Tepat pukul sembilan pagi seperti yang dijanjikan, Ainul sudah terpacak di hadapan bilik bosnya. Mendengar sahaja arahan untuk menyuruhnya masuk, tombol pintu dipulas dengan rasa berdebar. Wajah kacak Aiman singgah pada pandangan mata. Lelaki itu kelihatan segak dihiasi senyuman mesra.
"Please have a sit."
"So, what should I call you? Ainul? Liyana?" Ramah Aiman bertanya setelah Ainul mengambil tempat duduk. Beberapa helai kertas dikeluarkan dan disusun rapi di atas meja.
"Just call me Ainul." Jawab Ainul bersama senyuman kekok.
"Okay Ainul." Kertas di atas meja ditolak ke hadapan Ainul.
"Ini kontrak kerja yang awak perlu tandatangan. Disebabkan awak fresh graduate dan tiada pengalaman yang lama dalam bidang ni, kami memberi tempoh tiga bulan sebagai masa percubaan. Maksudnya selama tiga bulan itu, awak tak boleh minta untuk berhenti kerja dan saya juga tidak boleh memecat awak." Jelas Aiman dengan wajah serius. Kelihatan kepala Ainul sesekali terangguk-angguk mendengar penjelasannya.
"Tetapi kalau awak tetap juga nak berhenti disebabkan alasan yang tidak munasabah dan tiada kaitan dengan gangguan semasa kerja, awak perlu membayar denda kerana telah melanggar kontrak ini. Faham?" Jari telunjuk Aiman menekan-nekan kertas yang terdampar di hadapan Ainul. Dia mahu Ainul faham betul-betul apa yang dikatakannya.
"Faham bos? Erk Tuan... Encik Aiman." Terkial-kial Ainul mahu menyebut gelaran yang ingin diletakkan pada nama hadapan majikan barunya ini.
Terlepas tawa Aiman melihat kegugupan Ainul. Dia nampak garang sangat ke sampai membuatkan Ainul tidak senang duduk apabila berhadapan dengannya?
"Tuan Aiman. Semua staff dekat sini panggil saya macam tu." Dia mengerdip mata sekali kepada Ainul. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya.
"Baik Tuan Aiman."
"Awak tengok-tengok dan baca dahulu syarat dan peraturan yang saya sertakan dalam tu. Kalau tiada apa-apa masalah, awak boleh turunkan tandatangan dan mula bekerja serta merta." Arah Aiman. Tangan dibawa memeluk tubuh dan dia menyandarkan belakang badan pada kerusi.
"Saya baca dulu." Sopan Ainul meminta izin. Bebola mata mula bergerak kiri kanan menelaah setiap patah perkataan yang tertulis di dalam kertas.
Detik itu digunakan oleh Aiman untuk merenung wajah Ainul yang manis bertudung. Bulu matanya yang melentik serta hidung mancung yang terletak elok menaikkan lagi seri wajah gadis Itu. Bibir nipis yang hanya dicalit lip balm sudah cukup sempurna pada mata Aiman. Dan tatkala mata bundar itu naik memanah tepat pada anak mata hitamnya, dia terpaku.
Hanya seketika sebelum dia berdehem menutup gugup di hati. 'Patutlah kau tertarik dengan dia Zarul. Dia ada aura yang mampu membuatkan orang menoleh memandangnya buat kali kedua.' Sempat hatinya berbisik.
"Saya dah tandatangan Tuan Aiman." Ainul bersuara. Kertas kembali dihulur kepada Aiman. Dia bingkas bangun dari duduk untuk berlalu dari situ. Tidak betah rasanya apabila perasan mata Aiman yang merenungnya tanpa henti.
"Okay good. Maka dengan rasminya awak adalah staff di sini. Welcome to Elegance & Beauty Cosmetic Sdn. Bhd.!" Ucap Aiman penuh teruja. Sempat lagi dia mendepakan kedua-dua belah tangan seperti betul-betul meraikan kedatangan Ainul.
"Thank you Tuan Aiman." Sejujurnya, Ainul agak terhibur dengan perangai bosnya. 'Sepatutnya aku yang teruja, tetapi kenapa dia pula yang melebih?' Sempat Ainul mengutuk dalam hati.
"Awak boleh follow Siti pergi meja kerja awak."
Ainul mengangguk sekali sebelum berlalu pergi untuk mendapatkan Siti. PA kepada Aiman. Akhirnya, dia boleh menarik nafas lega setelah melangkah keluar dari bilik bosnya. Rasa berpeluh ketiak walaupun bilik itu dilengkapi dengan penghawa dingin.
'Mungkin aku yang perasan sorang-sorang. Tak mungkinlah Tuan Aiman tengok aku. Aku ni bukannya cantik pun.' Ainul bermonolog sendiri. Segala perasaan negatif mula ditepis pergi. Fokusnya kini hanyalah untuk memastikan bahawa dia melaksanakan tugas dengan baik di syarikat Elegance & Beauty Cosmetic. Semangat untuk bekerja kembali membara dalam diri Ainul.
AIR kopi di dalam cawan dikacau perlahan. Pejabat terasa sunyi tanpa kehadiran semua staff yang keluar makan tengah hari. Hanya tinggal dirinya sahaja menghabiskan waktu lunch di pantry. Bukan tiada orang yang mengajaknya keluar, cuma dia yang menolak lantaran diri sudah membawa bekal dari rumah.
Dia menyisip sedikit air kopi bagi mengurangkan rasa dahaga yang membelenggu diri sedari tadi. Ruangan pantry ditilik sekilas. Agak luas dan banyak stok kerupuk dan makanan segera dibekalkan di situ. Peti ais juga penuh dengan air kotak dari pelbagai jenis. Ainul tersenyum senang. Baru hari pertama memulakan kerja, dia sudah mula suka dengan suasana di sini.
Staff di sini juga boleh dikatakan mesra dan peramah. Tambah-tambah Kak Siti, PA Tuan Aiman. Segala soalan tentang syarikat ini yang ditanyakan Ainul, pasti dijawab penuh semangat oleh Kak Siti. Dan wanita itu juga tidak bosan mengajar dan menerangkan skop kerjanya dari pagi sampailah masuk waktu tengah hari. Ainul tersenyum sendiri sambil memejam mata menikmati aroma bau kopi sebelum...
"Aiman? Jangan lupa meet..." Zarul yang baru mahu melangkah masuk ke dalam pantry terus terkaku di muka pintu saat belakang seorang gadis berbaju kurung menyapa matanya. Sungguh! dia menyangka Aiman yang sedang membancuh kopi di situ.
Saat itu juga, Ainul memusingkan badan melihat gerangan yang tiba-tiba muncul. Tepat memandang ke arah sepasang mata yang menegur. Zupp!! Mati terus senyuman di wajahnya. Terasa darah dalam badan berhenti mengalir. Wajah bertukar pucat dan kedua-dua belah tangan menjadi sejuk. Dia merenung wajah itu tanpa berkelip. Berharap semua ini hanya mimpi semata-mata. Berharap wajah itu hanyalah bayang-bayang dari kisah silamnya.
Satu saat.
Dua saat.
"Sorry. I thought Tuan Aiman tadi." Zarul membetulkan suara. Dia tidak menyangka akan berjumpa dengan Ainul di sini.
Saat suara garau itu masuk mengetuk gegendang telinga Ainul, tahulah dia bahawa apa yang berlaku sekarang adalah kenyataan. Lelaki itu betul-betul berada di hadapannya. Zarul Akhtar! Zarul Akhtar benar-benar muncul di hadapannya setelah bertahun-tahun dia cuba mengusir wajah itu! Tubuh Ainul mula menggeletar hebat sehingga cawan yang dipegang terlepas dari tangan.
Pranggg!! Berkecai menyembah lantai. Kedua-duanya hanya mampu terkejut. Zarul yang terkejut melihat kaca pecah manakala Ainul pula terkejut dengan kemunculan tiba-tiba Zarul.
Share this novel