Bab 16

Romance Completed 33336

Bab 16

SILAU. Ada cahaya yang buat mataku rasa sakit. Perlahan-lahan kelopak mataku terbuka sendiri. Kepala aku rasa bagai berputar laju. Pening. Sakit. Tubuh aku pula begitu berat seperti ditindih. Mataku dikerdipkan berkali-kali. Jariku pula lincah memisat kelopak mata. Akhirnya, pandangan yang kabur tadi menjadi jelas. Aku nampak siling putih. Jasadku ditoleh ke sisi. Dinding berwarna jingga. Ini bukan bilik aku. Bukan. Aku lantas bangun dan menyandarkan belakang badan pada kepala katil. Sesekali, kepalaku rasa berpusing. Segera aku cengkam kepalaku dengan sepuluh batang jemari. Nafas aku cuba dikawal deruannya. Lambat-lambat, jantung aku yang tadinya berdetak laju kini sudah normal. Saat kepalaku ditoleh ke sisi, mata aku menangkap sebuah bingkai gambar. Sekeping foto di dalamnya aku amati. Tatkala ini aku sudah ingat segalanya. Perihal semalam. Peristiwa yang membunuh jiwaku sepenuhnya. Tiba-tiba dadaku rasa ketat. Ruangnya semakin sempit. Terenjut-enjut badanku menahan esakan dan akhirnya aku menangis lagi. Mengingati semua perkara itu buat kepala aku sakit. Lebih-lebih lagi hati aku yang kian membengkak. Apabila fikiranku bertaut pada ayah, hatiku remuk kembali. Aku tersangatlah lemah ketika ini. Mental aku, fizikal aku, jiwa aku, jasad aku, semuanya lemah dan longlai.

Haikal. Macam mana dengan Haikal? Aku tak mahu bagi harapan palsu. Jujur. Aku dah jatuh suka pada lelaki itu. Malangnya, aku terkurung dalam ikatan perkahwinan yang aku tak pernah setujui! Semuanya dah terlambat. Aku tak boleh apa-apa.

"Haikal... tolong aku.. aku.. aku tak kuat!"

Untuk ke sekian kalinya aku menangisi hidup aku yang kini jelas pudar. Aku tekup wajahku dengan telapak tangan. Enggan penghuni lain di dalam rumah ini mendengarnya. Ingin saja aku meraung dan meronta. Tapi aku masih waras. Buat apa aku tunjuk kesedihan aku depan mereka semua? Meraih simpati? Tak! Aku takkan meraih simpati sesiapa! Aku masih mampu menanggung semua ini sendirian. Aku tak mahu dianggap lemah. Tidak sesekali!

Engsel pintu berkeriut.

"Morning Camelia. Jom turun breakfast? Abah dengan umi dah tunggu."

Suara sumbang itu kembali menyakitkan gegendang telingaku. Argh! Bising! Aku memandangnya penuh benci. Meluat! Aku rimas dengan kewujudan dia! Dia tak layak wujud pun dalam dunia ni!

"Kau dengar sini doktor Rayyan. Aku. Benci. Kau. Dan kau jangan pernah expect yang aku akan terima kau dalam hidup aku. Keluar! Aku rimas tengok muka kau! Keluar!"

Emosi aku terganggu lagi. Fikiran aku kusut! Dengan kudrat yang ada, aku terus usir dia keluar dari bilik ini. Aku malas bersemuka dengan dia! Aku rimas! Aku benci! Argh! Jasad lelaki itu yang beredar keluar, aku pandang dengan amarah yang meluap-luap sehingga kelibatnya tidak lagi kelihatan. Puas aku lihat dia menurut. Puas.

Aku sendirian lagi. Di saat aku jatuh, tiada seorang pun yang sanggup berdiri di belakang aku. Aku rasa macam aku ini sangat keseorangan. Kenapa aku selalu hidup dalam kesedihan? Sejak aku lahir, aku membesar tanpa kasih sayang yang mencukupi. Ayah? Argh! Aku benci panggilan itu! Panggilan yang aku sebut penuh kasih. Panggilan yang aku sebut penuh hormat. Tapi apa yang aku dapat? Herdikan. Cacian. Hinaan. Bedilan. Aku tahan. Dua puluh empat tahun aku tahan. Aku tahan dengan perangai ayah. Aku tahan dengan pekikan ayah. Tapi.. begini sekali dia tak mahukan aku? Mungkin betul kata dia. Aku cuma beban. Aku ini pembawa sial, pembawa malang! Aku tak layak bernafas di atas bumi ini. Kali ini aku dihempas emosi lagi. Bercucuran air mata aku mengalir membasahi seluruh wajah. Aku tak temui penyelesaian. Menangis. Itulah satu-satunya cara aku menenangkan diri. Andai dulu aku bina tembok agar air mataku tidak tumpah, detik ini empangan itu sudah musnah. Kerana ayahlah aku bina tembok itu. Dah kerana dia juga empangan ini pecah. Andai dulu aku sembunyikan air mata, tatkala ini aku lepaskan semuanya. Andai dulu aku sering berkata bahawa tangisan hanya menunjukkan aku ini lemah, saat ini aku memang lemah. Aku tidak pernah kuat. Aku lemah. Lemah!

"Ibu.. ibu.."

Tersedu-sedan aku panggil ibu. Namun langsung tiada sahutan. Kamar itu sepi. Hanya bergema suara tangisan aku. Aku terlalu sedih. Aku rasa umpama kehabisan kudrat untuk meneruskan hidup. Jiwa aku sudah mati. Untuk apa lagi aku hidup? Menyusahkan semua orang? Menagih ihsan? Aku tak nak! Argh! Aku benci kau Camelia! Aku benci.. kau.
Raunganku diselang seli dengan tangisan. Sungguh aku tewas dengan semua ini.

Tiba-tiba anak mataku terarah pada sesuatu. Kalimah suci yang begitu menenangkan. Kalimah ???? yang tergantung indah pada dinding kamar. Seraya itu aku beristighfar. Astaghfirullahalazim. Astaghfirullahalazim. Ibarat tersedar dari racauan, aku menyeka air mata dan mengatur langkah ke bilik air untuk membersihkan diri. Aku perlu hadapi semua ini. Segala kepahitan perlu ditelan. Walaupun terpaksa. Percayalah Camelia, kau ada Allah yang selalu di sisi kau. Getus suara hatiku di sudut hati yang paling dasar.

*

"EH Mel? Tunggulah kat atas. Ayan boleh bawa breakfast kat atas. Kan Mel tak sihat?"

Wanita itu memegang pipiku dan mencium dahiku. Saat kucupan mesra itu mendarat di dahi, hatiku merintih sayu. Aku rindu yang terlalu rindu kepada ibu. Namun apakan daya? Sedangkan wajah ibu tidak pernah aku lihat, menyentuh jasadnya apatah lagi. Aku tersenyum nipis. Sayangkah wanita ini kepada aku?

"Itulah Mel. Rehat saja dalam bilik. Memang abah nak breakfast sama-sama tapi Ayan cakap Mel tak sihat tadi."

Dato' Khalil yang kini aku wajar memanggilnya abah, mengukir senyum manis. Aku jadi hiba. Serta-merta aku teringat pada ayah. Ayah dah makan ke? Sihat ke dia?

Ah! Tak perlu fikirkan dia! Dia benci kau Mel!

Suara hatiku membisik.

Dia ayah kau. Kau wajar peduli tentang dia.

Suara lain pula bergema dalam kepala aku.

Tapi dia 'jual' kau! Dia buang kau dari hidup dia! Dia benci kau Mel!

Suara hati yang tadi meronta lagi.

Emosi aku kembali terganggu. Otakku kusut! Kepala aku sakit! Dunia kulihat bagai berputar laju. Pantas kepala aku dicengkam. Aku hilang kawalan. Jasadku rebah! Aku terduduk di hujung kaki meja. Aku membentak. Namun, suara-suara asing itu terus bertelingkah!

"Argh! Diam! Aku kata diam!"

Lantang suara aku menjerit. Aku tak suka bunyi-bunyi itu. Terlalu nyaring! Menyakitkan seluruh saraf. Aku pekup telinga. Namun suara fikiran dan suara hati yang terus memekik. Argh! Bising! Aku tak suka! Aku rimas!

"Mel! Mel! Kenapa ni Mel?"

Ada suara lain pula mula kedengaran. Kali ini telinga lebih sakit! Bahu aku terasa disentuh. Terus aku tepis! Aku tendang semuanya!

"Mel! Mel okey tak!"

Suara asing yang lain pula menyemak di corong telinga. Lebih garau dan menyakitkan! Tiba-tiba tubuh aku dicempung. Ah rimas!

"Keluar!!! Aku kata keluar!!!"

Aku meronta-ronta. Telingaku dipekup serapat mungkin. Pipiku mula terasa basah. Berjejeran air mata keluar tanpa diminta. Kepala aku bengang. Urat sarafnya bagai hendak putus. Terasa berdengung seluruhnya. Sakit! Kakiku tidak berhenti menendang objek yang menyentuh aku.

"Ayan! Isteri Ayan ni!"

Suara itu melaung lagi. Argh! Sakit!

Bagus Mel. Kau patut merana sebegini. Kau tak layak bernafas di bumi ini!

Lagi sekali aku dengar suara hati itu mendesak. Aku patut mati. Aku patut mati! Berulang kali ayat itu aku lihat bertebaran dalam ruang fikiran. Aku cuma pembawa sial! Aku tak berguna!

Bertenang Mel. Kau perlu bertenang.

Suara fikiran aku pula bagaikan memujuk. Aku cengkam rambut. Ditarik-tarik 'jerami' hitam di kepala ini sekuat hati! Aku cuba halau benda asing yang menyakitkan kepala itu. Namun ia semakin nyaring kedengaran! Semakin sakit!

"Camelia!"

Suara lain pula tiba-tiba menyiat cuping telinga.

"Camelia bertenang!"

Kau tak punya sesiapa. Kau selayaknya menderita. Kau patut mati.

Ia memekik lagi. Argh. Bising!

"Diam!!! Keluar!!! Aku benci kau!! Argh!!"

Kaki aku lincah menendang. Dub! Tepat mengenai sesuatu. Puas. Namun aku masih mampu dengar suara asing yang mendayu-dayu. Terlalu banyak suara yang mencemarkan pendengaran aku. Argh!

"Kenapa dengan Mel ni Ayan?"

Suara lunak itu merintih-rintih. Sangat merimaskan! Berselang seli suara-suara itu menangis, melaung, dan merengek menyebut nama aku. Kepala aku terasa bagai hendak pecah. Sedikit demi sedikit jiwa aku terkoyak. Aku benci kau Camelia! Aku benci kau!

"Aku benci kau!! Keluarlah bodoh!!! Argh!!"

Aku meraung lagi sehingga ke hujung suara. Bergema suara serakku di corong telingaku sendiri. Dan kini aku benci suara aku. Argh! Tekak aku rasa pedih. Bagai berdarah di dalam. Tanganku menegang ketat. Kepala aku semakin berpusing. Bengang seluruhnya! Buku lima digenggam kejap. Tumbukan demi tumbukan aku hayun ke kepala. Keluar!!! Aku cuba usir semua suara itu. Namun semakin galak suara-suara itu bergema. Aku tak nak dengar argh!!! Wajahku semakin lencun. Berlengas. Rimas! Jemariku ligat mencengkam muka. Terus aku cakar semuanya. Tubuhku bertemu lantai. Tekak aku sakit. Raunganku semakin kuat. Leherku pula aku cakar. Aku mahu buang semua kesakitan! Buang semuanya!

"Camelia istighfar sayang!"

Herdik suara sumbang itu.

"Argh sakit argh!!! Diam!!! Keluar!!"

Tangisanku sendiri semakin berlagu. Dan tangisan ini juga yang menoreh dinding telingaku. Aku terus rebah mencium lantai. Kepala aku dihantuk pada objek keras itu. Aku mahu kleuarkan semuanya. Aku mahu usir semuanya. Aku mahu bebas dari semua suara bingit itu! Hentakan demi hentakan menggoncangkan kepalaku. Semakin lama, semakin sakit dan pedih. Semakin aku cuba menghalau, semakin meruncing kesakitan itu bertandang. Ligat otakku memutarkan memori ke kisah lalu. Suara garau yang bengis mula kedengaran.

Aku benci kau!

Kau bukan anak aku!

Kau sial!

Kau bawa malang!

Berambus!

Bagai pita rakaman suara garau itu mengamuk. Kuat dan jelas. Begitu bingit dan mengilukan. Telinga aku dipekup lagi. Aku cengkam telinga. Pipi aku pula dicakar kasar. Belum puas aku usir. Debikan kasar melayang ke wajah. Kepala aku dihantuk lagi. Air jernih yang meleleh sampai ke leher buat aku rasa pedih. Sangat menyakitkan!

"Argh!!!"

Raungan aku kembali bergema. Tiba-tiba lenganku direntap kasar. Genggamannya terlalu kejap! Lincah kakiku menendang ke hadapan. Tangan aku cuba dilibas ke sisi. Namun gagal.

"Lepas!! Kau keluar!!!"

Aku meronta lagi. Pegangannya melemaskan. Dadaku berombak hebat. Naik turun, naik turun. Ruangnya sempit dan ketat. Nafasku tersekat-sekat. Tangisanku menyesakkan salur pernafasan.

"Istighfar Camelia. Astaghfirullahalazim-allazilailahailla-huwalhayyulqayyum-waatubuilaih."

Tiba-tiba ada suara yang mengalunkan kalimah itu. Alunannya begitu mendamaikan. Suara merdu itu terus menerus membisik kalimah indah itu di tepi telinga aku. Semakin lama semakin jelas. Suara-suara asing yang mengganggu tadi semakin hilang dan terus tenggelam. Kalimah indah itu terasa sangat mendayu. Raunganku semakin lenyap. Telinga aku tidak lagi menangkap bunyian asing yang bingit. Hanya alunan kalimah itu. Jasadku lemah terkulai di atas sesuatu. Pegangan pada tanganku semakin longgar. Segala gangguan yang mengusutkan emosi aku tadi bagaikan terus runtuh. Habis musnah dibedil dek kalimah ini. Tangisanku semakin lama semakin perlahan. Nafas aku saja yang tidak reda deruannya. Aku terus longlai. Kakiku berhenti menendang. Tanganku berhenti mencakar dan menumbuk. Kepala aku tidak lagi dihantukkan. Saat ini, leher dan pipiku terasa pedih yang sangat mengilukan. Kepala aku juga sangat sakit. Tiba-tiba dunia rasa berputar. Kepala aku pening semula. Objek yang aku lihat kelihatan kabur. Segalanya tidak jelas. Lama kelamaan badanku berhenti bergerak dan dunia terus gelita.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience