BAB 45

Romance Series 19166

Tok! Tok! Tok! Ketukan di muka pintu bilik mengejutkan lamunan Ainul.


"Eh, mak! Bila mak masuk?"


"Lama dah mak tercongak dekat sini. Kamu tu yang mengelamun entah ke mana." Maria mengambil tempat di atas katil, menghadap Ainul yang sedang duduk di atas kerusi kayu.


"Fikir apa?"


Ainul hanya mampu tersengih seperti kerang busuk. Sejujurnya, dia sedang memikirkan tentang Zarul sekarang. Sejak lelaki itu meluah perasaan terhadapnya, boleh dikatakan saban hari Zarul datang menemui dirinya di meja kerja. Sehingga tercetus desas-desus yang kurang enak didengari dari pekerja-pekerja lain. Dan hari ini pula, lelaki itu muncul lagi sewaktu dia sedang menunggu teksi untuk pulang ke rumah. Lima belas minit juga dia menolak ajakan lelaki itu, tetapi Zarul tetap berdegil mahu menumpanginya.


Sampaikan semua teksi yang ditahan oleh Ainul sengaja dihon bertalu-talu oleh lelaki itu. Membuatkan mereka pergi beredar begitu sahaja. Tidak dapat tidak, Ainul terpaksa juga melangkah masuk ke dalam kereta Zarul tatkala dirinya menjadi tumpuan orang sekeliling. Memalukan sungguh!


"Ainul!" Maria bertindak menyentuh paha Ainul lembut. 'Aku tengah bercakap, dia boleh mengelamun pula budak ni.'


"Ha? Ha... Kenapa mak?"


"Mak tanya... Siapa hantar kamu balik tadi?"


"Erk..." Bebola mata Ainul sudah bergerak ke kiri dan kanan. Dia mula cemas.


"Kawan tempat kerja Ainul." Balas Ainul ringkas. Itu sahaja jawapan yang dia boleh fikirkan waktu ini.


"Mak tak pernah ajar Ainul berbohong." Maria tegas menafikan kenyataan Ainul. Dia kenal sangat dengan sikap anaknya. Kalau dah tergagap-gagap begitu, pasti ada sesuatu yang sedang disembunyikan oleh Ainul.


"Be... Betullah mak, dia kawan tempat kerja Ainul. Kami kerja sekali." 'Kiranya dia tidak berbohonglah kan sebab memang Zarul bekerja di situ juga.' Ainul cuba menyedapkan hati.


"Kawan pakai kereta mewah macam tu?"


Ainul diam.


"Mak bukan budak-budak yang senang digula-gulakan. Bagitahu mak dengan jujur. Siapa lelaki yang hantar Ainul balik tadi? Boyfriend?" Maria mula membuka sesi soal jawab.


"Bukanlah mak! Takkanlah Ainul nak bercinta dengan bos sendiri." Tanpa sedar Ainul sudah terlepas cakap. Dia menggigit lidah dengan wajah cuak. 'Kenapalah mulut ni laju betul menjawab, sampai tak fikir dulu apa yang nak dicakap.' Ainul mula mengutuk di dalam hati. Kepalanya ditundukkan menekur lantai.


"Ohhh, jadi dia bos dekat tempat kerja Ainul lah yer? Bukan main berhantar ke rumah bagai. Dia memang selalu buat macam tu ke untuk pekerja lain?"


Ainul menggeleng kepala.


"Maksudnya dengan kamu sorang?" Tanya Maria lagi. Dia seperti sudah dapat agak apa yang berlaku sekarang.


Kepala Ainul mengangguk. Dirinya tidak ubah seperti budak kecil yang baru lepas dimarahi oleh orang tuanya. Mendiamkan diri mengaku salah.


"Dia sukakan kamu?"


Ainul mengangguk lagi.


"Kot yang kamu basuh hari tu kepunyaan dia lah?" Ada juga Maria pernah bertanya sebelum ini tentang pakaian asing tersebut kepada Ainul. Tetapi apa yang dijawab oleh Ainul sama juga seperti tadi. Kepunyaan rakan sekerjanya.


Lagi dan lagi Ainul mengangguk. Rasa bersalah semakin menggunung di hati.


Maria mengeluh berat. Dia faham kenapa Ainul memilih untuk tidak berterus-terang dengannya. Pasti tidak mahu dirinya rasa susah hati. Namun apa yang dia tidak faham sekarang, kenapa Ainul cuba untuk menyembunyikan status lelaki tersebut.


"Kenapa Ainul tak beritahu mak perkara sebenar? Mak tak kisah kalau kamu nak jalinkan hubungan dengan siapa-siapa sekalipun. Cuma mak harap kamu pandai jaga diri." Pesan Maria membuatkan Ainul mendongak terus memandang wajah emaknya.


"Bukan. Mak dah salah faham. Memang dia sukakan Ainul. Tapi, Ainul dah tolak perasaan dia." Jawab Ainul perlahan. Ada getaran dalam nada suaranya. Ada sedikit rasa kecewa hadir dalam jiwa mendengar ucapan sendiri.


"Kenapa? Kamu tak nak lelaki bekerjaya yang macam tu? Atau kamu dah ada pilihan hati?"


"Tak mak. Cuma Ainul belum bersedia untuk fikir soal hati dan perasaan. Biarlah Ainul bekerja dengan stabil dahulu barulah fikir ke arah lain." Terang Ainul lagi. Dia tersenyum nipis ke arah Maria.


"Hmmm... Yelah. Kalau kamu dah cakap macam tu. Apa lagi yang mak boleh buat kan? Tapi ingat Ainul, kamu tu satu-satunya anak perempuan mak. Teringin juga mak nak tengok hari bahagia kamu sebelum menutup mata. Mesti cantik kan?" Kepala Ainul dibelai dengan mata bersinar. Dia dapat bayangkan wajah berseri Ainul yang kelihatan anggun dalam persalinan busana pengantin. Berjalan beriringan dengan sang suami di sisi. Indah sekali andai dia sempat menjadi saksi pada hari bersejarah anaknya.


"In sya Allah mak. Tiba masanya nanti, Ainul akan jumpa pasangan yang ditakdirkan buat Ainul. Cuma buat masa ni Ainul nak fokus untuk kumpul duit dan bahagiakan mak dahulu." Posisi duduk mula berubah. Ainul mengambil tempat di sebelah emaknya sebelum memeluk bahu tubuh tua itu.


Mereka mendiamkan diri beberapa saat. Menikmati ketenangan malam bersama, sebelum Ainul kembali membuka mulut.


"Mak..."


"Hmm?"


"Mak rindu ayah?"


Maria sedikit tersentak, namun dijawab juga soalan anaknya.


"Mestilah rindu. Dia kan buah hati mak."


"Ainul pun rindukan ayah. Kalaulah ayah masih hidup... kita... mesti tak perlu pindah ke sini kan? Mesti ayah akan paksa Ainul cari kerja dekat Kedah sahaja." Terselit sedikit nada sayu dalam suara Ainul.


Maria mengangguk perlahan. Dia bersetuju dengan kata-kata Ainul. Edzhar memang selalu begitu. Mengingatkan mereka agar tidak meninggalkan rumah tersebut kerana terdapat banyak memori yang tersimpan di sana. Tetapi memandangkan keadaan memaksa, Maria terpaksa juga membawa Ainul keluar dari rumah itu. Untuk melarikan diri daripada terus diganggu dan dihimpit dengan peristiwa masa lalu.


"Kenapa Ainul tiba-tiba bangkitkan soal ayah?" Maria pelik. Tidak pernah-pernah Ainul bersuara tentang Edzhar sebelum ini.


"Saja. Mungkin sebab dah lama kita tak balik jenguk kubur ayah." Ainul mengangkat kepala. Matanya merenung Maria penuh pengharapan.


"Kamu nak balik Kedah?"


Perlahan-lahan Ainul mengangguk. Entah mengapa rindunya kepada Edzhar semakin menebal dari hari ke hari.


Maria mula menayang wajah risau. Sejujurnya, dia juga mahu pulang melihat kubur suaminya. Pasti sudah naik rumput dan daun-daun liar di atas kubur itu. Dan entah bagaimanalah keadaan rumah yang ditinggalkan. Harapnya Sham adalah tengok-tengokkan juga rumah itu selama ketiadaan mereka. Namun, apa yang membuatkan hatinya memberat untuk pulang sekarang adalah Ainul. Kuatkah anaknya untuk membuka semula lembaran yang sudah lama ditinggalkan di belakang?


"Mak risaukan Ainul?"


"Ibu mana yang tak risau dengan anaknya."


"Trust me. Ainul boleh hadapi semua tu." Pipi Maria dibelai lembut. Cuba menyalurkan keyakinan buat hati tua emaknya.


"Kamu yakin?" Mata Ainul direnung tidak percaya. Hatinya masih ragu-ragu untuk membuat keputusan.


"Lima tahun mak. Lima tahun kita bawa diri. Takkanlah Ainul masih tak boleh move on. Ainul yakin. Mak tak perlu risau. Lagipun kita cuma balik untuk melawat kubur ayah. Mesti dia sedih sebab anak dan bini dia tak datang bertahun-tahun." Ainul cuba memujuk. Hanya doa yang dia mampu sedekahkan buat ayah tercinta dari jauh selama ini.


"Baiklah kalau kamu dah cakap macam tu." Akhirnya Maria bersetuju. Dia berharap kepulangan mereka tidak diketahui oleh Zarul Akhtar. Dia takut lelaki itu akan datang mengganggu hidup anaknya lagi.


"Yeah!!" Tubuh Maria kembali dipeluk erat.


"Nanti Ainul minta cuti. Kalau bos Ainul izinkan, baru Ainul bagitahu mak ok?" Gembira Ainul berceloteh. Menzahirkan satu senyuman simpul di bibir Maria.


"Mestilah dia bagi. Buah hati dia kan minta cuti." Sempat lagi Maria kenakan Ainul. Dia tertawa saat Ainul menyangkan wajah cemberut kepadanya.


"Mak ni. Kan orang dah cakap kami tak ada hubungan apa-apa."


"Sekarang memang tak ada apa-apa. Mana tahu suatu hari nanti tiba-tiba dia jadi suami kamu. Jangan benci sangat. Takut tersuka pula." Maria sudah bangun dari duduk berjalan ke muka pintu. Dia mahu menelefon Sham mengkhabarkan rancangan mereka untuk pulang. ke Kedah.


"Tak mungkinlah mak..." Perlahan Ainul membalas. Antara dengan dan tak dengar sahaja.


"Dah, mak nak pergi telefon Pak Cik Sham kamu. Kamu tu jangan tidur lewat sangat. Takut tak terbangun pula esok nak pergi kerja." Sempat Maria berpesan sebelum pintu bilik Ainul ditutup rapat. Ainul hanya membalas dengan anggukkan.


Setelah kepergian Maria, Ainul menghempaskan tubuhnya dengan kasar menghadap siling bilik.


'Sekarang memang tak ada apa-apa. Mana tahu suatu hari nanti tiba-tiba dia jadi suami kamu. Jangan benci sangat. Takut tersuka pula.' Suami? Zarul Akhtar suaminya? Ainul tergelak sinis.


"Bahagiakah hubungan itu jika benar-benar terwujud suatu hari nanti? Rasanya, muka aku pun dia tak nak tengok kalau tahu hal sebenar." Ainul berdesis seorang diri. Lama-kelamaan, kelopak matanya menjadi layu bersama persoalan yang sarat di dalam fikiran.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience