Hujung minggu yang mendamaikan. Terasa sejuk wajahnya saat kabus pagi bersentuhan dengan peluh yang mula berjuraian di dahi. Derapan kaki yang sekejap perlahan dan sekejap laju membuatkan hidungnya kembang kempis cuba mengawal rentak pernafasan. Seketika, tubuh dibawa menghadap keindahan tasik di hadapan mata. Kehadiran orang lain yang turut beriadah dan berekreasi di sekelilingnya tidak dihiraukan.
"Lama tak rasa suasana tenang macam ni." Ainul menggumam sendiri. Dia kembali menyambung langkah, berjalan sambil-sambil meregangkan tangan ke kiri dan kanan. Cuba melonggarkan otot dan sendi di bahagian bahu.
Sedang asyik dia melakukan senaman ringan, tanpa sengaja tangan kanannya tertampar dada seseorang yang sedang berjogging melintasinya. Agak kuat sehingga membuatkan jejaka tersebut mengaduh sedikit menerima habuan darinya.
"Ouch!" Terhenti terus pergerakkan si lelaki sambil tangan memegang bahagian dada. Tidaklah sesakit mana, cuma dia agak terkejut dengan pukulan itu.
"Maaf encik! Saya tak sengaja." Berkali-kali Ainul membongkok memohon maaf ke arah lelaki yang sedang membelakanginya.
"It's okay." Saat si lelaki mula berpaling, kedua-dua tubuh insan tersebut terus menjadi kaku.
"Ainul?"
"Zayad..."
Bagaikan tersedar dari lena, Zayad terus sahaja menghampiri Ainul dengan senyuman lebar. Perasaan teruja mula memenuhi ruang hati. Tidak menyangka dapat berjumpa dengan Ainul di sini.
"What a big surprise! Saya tak tahu pula awak suka jogging dekat sini." Wajah Ainul yang memerah dipandang tidak berkelip.
"Kadang-kadang sahaja saya datang. Erk... Sorry again sebab saya terpukul awak tadi." Wajah risau kembali dipamerkan Ainul. Sesekali matanya mengerling ke dada bidang Zayad yang dibaluti t-shirt hitam, berharap tidak meninggalkan kesan lebam.
"Tak ada apalah."
"Betul?" Wajah cuak Ainul mencetuskan tawa kecil dari mulut Zayad. Comel sungguh!
"Betul. Awak tu janganlah pandang dada saya lama-lama. Tergoda saya nanti." Seloroh Zayad selamba. Bertambah seronok hatinya dapat melihat tingkah laku Ainul yang mula gelabah.
"Ish, merepeklah awak ni! Menyesal pula saya tanya. Dahlah, malas saya nak layan awak." Muka menyampah mula ditayangkan Ainul. Rasa mahu sahaja dia menolak lelaki ini masuk ke dalam tasik. Orang punyalah risau, dia boleh main-main pula.
"Eh, nantilah dulu." Zayad bertindak mendepakan kedua-dua belah tangannya di hadapan Ainul. Menghalang gadis itu daripada berlalu pergi. Jarang dia dapat peluang bertemu dengan Ainul begini. Sekali dapat, takkanlah dia mahu lepaskan begitu sahaja.
"Yes, Encik Zayad?" Kepala Ainul sedikit terdongak memandang Zayad yang lebih tinggi daripadanya. Dia memeluk tubuh menanti bicara Zayad.
"Saya nak minta ganti rugi. Ganti rugi sebab awak dah pukul saya hari ni." Senyuman nakal mula terukir di wajah Zayad beserta mata yang dikenyit sebelah.
Dan Ainul hanya mampu mengeluh menerima reaksi itu. Dia pasti Zayad sedang merancang sesuatu dalam fikirannya.
"MASUKLAH." Pintu kaca dibuka lebar, menjemput Ainul masuk ke dalam. Melihat gadis itu yang masih teragak-agak untuk melangkah, terus sahaja Zayad menarik hujung tudung yang dipakai oleh Ainul. Secara automatik, kaki Ainul terlangkah besar melepasi pintu. Seketika, Ainul merentap tudungnya dari genggaman Zayad dengan wajah tidak puas hati. Sudahlah tadi dirinya dipaksa untuk membuntuti Zayad ke gerai yang berdekatan, sekarang dipaksa datang ke sini pula.
"Lambat sangat awak ni. Bukannya saya nak buat apa-apa pun." Faham dengan kerlingan tajam dari Ainul, dia cuba menerangkan tindakannya berbuat demikian.
"Manalah tahu. Dekat sini bukannya ada orang lain." Bidas Ainul sambil meliarkan mata ke sekeliling. Melihat kalau-kalau ada bayangan manusia lain bersama mereka, rasa selamat sikit. Tetapi, apa yang menjamah matanya hanyalah suasana gelap tanpa lampu.
"Tak ada maknanya. Awak tak payah takut. Nanti pukul sembilan adalah pekerja saya datang bersihkan studio." Sempat Zayad mengerling jam tangan yang dipakai. Baru pukul lapan. Masih ada masa satu jam untuk dia breakfast bersama Ainul di sini.
"Anyways, welcome to my studio." Suis yang berada di tepi pintu ditekan sebelum ruangan tersebut menjadi terang-benderang sekelip mata. Membuatkan Ainul terpana buat seketika. Zayad kembali menyambung langkah ke arah set meja dan kerusi rotan yang berada di sebelah kanan ruangan untuk meletak bungkusan makanan yang dibelinya tadi.
Ainul mula membawa pandangan meneliti ruangan tersebut dengan wajah penuh teruja. Nampak mewah dengan berlantaikan kayu dan berdinding putih. Dan di setiap ruangan dinding pula tergantung pelbagai jenis koleksi gambar yang telah dibingkaikan. Ada gambar orang kahwin, gambar haiwan dan juga gambar gunung-ganang yang cantik.
Tanpa sedar, kaki sudah berjalan mendekati gambar-gambar tersebut. Meneliti dan mengamati satu-persatu dengan senyuman yang mula memekar di bibir.
"Awak suka?" Soalan Zayad masih tidak mampu membuatkan perhatian Ainul berkalih daripada melihat gambar-gambar tersebut. Ralit sungguh! Dengan santai Zayad menyandarkan bahunya di dinding sambil memeluk tubuh. Merenung dan terus merenung ke arah Ainul tanpa jemu.
"Suka. Gambar ni nampak hidup. Hebat orang yang ambil." Komen Ainul jujur. Setiap gambar yang disentuh bagaikan mampu membuatkan dia disedut masuk ke dalam.
"Terima kasih atas pujian awak." Balas Zayad bersama sengihan yang tidak lepas dari wajah. Dia mula mendekati Ainul yang berdiri di tengah-tengah ruangan.
Pantas Ainul berkalih melihat Zayad dengan wajah tidak percaya. Kata-kata lelaki itu secara langsung telah mengakui bahawa dialah orang yang mempotret semua imej tersebut.
"Yes, It's me." Bagaikan faham dengan apa yang bermain di dalam benak Ainul, Zayad menjawab sambil memasukkan kedua-dua belah tangan ke dalam poket. Berdiri bertentangan Ainul.
"Ada certain gambar yang saya ambil and ada juga certain gambar daripada hasil tangan pekerja saya sendiri." Terang Zayad tanpa dipinta.
"Really?! Saya speechless sekejap. Bukankah awak dengan team production awak cuma buat iklan dan rakaman video? Macam mana..."
"Kenapa? Awak ingat kami ni tak pro ambil gambar?" Rasa lawak pula dengan andaian yang dibuat oleh Ainul. Apa gadis itu ingat awal-awal mereka menceburi bidang ini, mereka tidak perlu melalui fasa berswafoto?
"Dah bertahun-tahun saya hidup dengan kamera, takkanlah saya tak reti nak potretkan gambar yang cantik-cantik begini sayang oii. Semestinya kami handal dalam bab-bab ini juga." Terhibur Zayad dengan kepolosan Ainul.
"Manalah saya tahu." Ainul mencebik. Ini bukan bidangnya, jadi tidak hairan kalau dia kurang pengetahuan tentang kerjaya Zayad.
"Sebab itulah awak kena selalu datang sini. Supaya semua perkara yang awak tak tahu, saya boleh ceritakan. Kalau awak nak tahu macam mana kami buat rakaman, saya boleh tunjukkan. Kalau awak nak tahu cara saya setting camera pun saya boleh tunjukkan. Also..." Kepala sudah ditundukkan sedikit ke arah Ainul sebelum Zayad mula berbisik.
"Kalau awak nak tahu lebih lanjut tentang saya pun boleh. I can spend my whole day chatting with you." Pandangan mata Zayad mula bertukar redup.
Makin tajam jelingan yang diberikan Ainul. Dia tahu Zayad mula menjadi ulat bulu yang sedang memanjat daun. "Ish, makin lama saya cakap dengan awak, makin menyampah. Rasa nak sahaja saya tampar mulut tu sebab selalu cakap benda merapu."
"Tamparlah. Kalau Ainul yang tampar, saya tak kisah. Orang cantik tampar tak terasa pun sakitnya." Zayad masih dalam mood mengusik. Tidak sempurna harinya tanpa melihat wajah memerah Ainul menahan marah.
"Bla, bla, bla. Tak nak dengar." Akibat malas melayan lelaki itu, tangan Ainul naik menutup kedua-dua belah telinga yang dilitupi tudung sambil melangkah menuju ke arah meja rotan. Buat-buat tidak dengar.
"Ala sayang. Nak pergi mana tu?" Zayad masih tidak berhenti. Dia sudah ketawa besar dengan reaksi Ainul.
"Tak dengar, tak dengar." Balas Ainul. Salah satu kerusi sudah diduduki olehnya. Bungkusan nasi lemak dibuka dengan penuh berselera. Lebih baik dia mengisi perut yang sedang lapar daripada melayan kerenah Zayad.
"Tunggu saya. Kita makan sekali." Akhirnya Zayad mendapatkan Ainul dengan hati berbunga. Terasa hujung minggunya kali ini lebih bermakna berbanding minggu-minggu lain.
Share this novel