Isha menyandar di jendela. Kuakkan pintu jendela. Angin malam terus menerjah masuk. Sejuk. Dia lepas keluhan. Jika hanya kesejukkan ini dapat menyejukkan hati yang masih panas dengan penipuan abah. Tega abah tipu lagi. Arg... harap inilah klimaks terakhir kerenah abah.
Ifza menarik zip tutup beg pakaian dan meletaknya di hujung katil. Pagi esok dia akan terbang ke Sabah untuk mengendalikan kursus TNA selama tiga hari di sana. Terdengar keluhan Isha. Ini mesti sebab abah. Dia dekati adiknya. Turut menyandar dan merenung dada malam yang tersergam indah bersama bulan purnama dan kerlipan bintang-bintang. Jika hanya hidup mereka juga begitu. Indah. Arg mana boleh. Kehidupan manusia tidak pernah statik.
“Kak jadikah nak kerja di Sabah? Isha boleh berhenti kerja, ikut kakak. Kita bawa ibu.”
“Masalahnya ibu tak nak. Kak dah tanya. Dia takut apa-apa jadi kat abah.”
“Laa abah dah ada dua. Kiri kanan dah boleh urut pipi abah. Abah tak perlu kita.”
Isha lepas geram. Wajah isteri muda abah masih menampar-nampar hatinya. Tak ada lelaki lainkah nak buat suami? Perempuan cantik macam tu mesti laku. Petik jari berlambak nak.
“Itu kata Isha, ibu lain. Dia masih isteri abah.”
“Eeee sebab itulah kita berdua jangan kahwin. Tidak akan ada mana mana lelaki yang akan sakitkan hati kita.”
Haziqah yang terdengar kata-kata Isha ketika dia menolak daun pintu, geleng. Pendirian begini yang dia bimbang. Dia masuk dan berdiri di belakang anak-anaknya.
“Tak baik cakap begitu.. Pernikahan adalah fitrah manusia. Sunnah Rasulullah. Jangan nak memandai sia-siakan kurniaan Allah. Kita hambaNYA. Kahwin atau tak, ujian akan tetap ada.. Ujian yang menentukan iman kita padaNya.”
Ifza dan Isha melihat satu sama lain. Nak letak perasaan dan pandangan negatif kat mana?
“Ibu tahu, ibu bukan contoh terbaik buat anak-anak ibu.”
Ada ketika, Haziqah sendiri masih sakit dengan kebohongan dan kecurangan suami. Jauh di dalam hati, dia nak madu-madunya juga merasa kesakitan sepertinya. Begitu juga dengan suaminya. Ah, dalam usia begini masih sukar nak ikhlas reda dengan ujian Allah.
Ya Robbi, dia bukan hamba yang baik. Mulut kata reda tapi hati...
“Laa kenapa cakap begitu. Ibu idola terbaik kita orang.” Ifza paut bahu ibunya rapat.
“Betul tu.” Isha lurut lengan ibunya.
Itu pandangan anak-anak yang sayang dia tapi bagaimana pandangan suami? Masihkah suami masih mahu dia di sisi atau dia saja yang kena ambil langkah jauhkan diri? Apa harus dia buat sekarang. Ya Allah... terasa diri tidak diperlukan. Terasing. Kosong.
“Sejujurnya, ibu tak tahu bagaimana nak hadap abah kamu.”
“Maksud ibu, sama ada abah masih perlu ibu sebagai seorang isteri?”
Ifza melurut belakang ibu. Kasihan ibu, dalam usia begini masakan ibu nak berundur. Masalahnya, isteri-isteri abah muda dan cantik. Mereka boleh ramaikan abah dengan anak-anak lelaki yang abah nak. Bab anak saja, ibu dah kalah. Tapi perkahwinan bukan medan pertandingan dan rebutan, kan?
“Ya.” Mengaku Haziqah sayu.
“Ibu jadi diri sendiri saja. Kalau abah masih banyak akal, ibu buat tak tahu atau berundur saja. Dunia ibu sekarang tak perlu ada abah.”
“Isha!” Dengus Ifza. Isha ni dah kenapa? Senang-senang nak buang abah dari hidup ibu.
“Betul apa.”
“Isha sengaja nak tambah dosakah?”
Isha terdiam. Bab dosa ni menakutkan. Whoissh bayangkan, belum masuk kubur dah diseksa. Mana tahu ada ular besar muncul dalam liang lahat. Eee...
“Dahlah Ifza. Tak payah nak marah adik tu. Ibu percaya dia tak bermaksud nak pisahkan ibu dengan abah.”
“Betul.” Isha cepat-cepat setuju. Takut dosa.
“Iyalah. Ok bagi Ifza, ibu hadap abah seperti biasa. Abah masih di hospital. Takut nanti, dia bertambah sakit. Kalau ibu rasa tak selesa di hospital sebab ada dua isteri abah tu, ibu duduk rumah jer. Tak payah nak pening-pening kepala. Ibu boleh melukis atau habiskan masa kat Yayasan Auntie Seena.”
“Kalau ibu ke sana, Isha nak ikut. Bosan duduk rumah sorang-sorang.”
Isha ke katil Ifza. Tepuk-tepuk bantal dan letak di belakang kepala. Emm malam ni dah aim nak tidur dengan Ifza. Esok boleh tidur dengan ibu. Sunyi tidur sorang-sorang di bilik sendiri.
“Bagus juga tu. Taklah Ifza risau.”
Ifza lepas keluhan. Kalau boleh, dia tak nak ke Sabah. Hai, entah kenapa dah tawar hati nak terus bekerja. Nak dekat dengan ibu saja. Dekat dengan Qays...
Issh Cik Hati dah kenapa masukkan Qays? Tampar Cik Akal.
“Bu, Isha ingat nak berhenti kerja. Isha jaga ibu.”
“Eh, tak payah. Ibu masih kuat jaga diri sendiri. Lagipun Qays rekomen Isha kerja tu. Nanti apa pula
kata dia. Kerja elok-elok, dah nak berhenti.”
“Laa ibu ni, Isha cuma guna sembilan perkataan saja. Ibu dah melalut lebih daripada dua puluh perkataan. Nak berhenti jer pun.” Isha dah tepuk dahi.
“Jadikan ibu sebagai alasan? Alasan sebenar sebab Faaz, kan?”
“Mana ada...” Ah, ibu ni macam boleh baca sebab sebenar. Naluri seorang ibu katakan.
Tiba-tiba telefon Ifza berbunyi. Mesej. Ifza lihat skrin. Ish degil betul orang tua ni.
“Siapa kak?”
“Qays. Masih berkeras nak hantar kak ke airpot. Esok flight pukul 6 pagi kot. Dia nak tidur dalam kereta kat sinikah?” Ifza lepas geram.
Isha ketawa. Betullah orang kata, belum dapat semua sanggup. Dah dapat, suami jalan di depan. Tinggal isteri urus anak-anak di belakang. Sedih. Hai, masih adakah suami zaman sekarang yang nak jalan seiring? Jaga amanah Allah dengan baik? Ada kot. Mak ai dah bau syurga untuk Kaum Adam ni.
Haziqah senyum. Berdoa janganlah Qays tu buat kerja gila.
“Dia boleh buat Solat Tahajud kat sini. Doa minta kakak.” Usik Isha
“Hah! Isha tu juga kena suruh Faaz buat. Doa minta Isha.” Dengus Ifza. Dia capai telefon balas mesej Qays dengan dua perkataan saja – NO
Aip, belum satu saat, Qays dah telefon pula. Gila macam ni!
“Jawap saja Ifza.”
“Ya jawap phone tu. Kasihan Abang Qays. Ingat, pernikahan fitrah manusia. ”
“Isha pun kena kahwin!”
Ifza tarik telinga Isha. Geram. Ah, ini semua salah Qays. Dia keluar membawa telefonnya. Tak boleh lepas geram depan ibu. Takut dia yang kena bebel.
Hai, pening nak bawa arah cerita ini ????????
Share this novel