BAB 41

Romance Series 19166

"Eh, Ainul! Akak tengok muka kamu pucat semacam sahaja?" Tangan Kak Siti sudah naik meraba dahi Ainul yang sedikit berpeluh. Tak panas pun?


"Biasalah kak. Sakit perempuan." Ainul mula merebahkan kepala di atas meja. Tangan sesekali menekan pinggang yang rasa mahu tercabut.


"Oh... Faham." Kak Siti hanya mampu tersengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Kesian pula tengok Ainul dalam keadaan tidak bermaya sekarang. Dia bangun menuju ke arah pantri. Mahu mencari ubat tahan sakit atau panadol yang tersimpan di situ.


"Ainul! Bos panggil kau." Secara tiba-tiba, Sofia muncul bersama beberapa kepingan fail tebal yang dipeluk erat di dada. Fail yang dikirim oleh Aiman untuk Zarul.


Ainul yang baru sahaja merebahkan kepala di atas meja terus berdiri tegak sembilan puluh darjah. Hatinya rasa tidak senang mendengar arahan itu. Sudahlah semalam dia dikhabarkan oleh Sofia tentang kemungkinan bahawa Zarul menyukainya, alih-alih hari ini lelaki itu mahu bersua muka pula.


"Tuan Zarul ada cakap tak kenapa dia panggil aku?" Ainul memulakan sesi soal jawab.


Sofia mengeluh sambil meletakkan timbunan fail di atas meja. Lenguh pula terasa tangannya menampung fail yang boleh tahan beratnya.


"Aku tak tahu. Dia just suruh aku datang sini panggil kau bawa pergi sana. That's it!" Balas Sofia ringkas.


"Baiklah."


"Ha, dah alang-alang kau nak jumpa dia kan? Kau tolong angkat fail ni bagi dekat Tuan Zarul sekali. Aku dah tak larat. Berat sangat." Senyuman lebar sudah menghiasi wajah Sofia. Dia memandang Ainul sambil mengedip-ngedipkan mata. Cuba meraih simpati.


Ainul hanya mengangguk lemah. Sempat dia mencapai pen dan buku nota di atas meja sebelum diletakkan di atas fail. Takut kalau-kalau Zarul mahu menyampaikan sesuatu yang penting kepadanya. Baru sahaja tangan mahu mengangkat fail tebal, suara Kak Siti kedengaran menghentikan tindakannya.


"Ainul. Makan ubat tahan sakit ni dulu. Kak Siti takut kamu tak boleh tahan sampai lunch nanti." Kak Siti menyuakan air suam dan dua biji panadol pink kepada Ainul.


"Terima kasih akak. Terharu Ainul." Ainul terus sahaja mencapai ubat itu sebelum ditelan. Dia sudah tidak tahan menanggung sakit di pinggangnya. Nasiblah ada Kak Siti yang menjadi penyelamat.


"Kau sakit ke?" Suara Sofia mencelah.


"Dia segugut." Jawab Kak Siti bagi pihak Ainul. Dilihatnya Ainul meneguk air putih dengan rakus.


"Terima kasih sekali lagi akak." Ainul tersenyum puas. Dia hanya melihat Kak Siti berlalu pergi sebelum kembali mengangkat fail di atas meja. Tidak lama, sebelum fail itu kembali dirampas oleh Sofia.


"Aku boleh angkat semua ni. Kau tak payah nak paksa diri sangat! Dah, jom!" Menonong sahaja Sofia berlalu pergi ke arah lif.


Tercetus tawa halus dari mulut Ainul. Dia tidak bodoh untuk faham apa yang cuba dilakukan oleh Sofia. 'Sofia... Sofia. Walaupun kau layan aku kasar, tapi dalam hati kau masih ada taman eh?' Sempat Ainul berbisik di dalam hati sebelum membontonti langkah Sofia.


"Kau agak kan kenapa Tuan Zarul panggil aku?" Ainul cuba berbasa-basi untuk mengisi suasana senyap di antara mereka.


Sofia mengangkat kedua-dua belah bahu tanda tidak tahu. Dari ekor mata, dia perasan Ainul nampak gelisah. Dengan kaki tergedik-gedik dan jari yang bermain di bibir, dia tahu benar gaya orang sebegitu. Gaya cemas! Mereka berdua mula melangkah masuk ke dalam perut lif setelah pintu terbuka.


"Mesti kau tengah fikir tentang apa yang aku beritahu kau semalam kan?"


"Ha?"


"Tentang Zarul sukakan kau." Tebak Sofia tepat ke sasaran. Wajah Ainul yang sedikit berubah meyakinkan telahannya.


"Aku... Aku tak tahu sama ada nak percaya apa yang kau cakap atau tak. And jujur aku tak boleh stop fikir benda tu." Tanpa segan silu Ainul meluah rasa yang terbuku di hati. Semalaman dia tidak dapat tidur kerana memikirkan hal tersebut. Ditambah pula dengan perangai emaknya yang mencurigakan. Lagilah fikirannya menjadi runsing.


"Kenapa tak percaya? Kau ingat Zarul tu tak ada perasaan suka, cinta pada seseorang? Kau ingat dia tu hati batu? Hati kering?" Bidas Sofia. Kali ini dia berkalih sepenuhnya menghadap Ainul.


"Bukan macam tu. Cuma... Semua ni terlalu cepat untuk aku nak percaya. Agak mustahil orang bekerjaya seperti Tuan Zarul boleh jatuh suka pada aku dalam masa yang singkat. Tak sampai tiga bulan. Rasa tak masuk akal pula. Dan disebabkan telahan yang kau bagitahu semalam, buatkan aku rasa kekok nak jumpa dia." Terang Ainul panjang lebar tentang situasi sebenar.


"Tak mustahil kalau bukan tiga bulan yang dia ambil untuk sukakan kau." Sofia berdesis perlahan. Sangat perlahan tetapi cukup untuk didengari oleh Ainul.


"Ha? Aku tak faham." Ainul merenung Sofia menantikan jawapan.


"Tiba masanya nanti, kau akan tahu sendiri dari mulut Zarul. Aku tak ada hak nak buka kisah hidup dia tanpa kebenaran." Sofia tersenyum simpul.


Berkerut seribu dahi Ainul. Dari pandangan, bicara kata dan inti pati yang disampaikan Sofia, seperti gadis itu tahu sesuatu. Seperti Sofia sudah lama tahu bahawa Zarul memang menyimpan perasaan terhadapnya. Adakah tali persahabatan yang terjalin membuatkan tiada rahsia yang tersimpan antara mereka? Membuatkan Zarul mungkin meluahkan isi hati di lubuk paling dalam kepada Sofia?


"Tak mustahil kalau bukan tiga bulan..." Ainul ulang semula kata-kata Sofia tadi. Sedar akan sesuatu, mata Ainul membulat tidak percaya.


"Kau jangan cakap... ya... yang Tuan Zarul sukakan aku sejak..." Suara Ainul terhenti di situ. Dia tidak sanggup meneruskan kata. Takut mahu menerima kenyataan dengan telahan yang dibuat.


Ting! Bunyi pintu lif terbuka mengejutkan dua insan tersebut. Bertambah terkedu Ainul melihat gerangan yang muncul di hadapan pintu lif. Manakala Sofia masih berdiri menghadap Ainul, bagai tidak terkesan langsung dengan kehadiran Zarul di situ.


"Finally, aku baru nak turun bawah panggil korang berdua." Zarul menegur dengan perasaan lega. Suasana sepi yang menghuni ruangan lif membuatkan Zarul sedikit pelik.


"Macam aku cakap tadi. Lambat laun kau akan tahu juga nanti." Suara Sofia membalas percakapan Ainul membuatkan Zarul memandang kedua-dua gadis di hadapannya dengan kening terjongket. Dia mahu tahu apa yang dibincangkan oleh Ainul dan Sofia dengan begitu serius sekali.


"What happened? Apa yang korang berdua bincangkan?"


"Nothing. Just woman things. Saya pergi letak fail ni atas meja Tuan Zarul dulu." Sofia menggamit diri. Meninggalkan Ainul dan Zarul berdua-duaan di situ.


"Erk..." Ainul masih kekal bungkam berdiri. Kakinya bagai digam di atas lantai lif. Dia hanya mampu memandang kosong ke arah Zarul yang juga turut merenungnya. Otaknya sedang sarat dengan pelbagai persoalan sekarang. Kalau betul Zarul memang menaruh perasaan terhadapnya selama ini, dia seharusnya menjauhkan diri dari lelaki itu. Bukan, dia harus pergi dari hidup Zarul sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.


"Aku tak layak untuk menerima cinta dari kau Zarul. Aku tak layak." Ainul menggumam seorang diri. Dia menarik nafas panjang cuba menenteramkan jiwanya.


"Kenapa Tuan Zarul nak jumpa saya?"


"Kita bincang dekat luar." Belum sempat Ainul mahu bertanya lebih, Zarul sudah masuk ke dalam perut lif lalu menekan butang G. Dan Ainul hanya membiarkan sahaja Zarul membawanya pergi ke mana-mana. Dia malas mahu bersoal jawab memandangkan diri yang sedang sakit dan sarat dengan pelbagai masalah. Dia penat. Terlalu penat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience