BAB 15

Romance Series 19166

Letih! Itulah perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan keadaan dirinya. Bukan letih fizikal, tetapi lebih kepada akal dan perasaan yang lelah dengan rasa terkejut, takut dan seangkatan dengannya. Tubuh direbahkan atas katil empuk sambil mata memandang kosong ke arah siling bilik. Mahu melepaskan lelah sekejap sebelum bangun membersihkan diri.


"Macam manalah aku nak terus bekerja dekat situ? Kalau hari-hari nampak muka dia, boleh kena serangan jantung aku." Ainul mengeluh berat. Dia tidak pasti apa yang dibuat oleh Zarul di syarikat Elegance & Beauty Cosmetic. Seingatnya dahulu, keluarga Zarul juga merupakan pengasas kepada sebuah syarikat kosmetik bernama K&L. Jadi, mengapa lelaki itu berkeliaran di tempat kerjanya?


"Hari ini dah dua kali aku nampak dia cari Tuan Aiman. Mungkin company K&L dengan company Elegance bekerjasama untuk keluarkan produk baru?" Makin berat kepalanya memikirkan hal itu. Kalau benar tekaan yang dibuat, maknanya kebarangkalian untuk dia terserempak dengan lelaki itu lagi selepas ini sangat tinggi.


"Atau aku patut berhenti saja?" Dari baring, tubuh bangun duduk bersila.


'Tetapi kalau awak tetap juga nak berhenti disebabkan alasan yang tidak munasabah dan tiada kaitan dengan gangguan semasa kerja, awak perlu membayar denda kerana telah melanggar kontrak ini. Faham?' Rasa nak menjerit apabila teringat kembali kontrak yang dia sudah tandatangan. Tiga bulan. Memang bukan satu masa yang lama, tetapi bagi Ainul sehari dia berada di ruang yang sama dengan Zarul, boleh diibaratkan sebulan.


Lagi satu, tidakkah pelik Tuan Aiman nanti kerana baru sehari dia bekerja sudah mahu berhenti. Tak pernah dibuat orang. Semestinya, Tuan Aiman akan meminta alasan kukuh yang menjadi penyebab utama untuk dia resign. Takkanlah dia mahu beritahu bahawa semuanya kerana lelaki itu, Zarul Akhtar.


"Ya Allah. Kenapa perjalanan hidup aku perlu bertaut dengan dia? Adakah ini kifarah yang aku harus terima di atas dosa lalu?" Ainul buntu. Dia duduk memeluk lutut sambil merenung nasib. Dua saat sebelum wajah disembamkan pada celah lutut. Memori mula melayang teringatkan kejadian tujuh tahun lepas. Masih segar dalam ingatan kebakaran ngeri yang meragut dua nyawa pasangan itu.

"TAMBAH lagi Zarul. Jangan segan-segan. Banyak lagi dekat dapur aunty kamu masak." Tuan Razali mencedokkan ketam masak lemak ke dalam pinggan Zarul.


"Betul Zarul. Makan sampai kenyang. Kalau kamu nak bungkus bawa balik pun boleh." Sampuk Puan Fatini tersenyum senang. Suka melihat masakannya dijamah dengan penuh berselera oleh tiga jejaka di hadapan.


"Terima kasih aunty, uncle. Sedap betul aunty masak." Puji Zarul ikhlas. Rasanya sudah tiga kali dia menambah nasi. Kalau hari-hari macam ni, boleh gemuk jadinya.


"Yelah, kalau Zarul datang je, mesti dah tak nampak anak teruna diorang ni. Macam aku pula yang datang makan dekat rumah kau Zarul." Aiman menempelak dengan mulut muncung. Mama dan papanya dijeling tajam.


Mengekek ketawa mereka bertiga dengan kenyataan itu. Sudah biasa dengan perlian Aiman yang berjauh hati. Bukan tidak biasa apabila Aiman menunjukkan wajah monyok melihat mama dan papanya melayan Zarul bagaikan sang putera.


"Kau tak payah nak merajuk sangat Aiman. Buruk aku tengok. Dah boleh sidai baju mulut tu." Bidas Zarul selamba.


"Alah, kamu tu selalu sangat ada dekat rumah. Biarlah mama dan papa layan Zarul pula. Dia kan jarang datang sini." Walau berkata begitu, Puan Fatini tetap mencedokkan ayam goreng ke dalam pinggan Aiman. Mahu mengambil semula hati anak jantannya.


"Ha, Zarul? Kau dengar tu. Lain kali selalulah datang sini supaya aku boleh dapat balik perhatian mereka." Kaki Zarul disepak bawah meja. Apabila Zarul memandang, wajah Aiman dikemut tidak puas hati.


Zarul tidak duduk diam. Dia membalas sepakan itu dan turut menjegilkan mata ke arah Aiman. Siap dengan mulut terherot-herot mengejek.


"Sudah, sudah. Tak payah gaduh. Makan cepat. Nanti lewat pula kamu sampai rumah." Dah macam anjing dengan kucing Puan Fatini tengok. Walaupun umur mereka berdua sudah mahu masuk tiga puluhan, tetapi perangai tak ubah macam budak tadika.


"Kamu tak nak tidur sini Zarul?" Tanya Tuan Razali sambil menyuap nasi ke mulut.


"Tak kot uncle. Ada kerja yang Zarul perlu siapkan. Maklumlah bila launched product baru ni, banyak perkara kena teliti." Tolak Zarul sopan.


"Ala, kan ada si Aiman ni. Sambil-sambil buat kerja bolehlah berbincang dengan dia." Puan Fatini pula memberikan cadangan.


"Tak apalah aunty. Lagipun kertas, dokumen, maklumat penting semua ada dekat rumah and laptop pun Zarul tak bawa. Nak harapkan si Aiman ni, dia tahu bawa diri je." Sempat dia mengata Aiman depan-depan. Bukan dia tak tahu perangai sepupunya itu bagaimana. Aiman memang tidak suka membawa pulang bahan kerja ke rumah. Alasannya, otak dia tidak berfungsi kalau bekerja dari rumah. Disebabkan itu, jika ada kerja penting yang perlu diselesaikan dengan segera, Aiman akan berkampung di office sampai lewat malam.


"Baiklah kalau kamu dah cakap macam tu." Tuan Razali bersuara sedikit hampa. Dah orang tak sudi, takkan dia nak paksa.


Setelah selesai makan malam bersama, Zarul meminta izin untuk solat isyak di bilik Aiman. Selesai mengaminkan doa, jam tangan dikerling sekilas. Dah pukul sembilan setengah malam. Rasanya dia patut pulang sekarang. Sejadah digantung pada penyidai dan kaki dibawa menuruni tangga menuju ke ruang tamu rumah agam tersebut.

Gurauan senda tiga beranak itu mula menarik perhatian Zarul. Dia menghentikan langkah pada anak tangga terakhir. Merenung dan memandang Tuan Razali, Puan Fatini dan Aiman yang ralit bersembang di ruang tamu. Sesekali kelihatan tangan Puan Fatini memukul lengan Aiman dan Tuan Razali manja. Seolah-olah merajuk dengan gurauan suami dan anaknya itu.


Entah mengapa hatinya diserbu perasaan cemburu dan sedih. Melihat keluarga bahagia di hadapan mata membuatkan dia teringat pada mummy dan daddynya. Membuatkan dia rindu dengan masa lalu ketika mummy dan daddy masih di sisi. Dia pernah berada di tempat Aiman. Bergurau manja dengan mummy dan sesekali menyakat daddy yang sedang menonton tv. Tetapi, waktu dia meluangkan masa bersama orang tuanya tidak lama. Mereka hanya dipinjamkan selama dua puluh satu tahun dalam hidupnya sebelum pergi buat selama-lamanya.


Sejak kehilangan itulah, boleh dikatakan dirinya menumpang kasih dengan keluarga Aiman. Walaupun Tuan Razali hanya anak angkat, bukan sedarah dengan daddynya, dia sudah menganggap lelaki itu sebagai seorang ayah. Kasih sayang dan perhatian yang diberi oleh mereka bertiga tidak terbalas rasanya.


"Zarul! Kamu dah nak balik?" Soalan Puan Fatini menyedarkan Zarul dari khayalan. Perasan semua mata terarah padanya, Zarul cuba mengorak senyuman manis. Kepala mengangguk sekali menjawab pertanyaan itu.


"Ini, aunty dah bungkuskan lauk buat kamu." Mangkuk tingkat disua kepada Zarul.


"Terima kasih aunty. Terima kasih juga uncle jemput Zarul datang. Zarul balik dulu." Tangan Tuan Razali disalam dan dikucup mesra.


"Aku balik dulu. Jangan lupa esok meeting pukul sepuluh." Sempat dia mengingatkan Aiman sebelum memboloskan diri ke dalam kereta. Akhirnya, pacuan empat roda itu bergerak pergi membelah kepekatan malam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience