Ainul tersenyum puas apabila melangkah keluar dari bilik. Tak sangka, padan pula baju kurung yang diberi oleh Puan Fatini sebentar tadi. Sekarang barulah dia rasa selesa sikit untuk bergerak bebas.
Baru sahaja kaki mahu menuju ke arah dapur untuk menolong Puan Fatini, tiba-tiba matanya tertancap pada satu potret keluarga yang tergantung megah di dinding sebelah tangga. Kenapa dia tidak perasan dengan potret itu tadi? Mungkin kerana dia dan Zarul terlalu sibuk berbalah mulut sampaikan tidak sempat dirinya untuk melihat keadaan sekeliling.
"Tuan Aiman?" Suaranya berbisik perlahan bersama dahi berkerut. Gambar Puan Fatini dan seorang lelaki sedang duduk di atas sofa diamati. Dan Aiman yang masih remaja, berdiri di belakang dua insan tersebut sambil memeluk seekor kucing putih yang boleh tahan gebunya.
"Maksudnya ini bukan rumah Tuan Zarul, tetapi rumah Tuan Aiman?" Ainul menyoal lagi. Lebih kepada diri sendiri.
"Yup. Uncle dan aunty merupakan keluarga angkat yang diambil oleh nenek Zarul dahulu. Walaupun tiada pertalian darah, Zarul tetap anggap kami seperti keluarganya setelah dia kehilangan kedua-dua ibu bapanya. Sebab itu, dia selalu datang sini dan buat macam rumah sendiri." Terang satu suara garau tanpa dipinta.
"Erk..." Ainul tersenyum kekok dengan kemunculan seorang lelaki di belakangnya.
"Kehilangan Kamarul dan Lidya sangat memberi impak yang besar dalam hidup Zarul. Daripada seorang anak yang periang menjadi remaja yang pendiam sekelip mata. Daripada seorang anak yang suka meneroka dunia luar, berubah menjadi seseorang yang gemar mengurung diri di dalam bilik. Boleh dikatakan, zaman remajanya adalah satu kenangan pahit yang tidak mungkin dia lupakan. Disebabkan itu juga, kami membuat keputusan untuk memberi sepenuh perhatian kepadanya. Menggalas tugas kedua ibu bapanya yang sudah tiada agar dia tidak membuat silap dalam pencaturan hidup." Tanpa Tuan Razali sedar, bicaranya melantun ibarat pisau yang sedang mencingcang lumat sekeping hati Ainul.
'Dan tanpa sedar, remaja itu sedang membuat satu kesilapan sekarang. Menyemai benih cinta untuk seseorang yang menjadi punca permulaan kepada titik hitam itu.' Sambung Ainul di dalam hati. Wajah Ainul mula berubah mendung.
"Oh, lupa pula uncle nak perkenalkan diri. Nama uncle Razali, ayah kepada Aiman. Panggil sahaja uncle. Tak perlu formal-formal dekat sini." Tuan Razali datang mendekat.
"Kamu Ainul Liyana kan? Gadis yang pernah selamatkan Zarul suatu ketika dahulu?"
Membulat mata Ainul tidak percaya. Nampak sangat hubungan mereka sangat rapat sehinggakan segala perkara dan rahsia diketahui oleh Tuan Razali.
"Zarul dah ceritakan semuanya pada uncle. Tak sangka, akhirnya uncle dapat berjumpa dengan orang yang sudah bergadai nyawa selamatkan anak buah uncle." Tuan Razali merenung Ainul tidak lepas. Dia tersenyum penuh makna.
"Kalau orang lain dekat tempat saya pun, diorang akan buat perkara yang sama." Balas Ainul merendah diri.
"Absolutely! Cuma uncle rasa amaze sebab seorang gadis remaja seperti kamu berani mati masuk ke dalam api. Sampaikan uncle tertanya-tanya, apa yang mendorong kamu untuk lakukan semua itu, Ainul Liyana?" Tuan Razali berpeluk tubuh. Dia menjongketkan sebelah kening ke arah Ainul bersama bibir yang mengorakkan senyuman simpul.
Ainul sedikit tersentak. Entah mengapa pada pandangan matanya, senyuman Tuan Razali tidak kelihatan mesra. Malah seperti menzahirkan maksud tersirat. Maksud yang dia sendiri tidak dapat agak.
"Abang, Ainul. Jom makan." Suara Puan Fatini kedengaran dari arah dapur mematikan perbualan mereka.
'Perasaan aku sahaja kot.' Ainul cuba mengusir rasa kurang enak di dalam hati. Dia membalas senyuman Tuan Razali seadanya.
"Mari." Ramah pula Tuan Razali mengajak. Dia berjalan mendahului Ainul menuju ke meja makan. Dilihatnya Zarul sudah bersedia menunggu di situ.
Tuan Razali mengambil tempat duduk di hujung meja. Kiri dan kanannya diambil alih oleh Puan Fatini dan Zarul. Manakala Ainul duduk di sebelah Puan Fatini menghadap Zarul. Rasa tak tertelan air liur Ainul apabila kembali bersua muka dengan Zarul setelah perbalahan mereka sebentar tadi.
"Aunty tak tahu sama ada apa yang aunty masak kena dengan selera Ainul atau tak." Sambal sotong dicedok ke dalam pinggan Ainul tanpa dipinta.
"Eh, Ainul makan semua. Aunty jangan risau. Segan pula Ainul bila aunty layan Ainul macam ni. Sudahlah Ainul datang makan dekat rumah uncle dan aunty secara tiba-tiba." Jujur Ainul menyuarakan rasa malu. Ni kalau maknya tahu apa yang dia buat, mahu telinganya berbirat menjadi mangsa nanti.
"Apa yang nak disegankan? Lagi ramai lagi uncle suka. Sebelum ni, aunty dengan uncle makan berdua sahaja." Celah Tuan Razali pula.
"Betul! Lepas ni, Zarul rajin-rajinlah bawa Ainul datang sini. Boleh kenal-kenal sekali. Apa orang cakap? Sambil menyelam minum air. Mana tahu, dari pekerja upgrade jadi isteri." Kata-kata Puan Fatini membuatkan nasi yang baru ditelan Ainul rasa mahu keluar semula. Ainul terbatuk-batuk melawan rasa pedih di kerongkong. Fuhh, tersedak sambal kot! Gelas dihadapan dikaut rakus.
Tuan Razali hanya senyum ala kadar dengan celoteh isterinya. Sempat dia menjeling ke arah Zarul dan Ainul silih berganti. Jelas pada pandangannya Zarul sedang ralit merenung wajah Ainul tidak lepas. 'I can smell something fishy here.'
"Itupun kalau tuan badan sudi. sudi jadi isteri... Eh, silap! Sudi datang lagi." Sengaja Zarul menambahkan lagi usikan. Terubat sikit hatinya melihat wajah malu-malu Ainul. Dia tahu Ainul tidak akan berani membangkang kenyataannya di hadapan Puan Fatini dan Tuan Razali.
Nasib tak tersembur air oren yang diteguk. Ainul berdehem beberapa kali. Cuba membetulkan duduk dan kekalutan diri. Rasanya, wajah sudah kelihatan merah padam diusik begitu. 'Zarul ni pun satu, tak malu langsung cakap benda-benda merapu macam ni.' Dia memberikan pandangan maut kepada Zarul.
"Sudah, makan cepat. Kamu ni Zarul. Kesian Ainul. Sampai tak tertelan nasi dalam pinggan dia." Tegur Tuan Razali dengan suara lembut. Dia tidak mahu topik itu dipanjangkan.
"Dia tak telan nasi tu sebab sibuk tengok muka Zarul yang handsome ni. Tengok tu." Lagi dan lagi Zarul mengusik.
'Kurang asam punya mamat! Tadi bukan main kau marah aku. Nak balas dendam ka apa sekarang?' Tanpa sedar, Kaki Ainul sudah memijak kuat kaki Zarul di bawah meja. Memberi amaran supaya Zarul mendiamkan diri.
"Aduh!" Terkejut Zarul dengan tindakan berani Ainul.
"Kenapa Zarul?" Tanya Puan Fatini prihatin.
"Tak ada apa, Ada semut gigit tadi." Zarul hanya tersengih penuh makna. Indah rupanya tatkala diri bergurau senda dengan orang tersayang. Rasa macam dirinya berjaya menarik perhatian Ainul. Nasi disuap ke dalam mulut bersama senyuman lebar.
"AINUL, mari aunty tunjukkan sesuatu." Ainul yang sedang khusyuk membasuh pinggan mangkuk, digamit untuk mendekat. Dia mengelap tangan yang basah di kain, sebelum mendekati Puan Fatini. Sempat segelas air sejuk disambar untuk menghilangkan dahaga.
"Ada apa aunty?" Tanya Ainul sopan. Gelas diletakkan di atas meja.
"Aunty nak tunjuk gambar Zarul waktu kecil-kecil dahulu. Kamu mesti nak tengok kan?" Album di tangan diselak satu-persatu.
Terkebil-kebil Ainul dengan perbuatan Puan Fatini sekarang. 'Selalunya dalam drama bila makcik-makcik dah start tunjuk album dekat kawan perempuan anak lelakinya, maksudnya mak cik tu dah restu untuk jadikan perempuan tersebut sebagai menantu.' Rasa mahu sahaja dia membuka mulut mengatakan bahawa Zarul dan dirinya tidak akan bersama. Tetapi, melihat keterujaan di wajah Puan Fatini membuatkan Ainul tidak sanggup menghampakan hati itu.
Akhirnya, dia memilih untuk melayan sahaja celoteh yang keluar dari mulut Puan Fatini, menceritakan setiap momen pada setiap gambar yang ditunjuk. Jauh di sudut hatinya, dia juga teringin untuk menatap wajah Zarul sewaktu kecil atau masih bayi. Comelkah lelaki itu?
"Ni gambar sewaktu Zarul baru berumur lima bulan. Comel kan?" Puan Fatini menunjuk gambar satu pasangan yang sedang mendukung bayi. Semestinya pasangan itu merupakan Datuk Kamarul dan Datin Lidya.
"Comel..." Ainul membalas perlahan. Dia tak nafikan wajah Zarul kelihatan seperti patung mainan. Putih dan comel, lengkap semua pakej. Cuma sekarang, bukan itu yang menarik perhatiannya. Matanya lebih tertumpu pada Datuk Kamarul dan Datin Lidya. Tanpa sedar, tangan Ainul naik mengusap kedua-dua wajah itu beserta mata yang sudah berkaca.
"Maaf..."
"Hmm? Ainul cakap apa tadi?" Puan Fatini macam terdengar Ainul menggumam sesuatu, tetapi kurang jelas pada telinganya.
"Ta... Tak ada apa-apa." Laju Ainul menafi. Nafas ditarik dalam supaya dia tidak terus melayan perasaan.
"Ni gambar keluarga kami." Gambar yang sama seperti apa yang dilihatnya di tepi tangga.
"Tak silap aunty, gambar ni diambil waktu hari lahir Aiman." Terang Puan Fatini tanpa dipinta.
"Tuan Aiman suka kucing?" Ada juga Ainul mencari kelibat si gebu itu tadi. Tapi, tiada tanda-tanda bahawa penghuni rumah ini ada membela kucing.
"Suka sangat. Cuma lepas Puteh mati, Aiman dah tak nak bela kucing."
"Ohhh..." Patutlah si gebu itu tidak muncul, jasadnya sudah bersemadi rupanya.
Tiba pada helaian terakhir, mata Ainul tertancap pada satu gambar yang menarik minatnya. Gambar Datuk Kamarul, Tuan Razali dan seorang wanita tua. Jelas kelihatan gambar itu sedikit lusuh, mungkin kerana terlalu lama disimpan dalam album tersebut.
"Siapa?" Ainul tidak dapat menyembunyikan rasa ingin tahunya.
"Inilah ibu mertua aunty, merangkap nenek kepada Zarul. Tok Ma. Dialah yang ambil dan jaga uncle kamu sampailah dia berkahwin dengan aunty. Tapi aunty sempat kenal Tok Ma selama tiga bulan sahaja sebelum Tok Ma menghembuskan nafas terakhir." Ada sedikit nada sayu dalam suara Puan Fatini.
"Cantik." Puji Ainul ikhlas. Dia mendekatkan wajah untuk melihat dengan lebih jelas. Tiba-tiba matanya tertancap pada kotak jam yang dipegang oleh Datuk Kamarul dan Tuan Razali. Jelas kelihatan jenama Rolex terukir di baldu kotak tersebut.
"Walaupun Uncle Razali kamu cuma anak angkat, tapi Tok Ma tetap layan mereka berdua sama rata. Tengoklah. Ni sewaktu kami sambut hari lahir Datuk Kamarul, tetapi Tok Ma tetap beli hadiah untuk Tuan Razali. Tok Ma tak nak anak-anak dia rasa pilih kasih." Ceria Puan Fatini bercerita. Tok Ma adalah insan baik yang pernah hadir dalam hidupnya.
'Kenapa aku rasa macam pernah nampak jam tangan tu?' Jiwa Ainul tiba-tiba dihadirkan dengan satu rasa dejavu. Dia dapat rasakan jam tangan tersebut sangat familiar. Macam pernah dipegang dan disentuh jam tangan semahal itu. Tetapi tidak ingat di mana.
Gelas diambil sebelum Ainul mula meneguk air sejuk itu perlahan-lahan. Sambil-sambil memerah otak mengingat semula tentang jam tangan tersebut.
"Sayang, jom! Kita balik pejabat." Tidak semena-mena muncul tubuh tegap Zarul di sisi meja.
Terus tersembur habis air yang memenuhi ruang mulut Ainul. Nasib dia sembur ke arah lain. Buatnya tersembur ke arah Puan Fatini, tak ke naya?
"Nak pergi dah?" Puan Fatini menutup album di tangan. Dia bangkit menghadap Zarul.
"Haah, ada kerja yang tak settle lagi." Jelas Zarul sambil membetulkan tali lehernya.
Sementara itu, Ainul kelihatan kalut mengelap air semburannya tadi. 'Diorang ni sembang macam buat-buat tak tahu apa jadi kat aku.' Dia berdehem membetulkan debaran di dada. Adalah sikit hatinya berbunga mendengar panggilan itu.
"Aku tunggu dekat depan." Sempat Zarul berpesan sebelum berlalu pergi. Dia tergelak mengingatkan keadaan Ainul tadi. 'Comel betullah.' Dan Zarul ketawa seorang diri sambil berjalan mendekati Tuan Razali yang sedang menonton tv.
Share this novel