BAB 5

Romance Series 19166

Bukkk!! Tidak semena-mena badan Ainul dirempuh oleh seseorang. Terjatuh kedua-duanya berguling di atas tanah. Dengan wajah berkerut seribu menahan sakit, Ainul gagahkan jua tubuhnya bangun kembali untuk melihat gerangan yang melanggarnya. Terkejut apabila lelaki yang dia lihat di kilang sebentar tadi berada di hadapan mata. Wajah lelaki tidak dapat dilihat dengan jelas akibat terlindung di sebalik topi yang dipakai.


Terasa kesat air liur yang ditelan Ainul. Takut dirinya ditangkap dan diheret ke balai polis kerana membakar kilang itu. Takut dia terpaksa bermalam di lokap akibat sikap tidak gunanya. Sedang dia asyik melayan ketakutan diri, terasa kakinya terpijak sesuatu. Pantas dia menunduk mengutip 'benda' tersebut.


Jam tangan berjenama Rolex dengan tali kulit bewarna coklat gelap dibelek sekilas. Ainul juga perasan cermin jam tersebut pecah separuh. Juga terdapat tompokan-tompokan cecair melekat di tali jam tangan itu. Pasti jam ini terjatuh sewaktu lelaki itu melanggarnya.

Dengan pantas, jam tersebut dirampas kasar oleh si lelaki. Tanpa berkata apa-apa, lelaki itu berlalu pergi meninggalkannya seorang diri. Ainul hairan. Hairan kerana lelaki itu tidak menangkap atau mengheretnya bersama. Dan bertambah hairan melihat gaya lelaki seperti sedang melarikan diri dari sesuatu.


"Mungkin dia tak nampak aku dekat kilang tadi." Bisik Ainul perlahan.


Bau asap yang semakin menebal menyedarkan Ainul dengan tujuan asalnya kembali. Tanpa menunggu sesaat, Ainul berlari semula mendekati kilang bewarna biru itu. Semakin dekat, semakin terasa bahang api yang sedang marak menjulang. Juga kawasan itu sudah dihadiri beberapa orang awam.


"Ambil air lagi! Cepat!"


"Macam mana ni? Api semakin tinggi."


"Kita mesti buat sesuatu sementara tunggu bomba datang."


Ainul hanya memasang telinga mendengar segala percakapan orang sekeliling. Terasa ketar seluruh badan melihat kebakaran yang dimulakan oleh tangannya sendiri. Sungguh dahsyat!


"Adik, Buat apa dekat sini? Bahaya! Pergi!" Halau seorang pakcik yang sedang kalut mengangkut air. Ainul tidak peduli dengan amaran itu. Apa yang dia peduli sekarang tentang nyawa orang lain yang mungkin masih berada dalam kilang tersebut.


"Pak cik? Masih ada orang dekat dalam?" Tangan pak cik itu ditarik kalut. Matanya merenung penuh pengharapan. Harapan bahawa kilang itu kosong tidak berpenghuni.


"Ada! Tuan kilang ni masih ada dekat dalam. Kami tak boleh masuk, sebab asap tebal sangat." Jelas pak cik itu tanpa dipinta.


Kenyataan itu bagaikan petir yang menyambar seluruh nadi Ainul. Bibirnya terketar-ketar bersuara. "Bukankah kilang ni kosong dan belum siap? Ma... Macam mana boleh ada orang pula hari ni?" Nafasnya sudah mula turun naik dengan laju.


"Diorang datang melawat. Rasanya ada dalam lima orang yang datang tapi hanya dua orang yang berjaya keluar." Serentak itu pak cik tersebut berlalu membantu mereka yang lain memadamkan api.


"Ti... Tiga orang? Kalau mereka tak selamat, maksudnya aku dah bu... bunuh tiga orang!" Ainul memegang dada yang terasa sesak. Air mata kekesalan menitis laju menuruni lekuk pipi. Jika dia tahu perkara ini akan terjadi, dia akan paksa diri untuk pergi bekerja di kedai Pak Cik Samad. Jika dia tahu, pasti rokok pemberian Sofia akan dibuang terus dari simpanannya.


"Tak! Aku bukan pembunuh. Aku bukan pembunuh. Tiada sesiapa yang akan mati hari ni." Ainul bersuara tekad. Tanpa berfikir panjang, dia mengambil baju sekolah yang berada di dalam beg galas. Baju itu digenggam erat sebelum direndam di dalam baldi yang dipenuhi air.


Setelah itu, dia mengikat baju itu di wajah. Menjadikan mask menutupi mulut dan hidung daripada terhidu bau asap. Dengan pandangan tajam, kaki dihayun laju mendekati pintu masuk kilang. Bahang panas yang kian terasa diabaikan. Dengan lafaz bismillah, Ainul melompat masuk ke dalam kilang yang bila-bila masa sahaja akan roboh.


"Maafkan Ainul mak kalau ditakdirkan Ainul ikut jejak langkah ayah hari ini. Tetapi Ainul perlu betulkan kesilapan yang Ainul dah buat." Sempat dia berbisik sebelum hilang di sebalik api dan asap hitam.


"Adik!!!" Pak cik dan orang lain yang melihat hanya mampu menjerit dan tidak sempat menghalang. Mereka berpandangan tidak percaya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience