BAB 39

Romance Series 19166

Ainul dan Sofia sudah mula berpandangan dengan wajah cuak. Mereka bagaikan turut merasai aura tegang yang keluar dari tubuh kedua-dua jejaka di hadapan mereka.


"Kau cakap kau ada kerja penting hari ini?" Mendatar sahaja soalan Zayad sambil memandang tepat ke arah Zarul.


"Kenapa? Kau tak suka aku join kau orang makan sekali?" Bidas Zarul pula. Juga dengan pandangan tajam dan tidak lepas dari melihat Zayad.


Tidak tertelan rasanya makanan yang masuk ke dalam mulut Sofia dan Ainul. Mereka tidak tahu punca permasalahan di antara dua jejaka ini, tetapi apa yang pasti, mereka berdua sungguh berasa tidak selesa apabila dihadapkan dengan muka ketat Zarul dan Zayad.


"Kalau aku cakap aku tak suka, kau nak pergi dari sini?" Berani Zayad menyuarakan ketidakpuasan hatinya. Dia menunduk sedikit ke hadapan, mendekatkan wajah kepada Zarul yang juga turut duduk sepertinya.


Zarul tergelak sinis. Dia tersenyum senget, masih tidak mengalihkan perhatian daripada Zayad. "In your dreams." Balas Zarul selamba.


"Tak sangka kau ni jenis orang yang tak tahu malu juga kan? Tak dijemput, tetapi tersorong-sorong nak menempel." Pedas Zayad memerli. Membuatkan mata Zarul sudah mencerlung tajam.


"Kau?!" Tangan Zarul naik menepuk meja. Agak kuat sehingga menarik perhatian beberapa pelanggan lain.


Dan mereka berdua terus berlawan pandang seperti kucing dan anjing yang bersedia untuk bertarung. Tidak peduli dengan makanan yang baru dihidangkan di atas meja. Malah, tidak sedikit pun mampu membangkitkan selera mereka.


"Menyesal pula aku setuju dengan pelawaan Zayad tadi." Sofia berbisik perlahan. Ingin sahaja dia pergi mengambil talam dari tangan pelayan yang lalu di sebelah meja mereka, mahu mengetuk kepala Zayad dan Zarul berkali-kali. Biar cerdik sedikit. Biar rasa malu dengan orang sekeliling yang sedang memerhati.


"Menyesal juga aku terima pelawaan kau untuk makan sekali dengan Zayad." Ainul menyambut kata-kata Sofia. Dia meletakkan sudu di dalam pinggan. Sudah tiada selera apabila berada dalam situasi kekok begini.


"Jom..." Sofia memegang tangan Ainul di bawah meja. Memberi isyarat supaya Ainul bangun dan mengikutnya pergi dari situ.


Ainul pantas mengangguk setuju. Dia menggalas bag tangan sebelum kedua-duanya bangun perlahan-lahan mahu beredar. Membiarkan Zayad dan Zarul menyelesaikan masalah mereka sendiri.


"Nak pergi mana?" Serentak Zarul dan Zayad menyoal. Wajah kedua-duanya sudah risau memandang ke arah Ainul. Hanya Ainul yang menjadi tumpuan mereka sekarang.


"Erk..." Ainul sudah kalut mahu menjawab. Masakan tidak, dirinya ibarat pesalah yang sedang dihakimi oleh kedua-dua jejaka yang sedang duduk itu. Memandangnya penuh terdesak menunggu jawapan kepada soalan mereka.


"Guys, stop it! Ingat kami boleh makan kalau tengok muka cemberut kau orang berdua dari tadi? Kami nak pergi makan dekat tempat lain." Sofia mencelah.


"No!" Kedua-duanya menegah dengan kuat dan bangun dari kerusi serentak. Bergegar meja makan mereka sehinggakan air tembikai susu di atas meja tertumpah ke arah Ainul. Habis basah kain baju kurung dan kasut yang dipakai akibat terkena simbahan air.


Terlompat sedikit Ainul akibat terkejut. Sofia juga turut terjerit dengan situasi itu. Dia pantas menggapai kotak tisu di meja belakang sebelum dihulurkan kepada Ainul. Cuba membantu gadis itu mengelap sisa air daripada melekit di badan.


Lagilah membuatkan pelanggan lain tertoleh-toleh melihat. Ada juga yang berbisik-bisik menunjuk ke arah mereka. Manusia, biasalah. Suka menyibuk perihal orang lain. Suka ambil tahu apa yang terjadi.


Zayad dan Zarul juga mula berpandangan. Mulut sudah terherot-herot menyalahkan sesama sendiri. Dengan mata terjegil-jegil menuduh kau-aku.


"Tengok apa kau dah buat!" Zayad memarahi Zarul.

"Kenapa aku pula? Itu air kau. Maksudnya kau yang tumpahkan pada Ainul."


"Eh, kalau kau tak datang sini, kita tak akan gaduh, lepas tu perkara ni tak akan jadi okay!"


"Oh, so sekarang kau nak cakap perkara ni berlaku sebab aku lah?"


Terhenti terus tangan Sofia dan Ainul yang sedang sibuk mengelap sana sini. Jujur mereka semakin malu untuk terus berada di situ. Rasanya satu kedai mampu mendengar setiap butir bicara mereka.


"Seriously?!" Sofia mencelah garang. Menghentikan perbalahan mulut yang terjadi.


Sedar dengan keterlanjuran diri, Zayad dan Zarul mula mengunci mulut.


Wajah Zayad dan Zarul dipandang silih berganti. Sofia mendengus kasar sebelum mula menarik tangan Ainul keluar dari restoran. Tidak betah rasanya mahu terus-terusan berada di situ.


Terus gelabah Zayad dan Zarul mengejar. Sempat Zarul menyelitkan 2 keping not lima puluh ringgit di bawah pinggan. Dia membontonti Zayad, menuju ke arah Ainul dan Sofia.


"Tunggu Ainul!" Zayad menahan.


"Saya minta maaf? Saya tak sangka air tu..." Wajah serba salah ditayangkan oleh Zayad.


"Nak tumpah dekat dia? Memanglah tak sangka sebab korang berdua sibuk berperang sesama sendiri." Panas pula hati Sofia. Sudahlah diri sedang berjemur di bawah terik mentari. Semakin panas terasa hatinya. Ainul dilihat hanya menunduk mendiamkan diri.


"Okay, okay. Kami betul-betul minta maaf. Kami janji perkara macam tu tak akan berlaku lagi. Kita pergi cari baju baru dekat kau lepas tu makan dekat tempat lain eh? Sebagai tanda minta maaf." Zarul mencelah. Dia memandang penuh pengharapan ke arah Ainul. Berharap gadis itu bersetuju dengan cadangannya.


Sofia mengeluh berat. Tangan Ainul ditarik, membawa tubuh gadis itu berdiri dibelakangnya. Kesian pula dia melihat Ainul, dari tadi didesak oleh mereka.


"Macam nilah Encik Zayad dan Tuan Zarul, apa kata encik dengan tuan makan berdua, saya dan Ainul makan berdua. Saya rasa itu lebih baik. Saya boleh tolong dia bersihkan baju nanti. Jadi, korang berdua tak payah risau. Saya faham Encik Zayad dan Tuan Zarul tengah bersaing sekarang, tetapi bukan macam ni gayanya. Saya dan Ainul minta diri dulu. Terima kasih belanja kami makan tadi." Terus tangan Ainul ditarik pergi menuju ke keretanya. Tidak lama, sebelum Sofia menghidupkan enjin dan mula memecut kereta laju meninggalkan Zayad dan Zarul yang sedang bercekak pinggang. Rasa menyesal lah tu.


"Kau okay?" Sofia menyoal prihatin di dalam kereta. Tisu basah diberikan kepada Ainul. Berharap dapat mengurangkan rasa melekit pada baju gadis itu.


"Okay. Terima kasih sebab bawa aku pergi dari situ. Aku tak tahulah apa yang mereka gaduhkan sampai jadi macam ni." Ainul mengeluh jua akhirnya. Memang dia rasa sedikit geram tadi dengan perlakuan mereka, tetapi untuk memarahi bosnya sendiri adalah tidak sama sekali. Dia masih waras memikirkan status Zayad dan Zarul dengan dirinya.


"Kau ni kadang-kadang lembap juga eh? Dah terang-terang diorang gaduh sebab kau. Takkanlah kau tak tahu?" Balas Sofia bersahaja. Dia memusing stereng membelok ke kanan.


"Sebab aku?!" Terpinga-pinga Ainul buat seketika. Dahi sudah berkerut seribu.


"Haih." Kepala Sofia pula tergeleng-geleng dengan reaksi Ainul.


"Diorang gaduh sebab cemburu. Zayad cemburu bila Tuan Zarul nak join makan sekali dan Tuan Zarul cemburu bila dapat tahu kau keluar makan dengan Zayad. Kau faham? Maksudnya diorang berdua sukakan kau, so diorang tak suka kau rapat dengan salah seorang dari mereka." Jelas Sofia ringkas. Sekali tengok pun dah tahulah. Apatah lagi melihat mereka berdua yang hanya memberikan perhatian pada Ainul sejak awal.


Terkedu. Ainul diam tidak memberi sebarang reaksi. Jantung mula bermain irama tidak senada. Rasa terlalu sukar untuk dia mencerna apa yang baru disampaikan oleh Sofia. Zayad dan Tuan Zarul sukakannya? Padahal tak sampai tiga bulan mereka berkenalan dan mereka sudah jatuh hati padanya?!


"Tak mungkinlah." Ainul menyangkal.


Sofia hanya tergelak halus mendengar komen dari Ainul. Dia menoleh sekilas ke arah Ainul yang mula membuang pandang ke luar tingkap. Susah juga jadi orang cantik ni. Ramai betul lelaki yang terpikat. Sempat Sofia mengomel di dalam hati sebelum kembali fokus ke arah pemanduannya.


'Tamparlah. Kalau Ainul yang tampar, saya tak kisah. Orang cantik tampar tak terasa pun sakitnya.'


'Ala sayang. Nak pergi mana tu?'


Usikan Zayad mula menghantui ruang fikiran Ainul.


'Aku cuma takut orang yang aku sayang buat perkara bukan-bukan belakang aku. It's hurt so much you know? Bila kau dikecewakan oleh seseorang yang paling kau percaya.'


'Thank you dear and sorry sebab aku bawa kereta macam orang gila tadi.'


Dan kata-kata Zarul beberapa hari lepas kembali menusuk ke telinganya.


Adakah semua itu hint yang mereka berdua cuba beri padanya? Memang dia buat tidak tahu sahaja sebelum ini dan anggap Zayad mahupun Zarul hanya sekadar mengusik dan tidak memaksudkan apa-apa, tetapi setelah mendengar apa yang dikatakan oleh Sofia, entah mengapa semua ucapan itu mula kedengaran serius sekarang.


"Tak mungkin..." Untuk kesekian kalinya Ainul menidak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience