BAB 27

Romance Series 19166

"Finally!" Laju sahaja Sofia berlari keluar dari kereta sambil mendepakan tangan. Merasai angin lembut yang bertiup mesra ke arahnya. Walaupun mata masih lagi tidak menjamah keindahan laut yang berada di sebalik resort, namun aroma masin yang terhasil dari garam air laut sudah mampu dihidu.


Ainul hanya menggeleng melihat telatah Sofia. Dia juga teruja datang ke Langkawi, tetapi tidak pula dia membuat free show seperti Sofia. Mendepakan tangan di tengah-tengah parking lot. Siap terpusing-pusing lagi macam filem hindustan. Berangan sahaja kerja kau Sofia!


Tubuh dibawa ke belakang kereta, mengeluarkan bag pakaian yang penuh disumbat. Biasalah perempuan. Semestinya banyak barang keperluan perlu dibawa bersama. Disebabkan Sofia sudah penat memandu jauh tadi, Ainul dengan ikhlas hati membantu mengangkat bag Sofia yang boleh tahan beratnya.


Sedikit sebanyak dia bersyukur kerana Sofia mengajaknya naik kereta bersama. Jika tidak, pasti dia perlu menumpangi Zarul kerana ketiadaan transport. Tetapi, penat juga mahu melayan celoteh mulut perempuan itu yang tidak henti-henti bercakap itu ini di dalam kereta. Sampai akhirnya, Ainul hanya mengangguk malas dan memilih untuk membuang pandang ke luar tingkap.


Pinnnn!! Hon berbunyi nyaring mengejutkan mereka. Sofia sudah terlompat ke tepi dengan wajah tidak puas hati. Kereta itu pula dilihat berlalu dengan selamba memakir di sebelah kereta mereka. Tidak lama, sebelum pintu di sebelah pemandu dibuka. Keluarlah Zarul dengan t-shirt lengan pendek bewarna kelabu, melekap elok di tubuh menampakkan otot-ototnya. Spek mata hitam yang dipakai menambahkan lagi kekacakan jejaka itu.


"You ni Zarul, tak bagi peluang langsung dekat I nak berangan." Sofia merapati Zarul sambil menghentakkan kaki. Wajahnya turut dimasamkan tidak puas hati.


"Tak payah. Masuk check-in dulu. Lepas tu, kau beranglah puas-puas dekat dalam sana." Zarul mula mengeluarkan bagasinya. Dia berjalan melepasi Sofia, mendekati Ainul yang sedari tadi memandang mereka. Bag galas di belakang Ainul dirampas penuh selamba lalu kaki melangkah masuk ke dalam Pelangi Beach Resort menuju ke arah meja penyambut tetamu. Tercengang-cengang Ainul dengan tindakan Zarul.


"Bagi sini bag aku. Aku tak nak nanti tulang kau patah riuk pula angkat bag aku. Elok-elok aku ambil anak orang sempurna, nanti balik jadi agar-agar." Sofia pula merampas bag di tangan kanan Ainul lalu membuntunti langkah Zarul dari belakang. Ainul hanya mampu menjongket bahu melihat perangai kedua-duanya. Dah macam adik dengan abang.


Selesai sahaja urusan mendaftar masuk, mereka berjalan menuju ke bilik masing-masing. Hanya sebelah-menyebelah. Sengaja Zarul memilih bilik yang menghadap laut. Mahu menikmati pemandangan langka yang jarang sekali dapat dinikmati seumur hidup.


"Nah, bag kau." Mata Zarul tidak lepas dari memerhati wajah Ainul disebalik shawl putih yang dipakai. Nampak makin cantik pula apabila Ainul mengenakan baju kasual begitu.


"Terima kasih Tuan Zarul." Sopan Ainul membalas. Mengambil bag pakaian yang dihulur. Dia berura-ura mahu masuk ke dalam bilik sebelum tangan kekar Zarul menahan di birai pintu.


"Erk..." Bebola mata Ainul sudah bergerak tidak tentu hala. Tanpa sedar, tangannya naik menggenggam tangan Sofia di belakang. Meminta tolong kerana dirinya sudah gementar dengan panahan mata Zarul.


"Jangan lupa dinner malam ni. Pukul lapan." Zarul mengingatkan. Sebenarnya bukan itu tujuan utama dia menahan Ainul, dia cuma mahu menatap wajah itu dengan lebih lama. Melihat Ainul hanya mendiamkan diri membuatkan Zarul makin galak merenung.


"Hello? I ada taw dekat sini." Sofia mencelah perbualan mereka penuh jengkel. Masih terasa sejuk tangan Ainul menyentuh kulit tangannya sebentar tadi. Floppy hat dikibas ke dada Zarul membuatkan tubuh lelaki itu terundur beberapa tapak ke belakang. Sofia bertindak berdiri di tengah-tengah, menghalang Zarul dari mendekati Ainul semula.


"You tak payah susah-susah ingatkan. I kan ada. Bab-bab makan ni, serahkan sahaja pada I." Tangan Sofia naik menolak sikit belakang tubuh Ainul memberi isyarat supaya masuk ke dalam. Dia menjeling tajam ke arah Zarul. Memberi amaran supaya lelaki itu menjaga tingkah laku.


Sedar dengan keterlanjuran diri, tangan Zarul naik menggaru belakang telinga yang tidak gatal. Akhirnya, dia hanya mampu memberikan pandangan serba salah memerhati pintu bilik yang sudah ditutup rapat oleh Sofia.


"Thanks." Ainul melabuhkan duduk di atas katil sambil bermain-main dengan jarinya.


"Hmm." Sofia membalas senada. Faham bicara itu ditujukan khas untuk tindakannya tadi.


"Seriously, Ainul? Apa yang kau takut sangat dengan Zarul?" Sofia tidak dapat menahan soalan itu daripada keluar dari mulut. Dia sudah berpeluk tubuh berdiri menghadap Ainul. Kali ini, baru dia dapat melihat dengan mata kepala sendiri maksud kata-kata Zarul dahulu. 'She's seem terrified. Macam orang buat salah.'


"Tak ada apa. Kau tak perlu tahu." Ainul bergerak ke arah meja kecil di sebelah sliding door yang ditutupi langsir bewarna koko. Meletakkan bag galasnya di situ.

"Takkan selamanya kau nak hidup dalam ketakutan begini? Tak penat ke?" Badan Sofia yang terasa letih mula dilempar ke atas katil. Melepaskan lelah buat seketika sebelum bersiap untuk makan malam.


"Penat? Sangat!"


"So, selesaikanlah dengan cara baik. Cerita semua rahsia yang kau sembunyikan pada Zarul. Supaya kau tak perlu rasa macam ni lagi." Cadang Sofia. Rasanya ini kali pertama dia berbual elok-elok dengan Ainul tanpa bicara sinis.


"Tak semudah itu Sofia. Aku tak akan buka mulut selagi keadaan tak memaksa." Nekad Ainul. Tubuh dibawa berdiri tegak di hadapan sliding door pula.


"Kalaulah suatu hari nanti kau ditakdirkan bercinta dengan Zarul, kau masih tak nak buka mulut? Remain silent macam tiada apa-apa yang berlaku. Macam tu? " Perkara itu pula yang bermain di fikiran Sofia. Dia sudah berbaring mengiring ke arah Ainul sambil menongkat kepala dengan tangan kanan. Menanti jawapan gadis itu.


Ainul ketawa sinis. Rasa kelakar pula mendengar andaian Sofia yang tidak masuk akal. "Aku dan Zarul tak mungkin bersama."


"Kalau Ainul... Kalau." Sofia masih mahu menegakkan teorinya.


Ainul tidak terus menjawab. Tangan mula bergerak membuka langsir dengan lebar. Memaparkan pemandangan laut biru yang luas di hadapan mata. Permukaan air kelihatan bersinar apabila dipanah cahaya dari langit. Sangat indah.


"Aku akan pastikan perkara antara aku dan Zarul tidak wujud. Jika terpaksa, aku sanggup pergi jauh dari sisinya." Hampir tidak terkeluar suara Ainul mengatakan hal itu. Pandangan dibuang jauh, seolah-olah merenung masa hadapan yang tidak pasti kesinambungannya. Dan jelas jawapan itu membuatkan Sofia terpana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience