BAB 43

Romance Series 19166

"Eh, Zarul! Kenapa tak cakap nak datang sini?" Puan Fatini yang sedang menjemur kain di halaman rumah terkejut dengan kemunculan tiba-tiba Zarul di pagar rumahnya.


"Sebenarnya Zarul sendiri tak rancang untuk datang sini. Tetapi ada perkara yang memerlukan pertolongan aunty." Jari Zarul naik menggaru belakang telinga. Dia tidak tahu mahu menerangkan situasi sebenar kepada Puan Fatini. Cuma pandangan mata yang dibawa berkalih kepada Ainul.


"Siapa?" Baru Puan Fatini perasan kehadiran seorang gadis manis di sebelah Zarul. Ayu sungguh dengan wajah tampak kemerahan menahan panas mentari barangkali.


"Assalammualaikum Puan." Sapa Ainul dengan lembut. Tangan tua wanita itu disalam dan dikucup penuh hormat.


"Waalaikummussalam." Jawab Puan Fatini dengan mata masih memandang ke arah Zarul menagih jawapan. Dilihatnya Zarul memilih untuk mendiamkan diri sahaja.


"Saya Ainul Liyana, pekerja Tuan Zarul." Terang Ainul memecahkan tanda tanya di fikiran Puan Fatini.


"Ohh..." Hanya itu reaksi yang diberikan Puan Fatini. Wajahnya sudah bertukar lain macam. Tidak pernah-pernah Zarul membawa mana-mana gadis datang ke rumahnya. Hari ini tiada ribut tiada angin, tiba-tiba muncul seorang gadis bernama Ainul Liyana.


"Masuklah Ainul. Ada aunty seorang sahaja dekat rumah. Uncle keluar sekejap beli barang." Pelawa Puan Fatini dengan ramah. Ainul hanya mengangguk membalas pelawaan itu seadanya.


"Tadi Zarul cakap nak minta tolong something dekat aunty kan? Benda apa?" Puan Fatini menyoal kembali.


"Erk... Macam ni aunty..." Zarul mula mendekatkan kepalanya pada telinga kanan Puan Fatini. Dia membisikkan sesuatu sambil sesekali mata melihat ke arah Ainul yang menunduk malu.


"Ohh patutlah. Tunggu sekejap aunty pergi ambil barang." Sempat Puan Fatini tergelak kecil dengan telatah Zarul dan Ainul. Dia ingat benda apalah tadi. Tangga didaki untuk menuju ke tingkat atas.


"Kan saya dah cakap dekat Tuan Zarul, hantar sahaja saya balik pejabat. Saya boleh uruskan sendiri. Tak perlu menyusahkan orang lain." Suara Ainul masih dikawal agar tidak kedengaran terlalu membentak. Walaupun hatinya sudah mendongkol geram dengan perangai Zarul.


Zarul buat tidak tahu. Dia berjalan menuju ke arah sofa di ruang tamu. Selamba mengambil tempat duduk sambil menekan punat remote tv. Kehadiran Ainul berdiri di sebelah tidak diendahkan.


"Tuan Zarul dengar tak apa saya cakap?" Berkerut dahi Ainul melihat perangai Zarul sekarang.


Pertanyaan Ainul dibiarkan sepi. Zarul sengaja menfokuskan pandangan melihat siaran berita yang tayang di tv. Dia tiada tanda-tanda mahu membuka mulut.


Manakala Ainul sudah mengeluh panjang melayan kerenah Zarul. Dia tahu lelaki itu masih marah dengan dirinya. Dia tahu Zarul tidak mahu melayannya kerana dia sudah menolak huluran cinta lelaki itu. Sedikit sebanyak hatinya berbias kecewa kerana mendapat layanan dingin seperti ini.


Tanpa berlengah, Ainul bertindak membawa diri berdiri di hadapan Zarul. Mendepakan kedua-dua belah tangan menghalang pandangan Zarul dari terus melekat di kaca tv. Sempat dia mengerling ke arah tangga, takut-takut Puan Fatini melangkah turun dan melihat drama yang tercetus antara mereka.


"Tuan Zarul marahkan saya?" Wajah Zarul dipandang redup. Lelaki itu masih cuba mengelak dari melawan panahan matanya.


"Saya tahu Tuan Zarul marah dengan apa yang saya cakap dekat kedai tadi." Tangan Ainul jatuh ke sisi. Dia mula bermain-main dengan jarinya.


Zarul sudah mengetap rahangnya dengan kuat. Sehingga terlihat urat-urat hijau timbul di dahi. Nampak yang dia sedang cuba menahan perasaan sekarang.


"Tapi saya betul-betul tak boleh terima huluran yang Tuan Zarul beri. Saya minta maaf." Ainul berkias. Dia tidak mahu Puan Fatini mendengar akar timbulnya permasalahan mereka.


Semakin sakit dan pedih jiwa Zarul mendengarnya. Dia terus berdiri tegak menghadap Ainul dengan wajah tegang. Mata tajam, menilik setiap inci wajah gadis itu yang berjaya menakluki hatinya.


"Aku nak tahu kenapa kau tolak cinta aku tanpa teragak-agak."


"Sebab..."


"Sebab kau tak ada hati pada aku kan? Hati kau tak sukakan aku sepertimana aku sukakan kau. Hati kau tak cintakan aku sepertimana aku cintakan kau. Itu kan alasannya?" Nada suara Zarul cuba dikawal agar tidak kedengaran keras. Dia masih mahu menjaga hati Ainul daripada terasa dengan sikapnya.


Ainul spontan mendongak. Entah mengapa butir bicara itu sedikit menggores perasaannya. 'Kenapa kau nak rasa mcm tu Ainul? Betulkan apa yang Zarul cakap? Kau memang tak ada hati dengan dia.' Akal Ainul mula memarahi diri sendiri.


"Rasa suka dan sayang bukan boleh dipaksa Tuan Zarul." Ainul berani membalas. Salahkah dirinya kerana tidak merasai perasaan yang sama seperti Zarul? Salahkah dia kerana tidak menyambut hubungan yang ingin dihulur lelaki itu?


Zarul ketawa sinis mendengar. Dia mendekatkan lagi dirinya pada Ainul bersama tangan yang sudah bercekak pinggang.


"Aku bukan marahkan kau sebab kau tak cintakan aku. Tapi aku marah sebab kau dengan yakinnya suruh aku lupakan perasaan aku terhadap kau. Dan apa yang kau cakap dekat kedai tadi? Kita tak mungkin bersama? Kau nampak bersungguh bila tuturkan benda tu. Macam dah nampak hala tuju masa depan kita!" Jelas Zarul akhirnya. Dia tidak kisah jika Ainul tidak menyukai dirinya, dia boleh usaha lagi. Tetapi untuk memaksa dirinya melupakan semua perasaan itu adalah tidak sama sekali.


"Kalau betul kau memang tak ada walau sekelumit perasaan dekat aku, kita boleh usaha. Bagi aku masa. Aku akan cuba untuk buktikan dekat kau yang aku tak main-main. Aku akan cuba buat kau ja..."


"Tak! Walau beribu kali kita cuba, saya tetap akan tolak Tuan Zarul dari hidup saya. Walau sejuta kali Tuan Zarul hulurkan salam perkenalan untuk ke arah yang lebih serius, saya tetap tidak akan menyambut salam tersebut. Jadi, saya... saya merayu pada Tuan Zarul untuk lupakan saya sebelum kekecewaan dalam hati Tuan menjadi lebih teruk kelak." Suara Ainul sedikit membentak. Dadanya berombak kasar. Apabila diri tidak tahan menerima panahan mata Zarul, Ainul mengalihkan tubuhnya membelakangi lelaki itu. Dia takut dirinya terbuai sendiri.


Terasa diri Zarul seperti dihempap oleh batu besar. Dia memejamkan mata cuba memujuk hati yang semakin terkoyak dengan tamparan kata-kata Ainul.


Satu minit berlalu. Hanya suara dari tv yang kedengaran mengisi suasana. Dan Zarul mahupun Ainul masih berdiri di posisi yang sama.


"Kadang aku terfikir, betul ke kau tolak aku sebab kau tak cintakan aku atau ada sebab lain?" Nada sayu yang keluar dari mulut Zarul mampu membuatkan Ainul berkalih semula dengan mata membulat. Tidak menyangka tepat sekali apa yang ditebak oleh lelaki itu.


"Obviously, the same reason kenapa kau takut dengan aku sebelum ni kan?" Tebak Zarul lagi. Bingo! Muka Ainul yang berubah kalut meyakinkan telahannya. Kepala Zarul perlahan menggeleng kecewa.


"I guess, sampai bila-bila aku tak akan dapat jawapan sebenar kalau kau tak cuba untuk buka mulut."


"Sebab itu untuk kali ketiga, saya mohon Tuan Zarul lenyapkan rasa itu. Jangan buang masa untuk tunggu saya. Lebih baik kita kekalkan sahaja hubungan sebagai bos dan pekerja. Jadi orang asing bila tiba masanya." Senyuman manis cuba diukir oleh Ainul. Berharap Zarul berjanji untuk membuang segala perasaan terhadap dirinya. Namun, senyumannya hilang tatkala melihat wajah Zarul yang berubah nekad.


"Orang asing? Heh..." Zarul berdesis sinis.


"Dengar baik-baik Ainul Liyana!" Kedua-dua bahu Ainul yang berlapik baju kurung digenggam erat.


"Selagi kau tak jadi milik sesiapa, aku tak akan berhenti untuk cintakan kau. Tujuh tahun aku pernah simpan perasaan pada kau. Jadi, aku tak kisah untuk tunggu selama tujuh tahun lagi. Aku akan tagih perasaan kau selagi aku mampu!" Bebola mata Zarul bergetar hebat melawan renungan mata Ainul yang kelihatan terkedu dengan bicaranya. Dia melepaskan tubuh itu dan membawa diri menuju ke ruang tamu di tingkat atas. Mahu menenangkan gelojak perasaan yang mula berkecamuk. Kasar tapak kaki dihempas menaiki tangga. Menceritakan betapa sakit hatinya kala ini.


Tangan kanan Ainul spontan naik mengusap dada yang berdebar hebat. Jujur! Dia tersentuh dengan bicara Zarul. Air mata yang mula mengalir di pipi diseka laju. Dia tidak boleh tunjuk dirinya terkesan dengan apa yang didengar.


"Ainul?" Suara Puan Fatini mengembalikan Ainul ke dunia nyata.


"Erk... Ya... Ya, Puan." Terkejut juga dengan kemunculan Puan Fatini secara tiba-tiba. Harapnya wanita itu tidak mendengar perbualan mereka.


"Nah." Baju kurung dan satu bungkusan plastik hitam dihulurkan Puan Fatini kepada Ainul.


"Kamu boleh salin baju dekat bilik tetamu. Mari aunty tunjukkan." Mesra sungguh tangan Ainul digenggam menuju ke satu bilik yang terletak bersebelahan dengan ruangan itu.


"Terima kasih Puan." Walaupun Ainul tidak tahu siapa gerangan Puan Fatini kepada Zarul, dia tetap rasa selesa dengan layanan yang diberi.


"Pergi cepat, nanti kita boleh makan tengah hari sekali."


"Eh, tak perlu susah-susah. Bertambah segan saya dengan puan."


"Nope. Tak susah mana pun. Ainul kan tetamu, bukankah itu rezeki kalau kita melayan tetamu dengan baik?" Dan terus sahaja Puan Fatini menghilangkan diri ke arah dapur sebelum sempat Ainul menahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience