BAB 1

Romance Series 19166

Januari, 2003


Kepala terasa berdenyut. Seluruh tubuhnya terasa sakit dan sengal. Datin Lidya membuka mata apabila hidungnya mula terhidu bau hangit seperti terbakar. Dalam kesamaran malam hanya bertunjangkan cahaya bulan, dia cuba melihat dan mencerna apa yang berlaku. Sekilas dipandang ke tempat duduk pemandu. Berderau jantungnya saat melihat tubuh longlai itu tersandar pada stereng kereta tidak sedarkan diri.

"Abang! Abang! Bangun Abang!" Berkali-kali nama itu diseru dan dipanggil. Setiap kali itu juga Datin Lidya cuba menepuk tubuh suaminya dalam kepayahan. Namun, tiada sebarang reaksi. Dia cemas.


"Abang! Jangan buat Lidya takut. Bangunlah abang..." Jeritan sebentar tadi mula bertukar kepada rengekan. Berharap sang suami membuka mata dan memeluknya tetapi, hampa. Tubuh itu terus kaku.


Semakin lebat air mata yang mengalir bercampur dengan darah pekat di wajah bersihnya. Sedih dan takut si suami mungkin telah pergi meninggalkan diri terkontang-kanting seorang diri. Sedang asyik dia melayan perasaan sedih, terasa tingkap kereta sebelahnya diketuk dari luar. Pantas Datin Lidya menoleh dengan wajah terkejut.


"Puan? Puan dengar suara saya? Tolong buka pintu ni puan." Suara lelaki di luar kedengaran tenang menyuruhnya, tetapi terselit sedikit getaran di sebalik arahan itu. Tangan lelaki itu juga tidak henti-henti menarik pemegang pintu kereta dengan harapan pintu tersebut mampu dibuka.


Datin Lidya memandang kosong. Dia masih dalam keadaan terkejut dan tidak dapat berfikir. Seingatnya tadi dia dan suami sedang dalam perjalanan ke Kedah untuk melihat tapak baru kilang kosmetik mereka esok, tetapi semuanya bertukar tragedi apabila kereta yang dipandu oleh Datuk Kamarul, iaitu suaminya sendiri tidak dapat dikawal dan akhirnya mereka terbabas sebelum tidak sedarkan diri.


"Puan! Tolong buka kunci pintu dengan segera! Kami datang untuk selamatkan puan dan suami." Jelas suara lelaki itu lagi. Bukan dia tidak boleh pecahkan sahaja cermin tingkap kereta itu tetapi, lebih cepat jika wanita tersebut membukanya dari dalam.


Mendengar sahaja perkataan 'selamat' yang keluar dari mulut lelaki tersebut, pantas Datin Lidya membuka punat kunci dan cepat-cepat membuka pintu kereta seluas-luasnya. Air mata yang berhenti sebentar tadi kembali mengalir.


"Tolong... Tolong selamatkan suami saya. Tolong saya encik." Datin Lidya keluar dari perut kereta sambil dibantu lelaki itu. Dia merayu-rayu dengan badan terhuyung-hayang akibat sakit kepala. Kesakitan yang semakin mencucuk diri tidak dipeduli. Dia lebih risaukan keadaan suaminya sekarang.


"Puan jangan risau. Kami akan pastikan keadaan suami puan selamat. Tetapi sekarang puan kena keluar dari kawasan ini. Kawasan ini bahaya. Biar kami anggota bomba yang uruskan." Arah lelaki itu lagi. Dia mengangguk yakin ke arah Datin Lidya dengan wajah penuh ketegasan.


Sekarang barulah Datin Lidya perasan dengan pakaian yang dikenakan lelaki tersebut. Dia bersyukur kerana bantuan segera tiba walaupun baru beberapa minit mereka terlibat dengan kemalangan. Pasti ada saksi yang melihat kejadian itu terus melaporkan pada pihak bomba dan polis.


"Sham! Bawa puan ini pergi. Cepat!" Lelaki itu menggamit seorang lagi pegawal yang berdiri tidak jauh dari situ. Lelaki yang dipanggil Sham itu datang dan pantas memaut bahu Datin Lidya untuk diberikan sokongan. Perlahan dia memapah wanita anggun tersebut berjalan menjauhi kawasan itu. Tubuh Datin Lidya didudukkan di atas batu besar di bahu jalan. Datin Lidya hanya memandang kosong melihat keadaan kereta yang sudah remuk melanggar tiang elektrik. Tiang tersebut kelihatan condong mahu menyembah bumi bila-bila masa sahaja. Datin Lidya semakin cemas.


"Abang kena bertahan... Abang mesti baik-baik sahaja. Demi Lidya... Demi Zarul." Datin Lidya berbisik perlahan dan tidak henti-henti berdoa. Dia hanya melihat anggota bomba berusaha sedaya mungkin untuk mengeluarkan suaminya dari tempat duduk pemandu. Hatinya gundah tidak terkata.


"Puan jangan risau. Suami puan sudah sedarkan diri. Dia cuma pengsan tadi." Sempat Sham berkata sebelum berlari membantu pasukannya. Terasa lapang sedikit dada Datin Lidya mendengarkan hal itu.


"Ed! angkat atas lagi. Aku tak boleh tarik dia keluar." Kedengaran suara salah seorang anggota bomba memberi arahan. Lelaki yang digelar Ed itu mengangguk dan cuba mengangkat dengan lebih kuat. Dia mengangkat dashboard dengan alatan di tangan, dua orang lagi cuba menarik kerusi pemandu ke belakang dan Sham berusaha menarik kaki mangsa keluar. Akhirnya kedua-dua belah kaki Datuk Kamarul berjaya dikeluarkan.


"Bagus Ed." Mereka berempat mampu menarik nafas lega apabila mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat. Sememangnya perasaan itu sangat seronok apabila sekali lagi mereka dapat menyelamatkan nyawa seseorang dari bahaya.


"Bawa stretcher ke sini." Kata Sham sambil memapah mangsa untuk dibaringkan jauh dari kereta yang bila-bila masa sahaja akan meletup. Dua orang rakan mereka sudah pergi untuk memberitahu pihak petugas ambulans supaya membawa stretcher kepada Sham. Ed pula berjalan di belakang Sham sambil membawa alatan yang digunakan mereka tadi.


Datin Lidya mampu menarik nafas lega apabila terlihat sahaja wajah suaminya yang sedang dipapah. Betullah kata lelaki yang digelar Sham tadi. Suaminya sudah sedar tetapi kelihatan lemah dan longlai. Anggota petugas ambulans yang sedang kalut memeriksa tubuhnya tidak dipeduli. Dia tersenyum syukur kerana Allah masih lagi meminjamkan suami untuk terus bertahan di sisi. Namun, senyuman itu makin sirna apabila kornea matanya terpandangkan tiang elektrik yang bergoyang sebelum perlahan-lahan jatuh ke arah si suami dan anggota yang sedang memapah.


"Abang!!" Tak menunggu lama Puan Lidya menjerit nyaring ke arah mereka berdua.


Sham yang mendengar jeritan itu memandang ke arah yang sama dilihat oleh Puan Lidya. Terbelalak matanya melihat tiang besi sudah beberapa jengkal dari atas kepala. Semuanya berlaku pantas sehingga badannya hanya berdiri kaku bersedia menerima habuan dari tiang itu. Semuanya berlaku pantas sehingga terasa tubuhnya dan mangsa di sebelah ditolak seseorang dari arah belakang. Semuanya berlaku pantas sehingga telinganya menangkap bunyi dentingan kuat tiang tersebut menyembah lantai bumi dari arah belakang. Dan semuanya berlaku pantas sepantas kepalanya menoleh melihat insan yang telah menyelamatkan nyawanya dan Datuk Kamarul. Mata Sham mahupun semua insan yang berada di situ terbuka luas.


"Ed!!!" Suara Sham menjerit nyaring membelah kepekatan malam. Dia terkedu. Puan Lidya menutup mulutnya yang terkejut. Dan semua insan yang berada di situ terkaku di tempat mereka berdiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience