"Mak, Ainul dapat kerja!" Ainul menjerit riang ke arah telefon yang melekap di telinga.
"Alhamdulillah. Mak tumpang gembira dengan kamu." Balas Maria dengan senyuman lebar. Tidak henti-henti dia mengucap syukur di dalam hati dengan rezeki yang dikurniakan buat anaknya.
"Ainul tak sangka mak. Ainul ingat kena tunggu seminggu dua baru tahu keputusan. Tup-tup diorang suruh Ainul datang sign contract untuk mulakan kerja esok." Celoteh Ainul lagi. Sempat tangannya naik menahan sebuah teksi yang kebetulan lalu di situ.
"Kalau dah rezeki, pasti akan dapat. Jadi, untuk meraikan kejayaan anak mak sempena dapat kerja ni, mak akan masak apa sahaja yang kamu nak."
"Betul ke mak?" Ainul bertanya penuh teruja. Dia menerobos masuk ke dalam teksi dengan wajah ceria.
"Takkanlah mak nak bohong. Kamu pergi beli barang apa yang kamu nak makan. Nanti mak masakkan. Jangan balik lewat pula." Pesan Maria sambil tertawa kecil di hujung talian.
"Baiklah mak. Assalamualaikum." Ainul mematikan talian.
"Mesra Hypermarket." Ringkas Ainul memberitahu lokasinya kepada pemandu teksi. Sejurus teksi yang dinaiki mula bergerak pergi, Ainul mula memasang earphone di telinga. Dia memainkan lagu kegemarannya sambil membuang pandang ke luar. Fikiran jauh melayang mengingatkan kehidupannya bersama emak selama beberapa tahun ini.
Setelah dia berjaya diterima masuk ke universiti di Puncak Alam dalam bidang pengurusan perniagaan, mereka mengambil keputusan untuk berpindah ke Shah Alam. Tinggal bersama-sama Kak Sal, anak sulung kepada Pak Cik Sham. Pada awalnya mereka menolak kerana tidak mahu menyusahkan keluarga Pak Cik Sham, tetapi Pak Cik Sham dan Kak Sal berkeras mahukan mereka tinggal bersama. Alasannya adalah untuk dibuat teman kerana bosan hidup seorang diri di dalam bandar.
Akhirnya Ainul dan Maria hanya menurut kemahuan keluarga itu, tambahan pula tempat tersebut sudah dekat dan agak hampir dengan universiti Ainul. Senanglah untuk mereka melawat Ainul selalu. Lima tahun mereka tinggal bersama sehinggalah Ainul berjaya menamatkan pengajian sekarang. Disebabkan itu, Ainul terus mencari kerja untuk membalas semula budi yang ditaburkan oleh Kak Sal. Sekurang-kurangnya dia ada duit untuk membayar atau menampung keperluan seharian Kak Sal selepas ini.
Setelah tiba di destinasi yang ingin dituju, Ainul membayar harga tiket teksi dan mula melangkah masuk ke dalam hypermarket dengan perasaan gembira. Bahagian barangan basah dituju bersama troli di tangan. Dalam otak ligat berfikir makanan apa yang dia mahu makan.
Namun, tidak semena-mena trolinya merempuh troli seseorang.
"Sorry." Kalut Ainul meminta maaf. Macam manalah dia boleh tak perasan ada troli yang terpakir elok di laluan tersebut.
"Wait, aku rasa macam pernah nampak kau." Suara itu membuatkan Ainul mengangkat muka.
"Ainul kan? Ainul Liyana?"
Tatkala mata bertentang mata, barulah Ainul mengenali tuan empunya badan. Sofia. Kawan sekelasnya sewaktu sekolah menengah dahulu.
"Sofia..." Perlahan sahaja nama itu disebut tetapi cukup jelas pada pendengaran Sofia. Tubuh Sofia dipandang atas bawah. Gadis itu nampak menawan dengan skirt merah ketat bersama blouse pink. Rambut yang ditocang satu membuatkan leher putih gadis itu semakin terserlah.
"Oh my... Tak sangka aku boleh jumpa kau dekat sini. What a small world." Sofia menayangkan wajah tidak percaya. Ada nada teruja sedikit dalam suaranya.
Ainul mengeluh sambil menjulingkan mata ke atas. Memang dia hampir tidak mengenali Sofia sebentar tadi dek kerana wajah itu yang berubah semakin cantik. Tetapi ada satu perkara yang tidak berubah tentang Sofia, perangai gediknya.
"Mungkin kita berjodoh." Ainul menjawab bosan. Sofia ni kalau makin melayan makin menjadi-jadi perangai dia. Troli kembali ditolak melepasi Sofia yang masih merenung galak ke arahnya.
Sofia ketawa manja. Melihat Ainul yang mahu berlalu pergi, kalut-kalut dia mencapai trolinya semula lalu menahan laluan Ainul. "Kau tetap tak berubah, masih emo macam dulu." Sofia mula berjalan menghampiri Ainul bersama kasut tumit tingginya. Dagu Ainul dipegang dan wajah Ainul dibelek kiri kanan.
"Cuma muka kau yang berubah. Makin cantik." Komen Sofia lagi bersama tawa kecil.
Tangan Sofia ditepis. Ainul tidak tahu sama ada pujian itu ikhlas atau sekadar memerli dirinya. Namun, ada satu perkara yang dia pasti. Dia dan Sofia tidak rapat langsung sejak dahulu. Jadi, bukankah agak pelik jika perempuan itu tiba-tiba sahaja mengatakan dia cantik?
"Kau nak apa sebenarnya Sofia?" Wajah Sofia dipandang bosan.
"Well." Sofia mengangkat kedua-dua bahunya.
"Aku cuma nak tahu kau buat apa dekat sini? Itu sahaja."
Ainul menarik nafas panjang. 'Baik aku jawab sahaja soalan minah ni sebelum dia melalut ke arah lain. Tidak, sampai subuh esok aku masih terpacak menghadap muka dia.'
"Aku tinggal dekat sini, cari kerja." Ringkas Ainul memberitahu sambil-sambil tangannya lincah memilih udang segar di atas meja. Teringin pula dia makan udang masak sambal hari ini. Lagi pula, resepi tersebut cukup mudah dan tidak memenatkan emaknya untuk memasak.
"Orang pandai macam kau tak dapat kerja lagi? Seriously Ainul? Aku yang malas belajar ni pun dah ada duit poket sendiri." Sofia membidas selamba.
'Haih, aku sumbat juga udang dalam mulut minah ni nanti.' Hati Ainul mendongkol geram. Dia dah agak Sofia pasti mahu mengata dirinya.
Melihatkan Ainul yang hanya diam dan menganggap dirinya tidak wujud, Sofia mengeluarkan sesuatu dari dompet. Sekeping kad dihulurkan kepada Ainul.
"Ni, tempat kerja aku. Kebetulan diorang tengah cari pekerja baru. Kalau kau berminat, kau boleh datang esok. Tapi, jawatan yang ditawarkan tak selevel akulah. Aku ni PA kepada bos. Kau boleh jadi kuli bawahan." Sofia menayangkan wajah berlagak. Seronok mengenangkan dirinya lebih dari orang lain.
"Tak apalah Sofia. Aku tak berminat." Ainul menolak lembut. Malas rasanya mahu memberitahu Sofia bahawa dia sudah mendapat kerja. Nanti lagi panjang perempuan itu menyoal siasatnya. Dekat mana? gaji berapa? jawatan apa? Ainul berani jamin.
"Kalau dah hidup susah, buat cara hidup susah. Tak payah memilih sangat. At least, kau boleh dapat duit untuk sara kehidupan kau yang tak seberapa tu." Kad ditangan dimasukkan dalam beg sandang Ainul.
"Aku pergi dulu. Tak boleh lama-lama dekat sini. Busuk." Sofia memandang jijik ke arah udang yang dipegang Ainul. Tangannya naik menutup hidung dan dibuat gaya betapa dia tidak suka dengan bau itu. Tidak menunggu lama, Sofia mengangkat kaki pergi bersama badan yang sengaja dilenggokan kiri kanan.
"Dah macam ulat beluncas tersepit pintu aku tengok." Ainul menggeleng-gelengkan kepalanya. Kad yang berada di dalam beg hanya dibiarkan sepi. Dia tiada rasa mahu membelek kad itu.
Share this novel