BAB 22

Romance Series 19166

Baru sahaja dia memuji sikap Sofia dua hari lepas, boleh pula hari ini tanpa segan silu ulat beluncas itu menyuruhnya mengemas bilik stor yang terkumpul fail-fail lama. Boleh tahan luas juga bilik stor yang terletak di tingkat dua ini. Tingkat di mana menempatkan semua jenis sampel cosmetic dan pelbagai jenis banner dari event yang telah dibuat syarikat sebelum ini.


Achemm! Achemm! Terbersin Ainul apabila habuk mula berterbangan masuk ke rongga hidung. Dia menggosok hidungnya berkali-kali, cuba mengurangkan rasa gatal. Stor ini tidaklah serabut mana, cuma habuk yang menghuni sudah setebal kamus dewan.


Tanpa membuang masa, Ainul mula mengasingkan fail dari rak bewarna koko dan disusun rapi di tepi dinding. Takut fail yang disusun itu sudah mengikut tarikh dan waktu yang telah ditetapkan. Jadi, dia tidak mahu mencampur aduk semua fail sesuka hati.


Hampir lima belas minit dia membuang dan mencuci segala habuk, bunyi pintu stor dibuka dari luar mengganggu tumpuannya. Kepala yang tertunduk-tunduk dari tadi mula mendongak memandang ke arah pintu. Munculnya kasut kulit bewarna hitam membuatkan Ainul cemas.


"Kita ada urusan yang belum selesai." Tanpa mukadimah, tanpa pembuka kata, Zarul terus menyerang kepada topik utama dia menghadirkan diri ke situ.


Mata Ainul mula terpejam mendengar bicara lelaki itu, cuba membuang rasa gementar yang menjalar dalam hati. Bebola mata kembali diliarkan memandang kiri kanan, mencari ruang untuk melarikan diri.


Klik! Berderau darah Ainul apabila tangan kekar Zarul bertindak mengunci pintu stor. Tahulah dia, kali ini dia betul-betul perlu berhadapan dengan Zarul tanpa gangguan sesiapa.


"Apa awa... Maksud saya apa yang Tuan Zarul nak tahu?" Ainul memberanikan diri bertanya. Cepat dia menjawab soalan Zarul, cepat juga dia boleh beredar pergi.


"Banyak Ainul. Sangat banyak." Zarul menyinsing lengan kemejanya sehingga paras siku. Penuh santai dia memasukkan kedua-dua belah tangan ke dalam poket sambil mata memandang Ainul tidak lepas.


"Aku tahu kau takut dengan aku. Bohonglah kalau aku tak nampak semua itu. Jadi, kalau kau tak nak aku terus-terusan ganggu kau sampai kau nak berhenti kerja, just answer my question." Sempat Zarul memerli. Apabila diberitahu Aiman beberapa hari lepas bahawa Ainul mahu berhenti kerja disebabkan dirinya, Zarul menjadi panasaran. Nasib baik sepupunya itu menghalang keras.


Kotak yang tedampar di hujung kaki hanya dipandang oleh Ainul. Kalau boleh, dia mahu masuk ke dalam kotak itu dan mengurung diri di sana. Supaya dia tidak terus diasak begini. Oksigen mula disedut panjang, cuba mengumpul kekuatan dan semangat dengan soalan yang bakal diutarakan Zarul nanti.


Setapak Zarul melangkah.


"Kenapa kau takut dengan aku?"


"Sebab Tuan Zarul bos saya." Laju dan ringkas Ainul berkata tanpa mengangkat muka.


"Tak payah bohong. Kau takut dengan aku sebelum kau tahu aku bos dekat sini."


"Ma... Macam saya cakap sebelum ni, saya tak biasa dengan lelaki." Zarul sudah mengagak, Ainul akan mengulang kembali apa yang diberitahunya sebulan lepas.


"Okay, aku terima alasan kau. Next question... " Setapak lagi Zarul mendekat.


"Kita pernah berjumpa sebelum ni?" Bulu mata lentik Ainul dipandang. Hanya itu sahaja dia boleh tengok memandangkan Ainul menundukkan wajah.


"Tak!" Nada tegas cuba dibuat oleh Ainul. 'Maafkan aku Ya Allah, aku tak berniat untuk berbohong.'


Zarul diam tidak membalas. Dia menayangkan muka tidak puas hati dengan jawapan Ainul. Kaki melangkah lagi mendekati gadis itu. Kini, hanya kotak di lantai yang memisahkan mereka.


"Then, macam mana kau tahu tentang K&L?" Terpancul jua soalan yang sudah lama dia pendam untuk ditanyakan kepada Ainul.


"Saya... Saya... google. Ya, ya! saya jumpa dekat google." Bersungguh Ainul cuba meyakinkan. Peluh mula membasahi dahi dan leher di sebalik tudung.


"Jangan tipu! Semua benda berkaitan K&L aku haramkan post di media, internet or platform lain sejak tujuh tahun lepas!" Suara Zarul sudah bertukar garang. Dia memang tidak mampu mengawal kemarahan apabila hal berkaitan masa lalu mula dibangkitkan. Terasa luka lama berdarah kembali.


Makin menikus Ainul mendengar suara garau Zarul membentak. Dan rasa bersalah kembali menggunung di dalam hati. Dia tidak sepatutnya menyebut tentang K&L sejak awal. Dia tidak sepatutnya membuatkan Zarul teringat kembali dengan peristiwa hitam itu. Cukuplah dia meninggalkan memori pahit dalam kehidupan Zarul dahulu.


"Pandang aku Ainul, kalau betul apa yang keluar dari mulut kau semuanya jawapan jujur, kau tak perlu takut untuk cakap depan-depan." Arah Zarul pula. Tiga saat berlalu, Ainul masih diam tidak berkutik.


"Ainul... Jangan cabar aku. Aku tak nak gunakan kekerasan." Suara Zarul sedikit mengendur tetapi masih penuh dengan amaran.


Akhirnya Ainul akur juga. Mata bundar itu mendongak ke atas tepat terarah pada Zarul. Membawa pandangan penuh tersirat. Seketika Zarul sedikit tergamam dengan renungan Ainul tetapi, cepat-cepat dihalau rasa itu pergi.


"Sekali lagi aku tanya kau, macam mana kau tahu tentang K&L?"


Ainul mengetap rahangnya kuat. Terketar-ketar bibirnya mahu menjawab soalan Zarul. "Saya betul-betul tak boleh beritahu Tuan Zarul macam mana saya tahu tentang K&L. Walau beribu kali Tuan Zarul tanya saya dengan soalan yang sama, saya akan tetap jawab begitu. Jadi, tolong... Tolong berhenti desak saya dengan hal-hal berkaitan masa lalu. Saya cuma nak bekerja di sini dengan aman. Saya cuma nak fokus tentang Elegance & Beauty Cosmetic. Saya harap sangat Tuan Zarul faham situasi saya."


Serentak dengan ucapan itu, Ainul mengangkat kaki mahu menuju ke pintu. Dia sudah tidak betah berada di sini. Biarlah, biarlah Zarul mahu memecatnya kerana kurang ajar sekalipun, yang penting dia bebas dari desakan yang mula menyesakkan dada.


Belum sempat tubuh mendekati pintu, terasa hujung lengan baju kurungnya ditarik dari belakang. Ainul pantas berkalih dengan wajah terkejut.


"Nampaknya kau masih berdegil untuk beritahu aku semuanya. Baik, kalau itu kehendak kau. Aku tak akan paksa lepas ni. Aku akan cari sendiri jawapan kepada semua persoalan aku." Genggaman pada baju kurung Ainul dilepaskan. Zarul kembali memusingkan badan menghadap Ainul semula. Akhirnya, keluhan panjang terlepas dari mulut sambil tangan kanan mula mengeluarkan sesuatu dari poket.


"Pakai ni. Habuk dekat sini banyak. Aku tak nak kau selsema nanti." Selamba Zarul menyangkutkan headloop mask di kepala Ainul. Kini, hanya mata bundar Ainul yang terlihat kerana separuh lagi wajah ditutupi mask bewarna putih. Lagi dan lagi Zarul menilik wajah Ainul. Cuba mencari sedikit klu tentang gadis itu.


Pelik pula Ainul melihat perangai Zarul yang berubah-ubah. Kejap-kejap marah, kejap-kejap baik, kejap-kejap serius. Tak faham dia.


Saat dahi gadis itu terlihat berlapik-lapik memandangnya hairan, Zarul seperti teringatkan sesuatu. Rasanya dia pernah nampak wajah Ainul memandangnya sebelum ini. Memandang dengan pandangan penuh cemas dan ketakutan. Terasa dejavu. Seminit. Dua minit. Zarul berlari keluar dari bilik stor dengan kalut. Dia pantas menuju ke lif sambil tangan mendail nombor seseorang. Meninggalkan Ainul dengan seribu satu pertanyaan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience