BAB 8

Romance Series 19166

Ketukan di pintu mengejutkan fokus Maria yang sedang menonton tv petang itu. 'Siapalah datang rumah aku lewat petang macam ni?' Jam di dinding dikerling sekilas. Pukul enam setengah petang. Rasanya Ainul tak akan pulang awal begini. Selalunya anak gadis dia akan pulang lewat malam.


Namun begitu, tubuh tuanya tetap bangun membuka kunci lalu pintu dikuak lebar. Terkedu. Wajah Sham dan Ainul menyapa pandangan.


"Maria..." Sham memandang Maria sekilas sebelum matanya terarah pada Ainul yang berdiri di sisi.


"Aku datang hantar Ainul balik. Aku jumpa dia dekat kilang terbakar hujung kampung." Jelas Sham ringkas.


"Apa yang berlaku ni?!" Bagai baru tersedar dari lena. Maria kalut menilik tubuh badan anak gadisnya. Wajah itu penuh dengan kesan hitam dan baju Ainul sudah carik sana-sini. Dia juga perasan ada tompokan darah melekat di baju anaknya.


"Sham?! Apa jadi dengan anak aku?!" Pandangan tajam sudah diberikan kepada sahabat suaminya, Sham. Dilihat Sham seolah-olah serba salah untuk menjawab soalannya.


"Aku tak boleh lama-lama Maria. Ada perkara penting aku kena uruskan. Aku cuma datang untuk hantar Ainul. Selebihnya, kau boleh tanya pada Ainul sendiri." Balas Sham. Dia tidak boleh lama-lama di sini kerana urusan kebakaran itu belum selesai. Dia perlu kembali ke tempat kejadian dengan segera.


"Baiklah Sham. Pergilah dulu selesaikan kerja kau. Nanti apa-apa aku telefon kau balik." Maria mengangguk faham. Dia membawa Ainul masuk ke dalam rumah. Maria perasan Ainul tidak bersuara sejak tadi. Malah, anak perempuannya itu seperti hanyut dalam dunianya sendiri.


Tubuh Ainul didudukkan di atas sofa berhadapan dengan tv yang masih terpasang. Maria bertindak melutut di hadapan Ainul dan dia menggosok bahu Ainul lembut. Sebagai seorang ibu, Maria tahu ada sesuatu yang berlaku kepada Ainul sehingga anak gadisnya kelihatan terkejut dan hilang semangat.


"Ainul?" Nama itu diseru perlahan.


"Ainul tak apa-apa?" Diam.


"Kalau Ainul sakit, kita boleh pergi klinik." Pujuk Maria lagi tetapi masih tiada balasan.


"Mak pergi ambil kain lap wajah Ainul dulu ya? Lepas ni kita siap pergi klinik." Maria bingkas bangun mahu menuju ke dapur. Namun, langkahnya terhenti apabila terasa pergelangan tangannya dipegang kemas.


"Ainul tak sengaja mak..." Suara itu berbunyi penuh getar.


"Ainul tak sengaja..." Ainul mengangkat pandangan merenung emaknya. Semakin lama, air mata mengalir semakin deras dan perlahan-lahan bertukar kepada esakan. Ainul menangis semahu-mahunya. Dia menangis dengan kebodohan diri sendiri yang menyebabkan bencana kepada orang lain.


"Shh... Jangan menangis sayang. Cerita dekat mak apa yang berlaku." Maria meraih tubuh Ainul ke dalam pelukan. Dia cuba menenangkan perasaan sedih yang bermukim di hati Ainul.


"Kebakaran tu... Kebakaran tu... " Ainul mula bercerita, diselang seli dengan esakan kuat.


"Ya, ya. Mak dengar. Cerita dekat mak semuanya." Maria menggosok kepala Ainul cuba memberi semangat. Dia mahu tahu apa yang terjadi sehingga menyebabkan Ainul jadi tidak terurus begini.


"Kebakaran tu terjadi sebab Ainul mak. Sebab kebodohan Ainul. Diorang mati sebab Ainul. Ainul dah bunuh orang! Ainul dah bunuh orang yang tak berdosa!" Akhirnya, Ainul memberitahu apa yang berlaku kepada Maria.


Terhenti segala pergerakkan Maria. Dia terngadah. Apa yang keluar dari mulut Ainul seolah angin yang menampar kuat wajahnya. Dahi mula berkerut mencantum dan mencerna apa yang diberitahu Ainul.


Melihat wajah emak yang penuh dengan kehairan, Ainul mula mengeluarkan sesuatu dari poket bajunya. Biarlah mak mahu memukulnya sekalipun, dia sudah tidak peduli. Biarlah mak mahu menangis dan kecewa dengan sikapnya, dia tidak peduli. Kerana dia mahu menceritakan segala perasaan dan kekesalan yang mencucuk dadanya sedari tadi.


Maria menekup mulut terkejut melihat kotak rokok dan lighter yang diletakkan Ainul di atas sofa. Dia merenung Ainul tajam. Mahu bertanya dari mana Ainul memperoleh barang seperti ini. Tetapi mulutnya seakan terkunci melihat wajah terseksa yang dipamerkan Ainul.


"Kebakaran tu jadi sebab Ainul. Ainul merokok dan tak sengaja jatuhkan rokok dalam kilang tu. Lepas tu... Lepas tu Ainul lari sebab ada orang nampak Ainul. Bila Ainul tengok balik, kilang tu dah terbakar. Dan... dan..." Ainul bercerita kalut. seluruh tubuhnya terketar-ketar mengingat kembali kejadian yang baru berlaku beberapa jam lepas.


"Dan ada or... orang yang me... ninggal dalam keba... karan tu." Sambung Maria dengan suara tersekat-sekat. Dia seperti tahu ke mana arah tuju cerita yang ingin diberitahu Ainul.


Melihat anggukkan anaknya, terasa nafas Maria tidak teratur. Terasa seluruh nadinya berhenti. "Allah... Apa yang kau dah buat Ainul... Apa yang kau dah buat." Maria menunduk menekur lantai. Rasanya ini adalah perkara kedua yang membuatkan seluruh tubuhnya menggeletar hebat selepas berita tentang kematian suaminya sebelas tahun lepas.


"Ainul tak sengaja mak... Maafkan Ainul. Maafkan Ainul." Ainul menyesal dengan perbuatannya. Masih segar dalam ingatan sewaktu Pak Cik Sham memberitahu jejaka itu bahawa mereka tidak sempat menyelamatkan ibu bapanya. Masih segar dalam ingatan betapa jejaka itu meraung dan menjerit kuat memanggil-manggil nama ibu bapanya. Kala itu, Ainul hanya mampu terduduk menangis, merintih kesal dengan semua itu. Sehinggalah Pak Cik Sham datang tenangkannya dan menawarkan diri untuk menghantarnya pulang ke rumah.


Air mata Ainul kembali lebat. Dia mengeratkan lagi pelukan di tubuh emak yang sudah memasang wajah kecewa. Kecewa dengan perbuatannya. Kecewa kerana anak yang ditatang bagai minyak penuh selama ini sudah melakukan sesuatu yang dia tak pernah bayang.


Kali ini, Maria hanya membiarkan sahaja tubuh Ainul tenggelam dalam tangisan di dalam pelukannya. Dia tidak memujuk kerana matanya sudah terarah kepada kaca tv yang sedang menayangkan siaran berita.


"Dua orang usahawan kosmetik dipercayai meninggal dunia dalam kejadian kebakaran di Kilang K&L pada pukul 5.45 petang tadi. Punca kebakaran masih sedang dikenal pasti oleh pihak polis..." Dan saat berita itu menyiarkan wajah mangsa yang terlibat, sekali lagi Maria terkejut.


"Kamarul? Lidya?" Nama itu meniti perlahan di bibir Maria. Saat ini, dia pasti ada sesuatu yang terjadi di sebalik kebakaran itu seperti sebelas tahun lepas!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience