Bab 4

Romance Completed 51617

Bab 4

Sepanjang perjalanan pulang dari KLIA,Meor memerhatikan Tuan Adam Harris tidak betah duduk,sekejap memandang keluar tingkap kereta dan sekejap melihat jam.Resah.Pengantin barulah katakan,detik hatinya mengukir senyuman.

Selama dua hari tanpa berita,Adam mulai rasa bersalah.Hatinya tidak keruan.Hendak dihubungi,silap dia juga kerena tidak meminta nombor telefon Damia.Adam Harris mengeluh perlahan.

Setibanya di kondo,Adam segera membuka pintu,melangkah masuk ke dalam rumah.Suasana malap di dalam rumah.Dipetik suis lampu,Adam terlihat Damia sedang lena di sofa.Dia tersenyum lega melihat wajah tenang isterinya,pertama kali melihat isterinya tanpa selendang yang menutupi rambutnya yang ikat.Cantik,detik hati lelakinya .Adam menghampiri Damia,diamati wajah wanita itu.Perasaan bersalah menerjah ke sanubarinya,menuduh Damia sedemikian rupa.Berkerut dahi Adam melihat wajah pucat Damia.Perlahan diletakkan tangannya ke dahi Damia.

“Panasnya.”Katanya perlahan.Adam buntu sesekali diusap jambang sambil otaknya ligat memikirkan apa yang perlu dilakukan.Walau apapun,Damia kini di bawah tanggungjawabnya.Suka atau tidak,dia tiada pilihan.

Telefon dicapai, Adam menghubungi doktor peribadi memintanya datang segera ke kondo.Sementara itu,Adam cuba mengejutkan Damia,namun tiada respon.Dengan rasa teragak-agak sambil mengaru kepala yang tidak gatal,Adam melepas keluhan dan mendukung Damia membawa ke bilik.Kemudian Adam ke dapur mengambil air panas dan membawakan ke bilik.Dicapai tuala dan dicelupkan ke dalam air tersebut.Dengan cermat Adam memerah air sebelum meletakkan tuala kecil di dahi Damia.

Kedengaran bunyi loceng di pintu utama,Adam Harris bergegas keluar membuka pintu,Doktor Lim tersenyum sebaik sahaja Adam membuka pintu.

“Kamu sakit ke?”tanya doktor Lim kehairanan.Melalui pengamatannya Adam tiada tanda-tanda sakit.Adam Harris menggaru kepalanya buat sekian kali.Serba salah dibuatnya,namun saat begini dia tiada pilihan.

“Bukan.Jom ikut saya.”Balas Adam Harris sebelum memimpin tangan kiri doktor Lim ke bilik.Berubah wajah doktor Lim,sempat dia monolog.

“Selalunya Adam tidak begini.Sangat gelisah dan tidak keruan.”Bisik hatinya.

Memasukki kamar bilik,doktor Lim terpaku melihat sekujur tubuh wanita terbaring di atas katil.Bertambah kerutan di dahinya cuba merungkai apa yang terjadi.Pandangannya beralih ke arah Adam Harris seolah meminta penjelasan.


“Tolong periksa keadaan isteri saya doktor?”Tanya Adam.

“Isteri kamu?”Terkejut doktor Lim,Adam mengangguk kepala.

“Nantilah saya ceritakan,sekarang macam mana keadaan dia.”Pinta Adam dengan nada perlahan.Doktor Lim mengeluarkan stetoskop dari beg dan memeriksa Damia.Doktor Lim juga memeriksaan tekanan darah dan suhu badan Damia.Adam Harris hanya memerhatikan isterinya diperiksa oleh doktor peribadi keluarganya.

Doktor Lim bangkit dan menyimpan peralatan di dalam beg.Sempat dia menjeling Adam yang dari tadi memandangnya.Dari riak wajah,sudah dapat dibaca oleh doktor muda itu.Tanpa dipinta,Doktor Lim akhirnya bersuara.

“Suhu badanya masih tinggi,tekanan darah dia rendah sangat.Mungkin dia stress.Pastikan dia banyakkan berehat diberi ubat setiap enam jam.”Arah doktor Lim.Adam menganggukkan kepala tanda faham akan arahan yang diberikan oleh doktor.Setelah itu,dia menghantar doktor Lim hingga ke pintu.

“Doktor,tolong rahsiakan semua ini.”Pinta Adam bersungguh.

“Ok Adam.Tapi kamu kene cerita apa yang terjadi.Apa pun,cantik isteri kamu.”Seloroh doktor Lim.Adam tersengih menyembunyikan perasaannya.Adam menutup pintu dan kembali semula ke kamar Damia.Malam ini dia perlu memantau isterinya.Adam merebahkan tubuh ke sofa di sisi katil.Sesekali Adam merubah posisi baringan mungkin disebabkan tidak selesa tidur di sofa.Matanya merenung wajah Damia,hatinya masih cuba merungkai misteri kewujudan Damia hingga dia terlena.

“Mak,mak,mak,jangan tinggalkan Mia,”Adam terkejut mendengar Damia mengigau memanggil nama arwah ibunya.Bingkas dia bangun dari sofa menghampiri isterinya.Perlahan-lahan Adam mengusap rambut Damia.

Adam Harris bacakan zikir dengan suara yang perlahan bimbang Damia terjaga.Setelah beberapa ketika,Damia lena kembali.Adam menatap wajah Damia sambil hatinya berdetik
“ Mungkin demam rindu,”.

Perkataan ‘rindu’yang terkeluar dari mulut menyebabkan dirinya tersentak kerana saat ini Adam Harris jua teramat rindukan Ayu Safira.Rindu yang tidak bisa diungkap dengan kata-kata.Jika diberi peluang dia bersua dengan Ayu,pastinya akan dipeluk erat arwah isterinya.Tanpa disedari,matanya mulai dipenuhi cecair jernih yang mengambarkan perasaannya.Adam bingkas bangkit dan merebahkan diri di sofa.Dia merenung kipas yang berputar,perasaannya merewang mengenangkan kenangan indah bersama Ayu tanpa menghiraukan malam yang semakin tua.

******

Damia terasa tubuhnya dingin,mungkin lama dia terlena di sofa.Perlahan-lahan dia membuka kelopak mata dan terkejut melihat Adam Harris masih tidur lena di sofa kamarnya.

“Macam mana aku boleh ada dalam bilik dan bila masa dia ni balik,”bisik hati Damia.Berkerut dahinya cuba mengingati apa yang berlaku kepadanya.Dia cuba bangun perlahan-lahan tanpa menganggu lena Adam,kepalanya masih terasa berat,tangan kanan memicit kepala.

“Dah bangun,”tegur Adam dengan nada yang lembut.Walaupun terasa agak kekok,namun Adam cuba bersahaja.

“Sudah,”jawab Damia ringkas,dia malu memikirkan kemungkinan Adam yang membawanya ke bilik.Tangannya pantas mencapai selendang di sisi katil dan menutupi rambut. Adam memandangnya dengan senyuman.Geli hati melihat tindakan spontan Damia.Wajahnya berubah kemerahan menahan malu. Adam bangun dan duduk bersandar di sofa sambil mata nakal terus melihat Damia yang tidak keruan itu.

“Isk!kenapa pandang-pandang aku pulak.”Gomel Damia di dalam hati.Tanpa melihat Adam,Damia bangkit dan berjalan perlahan menuju ke kamar mandi.Dalam hati masih membara rasa marah mengenangkan kata-kata Adam tempoh hari.

“Harap-harap bila aku keluar,hantu sengal tu dah takda dalam bilik aku.”Katanya perlahan,bimbang jika Adam Harris terdengar.

Setelah selesai membersihkan diri,perlahan-lahan Damia membuka pintu bilik air,dijenguk ke dalam kamarnya,manalah tahu masih ada kelibat hantu sengal itu.Setelah yakin bilik kosong.Damia tersenyum dan melangkah keluar dari bilik air.Segera dikunci biliknya,bimbang juga jika Adam masuk secara tiba-tiba.

Damia masih teragak-agak hendak keluar dari biliknya.Bimbang jika bertembung dengan Adam Harris,apa yang perlu dia lakukan.Terasa lenguh kakinya ulang alik dari tadi,dilepaskan keluhan kecil.

“Perut aku ni dah nyanyi lagu pop rock,kalau aku duduk dalam bilik ni memang mati kebuluranlah.”Kata Damia sendirian.Dia mula melangkah,tangan memulas tombol pintunya.Lantaklah jika aku terpaksa mengadap hantu sengal tu,gomelnya di dalam hati .Damia keluar tanpa menoleh ke kamar Adam Harris,dia terus menuju ke dapur menyediakan sarapan.

Adam Harris keluar dari kamarnya,bau nasi goreng kampung menerjah ke lubang hidungnya.Serentak itu,perutnya menghantar isyarat ke otak pinta diisi makanan.Sel-sel otaknya berhubung dengan pantasnya menyebabkan kakinya melangkah menuju ke meja makan.Adam Harris duduk menanti makanan di hidangkan oleh Damia.Tiada sebarang reaksi di wajah Adam,Damia berasa janggal melihat Adam.Setelah dihidangkan makanan,Damia segera melangkah menuju ke kamar.Selera makannya terbantut setelah melihat Adam.

“Tunggu!”Arah Adam Harris yang terus menjamah makanan tanpa melihat Damia.Spontan langkah Damia terhenti dan dia berdiri tegak.Matanya sempat melihat Adam Harris yang khusyuk menikmati sarapan,kelu lidahnya hendak melontarkan bicara.

“Duduk,”arah Adam Harris.Damia akur sekali lagi.Sedap juga budak ni masak,detik hati kecil Adam Harris. Hampir lima belas minit suasana hening tanpa ada sebarang perbualan di antara mereka.Setelah selesai dia menjamah nasi goreng yang dimasak isterinya,barulah pandangan di alihkan ke arah Damia yang dari tadi diam membisu seperti seorang pesalah menunggu masa untuk dihukum.Adam Harris berdehem seolah memberi isyarat untuk berbicara.Damia cuba mengawal debaran di hati yang berdegup kencang hingga terasa irama pop rock di perut bertukar menjadi irama tradisional.

“Em,Damia.aku minta maaf atas kata-kata aku tempoh hari.Aku tahu tak sepatutnya aku cakap sedemikian pada kau.”Kata Adam memulakan bicara,terdengar keluhan kecil diakhir percakapannya.Anak matanya mencuri pandang wajah Damia,ditenung wajah itu beberapa ketika tanpa sebarang kata-kata.Damia hanya tunduk memandang karpet biru lembut berbulu tebal,kelu lidahnya tetapi di dalam hati lancar bicaranya.

“Kau rasa wajar tak aku maafkan kau?.Kau ingat aku nak lupa penghinaan kau tu.Kau ni dah kenapa?”rancak hatinya berkata-kata.

“Kau dengar tak apa yang aku cakap ni.?”Kata Adam Harris agak tegas.Dari tadi dilihat Damia seolah-olah tidak mengendahkan dirinya.

“Dengar.”Jawab Damia pendek tanpa melihat wajah Adam Harris.Aik,bukan tadi kau minta maaf dengan aku,lepas tu sedap kau je nak cakap garang-garang dengan aku,gomel Damia menahan marah di dalam hati.

Jawapan pendek dari Damia tanpa melihat mukanya membuatkan Adam Harris panas hati.Direnung wajah Damia sedalamnya,melihat reaksi Damia tidak keruan membuatkan Adam tersengih sendirian.

“Sekarang aku hendak berterus terang dengan kau.Aku nak kau dengar dengan jelas apa yang aku katakan supaya nanti aku tak perlu nak ulang banyak kali.Faham!”.

“Faham.”Balas Damia pantas.Kali ini dia sempat mencuri pandang Adam Harris.Mata mereka bertemu,namun tiada rasa,yang terbit dihati masing-masing hanyalah “benci”.Adam meneruskan kata-katanya.

“Sebenarnya aku pernah berkahwin dahulu,isteri aku telah meninggal dunia dua tahun lepas dan sekarang aku terpaksa berkahwin dengan kau tanpa aku rela.Aku pasti kau juga seperti aku.Perkahwinan ini bukan atas dasar kasih sayang.”Adam mengeluh kecil,dia cuba menyusun kata-kata yang terbaik dibenaknya.

“Anggaplah kita seperti pekerja dengan majikan.Aku akan bayar gaji kau.Kau boleh anggap itu sebagai nafkah kau.Yang lain aku tak bersedia.Kau faham!”Jelas Adam Harris dengan nada yang tegas.Damia tidak berkata apa-apa hanya mengangguk kepala tanda faham akan arahan suami merangkap majikan.Ditahan rasa dihati.Pelbagai persoalan bermain di benaknya saat ini.Wajarkah aku meneruskan ikatan ini jika ianya hanya akan menyiksakan dua hati.Jika aku meneruskan,sanggupkah aku diperlakukan seperti hamba atau pekerja.

“Encik,boleh saya katakan sesuatu?”tanya Damia dengan nada yang lembut bimbang jika Adam herdiknya.

“Apa dia?”.Balas Adam Harris bersahaja.Sesekali diusap rerambutnya.

“Jika Encik tidak mahu meneruskan,saya rela encik ceraikan saya,kita sama-sama tidak perlu meneruskan hubungan ini.Hati encik dan saya tidak akan sakit.”Damia memandang wajah Adam mengharap belas darinya.Dia sebolehnya tidak mahu Adam rasa terbeban dengan ikatan mereka.Dari kata-kata Adam tadi,Damia yakin Adam memang tidak akan pernah cuba menerima kehadirannya dalam hidup Adam.Mungkin Adam masih menyayangi arwah isterinya.Dia terpaksa terima jika itu ketentuan hidupnya.

“Apa kau cakap ni?”bentak Adam Harris.Tangannya menumbuk meja makan membuatkan Damia terkejut.Kecut perutnya kali ini melihat perubahan riak wajah Adam Harris.Bengis.

“Kau dengar ni baik-baik.Sematkan dalam kepala otak kau.”Kata Adam Harris sambil jari telunjuk menunding kepala Damia.

“Aku tidak akan ceraikan kau walau apa pun jadi.Jangan kau nak simpan angan-angan nak lepaskan diri dari aku.Ingat!hargai pengorbanan aku kahwin dengan kau sampai mati.Aku akan pastikan kau dapat balasan yang setimpal jika kau cuba larikan diri dari aku.”Ugut Adam dalam keadaan marah.Tanpa sedar dia sekali lagi telah menyingguh hati wanita itu.Tanpa sempat Damia berkata,Adam bingkas bangkit meninggalkannya sendirian di meja makan.Berdentum pintu dihempas Adam.

Masih terngiang kata-kata Adam.Hatinya terasa perit seperti ditikam berkali-kali,mutiara jernih mulai terbit dalam kolam matanya.

“Tuhanku,tolong lembutkan hatinya untuk menerima aku,jika dia telah KAU takdirkan menjadi imam dunia akhiratku,maka KAU bukalah hati kami untuk menerima antara satu sama lain.”Kata Damia sayu,menitis airmatanya.Dia tiada pilihan lain,baru tadi Adam menyatakan keengganan melepaskannya.Ikatan suci yang terjalin ini bukanlah seperti yang sesiapa bayangkan.Terasa kelam membayangkan perjalanan yang bakal Damia tempuhi kelak.Sampai bila?Tiada ditemui jawapannya.

******

Sebaik sahaja memasukki kereta,Adam Harris menumbuk stering kereta,meluahkan rasa amarah yang terbuku dihati.Tidak disangka gadis kampung yang dinikahi tanpa rela hati berani pinta dilepaskan setelah maruahnya tercalar dek pernikahan mereka.Hatinya benar-benar sakit.Baru ingat hendak cuba berbaik,namun kata-kata Damia membuatkan dia hampir hilang kewarasan.Bingkas dia meninggalkan Damia sendirian.Adam menekan pedal minyak,meluncur laju keluar dari sangkar emas syurga dunianya.

Hampir dua jam berlalu,Adam berlegar-legar di ruang tingkat satu Pavilion.Matanya melilau seolah mencari sesuatu.Akhirnya mata Adam tertumpu ke suatu arah,senyuman mulai terukir di bibirnya.Langkahnya menuju kearah hadapan.

“Iya boleh saya bantu Encik?.”Tanya jurujual lembut.Senyuman sentiasa mekar dibibir.Pandai pekerja ini mencuit hati pelanggan,sentiasa murah dengan senyuman,detik hati CEO SINDORA CORPORATION.

“Saya nak cari telefon.”Jawab Adam Harris ringkas sambil matanya memandang rak berkaca yang berisi pelbagai jenama telefon pintar.

“Ok,boleh saya tahu ianya untuk kegunaan Encik atau teman istimewa.?”

“Emm,bukan untuk saya.”Jawab Adam tanpa melihat wajah jurujual itu.

“Baik.boleh saya cadangkan yang ini,Huawei Nova 2i ini.Ianya mempunyai kamera hadapan dan belakang,fungsi mengambil gambar dengan kesan bokeh jua boleh dilakukan di hadapan dan belakang tanpa sebarang masalah.Rakaman video pula amat memuaskan.Nova 2i ini mempunyai binaan yang premium,skrin yang terang,selesa dipegang dan skrin nirbingkai 18:9.”Terang jurujual panjang lebar.Adam mendengar dengan teliti sementara tangannya membelek telefon pintar.

Adam segera menjelaskan bayaran dan mengambil telefon yang dicadangkan oleh jurujual itu,dia berlalu pergi.

“Agak-agak dia nak terima tak hadiah ni.”Bisik hatinya.Teringat kata-kata kasar yang telah dilontarkan kepada Damia pagi tadi.Perasaan bersalah menerjah di dalam hatinya sedangkan baru sahaja dia meminta maaf atas kekasaran tempoh hari.Kini baru beberapa hari bergelar suami isteri sudah dua kali dia menyakiti hati kecil wanita itu.Adam binggung mengapa dia boleh bertindak sekasar itu.

******

Linda menghirup minuman coklat panas yang telah dipinta dari pelayan café sebentar tadi,pandangan dilemparkan ke luar cafe.Hajat hatinya hendak berjumpa Adam Harris,dari tadi dia mendail nombor Adam,namun hampa tiada balasan.Sampai bilalah aku nak tunggu?.Kadang-kadang dia rasa bodoh menantikan Adam.Dia tahu Adam hingga kini tidak pernah cintakan dia.Entah sampai bilalah aku nak macam ni,Linda mengelamun sendirian.

Tiba-tiba dia terlihat kelibat orang yang dinantikan.Setelah yakin dengan apa yang dilihatnya.Pantas Linda bangkit dan mengejar,inilah yang dikatakan jodoh.Pucuk dicita ulam mendatang.

“Hai sayang,”tegur Linda sambil memeluk lengan Adam.Tindakan Linda membuatkan Adam terkejut.

“Linda apa ni?,Saya tak sukalah.”Tegas Adam menepis pelukan Linda.

“Maaf sayang,banyak kali Linda telefon Adam,Linda rindukan Adam.”Balas Linda manja.Tangannya cuba sekali lagi merangkul lengan Adam Harris,namun Adam sempat mengelak.Berubah air muka Adam melihat tindakan berani Linda.

“Awak ni dah kenapa?tak faham atau tak dengar saya cakap apa tadi.”Tegas nada Adam Harris,matanya memandang sekeliling bimbang jika ada yang melihat.Linda melirik manja dengan senyuman yang tidak lengkang dibibirnya.

“Adam,boleh temankan Linda beli barang?,”pelawa Linda.

“Ops,maaf Linda.Saya sudah beli barang dan sekarang saya nak balik.”Kata Adam,dia cuba mengelak dari Linda.Adam melangkah pantas meninggalkan Linda tanpa sempat gadis yang sering mengejarnya berkata apa-apa.

“Sejauh mana pun kau lari dari aku.Pasti kau akan kumiliki suatu hari nanti.”Kata Linda perlahan sambil tersenyum yakin dengan kata-katanya walau dilayan begitu oleh Adam Harris.

******

Damia mengemaskan dapur setelah selesai memasak menu tengahari,walau dihati masih terpalit luka dek kata-kata majikan merangkap suami yang bengis pagi tadi.Tanggungjawab sebagai isteri akan cuba digalas sebaik mungkin.

Dia melangkah ke sofa di ruang tamu.Damia melabuhkan punggungnya dan bersandar melepaskan penat.Badannya terasa lesu sekali,tangan kanan diletakkan di atas dahi.Lega tidak terasa panas lagi,cuma badan masih lemah.

“La!patutlah badan aku lemah.aku tak minum ubat lagi.”Kata Damia sendirian.Baru teringat dari pagi ubat tidak diminum,senyuman manis diukir.Segera digagahi langkah menuju ke kamar.

Pintu utama dikuak,Damia sempat menoleh,segera dicepatkan langkahnya.Mujur aku dah pakai tudung,detik hatinya.Adam Harris melangkah masuk tanpa melihatnya,yang kedengaran hanyalah suara Adam memberi salam.

“Damia,mari sini.”Adam Harris mula bersuara.Berkerut dahi Damia,nada suara Adam memanggilnya tidak seperti pagi tadi.Kali ini agak lembut.

“Cepatnya dia ni berubah angin.”Kata Damia perlahan,bimbang didengari Adam sambil berjalan menuju ke arah Adam.Dia berdiri berhadapan dengan suami, seolah menanti arahan dari majikan.Adam dihadapannya kelihatan agak resah,seperti yang disangka Damia.

“Damia,aku minta maaf sekali lagi dengan kau atas kekasaran kata-kata aku pagi tadi.Aku harap lepas ini,kau jangan cakap lagi pasal hal yang kau cakap pagi tadi.Faham!”Adam seolah tidak memberi ruang untuk Damia berfikir,pantas sahaja memberi keputusan.Damia hanya menganggukkan kepala.Tetapi dihati telah nekad dengan azam yang baru.

“Ini ada sesuatu untuk kau.Aku belikan ini untuk memudahkan kau hubungi aku dan mak ayah angkat kau sahaja.Faham!”Kata Adam seraya menyerahkan bungkusan telefon pintar.Tanpa sebarang kata-kata,Damia menyambut bungkusan itu dengan reaksi wajah yang berkerut.

“Encik,maaf saya tidak tahu menggunakan telefon ini.Dulu masa dekat kampung,selalu guna telefon awam atau telefon di rumah Mak Nani.Tapi saya pelik,rumah di bandar memang tidak ada telefon telekom ye.”Damia meluah sejujurnya.Mendengar luahan Damia membuatkan Adam terpaksa menahan gelak.Ada jugak orang macam ni dalam dunia yang serba moden.Detik hatinya.Adam melihat raut wajah Damia,terasa lucu melihat wajah polos dihadapannya.

“Mari sini aku ajarkan.”Arah Adam Harris sambil menepuk sofa di sebelahnya.Damia akur.Adam mulai mengajar satu persatu cara penggunaan telefon pintar.Setelah hampir setengah jam berlalu,Damia mulai mahir menggunakannya.

“Emm,sekarang cuba hubungi Mak Nani di kampung,aku jamin kau mesti rindu kan.”Kata Adam seolah memberi keizinan kepada Damia.Tanpa sedar,Damia menghadiahkan senyuman yang sangat menawan kepada suaminya.

“Terima kasih Encik Adam.saya telefon Mak Nani sekarang jugak.”Balas Damia terus sahaja mendail.

******


“Abang,saya rindukan Mia lah.Abang ada nombor Adam tak?”tanya Mak Nani kepada suaminya.

“Terlupalah pulak saya nak minta nombor Adam hari tu,”jawab Pak Samad,dilihatnya Mak Nani mengeluh.

“Awak ni,biarkanlah dulu.Lagipun mereka baru berkahwin,biarkan Mia sesuaikan diri dulu,nanti tahulah Mia telefon kita.”Panjang coleteh Pak Samad.Pandangan matanya dialihkan ke halaman rumahnya.Pak Samad tahu isterinya mulai rindukan Damia,dia juga rindukan anak angkatnya.Namun apakan daya,setelah kejadian itu,Adam tidak pula hubunginya.Mungkin sibuk barangkali,detik hati tuanya.Tiba-tiba suasana yang sepi itu dicemari bunyi telefon berdering,segera Mak Nani pergi menyahut panggilan telefon.

“Assalamualaikum”

“Waalaikumsalam,Mia yeh,panjang umur Mia,baru Mak Nani dan Pak Samad cakap pasal Mia.”

“Rindukan Mia yeh,Mak Nani dengan Pak Samad apa kabar?Mia rindu sangat dengan semua.”Balas Damia bergenang airmatanya.Panjang mereka berbual,gembira Damia dapat berbual dengan ibu angkatnya,terubat rindu yang .Selesai berbual dengan ibu angkatnya.Damia menoleh ke sisi rupa-rupanya dari tadi Adam memerhatikan Damia berbual di telefon.Muka Damia berubah warna menahan malu melihat Adam Harris.

“Terima kasih Encik,belikan saya telefon ni.Maaf kerana menyusahkan Encik.”Kata Damia sebelum bangkit meninggalkan Adam keseorangan di ruang tamu.Adam terkesima seketika dengan reaksi Damia.

Kini telah hampir tiga bulan mereka berkahwin,Adam masih menyembunyikan perkahwinannya dari pengetahuan mama dan papa.Dia tidak pasti bagaimana hendak memulakan bicara,hendak dibawa Damia berjumpa orang tuanya,bimbang mereka tidak menerima.Damia pula,semakin senang untuk diuruskan,tidak banyak kerenah berbeza dengan Linda yang sentiasa membuatkan Adam rimas.Perkahwinan mereka masih menjadi rahsia.

“Amboi!jauh termenung.”Sergah Danny.

“Isk,kau ni.Nasib baik aku ni takde sakit jantung tau.Kalau tidak,dah arwah aku tau.”

“Apa yang kau menungkan?.Tak kan ingat Linda kot?,”Usik Danial.

“Kau ni Danny,kalau tak sakat aku.tak sah kan.”Balas Adam Harris.

“Habis tu,dari tadi aku tengok kau termenung.Aku datang pun kau tak sedar.”Adam mengeluh,dia memandang sahabatnya.

“Pasal orang tua aku lah.Aku tak tahu macam mana nak bagitahu mereka.”Luah Adam Harris.Danial faham keadaan Adam,jika dia di tempat Adam pasti dia juga begini.Memang sakit kepala dibuatnya.

“Aku takut jika mama tahu,dia akan kecewa,cara mama macam dia berkenan dengan Linda.”luah Adam.

“Tapi aku memang tak boleh berkahwin dengan Linda.aku tak tahu nak jelaskan macam mana.”Sambung Adam cuba menyembunyikan alasan sebenar.Danial kelihatan agak kaget.

“Sabarlah Adam.Aku yakin Dato dan Datin boleh terima alasan kau.Lagi pun apa yang mereka lakukan hanya untuk melihat kebahagian kau.jadi kau kene yakinkan mereka dengan siapa kau akan bahagia.”jelas Daniel.

“Aku harap mereka akan faham,”kata Adam mengeluh kecil.Pandangannya kosong.Dia sangat berharap dia diberi keberanian untuk berterus terang dengan mama dan papa tentang Siti Damia Hashim.Adam akui dalam tempoh tiga bulan ini,dia semakin ingin mengenali Damia.Apabila berjauhan hati kecil akan sentiasa teringatkan isterinya,bila dihadapan mata ada debaran hatinya walau cuba disembunyikan dari Damia.Kerap kali juga dia berkelakuan agak kasar,namun Damia tetap bersikap seperti biasa.Seolah sudah lali dengan perubahan sikap Adam Harris.Telefonnya berbunyi,dilihat skrin telefon,melihat nama yang tentera segera dimatikan panggilan.Daniel tersenyum melihat gelagat Adam.

“Linda ke tu?”.Tanya Danial,Adam mengangguk kepala.

“Beb,kau kene berterus terang dengan Linda,jangan buat Linda macam ni.Sampai bila kau nak lari dari dia.Cara kau ni buat Linda rasa dia ada peluang.”Nasihat Danny.

“Entahlah Danny.Buntu aku.”kata Adam Harris.Sikapnya yang dingin terhadap Linda sudah menjelaskan dia tidak berminat untuk bersama dengan Linda.

“Wei,kau ni dah kenapa?”tegur Danny semakin pelik melihat sikap sahabatnya sejak akhir-akhir ini.Adam tersenyum memandang Danial.

“Oklah beb,aku pergi dulu.Ada meeting dengan Dato Borhan kejap lagi.”Kata Adam berdalih.Mereka bersalaman dan Adam berlalu pergi.Kalau dibiarkan Danny ni mampus dikorek semuanya,detik Adam didalam hati.

******

Dari tadi Pak Samad melihat isterinya duduk termenung di pangkin,pasti segunung rindu bertahta di hati tua Mak Nani.Walaupun selang dua hari,Damia akan menelefon,tetap tidak sama jika Damia ada disisi mereka.Terimbas kenangan mereka makan,minum dan bergurau di pangkin itu.Cuaca petang itu agak suram seperti suramnya hati mereka dek rindukan Damia.Pak Samad berjalan ke arah isterinya.

“Nani,sudahlah.Nanti ada masa baliklah mereka.”Pujuk Pak Samad memegang erat jemari isteri tercinta menyembunyikan rasa rindunya jua.Pandangan mereka bersatu,air mata bertakung di dalam kolam mata Mak Nani tumpah satu persatu.

“Nani rindukan Mia,abang.”Sayu suara Mak Nani menahan sendu.Tangan Pak Samad memeluk erat bahu isterinya.

“Sabar Nani.Mia ada tanggungjawab pada suaminya.Abang yakin mereka akan pulang jenguk kita nanti.”Pujuk Pak Samad.

“Betul ke abang.Mia akan balik nanti?.”Tanya mak Nani meminta kepastian dari suami.

“Dah senja ni,jom masuk.”Pak Samad mengajak Mak Nani masuk ke dalam rumah.Isterinya akur dan mereka berjalan beriringan.Sesekali Mak Nani mengesat sisa airmata dipipi.Mia,cepatlah pulang nak.Mak Nani rindu sangat dengan Damia,keluh Mak Nani di dalam hati.

“Mia pasti akan pulang.Abang yakin.”Kata-kata Pak Samad sepertinya tahu apa yang sedang di katakan di dalam hati isterinya.Mak Nani memandang wajah tua suami yang sentiasa bersamanya walau di dalam suka dan duka.Suami yang sentiasa faham apa yang terpalit di hatinya.Suami yang menerima kelebihan dan kekurangan dirinya.Senyuman yang manis cuba diukir buat suaminya yang tercinta.

“Betul abang,Nani yakin Mia akan datang nanti.”Balas Mak Nani.

******
Cuaca petang di Kuala Lumpur agak gelap,hujan yang lebat telah hampir sepuluh minit berlalu menyebabkan jalanraya mulai sesak.Adam Harris kelihatan resah,sesekali dia melihat jam di pergelangan tangan kanan.Hatinya berdebar-debar tanpa diketahui apa punca,fikirannya teringatkan Damia di rumah.

“Isk,kenapa dengan aku ni.”bicaranya sendirian.Sesekali matanya melihat jam rolex di pergelangan tangan kanan.Pandangannya dilemparkan ke luar kembali.Cuaca hujan begini pastinya akan mengambil masa hampir satu jam untuk sampai ke rumah.Adam Harris pantas mencapai telefonnya dan mendail nombor isterinya,dia menanti jawapan namun panggilannya berakhir ke peti simpanan suara.Adam mencuba beberapa kali namun jawapannya tetap sama.Debaran dihatinya semakin memuncak.

“Masih jauh lagi ke,Meor?”tanya Adam Harris pinta kepastian.

“Tak jauh dah,lebih kurang lima belas minit sahaja lagi kita sampai,bos.”Jawab Meor mencuri pandang majikannya melalui cermin hadapan kereta Jaguar.Beginilah penahan kuasa cinta bisa membuatkan majikannya tidak keruan.Sejak kehadiran Damia di dalam hidup Adam,Meor dan Lan sedar banyak perubahan sikap majikannya.Jika dulu mukanya sentiasa ketat,sikap yang berubah-ubah,kurang bercakap dan fokus kerja sahaja.Kini segalanya berubah.

Hujan lebat disulami dengan kehadiran guruh dan petir menghiasi langit ciptaan ILAHI.Allahumma shoyyiban nafi’an’.Ya Allah(jadikanlah )hujan ini adalah hujan yang bermanfaat,bisik Adam Harris di dalam hati.Doa disaat hujan turun yang diajari oleh Baba Bakar.

******

Bunyi dentuman petir dan kilat membuatkan Damia terkejut hinggakan pinggan yang sedang dicucinya jatuh ke lantai.Wajahnya berubah menjadi pucat,tangannya mengigil ketakutan.Damia duduk memeluk tubuh,tangannya menutup telinga,matanya dipejam dan tubuhnya mengigil ketakutan,airmata pantas mengalir sederas air hujan di luar.

“Mak,tolong Mia,Mia takut.Ayah,jangan tinggalkan Mia!”Jerit Damia ketakutan.Bayangan itu menjelma kembali menghantuinya ke benak fikiran Damia.Tangisan Damia semakin kuat hingga tidak kedengaran suara Adam Harris memberi salam.

“Assalamualaikum,”Adam memberi salam memasuki kondonya.Matanya melilau mencari kelibat Damia.Dari arah dapur,Adam mendengar suara tangisan.Segera Adam ke dapur,beg galasnya dicampakkan ke sofa.Adam Harris terkejut melihat keadaan Damia yang mengigil ketakutan menangis memanggil ibu dan ayahnya.Adam segera mendekati Damia,dipeluk dan dibacakan zikir untuk menenangkan Damia.Damia yang ketakutan merangkul pinggang Adam dan memeluk seeratnya.

“Jangan tinggalkan Mia.Mia takut,ayah.”Kata Damia perlahan.Beberapa kali dia mengulangi kata-kata itu.Berkerut dahi Adam cuba memahami apa yang terjadi.Pandangannya tertumpu ke arah serpihan kaca dilantai,dia menoleh memandang Damia.

“Apa yang berlaku ni,Mia ,”detik hatinya.Adam mengangkat isterinya membawa ke sofa.Cuaca di luar masih kedengaran bunyi dentuman kilat dan petir.Damia masih memeluk Adam,badannya menggigil,Adam mengeratkan pelukan.Dia binggung melihat Damia,di benak fikirannya berlegar pelbagai soalan yang dia sendiri tiada jawapan.Apakah yang ditakutkan Damia dan kaitannya dengan cuaca hujan lebat ini.Dalam masa yang sama Adam masih mewiridkan zikir dengan suara yang perlahan .Tangan kanannya mendakap erat Damia.Tangisan Damia mulai reda,dia tenang diperlakuan begini oleh Adam.Tanpa sedar,Damia terlena berbantalkan lengan Adam.Begitu jua dengan Adam yang kepenatan bekerja,lena memeluk isteri yang dalam ketakutan lewat petang itu.
Bunyi deringan telefon Adam mengejutkan Damia.Damia cuba bangun,namun Adam eratkan dakapannya sambil menjawap panggilan telefon.

“Maaf mama,hujan lebat tadi.Am terus balik kondo,Insyaallah besok Am singgah jenguk mama.Ok.”Jelas Adam dengan nada yang lembut.Talian dimatikan,telefon diletakkan kembali di atas meja.Adam melepaskan dakapan,Damia bingkas bangun dan duduk di sofa bertentangan dengan suaminya,Adam senyum melihat wajah kemerahan Damia,malu lah tu.

“Maaf Encik Adam,saya menyusahkan encik.”

“Takpelah.Kebetulan saya balik tadi.”

“Mama encik yang telefon yeh,”kata Damia perlahan cuba mengubah topik.Dalam pada itu hatinya sebak,dia tidak pernah kenal siapa mentuanya.Sepanjang tiga bulan mereka duduk serumah,tidak pernah sekalipun Adam Harris membawanya berjumpa dengan mereka.Hendak bertanya lebih-lebih dengan Adam,hatinya kecut teringatkan amaran Adam dulu.Mungkin Adam memang tidak mahu sesiapa mengetahui statusnya kini,Damia mengeluh kecil.Adam memandang tepat ke arah Damia,rasa bersalah menguasainya.Belum masanya untuk aku kenalkan kau kepada orang tuaku,Damia.Detik hati Adam Harris.

“Damia,ada apa-apa yang kau nak kongsi dengan aku.?”Kata Adam bersahaja,matanya memandang tepat ke anak mata Damia.Dia perlu tahu kenapa Damia ketakutan sewaktu hujan,petir dan kilat?.Apa pulak kaitan semua itu dengan ayah Damia?.

Damia membisu,dia segera bangun dari sofa dan berlalu ke kamarnya.Dia tidak bersedia untuk menceritakan segala kisah duka hidupnya,bimbang jika Adam Harris tersalah tafsir lagi.Adam mengeluh,harapannya Damia sudi menceritakan rahsia disebalik semua ini.Adam bimbang jika keadaan seperti ini berulang lagi. Adam pasrah,moga suatu hari nanti dia dapat mengetahui segala rahsia Damia.Adam bangun menuju ke kamarnya.
Selesai solat maghrib,Damia membaca surah yassin buat kedua orang tuanya.Terasa rindu dihatinya kerana sudah tiga bulan dia tidak pulang ke kampung.Damia melihat jam di dinding.Alamak dah lewat,nanti bising pulak Adam.bisik hatinya.Damia melipat telekungnya,mengemaskan ikatan rambut dan menyarung seledang seperti kebiasaaannya.Setelah itu, dia keluar dari kamarnya.dia mencari kelibat Adam di ruang tamu.Tidak kelihatan kelibat Adam mungkin masih di bilik lagi ini.Sempatlah aku hidangkan makanan.Damia segera ke dapur.Matanya tertumpu ke dalam tong sampah,sisa pinggan pecah telah dibersihkan Adam.Baik hati juga Encik Adam ini.Bisik hatinya sambil tangan pantas mencapai mangkuk untuk menyenduk lauk.Selesai menghidangkan makanan,Damia menanti Adam di meja makan.

“Lambatnya dia ni,dah tidur ker.”Gomel Damia sendirian.Kepalanya tersenguk-sengguk menahan mengantuk.

“Oi,mengantuk lagi?.”Sergah Adam Harris bersahaja dan melabuhkan punggung ke kerusi mengadap isterinya.Terkejut Damia,entah bila mamat sengal ni datang.Sempat dikemaskan seledangnya.Damia mengetap bibir munggilnya menahan marah.

“Wah sedapnya menu hari ini,makin gemuklah aku,”Adam cuba bergurau. Damia mengukir senyuman,segera disendukkan nasi ke pinggan Adam. Asam pedas ikan pari menjadi pilihan Adam.Damia hanya melihat suaminya yang berselera menjamu air tangannya.Damia cuba menyusun kata-kata,harap-harap hati Adam lembutlah mendengar permintaannya kali ini.Sebaik sahaja Adam Harris menyuapkan suapan terakhir ke dalam mulutnya,Damia memulakan bicara.

“Encik,boleh saya cakap sesuatu,”lembut nada suara Damia melontarkan suara.

“Apa lagi? Ada apa-apa keperluan ke?”Tanya Adam dengan nada yang perlahan tetapi ada terselit tegas.Matanya dibesarkan dan ditatap anak mata isterinya.Tindakan Adam membuatkan Damia sedikit gugup,ditarik nafas dalam-dalam.Damia nekad untuk meluahkan rasa keinginan yang telah di pendam hampir tiga bulan lamanya.

“Err,boleh saya hendak balik kampung?”Tanya Damia,pandangannya di tundukkan.Debaran hatinya semakin kuat membayangkan jika Adam mengamuk lagi.Merasakan tiada apa-apa reaksi dari suaminya,Damia meneruskan bicara tanpa menatap wajah Adam Harris yang berjambang kemas itu.Diakui pasti hati wanitanya akan jatuh cinta dengan hanya melihat wajah kacak Adam Harris.Namun setelah apa yang berlaku,perasaan itu telah berubah sama sekali.

“Saya rindukan kampung.Teringin nak ziarah pusara mak dan ayah,jika encik tak dapat ikut,tak mengapa.Saya faham lagipun encik sibuk.Saya tidak mahu menganggu jadual encik.Cuma saya nak minta izin dari encik.”Jelas Damia,terasa lega hatinya dapat meluahkan apa yang terbuku.Adam Harris hanya berdiam diri mendengar.Baru dia sedar,sejak Damia menjadi isterinya.Dia belum pernah membawa isterinya pulang ke kampung.Perasaan simpati menerjah di dalam hati lelakinya.

“Emm,tengoklah dulu.Besok aku ada kerja.”Akhirnya Adam Harris bersuara namun jawapan yang diberikan tidak seperti yang Damia harapkan.Riak wajah Damia berubah,riak wajah yang kecewa.Namun dia tidak berani untuk merayu kepada suami hati batu.Dipendam segala rasa,Damia bangkit dan mengangkat baki lauk ke dapur tanpa menoleh suaminya.
Adam cuba menahan tawa,niat dihati ingin lihat reaksi Damia dan tindakan isterinya selepas mendengar jawapan darinya.Alih-alih telah berkibar bendera merajuk.Adam bangkit meninggalkan meja makan tanpa berkata apa-apa kepada Damia.


Di dapur,sambil membasuh pinggan,Damia membebel seorang diri dengan suara yang amat perlahan.Jika diikutkan kata hatinya,mahu sahaja dia pulang ke kampung saat itu juga.Setelah dipastikan dapur kemas,Damia mengorak langkahnya ke kamarnya.Sebelum memasukki kamar,sempat dicebik pintu bilik Adam Harris.

“Cebik pintu pun jadilah,janji tu pintu bilik encik suami hati batu!”Gomelnya perlahan sebelum melangkah masuk ke kamar tidur.Damia melabuhkan punggung di tepi katil.Hatinya masih berbaki rasa geram dengan sikap Adam Harris.Dicapai telefon pintar dan mendail nombor yang satu-satunya di dalam telefon pemberian Adam.
Damia menghempaskan telefon,panggilannya tidak bersahut.Mungkinkah Mak Nani dan Pak Samad sudah tidur,bukan selalunya waktu begini mereka akan berbual-bual melepaskan rindu.Damia merebahkan diri,matanya memandang sepi telefon.Perlukah aku telefon lagi?,detik hatinya.Sekali lagi Damia cuba mendail namun hampa panggilanya tidak berjawab.

“Ah,baik aku masuk tandas dulu.mungkin Mak Nani dah tidur ni.”Katanya sambil lalu menuju ke tandas.Setelah selesai,Damia menyarung dress tidur berwarna coklat keemasan pemberian Adam.Damia membelek dirinya dihadapan cermin,memuji citarasa suami hati batunya.Dalam masa yang sama sempat dipuji diri sendiri.

Damia terasa dahaga,perlahan-lahan dibukanya pintu kamar.Matanya mencari-cari kelibat Adam,bimbang jika terserempak dengan encik suami hati batu itu.Lampu di ruang tamu telah dimatikan itu bermakna Adam telah masuk ke kamarnya.Setelah yakin Adam tiada,Damia melangkah ke dapur dan segera menghilangkan rasa dahaganya.Sewaktu mencuci cawan,baru Damia sedar dia tidak memakai seledang menutupi rambut seperti kebiasaan dilakukan sebaik sahaja keluar dari kamarnya.Cepat-cepat dia berjalan menuju ke kamar.Namun langkahnya terhenti takkala melihat pintu slidding terbuka.Angin malam menerjah masuk hingga membuatkan langsir putih jarang bersulam bunga warna emas itu menari-nari.

“Terlupa nak tutup ke tadi,”detik hatinya kehairanan.Terasa nyaman menikmati angin malam yang menerjah masuk.Damia melangkah keluar,dia berdiri di balkoni kondo mengamati angin malam.Rambutnya turut beralun-alun manja ditiup angin.Damia menutup mata dan tangannya didepakan persis Kate Winslet di dalam filem Titanic.Bibirnya mengukir senyuman,tanpa disedari Damia ada sepasang mata sedang memandangnya tanpa berkelip.Pandangan yang sangat dalam,renungan mata yang bisa menikam jiwa yang melihatnya.

“Sungguh indah ciptaanMU, Ya Allah.”Detik hati Adam Harris.Dia sememangnya terpesona menikmati keindahan ciptaan Ilahi dihadapannya.Naluri lelakinya tidak dapat menyangkal akan indahnya wanita di hadapannya saat ini.

Damia membuka matanya dan terkejut melihat Adam memandangnya.Tanpa sempat Adam berkata apa-apa,Damia segera melangkah masuk ke dalam rumah menuju ke bliknya.Adam tersentak dan cepat-cepat dia mengalihkan pandangan.

“Adus kenapa aku ini?.”Soalnya di dalam hati,dia hampir angau dengan Damia,isteri tanpa rela.Kedengaran keluhan kecil dari Adam Harris.Rindu kepada Ayu kian membara dihatinya.Pasti indah malam ini jika dapat bersama insan tersayang.

“Ayu,abang rindukan ayu.”kata Adam dengan nada kecewa.Dia melangkah longlai masuk ke dalam dan menutup kembali pintu slidding.

Sementara itu di dalam bilik,Damia merasa sangat malu dengan kelakuannya sebentar tadi.Insiden itu tidak sepatutnya berlaku jika dia tidak melangkah keluar.Entah apalah yang Adam fikirkan saat ini,adakah dia akan menganggap aku ingin mengodanya?.Soalan yang sentiasa bermain di benak fikirannya.

“Arrgh,malunya aku apalah Adam fikir nanti,”kata Damia sendirian.Dia merebahkan diri di katil.Menutup lampu disisi katilnya.

Adam melewati kamar Damia.“Selamat malam Damia,”katanya perlahan. Dia pasrah antara tuntutan agama dan naluri hatinya sendiri.Walau hubungannya halal namun hatinya tidak mampu menerima kehadiran Damia.Jurang antara mereka begitu jauh,mereka disatukan pun bukanlah dengan kerelaan bersama.Dipaksa.

Sewaktu debar,cintamu terasa melanda hatiku lalu membangkitkan rinduku padamu di ketika ini.Tersentak diriku dari lamunan indahmu,hakikat yang sebenarnya diriku telah kau tinggalkan sayangku.Adam meletakkan kembali pen dan membaca apa yang telah dicoretnya.Dia menutup buku diari dan merebahkan diri diatas katil empuk membiarkan malam berlalu tanpa teman disisi.

******

Sejak dari awal pagi Mak Nani sibuk di dapur,Pak Samad mengeleng kepala melihat gelagat isterinya.

“Kenapa awak ni,dari tadi asyik masak.yang hendak makan kita berdua sahaja?”Tegur Pak Samad.

“Ish abang ni!jangan nak menggangu saya masak ni.”Balas Mak Nani tanpa menoleh ke arah suaminya.

“Bukan saya nak kacau,tapi betulkan awak masak banyak sangat lauk ni.Cuba awak bagitahu saya apa sebabnya.”Pinta Pak Samad bersungguh.Mak Nani mengetap bibirnya sempat dijeling suaminya.

“Dari abang duduk kacau saya,lebih baik tolong saya sapu halaman,kaitkan buah rambutan dan mangga tu.Mia suka makan..”Spontan nama Damia disebut.Pantas Mak Nani menutup mulutnya.Pak Samad tersenyum lebar,sangkaannya benar.Reaksi isterinya dari malam tadi setelah menerima panggilan telefon,wajahnya begitu gembira sekali.Pasti ada sesuatu.
“Kalau macam tu,sekarang jugak saya pergi kaitkan.”Balas Pak Samad meninggalkan isterinya terkebil-kebil.

Jelas terpancar kegembiraan di wajah tua mereka.Sudah lebih tiga bulan Damia meninggalkan kampung.Hati tua mereka dicengkam rindu yang menggunung terhadap Damia.Bagaimana keadaan Damia?.Sesuaikan dia duduk di bandar?.Dan yang paling penting bahagiakah Damia?.Setiap kali selepas solat,Pak Samad dan Mak Nani tidak putus-putus mendoakan kebahagiaan Damia dan suaminya.

Setelah selesai memasak,Mak Nani menemani suaminya mengutip buah-buahan kegemaran Damia yang telah dikait oleh Pak Samad.

“Abang,Adam makan tak buah-buah ni?”Tanya Mak Nani dengan wajah yang berkerut seribu.Terlupa pula akan menantu nan satu itu.Maklumlah baru pertama kali anak menantu hendak pulang.

“Makan kot.”Jawab Pak Samad acu tak acu.Terasa letih mengait.Faktor usia menghalang kudratnya.Pak Samad melabuhkan punggung di atas pangkin sambil memerhatikan isterinya mengutip buah pelam.

“Adam mungkin makan,dia bukannya lahir dan duduk dekat luar negara.Cuma mungkin dia tak seriuh Damia bila makan pelam ni.”kata Pak Samad membayangkan detik-detik indah mereka duduk di pangkin sambil menikmati buah pelam cicah kicap cili api.Tergelak mereka bersama,jelas mereka amat merindui Damia.Entah bagaimana reaksi Damia nanti.Rancangan yang diatur Adam diikuti sebaiknya.Panggilan telefon dari Adam malam tadi menjelaskan butir-butir rancangan untuk memberi kejutan buat Damia.Bahkan panggilan Damia dari semalam jua tidak dijawab gara-gara ikut rancangan Adam Harris.Pasti mereka ini sedang menikmati alam bahagia rumahtangga.Detik hati kecik Mak Nani.

******

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience