Bab 24

Romance Completed 33336

Bab 24

KENAPA aku tak boleh berhenti fikir pasal itu? Sekejap. Aku rasa dia dah ada cukup pakej. Kaya. Segak. Berkerjaya. Berpendidikan. Pandai ambil hati aku. Manis berkata-kata. Jadi, tak salah kalau aku terima kan? Tapi yang peliknya kenapa hati kecil aku ada yang membantah? Enggan menyetujui.

Sikat rambut, aku ambil. Disisir rambut pendekku sampai kemas.

Hm lantaklah. Kisah apa aku? Biarlah mummy dan daddy uruskan. Buat apa aku sibuk? Baik aku ajak Faris keluar dating ke? Lagi bagus. Muehehe.

Knock! Knock!

"Masuk mum, Lia tak kunci pun."

Tidak berapa lama, jasad mummy muncul di sebelah aku. Segak berkain labuh dan berblaus biru cerah. Cantik. Aku memandangnya tanpa berkedip. Cantik sungguh wanita di hadapan aku ini. Kalau aku ini lelaki, memang aku dah mengurat si mummy.

"Mummy nak keluar ni. Lia kalau bosan, pandai pandai hidup k?"

Wah ayat mummy. Haha kelakar pula aku rasa. Hm mummy keluar? Tak ajak aku ke? Mummy keluar pergi mana? Jarang pula dia keluar rumah.

"Lia drive k? Okeh jap! Lia bersiap!"

Wah teruja aku bergegas ke almari baju dan menarik keluar sehelai baju T berlengan panjang. Teruja nak memandu sebenarnya hehe. Daddy tak akan tahu punyalah. Tiba-tiba mummy menghalang.

"Eh eh tak payah. Mummy nak jumpa kawan sekejap saja," wanita itu enggan aku ikut. Pelik. Selalunya kalau mummy keluar, dia suka sangat ajak aku sekali. Sebab alang-alang nak shopping. Lain pula kali ini. Aku pandang mummy dengan pandangan yang musykil. Segaris senyum terukir di bibir dia.

"Sure ke? Selalu mummy ni main heret saja Lia keluar. Haa mummy nak jumpa kekasih gelap eh?"

Aku mengusik dia sambil tersengih penuh makna. Wanita itu diam. Ada juga dalam seminit dua.

Tap!

Aku petik jari di hadapan wajah dia. Tiada respons. Jasad dia mematung. Riaknya aku tak dapat baca. Sekali lagi aku petik jari.

Tap!

"Mummy? Okey ke tak ni?"

"Eh okey. Err mummy gerak dulu. Anything call ya? Bye sayang."

Tangannya dihulur. Aku sambut lalu menciumnya. Lekas-lekas mummy menghilangkan diri di sebalik pintu. Aku menghantar mummy keluar dengan ekor mata saja, tidak berniat untuk menyusul. Ini pelik. Kenapa mummy bersikap macam itu? Macam err tak tahulah. Lain sikit daripada selalu. Aku terdengar telefon berdering. Yang pasti bukan telefon aku sebab nada deringnya bukan lagu tema kartun animasi kegemaran aku. Itu macam.. telefon mummy? Malas ambil tahu, aku lipat semula baju T lengan panjang itu lalu disimpan semula di dalam almari. Rumah kosong. So I am the queen! Haha. Hatiku ketawa jahat lalu aku mengorak langkah keluar dari kamar.

"Saya tetap akan pergi! Abang tak boleh halang saya!"

Dan ketika itulah kaki aku terpaku di situ. Aku bersembunyi di sebalik pintu. Mummy belum pergi lagi? Mummy bercakap dengan siapa?
Dan kenapa dia marah?

"Enough abang! Benda ni takkan selesai. Abang tak boleh selfish!"

Bentak mummy halus. Jelas nadanya naik meninggi satu oktaf. Sungguh aku terkejut. Tidak pernah lagi aku dengar suara lembut wanita itu marah-marah. Tempoh hari aku lihat wanita itu menangis. Semalam, bibirnya mengukir senyum bahagia. Tapi hari ini dia marah pula? Apa yang tak kena dengan mummy? Abang? Mummy marahkan daddy ke? Hesy tak mungkinlah. Semalam siap bergelak ketawa sakan lagi. Takkan hari ini tiba-tiba berkelahi? Mustahil.

Wanita itu mematikan talian dan menyumbat telefonnya ke dalam tas tangan. Kasar aku lihat perbuatan itu. Ya, buat pertama kali. Hatiku jadi gelisah. Ada sesuatu yang tidak kena. Aku yakin dan hati kecilku juga membisik perkara yang sama. Entah bila mummy beredar aku tak perasan. Sweater nike di belakang pintu aku sambar lalu dipakaikan ke tubuh. Hoodie, aku pakai ke kepala.

Pertama kali aku memandu dengan sangatlah berhemah. Penuh bersabar aku membontoti kereta putih itu agar tidak hilang dari pandangan. Kalau kereta itu membelok ke kiri, maka ke kirilah aku. Namun jarak antara kereta itu dan kereta yang aku pandu agak jauh. Aku harap pemandu daddy tak perasan akan kewujudan aku yang mengekori mereka. Kami tiba di sebuah taman perumahan. Tak sempat pula aku tinjau kawasan apa. Balik nanti pakai GPS lah ceritanya. Tiba-tiba kereta putih berhenti. Pedal brek aku pijak dan perlahan-lahan kereta aku berhenti. Kelihatan mummy keluar dari perut kereta.

Kalau aku keluar, mummy nampak macam mana? Dashboard, aku selongkar. Dikuis-kuis segala barang di dalam situ. Gotcha. Senyum senget aku dilakar.

"Kau berambus! Aku dah muak tengok muka kau!"

Kasar suara itu membentak mummy. Aku tidak lihat adegan itu, namun cukup dengan mendengar saja sudah buat aku panas hati. Kasihan mummy. Dia diherdik sebegitu rupa. Sungguh tiada belas buat dia. Tangisan mummy mulai menyapa telinga. Ini yang aku lemah. Aku tak suka lihat wanita itu menangis. Aku sedih.

"Abang. Yati minta maaf. Abang kena tahu,"

"Tahu apa? Yang kau dah bahagia? Aku sedar aku ni sengkek! Aku bodoh sebab aku percayakan kau! Kau berambus sekarang!"

Ayat mummy dipintas. Lantang suara garau itu mengusir mummy. Hati aku luluh mendengar esak tangis mummy. Buat apa mummy minta maaf pada manusia yang menengking itu? Dia tak layak untuk dengar ucapan maaf dari mulut mummy. Baliklah, mummy. Lia tak sanggup dengar lagi. Rintih hatiku cuma dalam hati saja. Kasihan? Sedih? Itu sudah pasti. Ingin sekali aku tahu milik siapa suara parau yang memarahi mummy itu. Tapi aku tak boleh keluar dari kepompong penyamaran. Aku tak boleh biarkan wanita itu tahu bahawa aku telah ekori dia tadi.

"Abang tolonglah dengar Yati,"rayu mummy lagi kepada manusia yang berjantina lelaki itu. Aku di sebalik tembok luar rumah hanya mampu pasang telinga. Ah aku nak lihat wajah dia! Meronta-ronta hati aku mendesak untuk melihat wajah lelaki itu.

"Kau jangan panggil aku dengan panggilan tu. Aku jijik. Kau faham jijik?"

Mendatar dan sinis. Sangat berduri ayat itu untuk aku hadamkan. Mummy apatah lagi. Pasti hati wanita itu sedang luka di dalam. Teresak-esak dia menangis di sebelah sana. Andai aku di situ, ingin saja aku seka air matanya. Namun aku tak boleh. Keadaan tegang itu disapa hening buat beberapa ketika. Mungkin masing-masing sedang menyusun kata untuk diluahkan. Aku pula menahan magma yang dikhuatiri meletus di situ. Separuh jiwa pula sudah banjir dihujani air mata. Sedih dan marah teradun sebati. Bercampur baur semuanya. Risau andai tidak mampu dibendung, aku terus angkat kaki. Sungguh. Aku takut kalau nanti terikut perasaan. Lebih baik aku terus beredar dari situ. Lagipun, aku tak tahu bila mummy akan balik. Kalau terserempak nanti susah pula.

Dan air mata yang mengalir perlahan di pipi, aku seka.

Sedih.

*

TIGA hari berlalu.

Aku perasan sesuatu. Mummy dan daddy tak mesra macam dulu. Maksud aku, dia orang kurang bergelak ketawa macam dua bulan yang lepas. Tak sama seperti mummy dan daddy yang aku kenal sebelum ini. Dingin saja. Bergaduh ke mereka? Aku kurang pasti. Perihal mummy dimarahi oleh seseorang di sebuah rumah, masih menjadi tanda tanya. Dan aku masih keliru, orang yang mummy panggil abang semasa dalam talian tempoh hari itu, daddy atau lelaki yang memarahi mummy?

"Mum, dad? Lia nak keluar dengan Faris boleh?"

Mereka saling membalas pandangan. Senyum manis melebar. Aik? Aku ingatkan bergaduh?

"Sejak bila rasmi bercinta ni? Kami tak tahu pun?"

Nah soalan cepumas untuk kau Lia. Tersengih-sengih aku macam kerang wangi tatkala wajah Faris melambai di sudut fikiran. Kacak sungguh. Geram aku tengok. Serius kacak gila. Semalam, dia hantar mesej kat What'sApp. Dia ajak aku keluar.

Ya, sejak pertemuan kami di malam tempoh hari, selalu juga kami berhubung di alam maya. Kami mula rapat. Tipulah kalau aku kata aku tak cair. Tapi aku control juga. Tak mahu nampak macam aku yang desperate. Hari ini, dia ajak keluar tengok wayang. Dia cakap, alang-alang tak ada meeting penting. Hai tak sabarnya aku nak jumpa buah hati, ngaw.

"Eh? Siang hari pun berangan ke? Angaulah tu."

Ketawa halus mereka berdua bergema di hujung cuping telinga. Tersipu malu aku gamaknya. Cis boleh pula aku termenung kat sini? Malu siot. Faris punya pasal!

"Ish boleh tak Lia keluar ni? Mummy daddy ni mengusik tak berhenti."

Aku rebahkan jasad ke atas sofa. Rambut pendek dikuak kasar lalu diselitkan di celah telinga. Pening kepala pula tiba-tiba. Badan rasa penat tapi aku tak tahu aku buat apa. Kalau daddy yang mengadu penat, logiklah kan? Aku dahlah tak kerja. Ternak lemak lagi kat rumah. Pelik bin ajaibnya, apa hal pula boleh rasa penat? Lol.

Tiba-tiba kepala aku terasa macam bergegar. Pening yang terlalu amat. Sungguh, dunia terasa bagai berputar tiga ratus enam puluh darjah. Pening. Segala objek yang berada di depan mata nampak kabur. Batang hidung jadi ngilu. Seolah-olah sarafnya dihiris.

Aku cuba bangun.

Malang. Baru saja aku mahu bangkit, tubuhku jatuh mencium lantai. Kelopak mata semakin berat.

Gelap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience