Haziqah menyeka air mata. Entah untuk keberapa kali. Dia cuba kosongkan jiwanya. Tutup semua pintu derita. Tidak perlu ada segelumit pun perasaan. Biarkan...
Jangan bohong. Pintu derita tak boleh tutup. Suami yang dia cinta telah bukakannya seluas mungkin. Pintu itu akan terbuka luas. Tidak ada lagi bahagia.
Ah, kenapa suami beralih arah? Sanggup menerjangnya ke lautan luka dan duka ini. Kenapa suami mesti ucapkan cinta sedang cinta itu telah lama bukan miliknya? Tak adil baginya. Tak adil! Sakitnya... Ya Allah...
Isha lepas keluhan lagi bila melihat air mata ibu. Dipeluk ibu yang tidak mahu bicara apa-apa. Jiwanya memberontak. Dia mahu menjerit sekuat hati. Dia mahu bersemuka dengan abah yang kejam menyakiti ibu. Tapi dia tidak mampu. Tak, bukan sebab tak mampu tapi dihalang kakak. Dia tidak faham mengapa mereka yang harus berundur? Kenapa biarkan abah dan perempuan gila itu lepas begitu saja? Ah, dia tak boleh terima! Sama sekali tidak! Yang hairan kenapa kakak tidak melenting pada abah? Kakak tidak rasa apa yang dia dan ibu rasakah? Boleh pula kakak suruh dia bersabar! Nak sabar apa kalau abah bohong mereka selama ini atau mungkin kakak dah tahu? Sebab itu kakak tak terperanjat dengan kecurangan abah? Iya dia yakin kakak mesti dah tahu! Kakak bersubahat dengan abah mempermainkan hati ibu? Sampai hati kakak.
Kerlingan tajam menerkam kakaknya yang duduk sebelah Qays. Kemarahan menerjang jantung. Berkali-kali hingga terasa perit. Hati menjerit-jerit mahu penjelasan tapi dia harus sabar. Hati ibu harus dijaga. Tidak mahu ibu bertambah derita.
Ifza semestinya tidak tahu yang dia sudah termasuk dalam senarai kemarahan adik sendiri. Dia juga dalam dilema. Penerimaan ibu amat menakutkan dirinya. Ternyata ibu pendamkan segala kesakitan dan kelukaan hatinya. Ibu tidak luahkan. Ibu tidak memberontak marah abah mahupun dengan isteri muda abah. Ya Allah, apa harus dia buat.
Akhirnya mereka tiba di rumah dan sebaik saja ibunya masuk, Isha terus menarik lengan Ifza. Semua soalan yang bersarang di hati minta jawapan.
“Selama ini kakak tahu kan abah kahwin lain?”
Menerjah pertanyaan Isha. Membulat melihat Ifza.
“Betulkan kata Isha? Kakak subahat dengan abah. Tipu ibu. Tipu Isha.” Bertambah marah bila Ifza hanya berdiam diri.
Qays yang dengar mula rasa tidak selesa. Tidak gemar dengan nada tinggi Isha. Kalau boleh dia mahu mempertahankan insan yang dia cinta.
“Kakak tak tahu abah kahwin lain.” Ujar Ifza perlahan.
“Tapi dah lama kan kakak tahu perangai buruk abah?”
Nada Isha tetap tinggi. Api kemarahan kepada abahnya mula merebak kepada kakaknya.
Ifza diam. Rasanya tidak perlu dia bertegang leher dengan Isha lebih-lebih di depan Qays. Sejujurnya dia malu dengan Qays. Lelaki ini tidak sepatutnya dibawa ke dalam kemelut hitam keluarganya.
“Kenapa kakak diam? Kakak jangan nak berlakon macam abah! Pura-pura baik padahal jahat!” Isha terus mendesak. Menarik lengan Ifza bila Ifza mahu melangkah masuk.
“Isha, enough! You barking at the wrong tree.” Qays cuba pujuk Isha.
Tapi Isha tengah marah. Tak mungkin dapat dipujuk.
“Abang Qays, Isha tak tahu kenapa kakak tak beritahu Isha, tak beritahu ibu?”
“Tentu ada sebab.”
“Sebab apa?” Teriak Isha. “She’s very selfish, Abang Qays.”
Isha baling tuduhan dengan pandangan tajam. Sekarang kakak sendiri dijadikan musuh.
“Isha nak kakak buat apa? Musnahkan kebahagiaan ibu? Isha, ibu terlalu sayang abah. Ibu seorang isteri yang setia. Terlalu setia. Kakak tak sanggup lihat penderitaan ibu kalau kakak beritahu ibu.”
“Habis tu, kenapa dengan Isha pun kakak sembunyi? Apa hak kakak? Kalau dulu kakak beritahu Isha, tentu kita boleh buat sesuatu. Tentu kita boleh ubah abah.” Jerit Isha kasar.
“Abah tak kan berubah. Lelaki seperti abah tak kenal perkataan setia. Isha, kakak pernah beberapa kali lihat abah masa kakak belajar dulu. Setiap kali dengan perempuan lain. Ada yang jauh lebih muda daripada Isha.”
“So. kakak biarkan ibu terus diperbodohkan atau, kakak memang suka abah terus curang dengan ibu?” Bentak Isha.
Sakitnya Ifza dengan tuduhan adik. Spontan tangan menampar Isha. Spontan juga dia merasa bersalah dan menyesal.
“Isha, kakak minta maaf.”
Ifza rayu. Tidak pernah dia bertindak begini terhadap adik sendiri. Dia cuba meraih tangan adiknya tapi Isha menolak dan lari ke dalam rumah.
“Awak, biarkan. Isha tengah marah tu. Awak tak boleh nak reason dengan dia sekarang. Dia tak kan terima.” Kata-kata Qays berhentikan langkah Ifza.
“Ya Allah, apa saya dah buat? Isha betul, saya tak sepatut sembunyi.”
Keluh Ifza. Menyandar di kereta. Terketar-ketar tangan yang menampar Isha. Dia peluk diri sendiri. Membukit penyesalan meruntun hatinya.
“Awak buat sebab awak nak lindungi ibu awak.” Ujar Qays.
Qays sandar sebelah Ifza. Masukkan kedua-dua tangan di dalam poket seluar. Lebih selamat di situ kerana keinginan hati lelaki hanya mahu memeluk Ifza erat.
“Daripada lelaki yang sepatutnya lindungi dia.”
“Isha, abah awak juga manusia biasa. Ada kelemahan. Ada kekurangan.”
“Itu bukan alasan. Allah bagi manusia otak untuk beza yang mana baik, yang mana tak. Bagi kita pilihan. Abah hanya tidak mahu gunakannya. Realitinya abah tak mahu ibu. Cinta ibu tak kuat untuk ikat abah. Saya dan Isha juga bukan anak yang terbaik untuk abah. Abah nak anak lelaki. Penyambung zuriatnya.”
Kenyataan itu menyakitkan. Pandangan jadi kabur dek air mata. Ya Allah, sesungguhnya dia tidak mahu begini tapi dia tidak berdaya menahan diri.
Sayu Qays melihat. Dia sama sekali tidak mahu Ifza sedih begini. Dia mahu Ifza yang pertama kali dia bertemu. Garang, degil, ego dan suka melawan cakapnya. Masa tu dia beranggapan Ifza seorang yang berpendirian tegas, tidak mudah mengaku kalah dan tidak akan lemah dalam apa keadaan sekalipun tapi ternyata tidak.
“Ifza, boleh awak izinkan saya lindungi awak?”
Memang dialog ini tidak sesuai dalam keadaan sekarang tapi dia ikhlas.
Spontan tubuh Ifza jadi tegang. Eh, ini dialog apa? Apa maksud sebenar lelaki ini? Ah, tak perlu nak analisa. Masalah yang ada sudah cukup menjerat perasaan dia.
“Tak. Awak pergilah balik!” Bentak Ifza.
“Awak nak ikut saya balik?” Tanya Qays serius.
“Awak nak saya tampar awak pula?”
Pertanyaan diajukan dengan pertanyaan juga dengan wajah serius. Issh boleh pula lelaki ini buat soalan bodoh!
“Tak sayang. Sebab saya tak nak awak buat dosa sentuh saya.“ Ujar Qays sebelum membuka pintu kereta. Dia beri salam sebelum memandu pergi.
Tiba saja di rumah Qays terus ke biliknya. Fikirannya kacau. Ingatan masih kepada Ifza. Nak buat apa sekarang? Paksa, pujuk atau terima dan biarkan Ifza. Biar cintanya kepada Ifza jadi statik. Bolehkah? Ah, tak boleh bohongi diri sendiri. Dia mahu cinta Ifza.
Cinta yang Cik Ifza tidak mahu, Encik Qays. Bukan hanya kepada Encik Qays tetapi kepada mana-mana lelaki yang menagih cintanya. Itu realiti Cik Ifza.
Habis macam mana? Tak kan nak putih mata sampai bila-bila? Tak kan nak biar hati Ifza terus kaku dan beku. Ifza berhak bahagia walaupun dengan lelaki lain. Qays geleng lemah. Kasihan diri sendiri kalau kebahagiaan bersama Ifza itu bukan miliknya.
“Eh, bukan Qays kata ke Genting Highlands dengan Auntie Iqah dan anak-anak dia?”
Soal datin dari muka pintu. Hairan. Dia melangkah masuk dan duduk di birai katil. Perhati anak yang kelihatan resah.
“Dah pergi tapi terpaksa balik. Umi, kita orang terserempak dengan Uncle Hafiy dengan isteri muda dia kat sana. Dia ada anak lelaki.”
Terkesima datin. Hafiy kahwin? Masakan?
“Betulkah?”
“Betul umi. Mereka tentu dah lama kahwin sebab anak lelaki yang dia bawa tu mungkin sama umur dengan Ira Hanis, anak bongsu Zafri. Entah-entah ada lagi anak lain yang dia tak bawa sama, manalah kita tahu.”
“Kasihan Iqah. Dia tu sayang sangat dengan suami dia. Apa lagilah yang Hafiy tu nak?” Rungut datin.
“Nak yang mudalah umi. Isteri muda dia tu mungkin tua sikit saja daripada Ifza.”
“Issh tak sangka gatal juga Hafiy tu? Kalau umi di tempat Iqah tu, memang nahas umi kerjakan. Tak mainlah umi nak pendam rasa. Buat lagi sakit jiwa, buat apa!” Melenting datin.
“Sabar umi. Qays yakin abi tak macam Uncle Hafiy tu.”
Laa ke situ pula anak ini bawa jalan cerita. Dia percaya suami tidak akan ke arah itu. Issh kena doa banyak-banyak agar dugaan tidak ke arah itu. Dia percaya kekuatan hamba Allah ialah doa yang ikhlas dan bersungguh-sungguh.
“Isha dan Ifza, macam mana? Tentu mereka marah dengan abah mereka.”
“Isha yang terlebih marah. Kasihan Ifza. Dia jadi mangsa kemarahan adiknya.”
“Kenapa?”
“Ifza pernah lihat abahnya curang semasa dia belajar di kolej. Dia rahsiakan. Itu yang Isha marah. Tuduh kakaknya bersubahat dengan abah mereka.”
“Ya Allah. Isha sepatutnya faham. Kalau umi di tempat Ifza, umi pun tak sanggup nak beritahu. Iqah tu sayang dan setia sangat dengan suaminya. Takut juga Iqah tu tak percaya dengan cakap anaknya. Dah kelain pula jadinya.”
“Itulah fasal. Kasihan Ifza...” Mendayu bicara Qays.
Dia ke jendela. Tolak daun jendela. Melurut angin masuk. Sejuk. Ingin sekali dia mendapatkan Ifza ketika ini. Peluk Ifza erat. Hapuskan kekecewaan dan kesedihan gadis itu.
“Umi, Qays dah jatuh cinta dengan tunang kertas Qays.”
“Really?” Tergamam Datin Jaseena.
Wah, inilah pertama kali Qays mengaku dia cinta seseorang. Bersyukur cinta Qays milik Ifza. Dia senyum namun senyumannya mati bila dia melihat riak sedih Qays.
“Gadis degil tu tentu tak nak cinta Qays. Dia dah bina tembok yang sukar untuk Qays tembusi sejak pertama kali Qays jumpa dia. Qays tak nak kehilangan dia, bu.”
“Qays jangan give up. Cuba sedaya upaya. Abi Qays kan kata, apa-apa yang kita buat, kita nak, mesti kena minta dekat Allah. Selepas itu berusha bersungguh-sungguh. Tapi kalau Allah tidak izinkan jadi hak kita, mesti ada sebabnya. Qays kena redha.”
“Nak redha dengan penolakan Ifza tu yang susah. Qays nak dia bahagia dengan Qays. Bila Qays lihat dia menangis tadi, Qays rasa macam nak peluk dia. Nak bawa dia balik sini. Nak…”
“Buat dosa?” Datin Jaseena kerling meninggi. Budak ni memang nak kena ketuk.
“Taklah umi. Qays cuma nak Ifza tahu, Qays ada untuk dia. Qays nak lindungi dia. Qays tak kan buat kat dia macam mana abah dia buat. Qays akan setia dengan dia sebagai seorang suami selagi Allah izinkan Qays bernafas di bumi ini.”
“Emm nampaknya anak umi dah benar-benar di alam percintaan. So, Qays kena banyak berdoa. Minta kat Allah. Umi juga akan doa untuk Qays. Tapi yang penting sekarang, kita cuba tolong mereka. Qays fikir ok tak kalau umi call Iqah? Mungkin dia perlu seorang kawan untuk meluahkan perasaannya.”
“Biar dululah umi. Beri auntie masa.”
“Iyalah. Harap-harap Iqah tu tabah hadapi semua ini.”
Harap-harap Ifza juga kuat. Bisek Qays. Hai, rindu mula bertandang. Ingin sekali berada di sisi insan yang dicintainya. Peluk dia. Tenangkan dia. Aduh parah rindu ini...
Selepas Qays pergi, Ifza menaiki anak-anak tangga menuju ke bilik ibunya. Dia menyandar di daun pintu. Sesak dada dihimpit perasaan bersalah. Kaki tidak berdaya berdiri. Melurut tubuh ke lantai. Memeluk kedua-dua lutut. Kepala dah berlabuh di atasnya. Ibu dan Isha terus mengunci diri di dalam bilik masing-masing. Tidak hirau dengan panggilannya mahupun rayuannya. Ternyata dia tidak diperlukan. Peritnya perasaan dibuang insan-insan yang dia sayang. Ya Allah...
Telefonnya berdering lagi. Dah dapat agak siapa yang telefon. Semestinya abah. Kapten kapal yang berjaya membuang anak-anak kapal ke lautan luas. Terkapai-kapai mencari arah.
“Abah berhenti call, boleh tak? Ibu tak nak cakap dengan abah.”
“Abah tahu tapi Ifza kena tolong pujuk ibu. Ibu kena dengar penjelasan abah.”
“Abah, kan Ifza dah kata. Ibu kurung diri dia dalam bilik. Tak nak keluar. Isha pun sama. Kenapa tak abah saja balik sini?” Pinta Ifza. Itu jalan terbaik.
“Abah tak boleh. Ariq tak sihat…”
Ifza terus matikan talian. Kalau nak beri alasan, berilah yang tidak menyakitkan hati. Macam dicarik gegendang telinga dengar nama anak lelaki abah. Anak lelaki abah tak sihat atau abah dah dirantai kaki oleh isteri muda abah? Daripada pandangan pertama dia dah dapat agak isteri muda abah macam mana. Perempuan tu tak kan bagi abah balik rumah. Perempuan jenis tu mesti nak menang saja. Tak mainlah nak mengalah walaupun dia tahu, dia ambil hak orang. Eee kenapalah tak pi kutip lelaki single atau duda untuk dibuat suami? Apalah yang dia nampak dekat abah. Abah dah nak masuk separuh abad kot. Tolonglah jangan kata cinta tu buta. Dia tak percaya. Biarlah orang kata dia bodoh. Dia tetap dengan pendiriannya. Nak bercinta, buka mata atau lebih baik butakan mata tu daripada bercinta. Manusia tak kan mati kalau tak bercinta.
Ah, melalut ke mana dah ni! Ifza mengeluh kasar. Sekarang bukan masa nak fikir tentang perempuan yang bersama abah tu. Dia berdiri. Cuba lagi. Diketuk pintu bilik ibu perlahan-lahan.
“Ibu, tolonglah bagi Ifza masuk. Ifza risau...”
“Ifza pergi tidur.”
“Tapi... ”
“Ibu... ok. Pergi tidur.”
Ifza sandar dahi ke daun pintu. Dia tahu ibu tak ok tapi dia tak boleh buat apa-apa. Ibu nak sesiapa ketika ini. Ikut saja.
“Baiklah. Selamat malam bu.”
Dia berjalan ke bilik Isha. Diketuk daun pintu. Tiada jawapan. Tentu masih marah. Dia tunduk. Semakin menyesal menampar adiknya tadi. Dia ke biliknya. Dia mengambil wuduk. Capai Al-Quran. Membacanya itu lebih baik. Berdoa semoga Allah memberi dia, ibu dan adiknya kekuatan menghadapi dugaan ini.
Selesai saja solat subuh keesokannya, Ifza terus turun. Hari ini dia akan menyediakan sarapan. Berdoa ibu dan Isha akan keluar sarapan. Tidak terus memenjarakan diri dalam bilik. Namun langkahnya terhenti bila melihat ibu tidur di atas sofa panjang di ruang tamu. Hati terus dipanah kesedihan. Sayu melihat penderitaan ibu.
Dia mendekati ibunya. Duduk bersimpuh di atas lantai di tepi sofa sambil merenung wajah ibunya. Cik Hati merintih sedih. Kenapa abah sampai hati menyakiti hati ibu yang terlalu mencintainya? Kenapa abah tidak boleh setia dengan ibu saja kalau abah benar-benar cinta ibu? Kenapa?
So kakak biarkan ibu terus diperbodohkan abah atau kakak memang suka abah terus curang dengan ibu?
Bentakan Isha kembali bermain. Semalaman kata-kata Isha itu berlegar hingga dia tidak boleh tidur. Ya Rabbi, betulkah tindakannya?
Haziqah terjaga. Sapu kelopak mata. Urut dahi. Pening.
“Ifza...” Panggil Haziqah perlahan.
“Maafkan Ifza bu. Maafkan Ifza.”
Ifza memeluk ibunya. Air mata berkolam di kelopak mata mengalir juga.
Haziqah lurut rambut anaknya. Tangisan anaknya melayari kesedihan ke lubuk hati. Dia sedar bukan dia saja yang terluka tetapi anak-anaknya juga turut terasa kesakitan perbuatan abah mereka.
“Bukan salah Ifza.”
“Salah Ifza bu. Ifza dah lama tahu tentang kecurangan abah. Ifza pernah lihat abah dengan perempuan-perempuan lain. Ifza tahu abah tipu ibu banyak kali tapi Ifza diamkan. Ifza tak sanggup nak beritahu ibu. Ifza tak nak ibu menangis kerana abah.” Meluru bicara Ifza bersama serak tangisnya.
“Ibu tak perlu menangis sekarang jika kita berdua berdepan dengan abah dulu! Kita boleh suruh abah berhenti perangai buruknya. Kakak tak patut sembunyi perangai buruk abah. Memang kakak salah!” Dengus Isha tiba-tiba.
Pantas dia mendekati ibu dan kakaknya. Bersilang tangan di dada. Masih marah. Masih tidak dapat terima. Masih terasa sakitnya ditampar kakak.
Ifza diam. Iya dia memang salah. Dia sepatutnya berdepan dengan abah. Dia sepatutnya merayu kepada abah supaya tidak curang dengan ibu. Dia sepatutnya buat sesuatu bukan hanya berdiam diri. Bukan hanya membina kebencian di dalam hati. Bukan hanya berpeluk tubuh menyaksikan sandiwara abah. Ya Allah…
Ifza menutup wajah. Menangis semahu-mahunya. Ia dia turut bersubahat dengan abah. Dia turut menyakiti hati ibu.
Luka Haziqah semakin dalam bila mendengar pengakuan anaknya. Tega sungguh suami memperlakukannya begitu. Tega sungguh suami menjatuhkan maruahnya sebagai seorang isteri. Tega sungguh suami membohonginya bertahun-tahun. Suami yang mengakui hanya mencintai dirinya, rupa-rupanya telah menabur cinta merata-rata. Begitu murahnya nilai cinta suami. Ya Allah…
“Maafkan Ifza bu. Ifza berdosa…”
Haziqah memeluk Ifza erat sebelum bangun dan mendapatkan Isha. Merangkul wajah anak bongsunya.
“Jangan salahkan kakak kamu Isha. Dia hanya nak jaga hati ibu.”
“Tapi dia boleh beritahu Isha. Isha boleh cakap dengan abah. Minta abah berhenti.”
“Dengar sini sayang, Isha mahupun Ifza tak akan dapat mengubah jika abah kamu sendiri tak nak setia dengan ibu. Cinta ibu tak cukup kuat.”
Isha bagai mahu mengata sesuatu tapi tidak jadi. Dia tahu kata-kata ibu memang betul. Lihat saja Faaz. Faaz juga pernah ucap perkataan setia bukan sekali tetapi berkali-kali tapi Faaz sendiri yang pijak perkataan itu bila Nisreena muncul. Setia Faaz ibarat air terjun. Mengalir dan terus mengalir. Mungkin setia abah juga begitu.
Haziqah tinggalkan anak-anaknya. Dia naik ke atas. Dia tidak boleh menangis di depan mereka. Dia sedar tangisannya akan menambahkan lagi kesedihan anak-anaknya. Kalau hanya semua ini mimpi. Bukan kenyataan. Kalau hanya...
Ah, tak! Apa yang berlaku, tetap berlaku. Takdir. Tak ada istilah kalau. Dia kena doa kerana teringat ajaran arwah bapa dulu. Kata arwah -
Nabi SAW menjelaskan betapa besarnya kuasa doa sehingga mampu mengubah sesuatu takdir. Daripada Thauban R.A, Rasulullah SAW bersabda riwayat Ibn Majah (4022), Ahmad (22745) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9752) yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang itu boleh terhalang daripada rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya. Tidak ada yang dapat menolak takdir kecuali doa.”
Iya, kena banyakkan doa. Jangan putus harap kepada Allah. Mohon Allah kuatkan hatinya. Kuatkan hati anak-anaknya.
Sepanjang hari, Haziqah lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik. Begitu juga dengan anak-anaknya. Masing-masing duduk dalam kegelapan yang tidak ada lagi cahaya kebahagiaan semalam.
Keesokan hari, Hafiy muncul. Itu pun setelah Ifza dan Isha sudah ke tempat kerja. Dia tidak mahu berdepan dengan pemberontakan mereka terutama pemberontakan Isha. Dia mesti selesaikan masalahnya dengan Haziqah dahulu.
Haziqah tidak menyambut kepulangan suami seperti selalu. Dia tetap duduk di atas sofa. Perasaan bergolak bagai badai yang menggulung menghamparkan perasaan sedih dan kecewa Namun dia dah nekad dia tak kan lemah. Tidak boleh biar suami terus bodohkannya. Tidak boleh.
Mahu tak mahu dia kerling melihat suami bila suami duduk di sebelahnya. Wajah suami terpahat penyesalan. Terpahat derita. Untuk apa? Untuk siapa? Untuk dirinya? Hah, tentu sekali tidak! Sandiwara suami hanya menyakitkan hati.
“Iqah, tolong maafkan abang. Abang tak bermaksud nak menyakitkan hati Iqah. Bohong kat Iqah. Abang sayang Iqah...”
“Iqah tak nak tinggal dalam rumah ni lagi.”
Haziqah melintas bicara. Perkataan sayang yang diucap suami seperti satu sumpahan.
“Iqah…” Terkejut Hafiy.
Ya Allah tidak pernah dia menyangka ini yang akan keluar daripada mulut Haziqah.
“Iqah hamba Allah yang takut durhaka kepada suami. Tapi, Iqah juga hamba Allah yang ada perasaan. Iqah tidak boleh terima penipuan dan kecurangan abang selama ini. Iqah sedar Iqah tak sempurna bagi abang. Kesetiaan Iqah, abang letak bawa tapak kaki abang. Kasih dan sayang Iqah, abang pijak-pijak. Tak bererti apa-apa pun.”
“Tak sayang. Iqah isteri yang paling sempurna. Abang yang salah. Abang yang jahat. Abang minta maaf.”
Minta maaf tanpa penyesalan. Untuk apa? Lagipun kenyataan tak kan berubah. Hati tetap sakit. Jiwa tetap merana.
“Iqah dah tak percaya pada abang. Izinkan Iqah pergi.”
Hafiy cuba meraih tangan Haziqah. Haziqah tidak benarkan malah Haziqah menjarak dirinya.
“Sayang, tolonglah jangan begini. Iqah tinggal di sini, ok. Ini rumah Iqah.”
“Tak! Ini rumah abang. Semua yang ada dalam rumah ini, hak abang termasuk Iqah! Cuma sekarang, Iqah tak nak jadi patung perhiasan kat rumah ni. Iqah tak nak! Iqah tak mahu terpenjara dalam rumah ini lagi. Abang izinkan Iqah pergi. Iqah perlu cari diri Iqah sendiri. Iqah perlu ruang untuk maafkan abang. Sekarang, walau berjuta maaf yang abang minta, Iqah tak boleh beri. Hati Iqah sakit. Cinta Iqah yang selama ini milik abang dah jadi penyakit. Bunuh jiwa Iqah. Iqah mesti pergi. Abang izinkan Iqah.” Pinta Haziqah. Air mata merembes keluar. Inilah pertama kali dia meninggi suara kepada suami sendiri.
Hafiy ditampar penyesalan yang bagai tidak ada noktah. Hatinya juga sakit. Tapi ini semua salah dia. Nafsu dia yang buat dia kehilangan cinta Haziqah. Cintanya kepada Haziqah tidak pernah padam. Tidak pernah pudar. Sukar baginya mengizinkan Haziqah pergi. Rumah ini rumah mereka. Kebahagiaan mereka tapi kini Haziqah tidak mahu lagi kebahagiaan itu. Sakitnya.
“Abang izinkan. Tapi Iqah nak kemana?”
Hafiy terpaksa benarkan. Dia tahu dia tidak boleh terus seksa insan yang penah cinta dan percaya dirinya. Pernah... Ya Allah...
“Abang tidak perlu tahu.”
Haziqah terus keluar. Dia hanya membawa sebuah beg kecil yang Hafiy tahu beg itu hadiah daripada Isha dulu. Tentu kandungan dalam beg kecil itu tidak ada barang pemberiannya.
Hari itu, buat pertama kali Hafiy melihat Haziqah keluar meninggalkan rumah mereka. Selalunya Haziqah yang melihatnya pergi. Mencium pipi dan tangannya. Mendoakan keselamatannya. Mengucap kasih dan sayang. Melambai dengan senyuman yang manis tapi sekarang dia kehilangan itu semua. Dia kehilangan Haziqah. Haziqah pergi tanpa menoleh melihatnya.
Hafiy meraup wajah yang pucat lesi. Penyesalan sudah berbukit. Sudah bergunung. Jika dia dapat memutar masa tentu dia akan setia dengan Haziqah saja. Dia akan sentiasa balik kepada Haziqah.
Jangan bohong! Awak jenis lelaki yang tak kenal erti setia. Awak tabur perkataan cinta merata rata ikut suka awak. Bentak suara di dalam.
Ya Allah...
Hi guys. Berjam-jam fikirkan arah cerita ini. So come out with this. Emm bab ni agak padat. Hahaha itulah Cik Akal twist banyak ayat sangat. Cik Hati dah cuak you guys pening. But please bear with me. Oh ya, thanks for everyone that drop comments and coins. Please don't stop hahaha...
Share this novel