BAB 9

Romance Series 19166

"Jangan risau sayang. Kebakaran itu tiada kaitan dengan Ainul." Dia berbisik perlahan. Walaupun mata Ainul sudah terkatup rapat, Maria terus memujuk. Tetapi dia sendiri tidak yakin dengan pujukannya itu. Selagi dia tidak tahu hal sebenar, apa yang bermain dalam otaknya boleh dikatakan hanyalah telahan semata-mata. Dia perlu bertanya kepada Sham untuk dapatkan kepastian.


Nombor Sham didail pantas. Beberapa saat menunggu, panggilannya bersambut.


"Hello, Sham?"


"Ya, Maria. Aku ni." Jawab Sham perlahan.


"Kau dah selesai urusan kau?" Maria bertanya terus. Hatinya sudah meronta-ronta tidak sabar untuk tahu perkara sebenar.


"Dah Maria. Kau call aku sebab Ainul kan?" Sham menebak. Dia sudah tahu tujuan asal Maria menelefonnya lewat malam begini.


"Ya, tapi ada perkara lain yang aku nak tanya." Sekilas, Maria memandang Ainul yang sedang tidur pulas di atas sofa. Mungkin anaknya penat menangis sehingga tertidur di dalam pelukannya sebentar tadi.


"Tentang Kamarul dan Lidya?" Sekali lagi Sham menebak. Mendengarkan helaan nafas berat dari mulut Maria, Sham tahu tekaannya tepat.


"Aku dah tengok berita. Jawab soalan aku dengan jujur Sham, betul ke punca kebakaran tu masih dalam siasatan?" Bergetar hebat suara Maria menyoal. Sesekali dia menjeling Ainul, takut anaknya terjaga dan mendengar perbualan mereka.


"Kau tahukan aku tak boleh berahsia apa-apa dengan kau?" Sham membalas. Dia mengeluh di hujung talian.


"Sebab tu aku call untuk tanya kau hal sebenar. Sebab kau ada dekat tempat kejadian."


"Sebenarnya kami diminta untuk rahsiakan perkara ni dari pihak umum." Sham berjeda seketika.


"Kebakaran tu memang dirancang seseorang. Polis jumpa kesan minyak petrol dituang sekitar kilang." Beritahu Sham sambil merenung jauh ke hadapan.


"Aku dah agak. Ada orang nak bunuh mereka. Sebelas tahun, akhirnya hasrat pembunuh tu tercapai." Jawab Maria dengan perasaan marah. Dia tidak menyangka sudah bertahun berlalu, nyawa pasangan itu masih diburu seseorang.


"Maksud kau, orang yang sama rosakkan brek kereta mereka dahulu?" Sham menyoal lagi.


"Ya. Aku pasti mereka orang yang sama."


"Lagi satu Maria. Ni telahan aku sendiri. Aku tak pasti betul atau tak." Kata Sham ragu-ragu.


Maria sabar menunggu Sham membuka cerita. Dia tahu Sham akan menceritakan segalanya jika dia bertanya sesuatu kepada lelaki itu. Mungkin kerana rasa bersalah yang menghurung diri Sham sebelas tahun lepas membuatkan Sham menjaga mereka seperti keluarga sendiri. Apa yang Maria pinta dan tanya, pasti lelaki itu akan menjawab jujur.


"Aku rasa mereka berdua meninggal sebelum berlakunya kebakaran tu lagi. Tetapi aku tak boleh nak pastikan telahan aku tepat atau tak sebab perlu laporan daripada pasukan forensik dahulu. Dan macam yang aku cakap tadi, polis tak bagi kami masuk campur dan perlu tutup mulut tentang kes ni." Terang Sham dengan panjang lebar.


"Kenapa?" Maria menyoal pelik.


"Katanya atas permintaan anak tunggal pasangan tu sendiri. Dia tak nak orang tahu penyebab kematian ibu bapa dia. Aku pun tak tahu kenapa anak dia nak rahsiakan semua ni." Jelas Sham lagi.


"Hmm... Mungkin dia ada sebab dia sendiri." Fikir Maria.


Seketika panggilan bertukar sepi sebelum Sham membuka mulut bertanya. "Macam mana dengan Ainul? Dia nampak terkejut sangat tadi." Tanya Sham penuh prihatin.


"Dia baru saja tidur. Mungkin penat agaknya. Dia ada cerita apa-apa dekat kau?" Maria menyoal sangsi.


"Tak. Dia tak jawab langsung bila aku tanya. Tapi kan Maria, aku pelik macam mana Ainul boleh ada dekat situ. Dia siap boleh masuk lagi dalam kilang tu untuk selamatkan mereka." Kenyataan Sham ternyata membuatkan Maria terjerit kecil.


"Kau cakap apa?!" Maria bertanya inginkan kepastian.


"Ainul tak cerita? Dia boleh cedera sebab lompat dalam kebakaran tu untuk selamatkan mereka. Nasib baik aku sempat tahan dia sebelum dia masuk buat kali kedua kalau tak, aku tak tahulah apa jadi dekat Ainul." Cerita Sham sambil teringat semula wajah comot Ainul di kilang itu.


"Ya Allah." Maria mengurut dadanya yang rasa mahu pecah. Tidak menyangka Ainul mengambil tindakan berani mati. Pasti anaknya itu rasa bersalah sangat kerana menganggap kebakaran itu terjadi kerananya dan mengambil tindakan sedrastik itu.


"Tak apalah Sham. Terima kasih sebab cerita dekat aku semua ni." Maria bersuara setelah berjaya menenangkan diri. Dia berura-ura mahu menutup telefon tetapi suara Sham menghentikan tindakannya.


"Kau tak jawab lagi soalan aku Maria. Apa Ainul buat dekat situ?"


Terasa kelat air liur yang ditelan Maria. Bukan dia tidak mahu cerita, tetapi dia tak nak panjangkan lagi masalah dan mengaibkan keluarganya sendiri. Biarlah hanya dia dan Ainul tahu kisah di sebalik semua itu.


"Entahlah Sham. Erk... Dia tak cerita pun dekat aku. Nanti aku tanya dia. Assalamualaikum." Bohong Maria sebelum menamatkan panggilan.

Kaki kembali dibawa ke arah Ainul. Pipi Ainul dielus lembut dan penuh kasih. Seketika, matanya terarah pada kotak rokok yang terdampar di atas sofa, tepi tubuh Ainul. Perlahan tangan kanannya bertindak mengambil kotak tersebut dan digenggam erat.


"Mak mesti kecewa dengan Ainul kan?" Tanya Ainul menyentakkan lamunan Maria. Maria menoleh memandang anaknya yang sudah bangun dari pembaringan. Entah bila anaknya sedar dia sendiri tidak tahu. Harapannya, Ainul tidak mendengar perbualan dia bersama Sham tadi.


"Ainul dah ok?" Soalan berbalas soalan.


"Ainul minta maaf sebab jadi anak tak guna. Ainul minta maaf sebab dah buat sesuatu yang mengguris hati mak." Tiba-tiba Ainul bertindak melutut di kaki Maria. Maria pantas mengangkat tubuh anaknya lalu didudukkan di atas sofa semula.


"Ainul... Berhenti minta maaf dekat mak dan bagitahu dari mana kamu dapat benda 'alah' ni?" Maria mula merenung Ainul dengan pandangan tajam. Kotak rokok ditangan ditunjukkan pada Ainul.


Dengan helaan nafas panjang, Ainul mula menceritakan segalanya. Bermula dari dia tertidur dalam kelas, sehinggalah dia bertemu Sofia di luar pagar sekolah. Maria mendengar dengan tekun dan tidak menyampuk. Hanya membiarkan anaknya bercerita sehingga habis.


"Sebab tu Ainul bawa diri pergi kilang tu. Tak sangka, perkara lain pula yang terjadi. Tetapi Ainul berani sumpah dengan mak yang Ainul tak sempat pun nak hisap benda tu dan Ainul janji tak akan buat lagi lepas ni." Tangan diangkat separas kepala ingin membuktikan bahawa dia telah bersumpah untuk tidak menyentuh lagi benda-benda tersebut.


"Ainul, dengar cakap mak! Lepas ni mak tak nak kamu buat kerja apa-apa dah. Mak nak kamu fokus untuk belajar sahaja. Kalau kamu masih sayangkan mak, tolong jangan kecewakan mak lagi. Kita hanya hidup berdua. Mak tak nak pelajaran dan kehidupan anak mak terabai. Mak merayu sangat dekat kamu." Maria bertindak menggenggam tangan Ainul dengan erat. Sudah acap kali dia menyuruh anaknya berhenti kerja tetapi Ainul degil. Alasannya adalah tak mahu melihat tubuh tuanya bersusah payah mencari duit.


"Tengoklah apa yang jadi bila kamu degil. Bila kamu tak dengar cakap mak! Kamu buat masalah sana sini dan pelajaran kamu makin merosot." Marah Maria lagi. Kali ini, dia akan sedarkan anaknya untuk fokus sahaja dekat sekolah.


"Ainul janji mak. Ainul akan ubah perangai Ainul. Ainul akan belajar sungguh-sungguh." Angguk Ainul penuh yakin. Kejadian hari ini cukup membuatkan dia serik. Serik untuk mencuba perkara baru dan melawan cakap lagi.


"Dah, pergi bersihkan diri kamu. Cuci luka tu. Mak nak pergi siapkan makan malam." Arah Maria satu nafas. Baru dia berura-ura mahu bangkit, suara Ainul mencelah.


"Mak..." Seru Ainul penuh sayu.


"Kenyataannya Ainul dah sebabkan dua nyawa terbunuh hari ini dan Ainul tak boleh ubah kenyataan itu." Mata Ainul mula berkaca. Walaupun dia sudah berazam untuk menjadi lebih baik, namun kejadian lewat petang tadi berlaku kerananya dan dia sudah terlewat untuk betulkan segalanya.


"Mak dah call Pak Cik Sham kamu tadi. Dia bagitahu kebakaran tersebut disebabkan litar pintas. Jadi, kamu tak payah fikir lagi." Ringkas Maria menjawab tanpa memandang wajah Ainul sebelum menghilangkan diri ke dapur. Dia rasa berdosa kerana berbohong pada anaknya. Tetapi dia terpaksa lakukan semua itu kerana tidak mahu Ainul bertanya lebih.


Kata-kata emaknya bagaikan angin lalu yang masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Entahlah. Dia masih ragu-ragu dengan kenyataan emaknya tetapi untuk bertanya lebih dia tidak mampu. Kejadian tersebut meninggalkan kesan mendalam buat dirinya. Jika ikutkan hati, mahu sahaja dia pergi ke balai polis dan menyerah diri. Namun, siapa yang akan menjaga emak nanti semasa ketiadaannya di rumah? Dan pastinya keluarga mereka akan dipandang serong oleh orang kampung.


Maka, biarlah. Biarlah dia menganggap bahawa kebakaran itu disebabkan lintar pintas seperti dikatakan oleh Pak Cik Sham. Jika pihak polis tidak menemui bukti, maka biarlah dia terus bersembunyi di sebalik bukti palsu yang dijumpai. Ainul mula menyedapkan hati dan akal. Tetapi persoalannya sekarang, mampukah hati dan akal Ainul membuang rasa bersalah dan kekesalan yang mula menjalar dalam pembuluh darahnya? Mampukah dia melupakan segalanya selepas ini seolah-olah tiada apa yang berlaku? Ainul sendiri tidak pasti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience