan kaitkan dengan usia kita. Itu semua isu lapuk la… abad ini! Mira solah-olah bersekongkol pula dengan para pemegang gelaran andartu.

“Kenapalah akak pilih kerjaya doktor ni, kan bagus jadi cikgu je…banyak masa,” omel Aikal separuh mengusik.

Siapa tak bangga sebenarnya kakaknya itu menjadi doktor, sekurang-kurangnya senang nak merujuk bila berhadapan dengan penyakit, tapi yang tak berapa puas hatinya, terpaksalah mereka sekeluarga duduk berjauhan kerana kesibukan kakaknya itu.

“Sebenarnya kerjaya ini adalah impian arwah ayah, akak tahu ayah suka jika Mira memilih kerjaya doktor, lagi pun ini kerjaya yang mulia,” jelas Mira jujur.

Tapi sayang, ayah dah tak sempat melihat kejayaan aku, bisik hatinya. nada suaranya kedengeran sayu apabila menyebut perkataan ayah. Secara tak langsung terimbas pula memori sewaktu hayat ayahnya masih ada.

Dulu, pernah juga dia berangan menjadi penulis, entah kenapa cita-citanya itu dikuburkan begitu sahaja. Biarlah ia terkubur bersama memori silam itu! detik hatinya.

“Adik la..bagi mak cucu dulu, adik pun dah besar panjang,” usik Mira pula.

Sengaja dia bangkitkan topik itu. tak mahu dia ditenggelamkan oleh perasaan sedihnya pula.

“Haha..kelakar la akak ni, tak fasal-fasal pula nanti nak kena bagi makan Mee Maggi anak bini setiap hari kalau Aikal kahwin sekarang, belajar pun tak habis lagi!” kata Aikal.

Mereka menghamburkan tawa bersama. Ha, tahu pun! Macam je nak kahwin ni semudah makan ABC. Silap hari bulan terpilih ‘buaya tembaga’ atau si mulut manis, meraung satu dunia pun tak guna lagi. Tapi yang lebih dashyatnya bila kita dah meletakkan harapan dan kepercayaan kat seseorang tu tapi orang tu pula buat tak endah. Pura-pura lupa dan tak kenal. Tak ke aniaya tu! Mira menghamburkan kekesalannya di dalam hati. Terasa malu sangat dengan apa yang menimpanya dulu. Keyakinan dan kepercayaan hilang begitu sahaja. Mungkin itulah penyebab hatinya begitu dingin dengan makhluk bergelar lelaki.

Mak Leha hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat anaknya yang cuma dua orang itu. Terasa gamat seketika rumah yang sentiasa sunyi itu. Pasti ayah mereka juga turut bahagia jika dia masih hidup. Terdetik perasaan itu di lubuk hati Mak Leha.

“Assalammualaikum….”

Laungan salam dari luar rumah mematikan perbualan mereka. Terjengul muka Saiful dari celah-celah pagar rumah mereka sambil tersenyum. Mujur mukanya tiada iras Pakistan, kalau ya pasti Mira dah tersasul si penjual karpet datang menuntut hutang. Tersengih je memanjang!

“Mira ingat tadi si penjual karpet datang tuntut hutang, abang rupanya.”

Senyum Mira meleret. Sebelum dia ambil tempat nak kenakan aku, baik aku kenakan dia dulu. Jangan harap la aku boleh aman kalau duduk dengan dia ni, pasti ada saja kerjanya nak buat aku naik geram. Mira menyumbingkan senyumnya ke arah Saiful.

“Kalau jual karpet pun apa salahnya. Mira nak beli karpet? Abang ada kawan Pakistan jual karpet tau. Adik..ini karpet datang mali India, gelenti bangus punya.”

Dengan mengajuk gaya Pakistan menjual barang, Saiful selamba melakonkannya. Mak Leha yang duduk diam pun terhambur gelaknya. Mira dan Aikal lagi la. Bukan sebab loghat India tu yang lucu sangat, tapi gaya dia tu yang benar-benar mencuit hati mereka. Tak ubah macam kumpulan Shiro di gelanggang Maharaja Lawak Mega.

“Dah, jangan teruskan lakonan lawak abang tu, takut Mira tak siap mengemas barang ni,” ujar Mira dengan tawa yang masih bersisa.

Sakit perut menahan tawa dengan lawak dia ni. kalau tak bikin orang naik geram, nak buat orang ketawa sampai berguling pun boleh jadi. Senyum Mira terus meleret.

“Abang tolong jaga ye akak Aikal yang cuma sorang ni, takut nanti kena tackle lelaki kacak ala-ala Pakistan tengah jalan.”

Aikal pula bersuara. Sekali lagi tawa memenuhi ruang rumah mereka itu. ingatkan dah habis dah berlawak. Tapi ini lawak yang aku tak berapa berkenan nak dengar! Bibir dicebik ke arah adiknya.

“Eh, baguslah ada orang tackle. Bila lagi, umur pun dah boleh dikategorikan andartu,” giat Saiful pula.

Matanya melirik ke arah Mira sambil tersenyum.

“Masalahnya bang, kesian pula dia nanti dapat cewek yang tiada hati terhadap lelaki,” selar Aikal lagi.

“Hei, mulut korang berdua nikan! Nak kena sumbat dengan kain ke?”

Mira berdiri bercekak pinggang. Kain yang sedang dilipatnya dilepaskan. Geram betul dia dengan dua ekor ‘orang utan’ yang tak habis menyelar macam-macam kepadanya. Mukanya dimasamkan. Aikal dan Saiful pula pura-pura mengecutkan badan. Berlagak takut. Aku takde hati ke, apa ke, aku punya hal la, korang tahu apa! Mira membela diri dalam hati. Marah juga pula kalau di tuduh tiada hati dengan lelaki. Mira..Mira…

“Nak sumbat dengan kain tu ke? Eee…tak nak, tak nak! Jom Aikal, lari….”

Saiful mengarahkan jari telunjuknya pada timbunan pakaian dalam Mira yang masih belum habis dimasukkan sepenuhnya ke dalam beg lalu bangun menjauhkan dirinya sebelum Mira bangkit membalasnya pula.

“Abang……tak suka la abang ni. sengaja tau malukan orang. Mira bukan budak kecil lagilah!” tempik Mira.

Saiful dan Aikal melarikan diri. Mira pula mengejar mereka. Selipar yang dipakainya ditanggalkan. Tap! Tap! Selipar sebelah kiri menyinggah di belakang Saiful manakala selipar sebelah kanan pula tepat sasarannya di bahu Aikal.

“Nah, rasakan! Padan muka korang,” Gumam Mira, geram.

PERJALANAN yang mengambil masa tiga jam dari kampung Mira ke ibu kota, memberi banyak peluang kepada Saiful untuk mengusik dan mengorek isi hati Mira. agak lama juga dia tak berjumpa dengan sepupunya itu. selepas belajar bertahun-tahun lamanya, kini dia sibuk pula dengan kerjayanya sebagai doktor. Kalau nak tunggu masa yang paling sesuai bertemu dengan dia ni memang takkan ada peluang. Itulah sebabnya Saiful sengaja menawarkan diri untuk menjadi driver Mira. saja nak berbual panjang. ‘Sambil menyelam minum air’ peribahasa kata.

“Takkan begitu lama belajar di universiti, Mira tak berkenaan dengan mana-mana lelaki.”

Sekilas Saiful mengerling wajah Mira yang kelihatan berkhayal di sebelahnya. Khayal macam dah tak ingat orang sebelah je! Gaya macam minah jiwang pun ada. Saiful tersenyum sendiri.

“Tak ada masa la bang, ambil jurusan perubatan ni memang sibuk, banyak perkara nak kena belajar,” jawab Mira bersahaja.

Dari rumah sampai ke sini, asyik-asyik kena tanya pasal lelaki. Macamlah aku ni terdesak nak berlaki. Lelaki kat dunia ni tak akan pupus la!

“Abang pula bagaimana, usia abang tu pun dah layak sangat dapat anak lima orang. Apesal tak kahwin-kahwin lagi.” Tempelak Mira pula.

Senyum sumbing diukirkan kepada Saiful. Dia sendiri pun dah jadi anak teruna tua, macam tak sedar pula! Takkan nak tunggu perempuan pinang kut. Sibuk fasal orang je, dia tu macam tak ingat pula nak berbini. Ke…takde hati juga dengan perempuan. Mira menyelar Saiful dalam hati. Pelik juga dia, bertahun-tahun dia belajar tapi balik-balik kampung, abangnya itu masih juga berlenggang ke sana ke mari keseorangan. Takkan tak laku kut. Muka kacak macam ni pun orang tak boleh sangkut? Nasib baik aku dah anggap dia ni macam abang sendiri, kalau tak aku boleh sangkut tau. Bayangkan saja la muka Lee Jong Suk….pasti cair punya. Ngee…..

“Sebab tunggu Mira la abang tak kahwin-kahwin hingga sekarang,” ujar Saiful sambil tersenyum.

Setakat nak selar aku macam bapa lima orang anak tu, apalah sangat. Misi aku yang sebenarnya dia tak nampak pula, bisik hati Saiful. Ada nada harapan daripada kata-katanya itu agar Mira dapat memahaminya.

“Abang jangan susah hati la.. Mira baliklah kalau abang nak kahwin. Mira akan ambil cuti, jauh mana pun Mira pergi,” jawab Mira pula.

“Balik untuk apa?”

“La…balik untuk menghadiri majlis kahwin abang la.”

Seakan teruja dengan jawapan Mira, Saiful menyoal kembali. Rupa-rupanya balik untuk menghadiri majlisnya saja. Bukan balik untuk duduk di sebelahnya sebagai pasangan pengantin. Terbantut segala harapan Saiful.

“Mira ni tak ubah macam dulu juga la, suka memendam. Mungkin yang lebih dashyatnya, dikhuatiri akan berdendam pula. Patutlah Aikal kata doktor skema. Sesuai sangatlah memegang jawatan doktor,” usik Saiful lagi.

“Apa-apa la..malaslah layan abang ni, asyik-asyik kenakan aku je.”

Mira memasamkan wajahnya. Pandangannya sengaja dibuang ke luar tingkap kereta. Duduk lama-lama dengan dia ni bikin ‘kejang otot’, baik diam. Karang aku turun naik teksi, baru padan muka. Mira memutuskan saja untuk diam. Tak betah dah bercakap dengan orang yang juga pelik-pelik ni. sekejap begitu, sekejap begini.

“Hmm…waktu merajuk beginilah paling seronok kalau dapat pujukan daripada kekasih,” usik Saiful lagi tak mahu mengalah.

Wajah sumbingnya mengerling wajah Mira yang masih masam di sebelahnya. Mira semakin geram. Habis tangan Saiful berbalam disinggahi cubitannya. Karang aku duduk kat belakang, percuma gelaran driver engkau dapat, Gumam Mira dalam hati. Tadi nak turun naik teksi, sekarang nak pindah belakang pula. Tak jadi juga. Haih…yang jadinya tetap juga menahan sakit telinga dengan gasakkan usikan Saiful.

“Abang tak tahu jika Mira ini ada kes jatuh cinta yang tak terluah, tapi abang rasa sebab suka memendam tu la Mira sudah termasuk golongan andartu. Jangan pendam perasaan tu, luahkah saja jika dah berkenaan dengan seseorang, meskipun jawapan yang kita terima itu kadang-kadang mengecewakan.”

Saiful cuba memandai-mandai menasihati Mira pula. Bukan apa, dia kecewa sebenarnya sebab Mira tak mahu memahami isi hatinya.

Bagi Mira pula, semua kata-kata Saiful itu dianggap gurauan. Kalau nak ambil serius semua cakap dia ni, botak kepala la jadinya nak memikirkan. Manakan tidak, fakta atau auta macam sama saja kedengeran dari mulutnya. Walaubagaimanapun itulah kenyataan tentang dirinya, suka memendam. Mira sudah malas ‘berdikir barat’ dengan abangnya. Diam adalah caranya untuk memenangkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience