Bab 41

Romance Completed 33336

Bab 41

SAKIT.

Satu akronim, lima aksara, satu makna.

Kepalaku berat. Degup jantung kurasa tersangatlah perlahan. Dadaku
naik, kemudian turun. Lemah. Longlai. Otakku bagai sudah lama tidak
berfungsi. Saraf kepala begitu menghiris kesakitannya sampaikan terasa
pening yang terlalu amat. Bola mata yang terasa memutar di sebalik
kelopak, aku cuba kawal pergerakannya. Aku rasa nak bangun, tapi tak
boleh. Sudahnya, jasadku kekal kaku. Jemari cuba digerakkan namun
terasa sakit seolah-olah ada objek tajam yang terbenam di dalam kulit.
Lama otakku cuba menganalisis.

Gagal.

Mata cuba dicelik, tapi tak berhasil. Satu per tiga saja kelopaknya
terbuka. Visual yang kupandang kabur semua. Apa berlaku? Soalan
pertama yang tercetus. Malang, otakku terlalu lembab untuk berfikir
dan menganalisis maklumat. Tulang belulang bagai patah semua. Sengal
terasa di seluruh inci tubuh.

Sakit, sakit dan sakit.

Cuma itu yang aku dapat rasa buat masa ini. Suara pula gagal
dikeluarkan, ia malah tenggelam di sebalik esofagus.

"Assalamualaikum sayang. Awak macam mana hari ni?"

Jeda.

Rintihan sayu itu bertukar menjadi tangisan. Entah kenapa aku rasa
mahu bangkit dan cari tahu siapa dia. Namun kondisi aku yang mengeras
persis tugu tidak mengizinkan.

"Camelia.. saya," nama itu menyentak fikiranku yang kosong tatkala
ini. Seperti ada arus elektrik yang mengalir dalam tubuh semasa pipiku
merasakan sentuhan lembut seseorang. Semakin aku desak diri sendiri,
semakin sakit mental dan fizikal.

Runsing.

Baru kusedar beberapa detik, mata terpejam kembali.

Gelap.

Hitam.

*

DADA berombak.

Jantung yang berdenyut seolah-olah nak pecah. Saraf bagai berpintal.
Kepala berdenyut. Tubuhku mengejang sakit. Nafas tersekat. Tuhan,
derita apa yang sedang aku lalui ketika ini? Sakit ini terlalu perit.

"Sayang!"

Panggilan manis itu ialah suara pertama yang aku dengar.

Siapa dia?

"Doktor! Doktor! Nurse tolong panggil doktor cepat! Cepatlah!"

Suasana seolah-olah kelam kabut. Mataku terbuka separuh. Kabur tapi
bayangan dua manusia dapat aku imbas sekilas. Tiba-tiba satu objek
mendarat di atas dada kiriku. Pergelanganku pula disentuh dengan dua
batang jari. Nafasku semakin galak terputus.

Bip. Bip. Bip. Bip.

Bunyi itu merimaskan pendengaran.

"Lia? Lia? Awak boleh dengar saya?"

Entah suara siapa yang bertanya. Aku cuba menjawab tapi gagal. Nafasku
putus-putus dan tak berupaya untuk bercakap. Automatik mulutku
ternganga. Tubuh aku kebas dan terus menerus kekejangan. Sakit!

"Lia, kawal pernafasan awak. Cuba kawal," suara itu mengarah. Nak tak
nak, aku terpaksa ikut. Perlahan-lahan aku turutkan arahan manusia
itu. Nafasku laju tapi tersrkat-sekat. Cuba dikawal semampu mungkin.
Penat dan sakit. Itu yang dapat aku gambarkan.

"Doktor kenapa dengan dia? Dia okey kan? Dia akan sihat kan doktor?
Dia akan sembuh kan? Doktor.. i beg you please save her..."

Bertalu-talu suara parau itu bertanya dan diakhiri dengan rintihan.
Suara sama yang memanggil aku dengan panggilan indah tadi. Sungguh
mendamaikan. Tapi buat seketika, soalan itu merimaskan. Ruang mentalku
bagai kusut berserabut.

"Lia, calm down. Control your breathing!"

Ya aku tengah kawal! Batinku membalas. Batang hidungku meruncing sakit.

"Doktor kenapa dengan dia? Kenapa!"

"Sabar encik! Saya cuba tenangkan pesakit!"

Konflik kecil. Ah makin serabut kepala aku dengar! Tiba-tiba lengan
aku dicucuk dek objek halus dan tajam. Sakitnya tak lama. Ruang irisku
kabur lagi. Semakin lama semakin lali. Kemudian, aku tidak lagi dengar
sebarang bunyi atau lihat apa-apa visual.

Sunyi dan gelita.

*

"BILA awak nak sedar sayang.. saya rindukan awak.. saya mahukan awak..
saya tak nak hilang awak.."

Mendayu suara itu menyapa pendengaranku. Aku lantas terjaga. Agak lama
otak aku memproses figura manusia itu. Aku tak kenal siapa dia.
Tapi... wajahnya agak sinonim. Entahlah. Semasa aku cuba bangun,
kepalaku sakit sikit. Macam lama sangat aku tidur gayanya. Pening
lalat.

"Awak bangunlah. Jangan seksa saya macam ni.. jangan tinggalkan saya.
Separuh gila saya cari awak Mel. Saya rasa macam jiwa saya mati.
Bangunlah Mel. Bangun sayang! Bangun! B..bang..un...," kata-kata
lelaki itu diakhiri dengan tangisan yang tak mampu aku gambarkan
kesedihannya. Kepalanya disembam di sisi aku. Teresak-esak dia
menangis. Aku nak tegur tapi tak berani. Nak panggil tak sanggup pula.

Siapa kau wahai sang lelaki?

Ibarat mendengar suara hatiku, dia lantas mengangkat wajahnya. Riak
sayu yang kulihat pada muka itu sungguh meragut atma. Lebam di bawah
mata dia jelas kelihatan. Bibirnya kering. Selekeh sangat. Persis
orang yang tak terurus. Kenapa dengan kau? Siapa buat kau macam ni?

"Mel. Bangun Mel. Saya merayu," rintih dia lagi sambil menatap ke
dalam anak mata aku. Penuh tanda tanya aku lihat sikapnya. Bukan ke
dia tengah tengok aku sekarang?

Aku bangun.

Kemudian, aku turun dari katil. Lelaki itu aku hampiri.

"Awak siapa?" Soalku ingin tahu. Namun tidak berjawab. Menoleh juga tidak.

"Encik?" Tegurku lagi.

"Mel.. bangunlah demi saya..," terkesima. Dia cakap dengan siapa?

"Encik.. saya kat sini." Ujarku cuba berbual dengannya tapi reaksinya
seolah-olah tidak sedar alan kehadiran aku di sini. Tangisannya
terusan berlagu.

Pabila mukaku dipanggung, jiwaku bagai pecah berkecai. Tak.. tak mungkin.

"Tak mungkin!" Jeritku lantang. Masih tiada riak dari lelaki itu.

Kenapa aku masih di sana? Kenapa? Aku pandang diriku. Kemudian jasad
di atas katil. Siapa dia? Siapa aku? Adakah dia itu aku? Dan aku
adalah dia? Kenapa dia di situ? Dan kenapa aku di sini? Soalan demi
soalan mengetuk mindaku. Kenapa dengan aku? Soalku lagi sambil
merenung ke arah 'aku' di atas katil itu.

"Awak! Awak!" Aku gamit perhatian lelaki itu. Malangnya dia langsung
tak menoleh. Sungguh aku rasa mahu menangis. Rasa sebu menghurung
kalbu. Takut dan sedih bercampur baur.

"Awak! Awak dengar saya kan? Awak! Awak!" Panggil aku lagi, lebih kuat
dengan harapan dia alan dengar. Namun dia tetap tak menyahut. Aku dah
hilang suara ke? Aku bisu ke sampai dia tak boleh dengar aku? Kenapa
dia tak jawab aku!

Engsel berkeriut.

"Ayan."

Dan lelaki yang sedang menangis itu memanggung wajahnya.

"Kau baliklah dulu Ayan. Biar aku jaga Mel. Emosi kau belum stabil.
Kau kena rehat." Nama dia Ayan? Buat seketika, aku leka mendengar
perbualan antara dua lelaki itu.

"Tak. Aku nak duduk sini. Mel perlu aku. Aku kena duduk sini bagi
sokongan kat dia. Aku tahu dia akan sedar!" Satu oktaf nadanya naik.
Mel? Adakah 'aku' Mel? Maksudnya aku juga Mel?

"Aku tahu. Aku kenal adik aku, Ayan. Aku kenal dia. Dia kuat. Tapi kau
tak boleh seksa diri kau macam ni bro."

Adik? Aku adik dia? Aku ada abang? Kenapa aku tak tahu?

"Aku nak Mel. Aku nak jaga dia, ada dengan dia waktu dia susah macam
ni. Kau baliklah Saif. Biar aku jaga isteri aku."

Saif abang aku? Aku isteri Ayan? Apa benda ni? Aku tak faham. Sumpah
aku tak faham. Perbualan mereka didatangi sepi buat beberapa ketika.
Sedang masing-masing mengunci bibir, aku semakin hanyut dek arus
kebingungan.

"Kau yakin Mel akan sedar?" Soal Saif seakan ragu-ragu. Ayan memberi
pandangan tajam. Seolah-olah tak puas hati dengan soalan Saif.

"Maksud kau apa?"

"Lately, denyutan nadi dia tak normal. Kau pun tahu, banyak kali badan
dia kejang. Tapi dia masih macam tu. Kau," laju omongan Saif dicantas.

"Teori apa yang kau cuba nak bagitahu aku ni? Kau nak cakap Mel takda
chance hidup? Kau nak cakap yang dia akan mati?!"

Naik dua oktaf nada Ayan. Aku yang mendengar, sedikit sebanyak terasa
juga. Kalau benar dia abang aku, takkan semudah tu seorang abang putus
asa? Ayan pula macam membela aku walaupun.. aku macam ni. Spontan
mataku memandang jasad lesu di atas katil tersebut. Pucat tidak
bermaya. Kepala berbalut penuh. Jarum dicucuk di tangan kiri. Hidung
dan mulut ditutup. Wayar berselirat. Dan mesin yang aku tak tahu apa
fungsinya. Menyedihkan. Jasad itu seperti mayat hidup yang sedang
menghabiskan sisa hidup. Dan aku tak pasti andai aku juga begitu.

"Mel akan sembuh. Dia akan sihat macam biasa. Aku tahu dia boleh lawan
sakit dia."

Menitis lagi air mata jantannya. Aku turut bersedih tapi gagal
menangis. Kenapa dengan aku.. kenapa aku begini.. kenapa!

Wajahku ditekup. Adakah aku masih hidup?

Tak siapa ada jawapannya.

*

"LIA.. Lia sihat? Mummy rindu Lia."

Hah? Dia panggil aku?

Sekali lagi, aku bangkit dari pembaringan dan merapati wanita itu.
Tapi... 'aku' tetap kaku tidak berkutik di situ.

"Lia, mummy datang dengan Fazira ni. Kawan ofis Lia." Ujarnya cuba
bercakap dengan 'aku' yang jelas-jelas tak akan memberikan respons.

Lia? Siapa Lia? Bukan ke aku Mel? Atau kami memang berbeza
personaliti? Aku bukan dia, dan dia bukan aku?

"Weh aku datang ni. Kau macam mana? Tak penat ke tidur Mel? Kami
tunggu kau ni." Jelas sekali dia tahan sebak. Tubir mata mereka berdua
bocor. Masing-masing menangis. Dan aku tetap tak boleh buat apa.
Memerhati di luar kesedaran mereka. Diganggu soalan-soalan yang aku
tak punya jawapan. Aku Mel atau Lia?

Ah keliru.

"Aunty turun bawah sekejap." Fazira angguk dan senyum. Sebaik saja
kelibat wanita yang membahasakan dirinya mummy itu keluar, Fazira
duduk di sisi katil. Kaki 'aku' dielus lembut. Tangannya merayap pula
di pipi 'aku'. Sebutir manik jernih menitik jatuh ke bumi.

"Mel. Aku ni. Fazira. Miss Fuzzy kau yang gila miring ni." Ketawa
kecil kedengaran. Juga terselit esak tangis. Aku cuma mampu lihat. Dan
dengar. Tiada kudrat bertindak apa-apa.

"Aku tahu kau kuat beb. Kau kena lawan sakit kau Mel. Semua tunggu kau
bangun weh. Kau tak kesian ke?"

Aku tertunduk menyembah lantai. Hatiku dijentik pilu. Aku dapat rasa
harapan yang dia orang letak kat aku. Tapi macam mana kalau aku tak
boleh tahan? Boleh bagi jaminan ke aku akan bangun nanti? Atau aku
memang betul-betul dah mati?

"Kau tak kesian kat suami kau? Setiap hari dia jenguk kau. Dia jaga
kau. Dia doakan kau. Sedih aku tengok dia macam tu Mel. Dia tak
terurus. Macam mana dia separuh gila cari kau masa kau hilang dulu,
lebih teruk lagi dia sekarang ni."

Suami aku. Ayan? Aku hilang? Kenapa banyak sangat benda aku tak tahu
ni? Atau semua perkara memang dirahsiakan daripada pengetahuan aku?
Siapa aku? Identiti sebenar aku?

"Aku tahu kau dengar aku. Kau dengar aku kan Mel? Kau dengar kan? Kau
kena bangun. Kau kena fight untuk life kau. Kami semua sayang kau.
Kami tunggu kau Mel. Kami tunggu."

Gadis itu sambung menangis. Terenjut-enjut bahunya dek esakan yang tak
terkawal. Matanya menceritakan kesedihan yang ditanggung. Aku...
bingung. Tersepit di antara tanda tanya dan situasi ini. Apa perlu aku
buat? Ingin saja aku meronta kecewa.

Tapi...

Aku seakan tiada wujud.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience