BAB 13

Romance Series 19166

"Erk.. Are you okay?" Zarul menyoal risau. Dia memandang Ainul dan kaca yang berterabur di atas lantai bersilih ganti. Berkerut dahi Zarul melihat Ainul yang seakan-akan terkejut memandang wajahnya tanpa berkelip. 'Handsome sangat ke aku sampai tenung macam nak tembus.'


Melihat tiada balasan daripada Ainul membuatkan Zarul mengambil tindakan untuk mendekati gadis itu. Dia mahu menyedarkan Ainul yang seperti kehilangan roh dari jasad.


Perasan tubuh Zarul semakin mendekat, Kaki Ainul mula mengundur beberapa tapak ke belakang. Desah nafasnya sudah menjadi tidak teratur. Tanpa sempat ditahan, mulut melantunkan suara dengan agak keras.


"Jangan!" Ainul membuat isyarat tangan agar Zarul berhenti.


Lagilah bertambah pelik Zarul melihat tingkah laku Ainul. Walaupun suara itu tidak kedengaran kuat tetapi nada yang dikeluarkan Ainul seakan-akan membentak dirinya.


"Jangan dekat." Kata Ainul lagi. Dia sedang dalam proses cuba menenangkan diri. Tidak mahu bayangan dan perasaan takut masa lalu menguasai diri kala ini. Sedaya upaya wajah kembali dikawal untuk menghapuskan syak wasangka dalam hati jejaka itu. Dia tahu Zarul tidak mengenalinya. Jadi, dia harus berlagak tenang.


"Kau tak apa-apa? Wajah kau nampak pucat." Zarul menyoal buat kali kedua. Amaran Ainul tidak dipedulikan. Dia melangkah setapak lagi mendekati gadis itu. Takut kalau-kalau Ainul pengsan atau jatuh sakit. Sebagai seorang bos, dia perlu pastikan pekerjanya berada dalam keadaan baik.


"Saya tak apa-apa. Just stop. Ja... Jangan dekat." Laju sahaja Ainul menjawab. Nampaknya ketakutan dalam diri sudah tidak mampu dikawal. Dia rasa mahu menangis sekarang.


Zarul mengeras. Dia perasan mata Ainul sudah mula berkaca-kaca. 'Apahal perempuan ni? Aku ada salah cakap ke?' Zarul mula menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Tertanya-tanya dengan reaksi yang dipamerkan Ainul.


"Sa... Saya nak bersihkan ka... kaca ni. Awak bo... leh keluar. Saya betul-betul tak apa-apa." Akhirnya Ainul mengalihkan pandangan dan duduk bersimpuh untuk membersihkan serpihan kaca. Terketar-ketar tangannya mengutip satu-persatu serpihan tersebut.


"Nak aku tolo..."


"Tak payah. Saya boleh buat sendiri." Laju Ainul memintas. Kepalanya masih menunduk, langsung tidak memandang Zarul. 'Tolonglah pergi. Tolonglah hilang dari pandangan aku.' Berkali-kali Ainul memohon di dalam hati. Ruangan yang tadinya dirasakan selesa mula menjadi sempit sehingga terasa lemas. Dia mengerling sekilas dan melihat Zarul masih terpacak di situ.


"Awak boleh keluar."


"Okay, okay. Aku keluar. Kalau kau sakit or ada rasa tak sedap badan, kau boleh minta emergency leave dari Tuan Aiman." Sempat Zarul berpesan. Tetapi kepala Ainul masih menunduk tidak berkalih walau sedikit pun.


Apabila dirasakan situasi mula kekok dengan kebisuan yang dicipta, Zarul mengangkat kaki keluar dari pantry. Sempat juga dia berkalih semula melihat Ainul yang masih duduk bersimpuh. Lama dia mengamati wajah ayu itu.


'Kenapa aku rasa familiar sangat bila pandang kau, tengok mata kau. Adakah kita pernah kenal sebelum ni? Kalau pernah, kenapa aku tak ingat langsung?' Zarul cuba memerah otak dengan lebih kuat. Cuba mencari secebis kenangan yang mungkin terselit wajah Ainul. Tetapi hampa. Tiada apa-apa yang dia ingat. Akhirnya bersama langkah berat, dia pergi jua meninggalkan Ainul keseorangan di dalam pantry. Ada meeting penting yang dia perlu hadir.


Melihat kelibat Zarul sudah tidak kelihatan, Ainul mula menarik nafas lega. Hidungnya kembang kempis menghirup udara dan mengumpulkan semula semangat yang terbang pergi bersama kemunculan jejaka itu tadi. Apabila dirinya sudah sedikit tenang, cepat-cepat dia mengemas pecahan kaca dan simpan bekalnya semula. Dia mahu pergi dari situ kerana takut Zarul muncul kembali.


Pintu tandas dirempuh oleh Ainul. Dia membawa diri ke sinki sebelum pili air dibuka. Kedua-dua belah tangan mula menadah air dan dilumurkan ke wajah dengan kasar. Berkali-kali. Tudung yang dipakai juga sudah sedikit basah akibat perbuatannya itu. Ainul tidak peduli.


Perlahan kornea mata dibawa merenung wajah sendiri pada pantulan cermin di hadapan. Masih pucat dan terpancar ketakutan dari mata itu. "Kenapa?" Ainul menggumam perlahan.


"Kenapa kau perlu muncul kembali? Tujuh tahun..." Bibir Ainul bergetar hebat. Tanpa dia sedar, mutiara jernih mula menitis di pipi. Tangan naik mengcengkam dada yang terasa perit.


Sedang dia melayan perasaan sedih, terdengar pintu tandas ditolak seseorang dari luar. Tumit kasut kedengaran berjalan masuk membuatkan Ainul menyeka air matanya laju. Tidak mahu orang lain melihat keadaannya sekarang.


Saat mata hitamnya memandang wajah insan yang baru memasuki tandas dari pantulan cermin, Ainul pantas menoleh. "Kau buat apa dekat sini, Sofia?" Soalan bergema memenuhi ruang tandas. Dan Sofia juga agak terpana dengan pertemuan itu.


"Oh?" Tangan Sofia naik menutup mulut.


"Kau cakap kau tak nak datang semalam." Itu pula balasan Sofia.


"I guess sebab kau terdesak sangat nak duit kan? Sebab tu kau datang juga minta kerja." Sofia mengambil tempat di sinki sebelah Ainul. Alatan makeup dibawa keluar dari bag tangan.


"Kau cakap apa ni Sofia? Aku memang dah dapat kerja dekat sini, sebab tu aku tak nak pergi interview dekat tempat kerja kau." Jelas Ainul dengan nada jengkel.


Terhenti tangan Sofia yang mahu mencalit gincu merah terang di bibir. Dia mengalihkan pandangan ke arah Ainul dengan dahi berkerut.


"For your information Cik Ainul, inilah tempat kerja aku. Aku kerja dekat sini as PA kepada bos."


"Tak payah buat lawaklah Sofia. Tak kelakar. PA Tuan Aiman kan Kak Siti? Kau PA celah mana pula?"


Berdekah ketawa Sofia mendengarkan hal itu. Nampaknya ada salah faham antara mereka dan dia pasti Ainul tidak melihat kad nama yang diberinya semalam.


"Tuan Aiman cuma senior manager untuk company ni, bukannya bos besar. Aku ni PA kepada bos besar. Takkan kau tak tahu? Kau tak nampak jawatan yang terpampang depan pintu bilik Tuan Aiman?" Sinis Sofia bersama sisa tawanya. Rasa terhibur melihat wajah blur yang dipamerkan Ainul. 'Kata kerja sini, tapi president syarikat pun kau tak tahu.' Ejek Sofia dalam hati.


"Ohh..." Terkejut juga Ainul mendengarkan hal itu. Mati-mati dia ingat Tuan Aiman merupakan pengasas kepada company cosmetic. Salahnya juga tidak mengkaji selidik dan mencari tahu tentang semua itu.


"Anyways, kau cakap kau dah start kerja sini kan?" Sofia mengemas alatan makeupnya. Dia tersenyum penuh makna ke arah Ainul.


"Selamat datang Ainul." Sofia mendekatkan wajahnya di sebelah telinga Ainul.


"Tak sabar nak kerja sekali dengan kau. Bawah satu bumbung. Mesti seronok." Sofia tersenyum senang. Sempat dia mengibas rambut panjangnya ke muka Ainul dan berlalu keluar.


Dan Ainul hanya mampu termangu-mangu memproses apa yang terjadi. Terasa berpasir air liur ditelan. Dia tahu senyuman yang diberikan Sofia punya muslihat tersendiri. Tangan naik memicit dahi yang berdenyut. 'Lepas satu, satu masalah datang.' Keluh Ainul.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience