BAB 3

Romance Series 19174

Februari 2014


"Ainul Liyana!!!" Serentak dengan panggilan itu, sebatang pen marker bewarna hitam melayang laju tepat ke kepala remaja perempuan yang sedang terlentok elok di atas meja.


Bukkk! Tepat mengenai dahi Ainul yang baru bangkit dari lenanya. Permukaan dahi dipegang dan digosok berkali-kali cuba menghilangkan rasa perit.


"Penat cikgu mengajar dekat depan, kau boleh sedap tidur dekat situ!" Marah Cikgu Damia bersama tangan bercekak pinggang. Dia cukup pantang melihat anak murid yang tidak mendengar kata dan suka membuat tahi mata di dalam kelasnya.


Tahu bahawa diri sudah 'kantoi' tertidur, Ainul menayang wajah sedih dan serba salah. Sempat pula mulutnya ternganga menguap panjang. Apabila melihat jelingan maut mula terbit dari wajah Cikgu Damia, cepat-cepat Ainul menekup mulut.


"Bangun!" Cikgu Damia bersuara tegas.


Lambat-lambat Ainul bangkit dari duduknya dengan kepala menunduk. Tahu bahawa diri bakal dijatuhkan hukuman sebentar lagi. Bukan dia tidak biasa dengan semua itu. Malah dia sudah lali dikenakan denda yang sama.


"Banyak kali cikgu tegur kamu, tapi kamu masih buat perangai yang sama! Tak ubah langsung! Kamu ingat kamu baru form four sekarang, tak payah belajarlah? Honeymoon dulu? Nanti-nanti baru belajar. Macam tu?" Selar Cikgu Damia lagi. Dia merenung tajam ke arah Ainul yang tidak henti-henti membuat masalah dalam sesi pembelajarannya.


"Saya minta maaf cikgu." Ainul hanya mampu meminta maaf dengan suara lemah. Wajahnya sudah berbahang dek kerana malu diperhatikan oleh rakan sekelas yang lain. Rasanya bukan kelas ini sahaja yang dengar jerkahan Cikgu Damia itu, pasti kelas sebelah juga mendengarnya. 'Aduh, mesti orang mengata aku lagi lepas ni.' Bisik Ainul dalam hati.


"Sudah! Pergi berdiri dekat luar. Jangan masuk selagi saya tak suruh." Arah Cikgu Damia sebelum memusingkan badan ke arah papan putih semula, ingin menyambung pembelajaran yang tergendala sebentar tadi.


Ainul akur dengan arahan itu. Dia melangkah longlai ke luar kelas dan berdiri tegak seperti patung cendana. Jam di pergelangan tangan dikerling sekilas. Ingin mengagak berapa lama dia perlu berdiri di situ.


"Haih, nampaknya lagi setengah jam aku kena terpacak dekat sini." Keluh Ainul tanpa henti. Dia mula menayang wajah muram. Bukan dia sengaja mahu tidur di sekolah, tetapi badannya sangat letih dan penat kerana melakukan banyak kerja sejak kebelakangan ini. Ainul mula mengelamun.


Fikirannya terawang mengingatkan kerja yang telah dia lakukan. Mengambil upah mencuci pinggan, menjadi pelayan di gerai Pak Cik Samad yang terletak di simpang masuk kampung, menjadi seorang pekerja car wash, malah kalau ada masa terluang, dia akan meminta kerja lain pula. Pendek kata jadual hariannya selepas tamat waktu persekolahan penuh dengan kerja, kerja dan kerja. Sampai satu tahap emaknya sendiri yang menelefon meminta dia pulang ke rumah. Jika tidak, sampai pukul dua tiga pagilah dia akan terus bekerja.


Bunyi loceng tamat waktu persekolahan menyentak lamunan Ainul. Dia terus masuk ke dalam kelas ingin mengemas barangnya untuk lekas-lekas pulang. Hari ini seperti biasa, dia perlu pergi bekerja di gerai Pak Cik Samad.


"Ainul? Ikut cikgu pergi bilik guru." Cikgu Damia mengeluarkan arahan tanpa memandang wajah Ainul.


Tidak dapat tidak, Ainul hanya mampu mengangguk ke arah cikgunya. Langkah kaki yang ingin ke meja sebentar tadi kembali diatur mengikut jejak langkah Cikgu Damia sehingga tiba di meja guru milik wanita berumur tiga puluhan itu.


"Kamu tahu kenapa cikgu nak jumpa kamu hari ini?" Soal Cikgu Damia tegas.


Seperti biasa, Ainul hanya menikus memandang kasut hitam lusuhnya sambil bermain jari antara satu sama lain. Dia tiada rasa ingin menjawab kerana tidak mahu mencurahkan minyak di atas api yang baru terpadam.


"Sejujurnya, cikgu dah letih hadap perangai kamu. Rasanya dah lebih tiga kali kamu 'ambil angin' dekat luar kelas. Kamu sedar tak perangai kamu semakin teruk?" Bebel Cikgu Damia. Nasiblah bilik guru agak lengang dengan kehadiran guru-guru lain. Senang dia mahu meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada Ainul.


"Saya minta maaf cikgu. Saya betul-betul minta maaf. Saya janji tak buat lagi lepas ni."


"Itu sahajalah yang kamu boleh cakap dari dulu! Janji konon, tapi buat jugak. Apa masalah kamu sebenarnya Ainul?" Sebu rasa hati Cikgu Damia menghadap perangai Ainul sekarang.


"Saya... " Kata-kata Ainul terhenti. Lancang sahaja mulutnya ingin bercerita kepada Cikgu Damia tentang kesusahan yang dihadapi keluarga, tetapi dia tahu Cikgu Damia tidak pernah peduli semua itu. Akhirnya Ainul menggigit bibir dan menelan kata.

"Saya hidup susah? Saya bersengkang mata siang malam cari duit? Itu apa yang kamu nak cakap?" Tanya Cikgu Damia dengan sinis. Melihat kebisuan Ainul, dia tahu apa yang keluar dari mulutnya tadi adalah betul.


"Saya bosan dengar semua alasan tu. Orang lain pun ada juga yang hidup susah. Orang lain pun ada juga yang kematian mak atau ayah, tetapi cikgu tengok mereka lebih bersemangat untuk belajar berbanding kamu. Kenapa kamu tak boleh jadi seperti mereka?" Lagi dan lagi Cikgu Damia menghentam Ainul dengan pelbagai persoalan.


Ainul hanya mampu bersabar dan menahan hati mendengar semua itu. Dalam hatinya tidak putus-putus mengingatkan diri untuk kekal diam kerana dalam hal ini memang dia yang bersalah.


"Kalau ayah kamu masih hidup mesti dia sedih tengok anak dia jadi macam ni. Mak kamu pun takkanlah tak cari kerja untuk tampung pembelanjaan kamu?" Semakin pedas kata-kata yang keluar dari mulut Cikgu Damia tanpa memikirkan perasaan orang yang mendengarnya. Dia tidak kisah semua itu, apa yang dia kisah adalah dapat luahkan rasa tidak puas hati kepada Ainul.


Kedua-dua belah tangan Ainul bertindak menggenggam penumbuk dengan erat. Matanya terpejam mendengarkan segala tuduhan yang diberi. Mengapa? Mengapa perlu menyentuh soal insan yang sudah lama meninggal dunia hanya kerana ingin menyedarkannya daripada kesalahan yang dilakukan? Mengapa perlu menuduh emaknya yang bersusah payah membanting tulang hanya kerana hal kecil seperti ini? Ainul tahu dia bersalah dalam hal ini, tetapi tidakkah Cikgu Damia tahu bahawa membangkitkan nama ibu bapa adalah perkara yang sensitif?


"Saya akan cuba untuk ubah perangai saya selepas ini. Sekali lagi saya minta maaf dengan perbuatan tidak bertamadun saya." Bergetar suara Ainul mengucapkan hal itu. Badan dibawa menunduk sembilan puluh darjah ke arah Cikgu Damia. Berharap perbuatannya dapat menghentikan mulut celupar si guru. Soalan Cikgu Damia tadi dibiarkan sepi tanpa jawapan.


"Yalah, lain kali kalau kamu buat lagi, saya tak akan teragak-agak untuk beri nama kamu kepada PK HEM." Ugut Cikgu Damia. Nampaknya kali ini dia tidak main-main.


"Sudah! Pergi balik. Muak pula lama-lama saya menghadap kamu."


Fuhhh. Pedih 'mat' setiap bicara yang melantun keluar dari bibir merah itu. Tanpa membuang masa, Ainul tersenyun kelat sebelum mengangkat kaki meninggalkan ruangan yang terasa panas. Dia kembali melangkah menuju ke kelas untuk mengambil beg galasnya.

'Kalau ayah kamu masih hidup mesti dia sedih tengok anak dia jadi macam ni. Mak kamu pun takkanlah tak cari kerja untuk tampung pembelanjaan kamu?' Kata-kata itu menghantui kepalanya mengiringi setiap langkah yang dibawa Ainul melepasi pintu pagar sekolah. Tanpa sedar air mata mula menitis perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience