BAB 34

Romance Series 19166

"Sofia? Zayad tunggu dalam bilik kan?" Zarul menyoal sambil menyinting lengan baju kemejanya. Dia sudah berjanji untuk lunch bersama Zayad hari ini. Sebagai tanda berterima kasih kerana lelaki itu telah banyak membantunya menyelesaikan masalah berkaitan iklan komersial tersebut.


"Oh, Encik Zayad tak ada dalam bilik."


Berkerut dahi Zarul mendengar ungkapan Sofia. Seingatnya tadi, dia ada menyuruh lelaki itu menunggu di dalam bilik sehingga meetingnya selesai.


"Dia ada bagitahu dia pergi mana?" Kemana pulalah si Zayad ni menghilang? Takkanlah dia pergi lunch sorang-sorang pula? Mungkin merajuk dengan dirinya yang tidak menepati masa.


"Tak adalah pula. Cuma tadi sebelum Encik Zayad pergi, dia ada tanya saya tempat duduk Ainul." Cerita Sofia sambil mengemas mejanya untuk keluar makan tengah hari. Kepala tertunduk-tunduk mencari dompet yang terperosok jauh ke dalam laci. Apabila tangan dapat mencapai apa yang dicari, terus dia mengangkat muka ingin berkata sesuatu.


"Apa kata Tu... Eh?" Terkejut Sofia apabila bayangan tubuh Zarul sudah lesap dari meja. Sofia memanjangkan badan melihat ke bawah meja, takut-takut Zarul terjatuh atau menunduk mengutip sesuatu. Tetapi, tetap juga kosong tanpa sebarang kehadiran manusia.


"Aku cakap dengan manusia ke hantu tadi?" Sofia menjongket bahu sebelum berlalu keluar, mahu mengisi perut yang sudah berkeroncong minta diisi.


Sementara itu, Zarul sudah pun menjejakkan kaki di tingkat tiga. Terkejar-kejar mencari kelibat Ainul. Ruangan pantry dituju. Dia yakin Ainul akan berada di sana. Menikmati bekal makanan tengah hari yang dibawa dari rumah. Namun, sangkaannya meleset sama sekali apabila dilihat ruangan pantry kosong tanpa kehadiran manusia.


"Eh, mana pula dia pergi? Atau dia keluar makan dengan Zayad?" Air liur ditelan penuh debar. Sakit hatinya membayangkan Zayad dan Ainul sama-sama menikmati makanan tengah hari sambil bercerita itu ini. Dia sendiri pun tidak pernah makan berdua dengan gadis itu.


Hahahahaha! Suara bergelak ketawa mula menarik perhatian Zarul. Dia berkalih ke belakang memandang tepat ke arah meja Ainul. Terlihatlah dua batang tubuh sedang duduk bergurau senda sesama sendiri. Pantas Zarul mengorak langkah ke arah mereka.


Semakin dirinya mendekat, semakin pedih hatinya melihat senyuman Ainul yang nampak sangat bahagia di samping Zayad. Sesekali dilihat Zayad mengatakan sesuatu kepada Ainul sambil menunjuk ke arah kameranya. Rasa cemburu kembali bertamu di lubuk hati Zarul.


'Bukan main eh kau Ainul. Dengan lelaki lain kau senyum macam nak terkoyak mulut. Kalau dengan aku bukan setakat senyum, nak cakap pun susah.' Hati Zarul mendongkol geram. Nampak sangat mereka berdua terlalu leka bersembang sampaikan dia sudah berdiri di belakang kerusi pun, mereka tidak perasan.


'Kau pun sama Zayad. Pantang datang sini, laju sahaja kau cari Ainul. Menyesal pula aku suruh kau datang office aku. Sepatutnya aku ajak kau jumpa dekat luar sahaja.' Lagi dan lagi Zarul membebel. Tatkala dia ternampak tangan Zayad naik ingin membuang habuk di tudung Ainul, dengan refleksnya tangan Zarul menarik kerusi Ainul ke belakang. Menjauhkan gadis itu daripada Zayad.


"Eh?!" Serentak kedua-duanya terkejut dengan kehadiran Zarul.


"Seronok bercakap sampai aku dah terpacak dekat sini lima minit pun kau orang tak perasan." Bidas Zarul dengan wajah ketat. Matanya sudah menjeling Ainul dengan tajam. Menzahirkan perasaan tidak suka apabila Ainul berkawan dengan lelaki lain.


"Sorry bro. Aku terlupa tentang date kita." Zayad kalut menyimpan kamera di dalam bagnya semula. Dia terlupa sekejap tujuannya datang ke sini setelah berjumpa dengan Ainul. Sungguh! Meluangkan masa bersama Ainul membuatkan dia tidak perasan waktu berjalan dengan cepat.


"Dah. Jom!" Keras suara Zarul mengajak. Ainul dilihat sudah menikus di tempat duduknya. 'Tadi bukan main sangat kau ketawa. Bila aku datang terus jadi batu. Kenapa? Sebab Zayad tuh handsome dari aku, sebab tu kau layan dia sahaja?' Ingin sekali Zarul bertanya terus kepada Ainul sekarang. Tetapi, dia tahu perbuatannya nanti akan membuatkan Ainul bertambah menjauhkan diri darinya. Jadi untuk tidak terus makan hati di situ, dia memusingkan badan dan menonong pergi dengan perasaan sebal.


"Ainul, nanti kalau awak free, awak bolehlah datang lepak dekat studio saya. Banyak benda lagi saya nak tunjukkan dekat awak. Kalau awak nak ikut saya pergi tangkap gambar or buat shooting pun boleh." Zayad tunduk berbisik ke arah Ainul. Perlahan tetapi masih dapat didengari oleh Zarul. Tubuh yang sudah maju kehadapan kembali terundur ke belakang sebelum lengan Zayad ditarik.


"Saya pergi dulu. Bye sayang!" Sempat Zayad menjerit sambil tubuhnya diheret oleh Zarul.


Ainul tunduk tidak membalas. Dia masih waras lagi untuk tidak membalas usikan Zayad di hadapan Zarul. Maunya Zarul memarahinya kerana menggatal dengan sahabat lelaki itu pada waktu kerja.


Lagi kuat cengkaman tangan Zarul mendengar perkataan 'sayang' yang keluar dari mulut Zayad. Sempat dia berkalih memberikan pandangan maut kepada Ainul sebelum menghilangkan diri bersama Zayad. Dan Ainul hanya terkulat-kulat di mejanya tidak faham dengan amaran yang diterima dari Zarul.

"AKU sukakan Ainul." Tersedak Zarul mendengar pengakuan berani mati dari Zayad. Air tembikai diteguk rakus bagi menghilangkan rasa pedih di kerongkong.


Setelah berasa lega, Zarul mengangkat wajah ke arah Zayad. Cuba mencari keikhlasan pada wajah itu. Melihat wajah serius yang terpamer cukup membuktikan bahawa Zayad tidak main-main.


"Kau tahu tak yang kau baru jumpa dia tak sampai sebulan?" Zarul mula memeluk tubuh sambil menyandarkan belakang badan ke kerusi. Dia tiada selera mahu menghabiskan nasi di dalam pinggan. Deria rasanya sudah mati.


"Do you believe in love at first sight?"


"Don't tell me kau..." Badan Zarul dibawa ke hadapan dengan pandangan tidak percaya. Hatinya sudah berlagu resah.


"Sejak pertemuan pertama aku dengan Ainul dekat Langkawi, aku dah rasa lain macam. Hati aku rasa terkinja-kinja nak jumpa dia lagi. Rasa macam sehari aku tak tatap wajah Ainul, macam tak lengkap hari aku." Luah Zayad tanpa mengesan perubahan pada wajah Zarul.


"Mungkin perasaan kau sahaja. Nanti lama-lama hilanglah rasa tu." Bangkang Zarul perlahan. Dia cuba menenangkan diri dengan meneguk jus tembikai sejuk di atas meja.


"Tak mungkinlah. Aku berani jamin yang aku jatuh cinta pandang pertama pada Ainul. Dan setiap kali aku tatap wajah manis dia, perasaan aku jadi makin berbunga, makin berdebar." Zayad membuang pandang ke hadapan. Melihat manusia yang sedang lalu-lalang melakukan urusan masing-masing.


Zarul menggenggam erat cawan di tangan. Dia tidak sangka dirinya bakal dihidangkan dengan luahan perasaan dari Zayad hari ini. Mata dipejam buat seketika, cuba membuang gejolak perasaan di jiwa. Dengan bibir yang terketar-ketar, dia membuka mulut menyoal kepada Zayad.


"Jadi... Apa kau nak buat? Kau nak confess dekat dia?"


"Tak. Aku yakin Ainul akan mengelak dari aku kalau aku confess sekarang. Aku akan buat dia jatuh cinta dekat aku dahulu. Then, barulah aku confess." Kata Zayad penuh nekad. Itulah rancangan yang sedang dia laksanakan sekarang. Mendekatkan diri dengan Ainul sampailah gadis itu menyerahkan hati kepadanya.


"Good luck." Hampir tidak rela Zarul mengungkap kata. Akalnya sudah membentak menyuruh diri membangkang keputusan Zayad. Namun, dia tidak mahu kerana hal remeh itu membuatkan hubungan persahabatan mereka menjadi renggang. Maka, dia memilih untuk mendiamkan diri. Tidak memberi sebarang komen kerana dia juga sedang buntu. Buntu mahu memilih antara sahabat dan cinta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience