BAB 37

Romance Series 19166

"Tak guna!" Zarul membaling kuat kot kelabunya pada tempat duduk belakang. Menzahirkan rasa sakit hati yang tertahan sejak tadi.


Manakala Ainul memilih untuk membatukan diri pada tempat duduk hadapan. Tidak berani dia mahu menegur hatta memandang wajah Zarul sekalipun. Inilah kali pertama dia melihat Zarul marah seteruk ini.


"Baik aku balik dengan teksi je." Baru sahaja Ainul berura-ura mahu keluar dari perut kereta, tubuh Zarul sudah muncul di tepinya. Memakai seat belt dan terus menghidupkan enjin kereta. Tidak lama sebelum pacuan empat roda itu memecut laju membelah kesibukan jalan raya.


Lambat-lambat Ainul mengerling wajah Zarul. Rahang lelaki itu kelihatan bergerak-gerak dengan wajah bengis. Dadanya pula kelihatan turun naik cuba mengawal dengusan keras yang sesekali kedengaran dari rongga hidung. Ainul kembali memandang ke hadapan dengan wajah cuak. Apabila dirasakan kereta semakin bergerak laju, tangan Ainul mula mencengkam seat belt dengan kuat. Takut tubuhnya tercampak keluar dari kereta ini.


"Tu... Tuan Zarul?" Terketar-ketar Ainul memanggil. Cuba menyedarkan Zarul dari pemanduannya yang semakin bahaya.


"Tuan Zarul?" Tiada balasan. Jarum pada meter kereta semakin mencanak naik. Tubuh Ainul pula sudah bergerak ke kiri kanan seiring dengan pergerakkan kereta yang menyelit sana sini di tengah-tengah kereta lain.


Saat kereta mereka hampir sahaja mencium bontot lori di hadapan, Ainul pantas memejamkan mata rapat. Jantung sudah berdegup kencang memikirkan segala kemungkinan.


"Tuan!" Jeritnya nyaring. Terasa badan mula melentok ke kiri sesaat sebelum kembali tegak semula. Dia membuka mata dengan desahan nafas yang tidak teratur. Rasa bersyukur kerana Zarul sempat mengelak walaupun lelaki itu masih lagi tenggelam dalam dunianya sendiri. Ainul tahu dia perlu hentikan Zarul sekarang sebelum perkara yang tidak diingini berlaku kepada mereka.


Lega rasanya saat kereta mula berhenti pada lampu isyarat. Tanpa membuang masa, pantas tangan Ainul naik menarik tali leher Zarul kuat, sehinggakan kepala lelaki itu terkalih ke arahnya dengan wajah terkejut.


"Please stop. Sa... Saya tak suka Tuan Zarul bawa kereta macam ni." Getaran suara Ainul membuatkan Zarul sedikit tersentak. Dia dapat melihat tangan gadis itu yang bergetar hebat menahan takut. Zarul kembali memandang ke hadapan sambil meraup wajahnya kasar. Hati mula beristighfar panjang mengusir api kemarahan yang berjaya menguasai diri sebentar tadi. 'Ya Allah, apa yang aku dah buat? Aku terlalu ikutkan perasaan marah sampaikan aku tak fikir tentang nyawa orang lain.'


Pedal minyak terus ditekan apabila lampu isyarat bertukar hijau. Namun, kali ini dia lebih berhati-hati dalam pemanduannya dan memperlahankan kelajuan kereta, tidak mahu kekasih hati berada dalam ketakutan lagi.


Lega sikit hati Ainul melihat Zarul yang termakan dengan pujukannya. Pandangan diliarkan ke luar tingkap kereta. Cuba mengusir sisa-sisa ketakutan yang masih berbekas. Dia tahu punca sebenar yang membuatkan lelaki itu marah. Semestinya kerana hal berkaitan meeting tadi. Siapa sahaja yang tidak marah apabila kerja keras yang diusahakan siang malam akhirnya diambil oleh orang lain begitu sahaja. Pastinya Zarul rasa terkilan dengan semua itu.


Dum! Pintu kereta ditutup menyedarkan Ainul dari lamunan. Dia baru perasan kereta Zarul sudah elok terpakir menghadap sebuah tasik nun jauh di sana. Dia menyoroti langkah Zarul yang membawa diri ke hadapan kereta. Pasti ingin menenangkan diri.


Lama dia membiarkan Zarul bersendirian. Setiap perilaku Zarul diperhatikan dengan pandangan simpati. Sekejap dilihat lelaki itu berjalan ke kiri, sekejap berjalan ke kanan, sekejap meraup rambut, sekejap menyepak batu kecil di atas tar. Jelas Zarul tengah serabut sekarang. Sekali pandang macam orang kalah judi pun ada.


"Keluar sahajalah Ainul. Mana tahu kau dapat tenangkan dia sikit." Ainul menggumam sendiri. Dia membuat keputusan untuk mendekati Zarul di luar.


"Tu... Tuan Zarul okay?" Zarul berkalih sekilas mendengar teguran itu. Wajahnya kelihatan sugul benar.


"Tuan Zarul nak minum apa-apa? Saya boleh tolong belikan." Lagi Ainul cuba memancing. Berharap air sejuk mampu menenangkan kegelisahan Zarul.


"Kau dah tak takut dengan aku?" Itu pula yang disoal Zarul.


"Erk..." Terpinga-pinga Ainul mahu menjawab. Rasa tiada kaitan pula soalan itu dengan situasi sekarang.


Zarul tersenyum nipis. Dia dapat rasakan Ainul mula selesa dengannya. Jika masih takut, masakan tadi Ainul dengan berani menarik tali leher yang tersangkut di badannya. Dia mengalihkan posisi badan agar bertentangan dengan Ainul. Dah alang-alang buah hati ada di hadapan mata, baik dia gunakan sahaja peluang ini dengan sebaiknya.


"Aku tak okay." Senyuman yang melebar di wajah Zarul tadi mulai sirna. Biarlah untuk kali ini sahaja dia inginkan perhatian gadis itu. Untuk kali ini sahaja dia mahu Ainul tahu tentang beban perasaan yang ditanggung sekarang.


"Aku tak okay bila product aku kena attack. Aku tak okay bila iklan aku kena copy. Dan aku tak okay bila idea aku kena curi." Halkum Zarul bergerak atas bawah. Cuba menahan kolam matanya daripada menumpahkan air.


Penat berdiri, Zarul menyandarkan punggungnya pada bahagian hadapan kereta. Tangan meraup rambut ke belakang dengan kasar. Cuba menenangkan emosi yang membuak-buak ingin dilepaskan.


"Kenapa? Kenapa ada orang yang tak habis-habis dengki dengan apa yang aku buat? Aku tak pernah cari pasal dengan sesiapa. Aku tak pernah sakitkan hati sesiapa. Jadi, kenapa? Just why they want to attack me like this!" Mata Zarul sudah memerah.


Ainul mula mengambil tempat di sebelah Zarul. Sedikit sebanyak, dia dapat rasakan beban yang ditanggung oleh Zarul sekarang. Pasti lelaki itu serabut dengan segala masalah yang menimpanya bertubi-tubi.


"Kalaupun mereka tak puas hati dengan kejayaan aku, just come and tell me. Bukan attack syarikat aku macam ni!" Setitis air mata jantan mula menitis pada pipi Zarul.


Kalut-kalut Ainul mengeluarkan tisu dari poket baju kurung. Menarik sehelai sebelum diberikan kepada Zarul. Lelaki itu menyambut tanpa memusingkan kepala. Mungkin malu untuk menunjukkan wajahnya yang sedang menangis.


"Nampak yang Tuan Zarul sangat sayangkan Elegance & Beauty Cosmetic." Komen Ainul ringkas.


"Bohonglah kalau aku cakap aku tak sayang dengan hasil titik peluh aku sendiri. Cuma aku pelik, kenapa sejak akhir-akhir ni mereka cuba nak serang product aku dan jatuhkan nama Elegance & Beauty?"


"Mungkin mereka cemburu dengan kejayaan Tuan Zarul."


"Cemburu?" Zarul tergelak sinis.


"Sejak awal lagi Tengku Aaris memang cemburukan kejayaan aku, tetapi dia akan bersaing secara sihat. Selama tujuh tahun dia tak pernah buat benda-benda licik macam ni. So, kenapa baru sekarang dia mulakan? Kenapa dia tak buat sejak tujuh tahun lepas? Macam... Macam ada sesuatu yang mendorong dia untuk lakukan semua ini secara tiba-tiba." Zarul rasa tidak sedap hati. Dia yakin Tengku Aaris mendapatkan pertolongan seseorang dalam syarikat. Seseorang yang mempunyai kuasa untuk jatuhkan syarikatnya.


"Jadi, apa yang Tuan Zarul nak buat sekarang? Susah kalau kita nak cari musuh dalam selimut." Ainul bertanya prihatin.


"Memandangkan aku masih tak tahu apa motif di sebalik semua ini, dan siapa dalang sebenarnya, aku cuma boleh pertahankan mana yang aku mampu. Atau siasat perkara ni secara diam-diam. Yang pasti aku akan buat apa sahaja untuk elakkan E&B daripada jatuh merudum." Zarul mengepal penumbuk dengan wajah tegang. Dia nekad untuk pertahankan satu-satunya harta berharga yang dia ada.


"E&B ibarat nyawa kedua aku. Satu-satunya harta yang daddy dan mummy amanahkan untuk aku jaga. Satu-satunya kerja keras yang mereka usahakan lebih sedekad lamanya. Sebab itu, aku agak terkilan apabila perkara ni terjadi." Suara Zarul semakin mengendur. Rasa puas dapat luahkan segala kekusutan kepada Ainul. Terasa separuh beban jiwanya hilang sekejap.


"Patutlah..." Ainul berdesis perlahan. Betul sangkaannya, Zarul memang telah menukar nama K&L Cosmetic kepada Elegance & Beauty Cosmetic. Disebabkan itu, dia tanpa rasa takut dan syak wasangka datang memohon kerja di bawah syarikat lelaki ini dahulu.


"Kenapa tukar?"


"Huh?"


"Kenapa Tuan Zarul tukar nama K&L?" Mulut bertanya, tetapi kepala Ainul tunduk memandang kasut. Tidak kuat bertentang mata saat membicarakan hal peribadi Zarul.


"Sebab..." Zarul merenung jauh ke hadapan.


"Sebab setiap kali aku terpandangkan nama itu, aku akan teringat kebakaran tersebut. Waktu tu aku masih tak kuat fizikal dan mental, jadi aku minta untuk tukar." Perlahan sahaja Zarul menjawab. Masih segar kesakitan dan keperitan yang dirasai tatkala dirinya mengiringi jenazah orang tuanya ke tanah perkuburan.


Mata Ainul terpejam sesaat. Dia mengetap bibir sambil menggenggam penumbuk menahan rasa. Tidak mahu menangis di hadapan Zarul kerana sekarang masalah Zarul yang lebih utama.


"Sorry sebab bangkitkan hal lama."


"It's okay." Jeda seketika.


"Jadi, Tuan Zarul rasa siapa." Ainul cuba menukar topik perbualan. Dia mengangkat kepala memandang Zarul yang sudah berkerut dahi tidak faham dengan soalannya.


"Tuan rasa siapa yang sanggup bekerjasama dengan Tengku Aaris dan buat kekacauan dalam syarikat?" Sambung Ainul lagi. Seketika, dia mendengar keluhan berat keluar dari mulut Zarul.


"Secara jujurnya, aku tak tahu siapa. Dan aku tak boleh nak agak siapa. Kalaulah aku dapat tangkap 'anjing' Tengku Aaris dalam syarikat aku, memang aku tak akan lepaskan dia!" Gigi diketap kuat. Dia yakin semua masalah yang melandanya selama ini dilakukan oleh orang yang sama. Siapa sahaja yang rapat dengan Tengku Aaris di dalam syarikatnya? Tiba-tiba Zarul teringatkan sesuatu.


"Kau kenal Tengku Aaris?" Kini, tumpuan Zarul berkalih ke arah Ainul sepenuhnya.


"Nope! Ini kali pertama saya jumpa dia."


"Then..." Zarul berpeluk tubuh.


"Kenapa cara dia tegur kau tadi macam dah lama kenal?" Wajah berkerut penuh curiga. Menanti jawapan Ainul penuh debar.


"Saya pun pelik. Nama dia pun saya tak pernah dengar. Dan saya berani jamin pada Tuan Zarul yang saya tak pernah jumpa atau bercakap dengan dia sebelum ni." Tangan kanan Ainul sudah naik bersumpah bahawa dia tidak berbohong. Takut Zarul menuduhnya pula nanti.


Tubuh Zarul dibawa berdiri. Menghadap Ainul yang masih menyandar pada kereta. Lama dia merenung Ainul, masih dengan pandangan curiga. Sehingga tidak keruan Ainul jadinya.


"Aku nak tanya kau something. Jawab soalan aku dengan jujur." Melihat Ainul mengangguk, Zarul mula menghampiri dan menekan kedua-dua belah tapak tangannya pada kereta, di sebelah kiri dan kanan Ainul. Sekaligus memerangkap gadis itu di tengah-tengah.


Terkebil-kebil Ainul melihat wajah Zarul yang betul-betul bertentangan dengannya.


"Kau tak bagi slide yang kau buat pada sesiapa kan?" Ainul menggeleng laju.


"So, macam mana segala maklumat dalam slide kau boleh ada pada Tengku Aaris?" Zarul bertanya lembut. Bukan dia mahu menuduh, cuma mahu memastikan bahawa orang yang disayangi tidak menjadi racun yang membunuhnya dalam diam.


"Saya tak tahu. Saya hanya ada copy dalam pendrive dan simpan dalam laci meja sahaja." Jelas Ainul kalut. Bila diingat balik, dia juga hairan bagaimana maklumat sepenting itu jatuh pada tangan Tengku Aaris.


"Saya tak akan tikam Tuan Zarul dari belakang. Lagipun, tiada sebab untuk saya buat begitu." Dengan berani Ainul melawan panahan mata Zarul. Cuba meyakinkan lelaki itu dengan kata-katanya.


"I'm glad to hear that." Pandangan curiga Zarul mula bertukar redup.


"Aku cuma takut orang yang aku sayang buat perkara bukan-bukan belakang aku. It's hurt so much you know? Bila kau dikecewakan oleh seseorang yang paling kau percaya." Gemersik suara Zarul berbisik. Dia mula tersenyum penuh makna ke arah Ainul.


"Huh?" Rasa mahu pecah dada Ainul mendengar kenyataan Zarul. Bagaikan jantungnya dipalu kuat oleh seseorang. Dalam masa yang sama, satu perasaan aneh mula menjalar masuk jauh di dasar lubuk hatinya.


"Can you do me a favor, Ainul?" Zarul kembali bertanya. Rasa seronok pula dapat mengusik Ainul. Terasa semua masalah yang dihadapi terbang pergi dibawa angin lalu.


"Y... Yes." Terketar-ketar Ainul menjawab. Sudahlah kedudukan mereka sekarang agak rapat, membuatkan dia semakin berdebar.


"Promise me yang kau tak akan buat sesuatu yang boleh hilangkan kepercayaan aku pada kau."


"P... Promise." Hampir tidak terkeluar suara Ainul berjanji.


"And..." Sengaja Zarul mendekatkan lagi wajahnya. Mata Ainul direnung tidak lepas


"Tolong betulkan tie aku sekejap. Ada orang tu, dia tarik tali leher aku sebab takut. Nasib baik berhenti dekat lampu isyarat, kalau tengah memandu tadi, aku tak tahulah apa yang jadi. Berani betul dia." Selamba Zarul mengutuk. Seronok hatinya dapat melihat wajah Ainul yang sudah merah macam buah tomato.


Laju sahaja Ainul membetulkan tali leher Zarul yang sedikit terkeluar dari kedudukan asal. Cepat dia mengikut arahan lelaki itu, cepat juga dia dapat lepaskan diri dari situasi yang menyesakkan dada.


"Thank you dear and sorry sebab aku bawa kereta macam orang gila tadi." Sempat Zarul berkata sebelum menonong berjalan masuk ke dalam kereta. Meninggalkan Ainul dalam keadaan termangu-mangu.


Sesaat.


Dua saat.


'Did he just flirt with me?'

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience