Bab 11

Romance Completed 33336

Bab 11

AKU terjaga. Tak lena. Aku dengar sesuatu. Lebih tepat lagi aku dengar bunyi. Tapi aku tak tahu bunyi apa. Serius. Aku gelisah. Aku keluar dari bilik. Memberanikan diri yang sememangnya tengah runtuh semangat. Sunyi. Sepi. Bayu malam yang mengucup kulit badan aku buat aku lagi takut. Bulu roma tegak berdiri. Mendayu-dayu bunyi itu kedengaran. Tapi perlahan. Macam mana aku boleh terjaga pun entahlah. Padahal bunyi tak kuat mana. Aku kerling jam dinding. Tiga pagi? Jantungku berdegup laju. Gentarkah aku?
Aku menggagahkan langkah. Aku ikut bunyi yang membawa aku ke bilik ayah.

Bilik ayah?

Aku terkaku. Nak masuk? Itu memang tempah maut. Tapi aku tertanya-tanya. Bunyi apa yang aku dengar daripada bilik ayah ni? Macam orang menangis pun ada. Ayah? Menangis? Tidak. Aku yakin bukan ayah. Seratus peratus yakin.
Pintu bilik ayah terbuka sedikit. Aku intai ruang bilik ayah senyap-senyap.

Sungguh aku terkejut! Aku tak percaya! Aku tak percaya ayah tengah menangis. Sah! Memang itu kelibat ayah. Dia yang tengah menangis! Tapi kenapa? Sejak bila? Sebab apa? Aku mengecilkan anak mata. Ayah sedang menatap sesuatu. Tapi aku tak nampak benda apa. Ayah membelakangi kedudukan aku. Dia pegang benda. Tapi apa dia? Argh! Aku nak tengok! Jiwa aku beria-ia nak tengok benda apa yang berjaya gugurkan air mata ayah. Huh. Kalau dia pukul aku? Tibai aku? Tampar aku? Tak ada rasa kasihan langsung! Menangis? Lagilah tidak! Tiba-tiba saja rasa benci aku meluap-luap dalam diri. Cepat-cepat aku istighfar dalam hati. Aku dengar dia gumam sesuatu. Tak jelas. Tenggelam kata-kata dia dek esakan halusnya. Aku sempat menangkap perkataan 'maaf'.

Maaf?

Untuk apa? Sebab apa? Kepada siapa? Argh! Aku tak faham! Tiba-tiba lutut aku terbengkok. Pap! Terkena badan pintu! Jelas kedengaran engsel pintu bilik ayah berkeriut. Sial!
Terus aku lari ke bilik dan menghempaskan badan ke atas katil. Berpura-pura tidur. Aku yakin ayah dengar. Yakin! Derap kaki kedengaran menapak ke bilik aku. Sah. Itu ayah. Mata aku dipejam rapat. Tidur Mel! Tidur! Jangan buka mata!

Tidak lama, aku dengar ayah menapak keluar dari bilik. Perlahan-lahan aku buka mata. Ayah tiada di situ. Lega. Persoalan tadi menghurung kembali benak aku.

Ayah menangis? Kenapa? Ayah sedih ke? Tapi kenapa tak bagitahu aku atau Saif? Ayah sedih? Sedih sebab apa? Dan benda yang dia pegang. Benda apa? Ucapan maaf dari mulut dia tu untuk siapa? Sebab apa? Argh! Runsing!

Lama-lama mata aku kuyu. Memikirkan perihal itu memang buat kepala aku terbeban. Akhirnya aku terlelap kembali.

*

SAMA macam kelmarin. Haikal buat tak endah akan kewujudan aku. Sumpah. Aku tak tahan! Aku gelisah. Aku marah. Tapi ergh tak tahu ah kenapa aku kena rasa macam tu! Apa hak kau untuk rasa tersinggung hah Mel? Kau cuma setiausaha dia! Aku meraup wajah berkali-kali. Apa kena dengan aku? Terasa ke sebab Haikal tak layan? Takkanlah aku dah tersuka kat dia? Ish tak mungkinlah! Sejak first time jumpa, aku dah pangkah siap-siap beruk tu daripada mencemarkan senarai jejaka pilihan hati.

Ini soal hati. Nama pun TERsuka. Kau boleh halang ke perasaan kau hah?

Diam ah kata hati tak guna. Nak psiko aku ah tu. Aku ketuk kepala aku sendiri banyak kali. Tiba-tiba dub!

"Sakit ah!"

Spontan aku terjerit sebab sakit! Tangan siapa pula yang gedik sangat ketuk kepala aku ni hah? Hesy bebal betul ah. Aku dah ah tengah 'panas' sekarang. Mood tak cun. Macam-macam benda ada dalam kepala.

"Mujur tu aku ketuk dengan tangan. Kalau aku guna hammer, agaknya kau dah arwah kut."

"Ish kau ni Man! Sakit tahu tak."

Aku tarik muncung panjang. Merajuk kononnya. Reda sikit rasa marah tadi. Dengan Man sajalah aku boleh manja-manja bagai kat ofis ni. Takda orang lain dah. Saif, Fazira, Man. Tiga manusia ni saja yang aku paling sayang. Aku dah anggap macam kakak dan abang aku sendiri.

"Garang gila. Kenapa kau ni? Cerita sikit kat aku."

Man ambil tempat di hadapan meja aku. Dia melabuhkan duduk. Kakinya disilangkan sambil tangan dikipas-kipas ke muka. Lagak diva gitu.

"Aku tak puas hatilah. Aku baru berbaik dengan bos dua hari lepas. Then kelmarin dia tarik muka dengan aku. Sumpah aku tak tahu kenapa."

Luahku tanpa segan silu. Man angguk faham sebelum meneruskan sesi soal jawab antara kami.

"Kau suka dia ke?"

Gulp!

Apa aku nak jawab? Suka? Aku suka Haikal ke? Yeke? Sejak bila? Tapi tak mungkinlah! Kalau aku suka dia takda masalah kan? Eh dia bos aku! Mana boleh aku suka dia. Orang yang pangkat tinggi kan selalunya dah ada kekasih?

"Entahlah Man. Aku pun tak tahu. Tapi aku tak suka bila dia tak layan aku."

"Habislah Mel. Kau dah terjatuh suka kat bos! Hahaha."

Man terus angkat punggung. Dia beredar dengan ketawa yang bersisa di bibir. Aku? Suka Haikal? Biar betul? Tak sampai sebulan lagi aku kerja dengan dia. Minggu ni baru masuk minggu ketiga. Aku suka Haikal? Yeke?

"Hadoi kenapalah manusia ada perasaan hah? Huaaaa."

Aku merengek. Masih keliru dengan perasaan sendiri. Aku tak boleh terlalu cepat buat kesimpulan. Tiba-tiba kata-kata Fazira kembali menerjah ruang fikiran. Kalau selalu gaduh nanti lama-lama jadi sayang? Erk. Teori tu valid lagi?

*

CERMIN sisi dipandang lagi. Ada. Aku pandang depan semula. Fokus. Tatkala lampu trafik berubah merah, brek kaki dipijak. Berhenti. Aku pandang semula cermin sisi. Masih ada. Aku makin gelisah. Jantung aku berdebar. Takut. Sejak aku keluar dari ofis tadi, aku perasan kereta putih itu mengekori aku. Mula-mula aku buat bodoh. Sebab aku ingat mainan perasaan saja. Lama-lama aku rasa lain. Jadi aku balik guna jalan jauh. Sengaja. Tepat andaian aku. Memang kereta putih tu ikut aku! Aku mengecilkan anak mata. Aku perhatikan dengan teliti wajah yang ada di dalam perut kereta. Gagal. Cerminnya gelap. Aku tak nampak. Ergh. Siapa yang ikut aku? Apa dia nak? Kenapa mesti aku?

Lampu trafik bertukar hijau.

Hendal digenggam kejap. Visor ditutup. Posisi dibetulkan hingga mendapat kedudukan yang selesa. Apabila kenderaan lain mula bergerak, aku pulas hendal motosikal sehabis mungkin. Kenderaan yang ada di hadapan, aku potong saja ikut suka hati. Yang penting, aku boleh menghilangkan diri daripada kereta putih itu. Meter dikerling sedikit. Seratus dua puluh km/j. Tayar Yamaha 135 LC milikku berputar laju membelah jalan. Terasa kuat angin yang menyentuh badan aku. Setelah jauh aku tinggalkan kereta itu, kelajuan motor dikurangkan. Cermin sisi dipandang. Tiada lagi kelibat kereta putih dia belakang aku. Puas.

Pintu rumah ditenung lama.

Aku takut nak masuk. Sebab aku tahu apa yang akan terjadi. 'Habuan'. Itu yang akan aku terima. Lengan baju diselak. Jelas terlihat kesan merah yang masih menyala warnanya. Keluhan berat dilepaskan. Yakin. Tubuh aku pasti akan 'diratah' dengan pukulan dan debikan ayah. Masih terasa ngilu dah pedihnya sebatan ayah tempoh hari. Sakit. Cukup sakit. Tapi aku boleh buat apa? Cuma diam dan menangis. Lemah.

Nafas dihela panjang.

Pintu dikuak seiring jutaan doa yang dilafaz dalam hati. Aku berjalan melepasi bilik ayah. Tapi.. kosong? Bilik ayah kosong? Aneh. Aku letak topi keledar di tempat biasa. Langkah aku dilajukan menuju ke dapur. Kosong. Bilik air pula menjadi sasaran. Kosong? Bibir bawah diketap. Dahiku bercantum. Kali ini aku nekad masuk ke bilik ayah.

"Kosong?"

Rumah kosong? Tapi ayah pergi mana? Tak pernah-pernah ayah keluar. Tiba-tiba ayah tak ada kat rumah? Aku menghenyakkan punggung di atas katil ayah. Mataku liar memerhati segenap ruang bilik itu. Tak pernah aku jejak bilik ni. Dulu masa aku empat tahun, mainan aku terlempar masuk ke dalam bilik ni. Nak masuk? Aku takut. Takut ayah mengamuk. Tapi waktu tu ayah takda kat situ. Sebab itulah aku berani masuk. Tapi, malang. Semasa aku kutip mainan aku, ayah sudah berdiri di belakang aku.

Aku dipukul ayah lagi.

Sebab aku masuk ke dalam bilik dia. Aku tak faham kenapa dia tak bagi aku masuk. Aku anak dia. Apa alasan dia tak benarkan aku masuk? Itu cuma bilik. Atau ayah ada rahsia? Tapi rahsia apa? Argh. Aku meramas-ramas rambut aku.

"Buat apa aku fikir? Merapu!"

Aku terus blah. Tapi aku teringat sesuatu. 'Benda' tu. Niat aku untuk meninggalkan bilik ayah terbatal. Liar tangan aku meraba setiap tempat. Mata aku singgah pada setiap sudut. Otak aku pula ligat berfikir.

"Kalau aku tak tahu ayah pegang benda apa, aku nak cari apa?"

Terus perbuatanku terhenti. Keluhan berat kedengaran. Tiba-tiba anak mata aku tertancap pada sesuatu. Dahiku berkerut. Macam-macam perasaan timbul ketika ini. Tertanya-tanya? Aneh? Teruja? Entahlah. Aku tak tahu. Pantas tangan aku menyentuh objek itu.

Tapi deruman enjin kereta mematikan niat aku. Argh jangan-jangan ayah? Terus aku melangkah keluar dari bilik ayah lalu meloloskan diri ke bilik aku. Pintu bilik ditutup rapat. Aku rebah di atas katil. Ikatan rambut dilepaskan. Tubuh aku diregangkan. Lenguh.

"Alamak aku tak asar lagi."

Segera aku capai tuala yang tersidai di kerusi dan meluru ke bilik air untuk mandi.

Sejadah dihamparkan ke atas lantai. Kain putih aku sarungkan ke tubuh. Ketenangan yang luar biasa mula menenteramkan jiwa aku. Setelah lafaz niat solat fardhu asar meniti di bibir dan hati, takbir diangkat. Melalui amanah Allah yang satu inilah aku pohon keampunan dari-Nya.

*

SEMINGGU berlalu terlalu pantas. Kini sudah genap satu bulan dua minggu aku bekerja sebagai setiausaha Haikal. Sepanjang tempoh itu juga, tiada bicara kedengaran antara kami. Dingin. Aku jadi tak keruan. Jujur. Aku rindu Haikal. Aku rindu Haikal yang selalu marah aku. Aku rindu Haikal yang selalu senyum sinis kat aku. Aku rindu Haikal yang suka buli aku. Aku rindu senyuman manis dia.

"Ergh dungulah kau Mel! Dia bos kau! Jangan buat benda bodoh!"

Aku tampar kedua-dua belah pipi aku berkali-kali. Menyedarkan diri sendiri ke dunia realiti. Haikal tak pandang aku, jadi buat apa aku terhegeh-hegeh rindu dia? Ah lantak kaulah Haikal! Aku malas nak kisah! Sangkal sang hati walhal jiwa ini sedang menanggung rindu yang begitu menggunung. Kenapa aku boleh berperasaan macam ni? Betul ke aku suka Haikal? Ataupun semua ni mainan perasaan saja?

Aku suka Haikal?

"Okey! I love you too!"

Jelas kedengaran suara garau itu sangat teruja. Aku menoleh. Haikal. Wajahnya berubah tatkala ternampak aku sedang memandang dia. Telefonnya disimpan ke dalam kocek seluar. Segaris senyum sinis terukir di bibirnya sebelum lelaki itu beredar meninggalkan aku.

I love you too?

Maknanya dia ada kekasih? Dia tak pernah suka aku? Dia sayang orang lain? Entah kenapa hati aku rasa berderai bak kaca yang terhempas ke lantai. Sakit. Aku rasa macam dikhianati. Huh. Kau dikhianati? Kau bukan sesiapa bagi Haikal! Kau dan dia takda apa-apa! Kau tak perlu berlagak macam dikhianati sangatlah Mel! Kau bodoh!

Lantang jiwa aku meronta. Marah.

Apa kena dengan aku ni? Kenapa aku kena rasa perasaan macam ni? Argh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience