BAB 26

Romance Series 19214

Tali leher ditarik dengan kasar. Terasa rimas pula dengan ikatan yang seakan-akan merenggut lehernya. Setibanya di bilik, kot bewarna hitam dilempar geram ke atas katil.


"Arghhhh!!!" Aiman menjerit sekuat hati. Melampiaskan segala amarah yang ditahan sejak tadi. Rambut diraup ke belakang sambil kaki mula berlegar-legar tidak tentu arah. Dia resah.


"Kau bodoh Aiman! Kau tak sepatutnya ambil Ainul bekerja di situ!" Dia mula membebel sendiri. Ya! Sepatutnya dari awal lagi dia menolak Ainul daripada bekerja di Elegance & Beauty Company. Tengoklah apa yang berlaku sekarang. Sebagai seorang lelaki, dia dapat rasakan yang Zarul mula tertarik dengan Ainul.


Pada awalnya, dia sangkakan Zarul hanya main-main apabila dia mengusik nama Ainul di hadapan lelaki itu. Tetapi, setelah melihat dengan mata kepala sendiri keadaan Zarul dan Ainul di dalam pejabat Zarul, dia mula curiga. Dan perasaannya bertambah kuat apabila terserempak dengan mereka berdua-duaan dalam bilik stor semalam.


Tetapi, dia tidak boleh menerima surat resign yang disuakan oleh gadis itu tempoh hari setelah dia memulakan langkah pertama. Hanya Ainul yang sesuai dijadikan sebagai kambing hitam sekarang. Lagipun apa pula kata Zarul nanti jika dia menerima surat resign dari Ainul tanpa asbab yang kukuh?


Kini, datang pula kebenaran lain yang menyentak tangkai hatinya. Tanpa disangka, Ainul Liyana merupakan gadis yang pernah dicari Zarul beberapa tahun lepas. Dan pastinya perasaan Zarul kepada Ainul akan bertambah kuat. Mendengar sahaja perbualan antara mereka tengah hari tadi cukup menceritakan segala-galanya.


"Tak! Tak! Zarul tak boleh jatuh cinta kepada sesiapa sekarang. Tidak, selagi aku tak dapat apa yang aku mahu!" Aiman mula menggigit kuku. Gelisah dan takut. Takut rancangannya gagal nanti.


"Atau..." Kaki yang mundar-mandir sejak tadi mula berdiri kaku. Dia membuang pandang ke hadapan seperti memikirkan sesuatu.


"Aku boleh gunakan peluang ini untuk buatkan Zarul bencikan Ainul?" Pelbagai rancangan jahat mula bermain-main di fikirannya. Wajah cuak yang dipamer tadi mula mengendur digantikan dengan senyuman sinis.


Tok! Tok! Tok! Pintu bilik diketuk seseorang mematikan lamunan Aiman. Dengan tarikan nafas panjang, dia melebarkan senyuman di wajah seperti tiada apa-apa yang berlaku sambil tangan laju memulas tombol.


"Aiman?" Wajah Tuan Razali tersembul di muka pintu.


"Yes papa." Suara cuba dilembutkan sebaik mungkin.


"Papa dengar kamu menjerit tadi. Kamu okay?" Tuan Razali bertanya risau. Hampir sahaja dia tercampak gelas di tangan mendengar pekikan suara Aiman. Dengar macam stress betul. Melihat keadaan Aiman yang tidak terurus begini lagi membuatkan dia risau.


"Tak ada apalah papa. Aiman tengah cakap telefon tadi. Saja bergurau senda dengan kawan." Laju dia mencipta alasan membohongi papanya. Melihat Tuan Razali terangguk-angguk faham, hatinya menjadi lega sedikit.


"Papa dah makan? Jom, teman Aiman makan. Perut ni dari tadi lagi berbunyi." Topik perbualan mula diubah supaya Tuan Razali tidak terus bertanya. Melihat bapanya mengangguk setuju, Aiman terus sahaja menutup pintu sambil membuntuti langkah Tuan Razali ke dapur.

BANTAL ditekup kuat ke mulut untuk mengurangkan jeritan suaranya. Kedua-dua tangan Ainul mula memukul-mukul katil tidak puas hati. Apabila berasa tenang sedikit, dia mengangkat wajah merenung telefon bimbit yang terdampar di hujung katil setelah dibaling tadi.


"Aku nak kau ikut aku pergi Langkawi minggu hadapan." Sebaris ayat itu bukan kedengaran seperti ajakan, malah lebih berbaur kepada arahan. Arahan dari Sofia yang menghubunginya tepat pukul sembilan malam. Mengganggu waktu lapangnya yang sedang membaca novel.


"Dalam ramai-ramai orang dekat office tu, kenapalah aku yang kau nak bawa. Aku bukannya tahu sangat pasal shooting-shooting ni. Buatnya aku buat masalah dekat sana nanti, bertambah pula kerja korang." Mulut Ainul sudah mula membebel panjang. Geram kerana belum sempat dia mencipta alasan untuk menolak ajakan Sofia. Laju pula ulat beluncas itu mematikan talian.


"Aduhh, aku baru ingat nak hidup aman tanpa kehadiran mamat tu, tapi lain pula jadinya." Ainul tahu bahawa Zarul juga akan turut serta dalam trip tersebut. Kak Siti ada memberitahunya sebelum ini. Seronok bukan kepalang dia mendengar khabar itu. Macam menang duit sejuta pun ada. Seronok kerana tidak perlu memenatkan hati dan jiwa setiap kali berhadapan dengan Zarul.


Telefon bimbit yang kembali berdering membuatkan Ainul berkalih pantas. Mungkin Sofia yang menghubunginya semula ingin membatalkan rancangan. Pantas tombol hijau ditekan apabila nombor yang tidak dikenali mula terpampang di skrin. Dia memang tidak save nombor Sofia.


"Hello, tak jadi ke?" Suara Ainul terus menerjah penuh ceria. Berharap bahawa telahannya benar.


"Apa yang tak jadi Ainul?" Namun, gemersik suara garau pula yang menyambut di hujung talian.


Eh! Ainul pelik sendiri. 'Sejak bila Sofia ada halkum? Atau ulat beluncas ni tengah sakit tekak?' Ainul kembali memandang nombor yang tertera. Apabila perasan nombor itu agak berlainan dengan nombor yang dipakai Sofia tadi, sedarlah bahawa gerangan yang menelefonnya adalah orang lain.


"I'm asking you. Apa yang tak jadi, hmm?" Suara itu kembali bergema.


"Siapa ni?" Soalan berbalas soalan. Jantan manalah call malam-malam begini.


"Takkanlah suara bos sendiri dah tak kenal." Tangan Zarul naik menggosok rambut basahnya dengan tuala putih. Dia tersenyum nipis memandang cermin seolah-olah sedang bercakap dengan Ainul secara berdepan.


"Erk... Tuan Zarul?!" Ha, sudah! Macam mana Zarul boleh dapat nombor telefonnya. Ainul kalut memikirkan sebarang kemungkinan.


"Kenapa Tuan Zarul call? Ada hal penting ke nak bincang tentang kerja?" Suara Ainul cuba dikawal. Sesekali mata memandang ke arah pintu. Takut perbualannya didengari oleh emak dan Kak Sal.


"Nothing." Berkerut dahi Ainul mendengar jawapan Zarul. 'Dah kenapa kacau aku malam-malam kalau tak ada benda nak cakap?'


"Kalau tak ada apa-apa saya tutup dululah." Ainul berura-ura mahu menekan punat merah sebelum terdengar suara Zarul memanggil namanya.


"Sekejap Ainul Liyana!" Lain macam pula debaran di dada saat nama penuh Ainul meniti di bibir. Zarul memejamkan mata buat seketika cuba mengumpulkan kembali semangat.


"Yes?" Ainul sabar menanti.


"I'm sorry." Akhirnya, terluah juga kalimat itu dari mulut Zarul. Kepala sudah menunduk menekur lantai.


Ainul jelas terpana mendengarnya. Tidak menyangka Zarul menelefonnya malam ini hanya untuk meminta maaf. Talian menjadi hening buat seketika. Hanya kedengaran desah nafas dari kedua-duanya.


"Sorry sebab mungkir janji. Sorry sebab desak kau dengan soalan yang kau tak suka. Sorry sebab selalu kacau waktu lunch kau. Dan sorry juga sebab buat kau annoying dengan perangai aku." Zarul mula membawa diri ke balkoni. Menyandarkan belakang badan pada jeriji.


"Kan saya dah cakap, saya tak laya..."


"Tak layak terima kemaafan aku?" Zarul menyambung ayat Ainul bersahaja. Sejujurnya dia tidak faham maksud tersirat di sebalik ungkapan itu, tetapi untuk bertanya lebih dia tidak berani. Takut Ainul melayannya dingin seperti tengah hari tadi.


"Aku tahu kau nak cakap macam tu. Tapi aku tetap nak minta maaf dengan kau. Hati aku rasa tak tenang bila teringat kejadian tadi." Jujur Zarul berkata. Disebabkan rasa itulah dia memberanikan diri untuk menelefon Ainul. Sanggup meminta nombor telefon dari Sofia. Hanya untuk sebuah kemaafan.


Ainul diam. Tidak tahu mahu memberi reaksi yang bagaimana. Lagi pula, dia agak kekok memikirkan status antara mereka berdua. Majikan dan pekerja. Tak pernah-pernah ada bos yang telefon untuk meminta maaf pada pekerjanya. Sedangkan kesalahan itu tercetus dari dirinya sendiri.


"Ainul... Maafkan aku boleh?" Suara lembut Zarul mematikan lamunan Ainul.


"Hmm. Saya maafkan walaupun Tuan Zarul tak salah pun dalam hal ni. Saya sendiri yang cetuskan tanda tanya pada tuan sampaikan Tuan Zarul bertindak begitu. Saya tak salahkan tuan." Panjang lebar Ainul menjelaskan hal sebenar.


Zarul sudah tersenyum simpul mendengarkan semua itu. Hujung jari mula memintal-mintal hujung baju. Rasa seronok pula mendengar suara tenang Ainul. Gadis itu kalau tidak bertentang mata dengannya, pasti lancar sahaja tutur bicaranya.


"Terima kasih Ainul."


"Sama-sama Tuan Zarul."


"Good night and sweet dreams."


"Hmm." Klik! Talian dimatikan. Malam itu, Zarul mampu melelapkan mata dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience