BAB 7

Romance Series 19166

Rasanya hampir sejam juga Zarul dan dua pekerjanya memeriksa setiap barangan namun, kelibat daddy dan mummynya masih tidak kelihatan. 'Mungkin mereka tertidur di dalam office.' Telah Zarul di dalam hati. Dia kembali fokus dengan kerja yang dilakukan sebelum..


"Siapa?!"


Jerkahan itu membuatkan Zarul dan dua pekerja hampir melompat akibat terkejut. Habis terjatuh fail dan pen di tangan Zarul ke lantai kilang. Mereka mula berpandangan sesama sendiri.


"Ada orang lain selain kamu berdua? Rasanya itu bukan suara Daddy." Zarul bertanya hairan.


"Tak ada Tuan Zarul. Kami berdua sahaja yang datang untuk uruskan stok barangan hari ini." Terang salah seorang pekerja dengan tag nama Zamani.


"Biar saya pergi lihat. Takut-takut ada penceroboh atau pencuri yang cuba rosakkan barang kita." Kata Zamani dengan nada risau sebelum dia berura-ura mahu berlalu dari situ.


"Saya ikut sekali." Tanpa membuang masa, Zarul membontoti Zamani dari belakang. Sempat dia menyuruh seorang lagi pekerja untuk memberitahu perkara tersebut kepada Datuk Kamarul dan Datin Lidya di dalam pejabat.


Zarul dan Zamani meliarkan pandangan mencari dari mana datangnya arah suara itu. Tetapi loggokkan kotak dan mesin yang pelbagai menyukarkan pandangan mereka.


"Siapa kau?!" Lagi suara itu memetir nyaring. Dan kali ini Zamani dapat mengagak dari mana orang tidak dikenali tersebut berada. Pantas Zamani membawa diri ke pintu belakang kilang sambil diikuti Zarul.


"Hoii!!" Zamani menjerit apabila matanya terlihat kelibat seorang lelaki yang berpakaian serba hitam berlari keluar. Zarul yang juga perasan dengan hal itu cuba untuk mengejar tetapi pantas dihalang oleh Zamani.


"Tuan Zarul!" Gamit Zamani dengan cemas.


"Api!" Satu perkataan itu mampu membuatkan Zarul terpana di tempatnya berdiri. Bebola matanya dilirik ke arah tempat yang dilihat oleh Zamani. Nyata Zamani tidak berbohong apabila dia melihat sendiri api yang sudah marak dan laju membakar botol dan kotak yang berada di situ.


"Pergi ambil air, Zamani. Cepat!" Zarul mengeluarkan arahan. Dia kalut membuka kemeja yang tersarung di tubuh sebelum dibawa mengibas ke arah api tersebut. Berharap tindakannya itu dapat memadamkan api sementara menunggu Zamani datang. Badannya yang terdedah tidak dipeduli.


"Tuan Zarul!!" Suara pekerjanya yang seorang lagi pula memekik dari belakang membuatkan Zarul berkalih pantas.


"Tuan! Datuk... Datin... "


"Kenapa dengan Datuk dan Datin?! Kenapa?! Apa yang jadi?" Zarul memintas kalut.


"Saya rasa lebih baik Tuan Zarul pergi tengok sendiri." Tangan Zarul pantas ditarik olehnya.


Zarul hanya menurut dengan hati galau. Baju yang dipegang sebentar tadi sudah dibaling entah ke mana. Kakinya laju berlari membiarkan sahaja dirinya diheret oleh pekerja itu.


"Allahuakbar! Allahuakbar!" Hampir menangis Zarul melihat kejadian di hadapan mata. Separuh kilang di sebelah kanan juga turut terbakar. Lagi teruk dari api yang dia cuba padamkan sebentar tadi.


"Saya tak tahu keadaan Datuk dengan Datin. Saya tak boleh nak lalu. Api tinggi sangat." Kata pekerja itu. Sesekali mereka terbatuk-batuk akibat terhidu asap tebal.


"Call bomba dan minta tolong orang yang lalu dekat sini! Saya akan cuba selamatkan Datuk dengan Datin." Arah Zarul tanpa menoleh. Matanya tertancap pada bilik pejabat yang berada di celah-celah api yang mula menjulang tinggi. Dia pantas mencapai kayu yang bersandar di dinding dengan tangan kanan. Sementara tangan kirinya dibawa menutup hidung daripada terhidu bau asap yang menyesakkan dada.


Dengan ekor mata, dia dapat melihat pekerjanya berlalu keluar sambil bercakap-cakap di telefon. Pasti sedang menelefon pihak bomba dan ingin pergi meminta bantuan seperti yang disuruh.


"Mummy! Daddy!" Berkali-kali dia menyeru tetapi tidak bersahut. Dengan sepenuh tenaga, kayu di tangan dibawa mengibas, mengangkat segala kotak yang sudah dijilat api untuk dibuat laluan. Beberapa minit berlalu, akhirnya Zarul berjaya mendekati office milik daddynya.


Mata dibawa mengintip di celah-celah cermin pejabat untuk melihat keadaan di dalam. Berharap bahawa daddy dan mummynya tidak berada di situ. Tetapi terasa jantungnya berhenti berdenyut tatkala matanya terlihat tubuh yang dicari sedang terbaring elok di sofa dan terduduk di kerusi. Kedua-duanya kelihatan tidak sedarkan diri.


"Mummy?! Mummy?!" Cermin office yang gelap ditepuk berkali-kali. Berharap mereka yang berada di dalam membuka mata dan mendengar panggilannya.


"Daddy?! Daddy?!" Tombol pintu pula dipulas sehingga mahu roboh. Tetapi semua perbuatannya sia-sia apabila pintu pejabat itu tidak bergerak langsung. Zarul mula panasaran.


Mata kembali liar melihat sekeliling. Api sudah mula membakar keseluruhan kilang dan asap juga semakin tebal. Bila-bila masa sahaja dirinya akan menjadi mangsa sambaran api. Zarul rasa mahu menangis.


"Mummy bangun! Bangun Daddy! Kita kena keluar dari sini!." Jerit Zarul lagi.


Masih tiada suara kedengaran. Zarul menggigit bibir. Dia tiada cara lain. Dia perlu pecahkan pintu atau cermin untuk selamatkan daddy dan mummy. Dengan lafaz bismillah, Zarul menendang pintu bewarna kelabu itu sekuat hati. Tetap tidak menjadi apa-apa. Lagi sekali Zarul menendang, jatuh sebatang kayu yang agak tebal ke arahnya.


"Aduh!" Zarul tidak sempat mengelak. Kakinya dihempap oleh kayu tersebut. Dia akhirnya jatuh tumbang ke lantai. Air mata jantan mula mengalir keluar membasahi pipi. Dia mahu bangun semula untuk selamatkan orang tuanya, tetapi tidak mampu apabila kesakitan di kaki mula mencucuk.


"To... Tolong..." Pada saat itu, dia berharap ada seseorang yang datang membantu dirinya. Membantu keluarganya. Tetapi dia tahu semua itu mustahil. Tatkala mata kembali terpandangkan kayu terbakar yang sekali lagi mula jatuh ke arahnya, Zarul hanya mampu memejamkan mata dan berserah sebelum...


"Hati-hati!" Sebatang tubuh datang memeluk dan melindungi dirinya daripada dihempap. Mata Zarul kembali terbuka. Muncul seorang gadis yang sedang menahan kayu tersebut dengan tangan kiri. Tidak dapat melihat dengan jelas siapa gadis itu kerana wajahnya separuh tertutup.


Ainul mengerahkan sepenuh tenaga menghalang kayu tersebut. Tidak menghiraukan kesakitan di tangan. Mungkin sudah melecur akibat terbakar dek kayu itu, dia tidak peduli. Bersama kekuatan yang ada, Ainul menolak kayu itu jauh daripada mereka.


Kepala ditoleh semula untuk memastikan bahawa lelaki di hadapan berada dalam keadaan selamat. Seketika mata Ainul bersabung dengan mata merah milik jejaka tersebut. 'Dia menangis?' Desis hati Ainul dengan dada mula dihimpit rasa bersalah.


"To... Tolong." Zarul menggenggam tangan si gadis dengan nada merayu. Dia sudah tidak peduli dengan ego lelakinya. Buat masa sekarang, nyawa mereka sekeluarga lebih penting.


"Jangan risau. Saya akan bawa encik keluar dari sini. Saya akan selamatkan encik." Kata Ainul penuh janji. Dia mula mengangkat tubuh jejaka untuk dibawa keluar, tetapi jejaka itu seperti enggan mengikut.


"Tolong selamatkan mak dan ayah aku. Mereka dalam bilik tu." Jelas Zarul lagi.


Pantas Ainul mendudukkan Zarul semula. Dia pergi ke arah bilik yang ditunjuk. Setelah memastikan bahawa memang ada orang di dalam bilik itu, dia mula merempuh pintu pejabat dengan badannya. Berkali-kali tetapi tidak berjaya. Cermin pejabat juga cuba ditumbuk untuk dipecahkan, tetapi tidak boleh. Habis lebam tangan dan bahunya akibat tindakannya itu.


"Saya tak boleh encik. Saya tak kuat. Kita keluar dulu dan minta orang lain tolong." Cadang Ainul dengan wajah berkerut menahan panas. Rasanya sudah merah padam wajahnya akibat bahang dari sekeliling.


"Tak! Aku tak akan pergi selagi daddy dan mummy tak selamat!" Tegas Zarul.


"Tapi encik, nyawa encik pun dalam bahaya sekarang. Saya janji lepas saya bawa encik keluar, saya akan masuk semula selamatkan orang tua encik." Ainul cuba memujuk. Dia sudah gelabah melihat kedegilan lelaki ini.


"Tak nak! Aku tak akan tinggalkan daddy dan mummy aku dekat sini! Tak akan." Zarul mula menepis tangan Ainul kasar. Badan dibawa mengengsot mahu mendekati pejabat daddynya.


"Mummy... Daddy... Please sedar. Kita dalam bahaya sekarang." Bagai anak kecil, Zarul mengongoi bersama juraian air mata.


"Encik? Encik? Pandang saya." Ainul bertindak melekapkan kedua-dua belah telapak tangan pada pipi jejaka itu. Matanya merenung dalam anak mata hitam Zarul.


"Kita keluar dahulu dan minta bantuan orang ramai. Ada ramai orang yang lagi kuat dari saya dekat luar sana. In sha Allah, mereka boleh tolong selamatkan keluarga encik. Hmm?" Ainul bersuara lembut persis seorang ibu sedang memujuk anak kecil.


Zarul diam tidak membalas. Dia masih rasa tidak sedap hati untuk pergi dari situ tetapi, apa yang terzahir dari mulut si gadis adalah betul.


"Kita keluar ya encik?" Lagi dan lagi Ainul terus memujuk. Tangannya kembali mengangkat tubuh Zarul untuk berdiri.


Melihat tiada bantahan daripada jejaka itu, Ainul berasa lega sedikit. Sekurang-kurangnya dia dapat selamatkan seseorang daripada kebakaran ini. Tangan kanan Ainul naik memeluk pinggang Zarul yang tidak berbaju. Mahu menampung berat badan lelaki itu sewaktu berjalan. Akhirnya, setelah bertungkus lumus mengelak dari disambar api, mereka berdua berjaya keluar dari kilang tersebut.


Sebaik sahaja melangkah keluar, pasukan bomba terus mendapatkan Zarul lalu dibaringkan di atas stretcher. Ainul tidak berkata apa, dia mahu masuk semula untuk selamatkan ibu bapa lelaki itu seperti yang dijanjikan. Belum sempat tubuh dibawa mendekati pintu, badannya ditahan seseorang.


"Bahaya Ainul. Kamu buat apa dekat sini?" Ainul memandang gerangan yang menegur dengan pandangan sayu.


"Pak cik Sham! Masih ada orang dekat dalam. Tolong mereka pak cik." Rayu Ainul penuh pengharapan. Habis lencun mukanya dengan peluh dan air mata.


Sham mengangguk faham ke arah Ainul sebelum mengajak beberapa orang pengawai bomba mengikutnya. Ainul hanya mampu melihat dan berdoa semoga Pak Cik Sham dapat selamatkan darah daging lelaki itu. Tanpa dia sedar, ada mata asing sedang merenungnya dari jauh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience