"Ayah nak cakap dengan akak." Saleha menyerahkan telefon bimbit kepada Maria. Dia bangun menuju ke dapur, memberi ruang kepada Maria dan ayahnya berbicara.
"Kau sihat Maria? Ainul macam mana?" Tanpa sempat memberi salam, Sham sudah menyerbunya dengan pelbagai soalan.
"Alhamdulillah aku dan Ainul baik-baik sahaja dekat sini. Kau tak payah risaulah." Maria membalas.
"Dah lama aku tak call tanya khabar kau dengan Ainul. Kalau kau perlukan apa-apa dekat sana, bagitahu sahaja pada Sal. Nanti dia boleh uruskan. Kau tak payah susahkan diri pergi berniaga nasi lemak pagi-pagi. Badan kau tu bukannya kuat sangat." Pesan Sham risau. Agak terkejut tadi apabila Sal mengkhabarkan padanya tentang kerja yang dilakukan Maria sejak kebelakangan ini.
"Allah Sham, bukannya aku pergi jual tengah panas. Aku cuma bungkuskan dan letak dekat gerai bawah blok ini sahaja. Kau tuh yang melebih."
"Aku bukan apa Maria. Kalau boleh, aku nak kau rehat dekat sana, takut kau jatuh sakit pula nanti. Kau tu sekarang bawah tanggungjawab aku taw. Aku tak sanggup dengar kau bersusah payah cari duit macam ni."
"Takkanlah selamanya aku nak mengharapkan Sal? Sudahlah aku dan Ainul hanya menumpang sahaja di rumah ni. Rasa kurang sopan pula kami duduk goyang kaki tak buat apa-apa." Maria mula mengepit telefon pada bahu. Tangan kembali mencapai kain di dalam raga untuk dijemur.
"Tiada istilah menumpang di sini. Kami satu keluarga tak pernah anggap kau dan Ainul sebagai orang luar. Sejak kematian Edzhar, kau dua beranak dah jadi tanggungjawab aku sepenuhnya. Apa aku nak jawab pada Ed dekat sana nanti kalau berlaku sesuatu pada kau dan Ainul?" Bebel Sham. Naik berbuih mulutnya menasihati Maria agar menjaga kesihatan. Memanglah sekarang wanita itu masih sihat tubuh badan, tetapi usia yang meningkat membuatkan tubuh badan Maria lebih mudah diserang penyakit jika tidak berhati-hati.
Maria hanya mengeluh bosan mendengar semua itu. Setiap kali dia bercakap dengan Sham, pasti topik yang sama akan disentuh. Tanggungjawablah, rasa bersalahlah, jaga kesihatanlah. Malah, Sham terus-terusan mengingatkannya bahawa mereka sekeluarga berhutang nyawa dengan dia dan Ainul tanpa henti. Naik rimas dia mendengar. Tanpa sedar, tangan Maria naik mengibas kain dengan kuat. Menzahirkan rasa sebal mendengar bebelan Sham.
"Ha, tu mesti kau tengah buat kerja rumah kan? Berapa kali aku nak pesan..."
"Sham, kau kalau tak ada benda lain nak cakap, aku letak juga telefon ni karang!" Maria memotong percakapan Sham di hujung talian. Takkanlah dia nak sidai baju pun tak boleh? Makin menjadi-jadi sikap ambil berat Sham sekarang.
"Oh, lupa pula tujuan aku nak bercakap dengan kau tadi." Sham mula membetulkan suaranya yang agak serak. Sebenarnya ada tujuan lain yang dia mahu katakan kepada Maria, tetapi apabila Sal memberitahunya tentang Maria yang berdegil mahu menjual nasi lemak, terus dia membebel sehingga terlupa akan perkara yang ingin disampaikan.
"Dah membebel macam tak ingat dunia, manalah kau tak lupa. Ha, benda apa kau nak bagitahu?" Kutuk Maria depan-depan.
"Tentang Ainul." Terus terhenti pergerakkan tangan Maria. Dia menunggu Sham menyambung bicara dengan hati berdebar.
"Dua bulan lepas, ada seorang lelaki datang tanya pasal Ainul. Tak silap aku, nama dia Zamani. Kau kenal?"
"Zamani?" Rasanya dia macam pernah dengar nama itu. Tetapi tidak ingat di mana.
"Dia tanya tentang apa?" Langkah Maria sudah dibawa ke arah kerusi kayu yang terletak di ruangan balkoni. Mahu menumpukan sepenuh perhatian dengan berita yang ingin dikhabarkan Sham.
"Ha, nilah benda penting yang aku nak cakap! Dia tanya, betul ke Ainul orang yang sama pernah selamatkan pewaris K&L Cosmetic tujuh tahun lepas."
Maria tersentak. Jantungnya bagai direntap kasar. "Macam mana..." Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Setahun selepas insiden kebakaran itu, pernah ada seorang lelaki datang ke rumahnya, juga bertanya tentang Ainul. Tetapi, dia menghalau dan menolak keras untuk menjawab sebarang pertanyaan. Siap mengugut mahu menelefon polis lagi jika lelaki itu datang kembali. Dia bukan apa, dia lakukan semua itu hanya untuk Ainul. Tidak mahu Ainul tertekan dan rasa terganggu memandangkan anaknya bakal menghadapi SPM pada tahun tersebut. Juga takut hal kematian Edzhar akan terbongkar. Adakah lelaki yang mengetuk pintu rumahnya bertahun-tahun dahulu adalah orang sama yang bernama Zamani?
"Jadi, kau cakap apa dekat dia?"
"Aku cakaplah semua benda yang aku tahu."
"Apa?!" Ternaik seoktaf suara Maria.
"Yelah, aku cakap betul, Ainul memang ada selamatkan seseorang dalam kebakaran tu."
"Apa lagi yang kau bagitahu dia Sham?!"
"Aku bagitahu nama penuh Ainul. Dan ada juga dia minta bawa aku jumpa Ainul, dia cakap penting sangat. Aku katalah kau dan Ainul dah pindah pergi Shah Alam dan cari kerja dekat sana." Alahai Sham, bermati-matian dia ingin menyembunyikan Ainul sebelum ini tetapi, boleh pula lelaki itu memberitahu segalanya kepada Zamani. Salahnya juga tidak mengingatkan Sham untuk mengunci mulut sahaja.
"Kau tak tanya dia kenapa dia cari Ainul?"
"Dia cakap bukan dia yang cari, tapi bos dia. Aku tak ada pula tanya nama. Mungkin juga bos si Zamani tu lelaki sama yang Ainul pernah selamatkan dulu, dia cari untuk berterima kasih. Manalah tahu kan?" Kata Sham lagi.
Berkerut dahi Maria memikirkan teori Sham. Pelik dengan kemunculan semula lelaki bernama Zamani. Bertahun-tahun mendiamkan diri, kenapa sekarang dia datang balik? Dua bulan lepas, maksudnya waktu yang sama Ainul diterima kerja. Kebetulan atau...
'Macam mana pula apabila kita dipertemukan dengan orang yang salah? Adakah itu satu ujian atau juga boleh dianggap sebagai hikmah?' Maria teringatkan pertanyaan Ainul pada malam itu. Adakah 'orang salah' yang Ainul maksudkan merujuk kepada anak lelaki kepada Kamarul dan Lidya?
"Hello, Maria?" Teguran Sham mengejutkan Maria dari lamunan.
"Ha, ya, ya! Eh, Sham, kenapa baru sekarang kau bagitahu aku?"
"Biasalah Maria. Bila dah sibuk buat kerja sana sini, tambah pula dengan usia aku yang nak masuk warga emas, lupalah jawabnya." Jawab Sham penuh selamba. Maria sudah menepuk dahi dengan kuat. Rasa mahu sahaja dia terbang ke Kedah sekarang juga, ingin mengetuk kepala Sham dengan kayu besbol. Supaya ingatan lelaki itu dapat berfungsi dengan baik.
"Terima kasihlah Sham sebab bagitahu aku semua ni walaupun dah terlambat." Sempat Maria menyelit kata-kata sinis dalam ucapannya. Mendengar Sham sudah ketawa di hujung talian, terus sahaja butang merah ditekan. Malas mahu melayan lebih-lebih, takut dia dibebel lagi oleh Sham. Dia bangun berdiri di tepi jeriji dengan wajah risau.
'Mak harap kamu tak sembunyikan apa-apa dari mak Ainul...'
Share this novel