Bab 23

Romance Completed 33336

Bab 23

"ABANG. Sampai bila nak kita nak simpan? Saya.. kesian kat dia. Saya tak sampai hati nak sorok benda ni lama-lama."

"Awak kesiankan dia ke kesiankan orang lain?"

Sinis kedengaran soalan itu dilontarkan buat si isteri. Bagai mengerti maksud daddy, mummy mengeluh halus. Wajahnya tampak kecewa dan sedih. Daddy pula seakan tersinggung apabila mummy menimbulkan isu 'kesian' itu. Aku mengerutkan dahi. Sungguh aku tak faham perihal apa yang dia orang sedang bahaskan. Kesian? Sorok? Tak pernah lagi aku lihat wajah mummy sayu sebegitu. Riaknya aku tak mampu tafsirkan.

Tadi aku ingat nak ajak mummy dan daddy keluar. Sebab itulah aku turun ke halaman depan rumah. Yalah, memandangkan daddy tak sibuk dan takda meeting, apa salahnya kami keluar luangkan masa bersama kan? Namun niat aku tertangguh apabila aku terdengar perbualan 'pelik' antara mummy dan daddy. Bukan sengaja nak pasang telinga, tapi cara dia orang sembang macam ada rahsia yang aku tak tahu. Ish perasaan aku saja kut? Ujar sang hati menyedapkan rasa. Kelihatan mummy mahu bangun. Cepat-cepat aku melarikan diri ke ruang tamu dan menghempaskan jasad di atas sofa. Telefon dikeluarkan dari kocek seluar. Aplikasi Instagram dibuka. Aku pura-pura sibuk menghadap telefon ketika mummy melewati ruang tamu. Wanita itu terus naik ke biliknya tanpa menyedari kehadiran aku di sini.

Musykil.

Apa yang dia orang bincangkan tadi?

Siapa 'dia' yang mummy maksudkan?

Kenapa mummy perlu kasihankan 'dia'?

Daddy macam tak suka saja, bila mummy cakap pasal tu?

Ada sesuatu yang aku tak tahu ke?

Bertubi-tubi soalan menembak kepala aku. Soalan yang aku tak tahu jawapannya. Serabut otak aku dek fikirkan benda alah ini. Takda kena mengena dengan aku pun, jadi tak perlulah aku fikir panjang. Tanpa melengahkan masa, aku terus naik ke tingkat atas dan menuju ke bilik mummy. Niat yang tadi terbantut, aku mahu laksanakan semula. Sementara daddy sibuk membaca surat khabar, biar aku pujuk isteri dia dulu. Laju kaki aku memanjat anak tangga sampai ke hujungnya. Pintu bilik mummy terbuka sedikit. Langkah aku dihayun ke pintu itu. Baru saja aku mahu tolak badan pintu, telinga aku mengesan bunyian yang jarang sekali aku dengar. Lebih tepat lagi, bunyian yang tak pernah lagi aku dengar. Hatiku terus layu. Rintihan itu sungguh meragut jiwa. Namun dalam kesayuan ini, tersulam juga perasaan musykil. Benarkah apa yang aku sedang dengar sekarang? Teka-teki yang tiada penghujung kembali menghurung fikiranku.

Kenapa mummy menangis?

Kepala aku dijengul sedikit ke dalam bilik itu. Serta merta mata aku menangkap susuk tubuh seorang wanita yang sedang memeluk sesuatu. Tersengguk kepalanya dek esak tangis yang ditahan-tahan. Pasti wanita itu tidak mahu suaminya tahu akan perihal ini. Selalukah mummy menangis macam ini? Kenapa dia menangis?

Soalan yang tidak aku temu jawapannya.

Main bertambah soalan dalam benak aku. Di mana aku nak cari jawapan? Perlukah aku masuk dan tanya? Ah mesti mummy takkan buka cerita. Aku yakin itu. Daddy apatah lagi. Isterinya menangis pun belum tentu dia tahu. Daddy tak kasihankan mummy ke?

Tangisan wanita itu kian lama kian berlagu. Tangisan yang begitu sayu untuk didengari oleh sepasang telinga ini. Kenapa dia terlalu sedih? Daddy ada buat mummy terasa ke? Atau kasih buat wanita ini telah diduakan? Adakah aku akan dapat ibu tiri?

Persoalan-persoalan itu lekas-lekas aku tepis.

Aku tidak boleh pesimis. Selagi aku tak tahu hujung pangkalnya, aku tak boleh tuduh melulu. Pasti ada sebab kenapa mummy tiba-tiba saja menangis. Dan perihal yang mereka berdua bualkan tadi, boleh jadi puncanya. Kemungkinan besar boleh wujud di situ. Tapi apa yang mummy dan daddy cakapkan tadi?

*

AROMA masakan yang aku pasti datangnya dari arah dapur telah merentap perhatian aku yang sedang leka menonton nyanyian akustik di YouTube. Wangian bawang merah dan bawang putih yang ditumis di dalam kuali. Bauan perencah masakan dicampak masuk ke dalam periuk. Rongga hidungku hanya menangkap bau itu saja. Sungguh menyelerakan. Apa yang mummy masak?
Aku turun dari katil dan menuruni anak tangga lalu meluru ke dapur mendapatkan wanita tersebut. Lincah aku lihat tangan dia melempar segala bahan ke dalam masakan. Aku tersenyum sendirian.

"Amboi, sakan masak ya mum? Anak raja nak mencemar duli ke?"

Pinggangnya aku rangkul erat. Dagu aku mendarat di atas bahunya. Semakin kuat bau masakan mummy menusuk masuk ke dalam hidung. Mahu terkoyak nasal cavity aku gamaknya. Wanita itu tergelak kecil. Mungkin tercuit dek kata-kata aku?

"Yeap. Someone special is coming tonight. Bersiap tau. Karang kita dinner sama-sama," senyuman di bibir mummy mekar berkembang. Baru tengah hari tadi aku lihat wajah ini dirundung pilu. Sekarang ini, dia sedang gembira. Tabah benar wanita ini. Melihat mummy senyum, aku turut tersenyum.

"Excitednya Lia tengok mummy ni. Hahaha."

Aku sempat cuit pipinya sebelum berlalu naik ke kamar semula. Bersiap. Itu tujuan sebenar. Disebabkan badan aku rasa tak selesa, maka aku bersihkan diri di bilik air terlebih dulu. Baru segar. Sehelai baju T berlengan panjang dipakaikan ke tubuh dan dipadankan dengan tracksuit. Tak perlu kut nak pakai over sangat? Makan malam saja.

Rambut pendekku disikat kemas. Anak rambut yang mengurai menutupi dahi, aku sisir ke sebelah kanan. Done! Aku tersenyum sendirian di hadapan cermin solek itu.

Semasa aku menuruni anak tangga, aku dengar ada suara yang sedang berbual rancak di bawah sana. Dengar macam ramai juga. Sesekali, bergema ketawa mereka di ruang bawah sampai aku yang ada di tangga pun boleh dengar. Apa yang dia orang bualkan? Sakan betul. Saat aku mendekati mereka semua, ada sepasang mata yang memerhati dari atas sampai ke bawah. Menakutkan pun ada. Yang lagi menakutkan, mata itu milik seorang wanita. Fuh cara dia usyar macam boleh tembus baju woo.

"Ini ke anak you?"

Soalan pertama yang wanita itu tanya sebaik saja aku muncul di ruang tamu. Mummy menoleh ke belakang melihat aku. Yang lain turut melakukan hal yang sama. Sekarang ini, dia orang semua pandang aku. Ada yang tak kena ke?

"Ya, itu anak saya. Lia come here," mummy ajak aku duduk di sebelahnya. Aku menurut. Segan pun ada. Tapi wajah aku dimaniskan juga. Adab melayan tetamu, kita perlu sentiasa maniskan wajah. Tak adalah tetamu rasa tak selesa nanti. Sebelum duduk, sempat aku bersalam tangan dengan wanita yang usyar aku tadi. Dan ketika itulah aku lihat bibirnya menguntum senyum. Sangat manis. Di sebelahnya ada seorang lelaki berkaca mata. Suami dia agaknya. Aku menghadiahkan sebaris senyum.

"Oh cantiklah Lia ni. Kan you?"

Wanita itu puji aku lalu bertanya kepada suaminya. Fuh kembang! Aku tak tahu nak respons macam mana. Jadi, aku senyum saja. Comel pula aku tengok pasangan suami isteri itu.

"Lia. Ini aunty Ida. Kawan mummy. Yang itu uncle Bad. Kawan daddy."

Aku angguk sambil menyimpul senyum lagi. Yang seorang itu kawan daddy. Yang seorang lagi itu kawan mummy. Best friend yang kawan sampai kahwin ke?

"You kata you bawa anak you sekali? Tak datang ke?"

Mummy bertanya. Lain macam bunyinya. Aku macam dapat feel sesuatu.

"Eh ada, kat luar tengah angkat call. Nanti dia masuklah tu," aunty Ida menyimpul senyum.

Dan tiba-tiba aku dapat rasa kewujudan manusia lain. Auranya seolah-olah begitu kuat.

"Sorry, orang angkat call tadi. Hehe."

Ketika inilah aku mengalihkan pandangan aku menghadap empunya suara. Bagai ada unsur slow motion, kepala aku menoleh. Sesusuk tubuh tinggi menyimpan telefonnya di dalam kocek seluar. Wajahnya diraup beberapa kali. Kacak dan bergaya cara dia berjalan mendekati kami di sofa. Baunya memukau. Sangat wangi.

Mata aku tidak berkedip pandang lelaki itu. Rambutnya tersisir kemas. Baju Polo yang terletak molek di tubuhnya menampakkan otot bicepnya yang begitu mencairkan. Mata aku mengimbas keseluruhan jasad itu sampailah jatuh pada hujung kaki. Sungguh segak.

"Inilah anak I. Faris."

Aku terpiuh. Cepat-cepat aku buang pandangan ke tempat lain. Boleh cair kalau pandang Faris lama-lama. Masing-masing menguntum senyum penuh makna. Aku jadi blur. Aku seorang saja yang masih terpinga-pinga.

"Setuju tak, Lia?"

"Hah?"

Aku terkejut.

Setuju? Setuju apa? Mummy tanya soalan ke tadi? Aku mengelamum ke? Apa aku nak jawab? Aduh habislah aku! Kini, lima pasang anak mata merenung aku seperti meminta jawapan. Tak ada pilihan A B C D ke? Jawapan apa aku nak jamah ni? Eee itulah kau Lia! Berangan kuat sangat sampai tak sedar orang tanya soalan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience