"Ainul, Kak Siti nak pergi tandas sekejap. Boleh tak Ainul tolong berikan salinan chart ni kepada Tuan Aiman?" Tertunduk-tunduk Kak Siti bercakap dengan Ainul. Perutnya terasa pedih. Panggilan alam sudah menyeru sejak tadi. Rasanya ini dah masuk kali ketiga dia berulang-alik ke bilik air.
"Sakit perut lagi?" Ainul memandang kasihan. Dia juga naik buntu mahu tolong macam mana. Hanya mampu menyuakan minyak angin kepada Kak Siti.
"Kak Siti dah tak tahan." Tergawang-gawang tangan Kak Siti di udara sebelum dia berlari laju menuju ke bilik air.
Baru sahaja Ainul mahu bangun dari duduk, Kak Siti kembali menepuk mejanya. "Lupa Kak Siti nak cakap. Tuan Aiman ada dekat bilik bos, tingkat empat. Tolong ya Ainul." Serentak itu berdesup Kak Siti menghilangkan diri, kembali ke bilik air.
Berdebar pula rasanya apabila mengingatkan yang dia mungkin bakal berjumpa dengan bos besar syarikat ini buat pertama kali. Daripada gossip yang dia dengar dari Kak Siti dan pekerja lain, katanya mood bos tidak berapa elok sejak kejadian serangan laman web company minggu lepas.
"Tenang Ainul... Kau pergi untuk jumpa Tuan Aiman, bukan bos besar. Kau tak perlu takut. Lepas kau bagi chart ni, kau boleh blah terus." Hati cuba ditenangkan sebaik mungkin. Takut dia bakal terkena tempias kemarahan bos.
Apabila kaki semakin menghampiri bilik besar yang terletak di penjuru ruangan, dia cuba kuatkan semangat. Wajah cuba berlagak tenang seperti tiada apa-apa yang berlaku.
"Ha, kau buat apa dekat sini? Datang jumpa aku ke?" Teguran itu membuatkan Ainul berpaling sepenuhnya ke kanan. Dilihatnya Sofia sedang duduk menongkat dagu dengan kedua-dua belah tangannya.
Lupa pula Ainul, ulat beluncas itu bekerja sebagai PA bos. "Aku datang nak hantar kertas ni dekat Tuan Aiman. Kak Siti cakap Tuan Aiman ada dekat dalam." Suara cuba dibuat agar tidak kedengaran menyampah apabila bersembang dengan Sofia. Dia harus professional dan tidak membiarkan masalah peribadi mengganggu kerjanya.
"Ohh, masuklah." Ringkas Sofia menjawab. Terselit nada kecewa sikit. Ingatkan Ainul datang mahu mengajaknya lunch atau bergossip.
Dengan tarikan nafas berat, Ainul mengangkat tangan mengetuk pintu. Apabila mendengar suara seseorang menyuruhnya masuk, pantas tombol pintu dipulas dengan dada berdebar. Ruang bilik yang luas mula menjamah mata.
Luas dan kelihatan elegen dengan warna putih. Di hadapannya terdapat set sofa bewarna hitam dan meja kaca yang terletak di tengah-tengah. Mata mula digerakkan ke kanan. Ada rak kayu setinggi siling yang melekat di dinding menempatkan pelbagai jenis fail pada setiap slot. Dan di hadapan rak tersebut ada meja kayu besar. Semestinya meja bos.
Mata Ainul terhenti pada kerusi kulit yang sedang membelakanginya menghadap ke tingkap kaca besar. Ada satu susuk tubuh sedang duduk di atas kerusi itu. Dan dia pasti tubuh itu bukan milik Tuan Aiman. 'Aduh, mana Tuan Aiman pergi?' Kelibat Tuan Aiman tidak pula kelihatan di mana-mana.
"Yes?" Zarul memusingkan kerusi apabila tetamu yang masuk ke biliknya itu tidak bersuara. Alangkah terkejutnya Zarul saat matanya terpandangkan wajah Ainul berdiri di tengah-tengah ruangan biliknya.
Terasa berpasir air liur yang ditelan Ainul. Jantung yang sudah berdebar sejak tadi terasa mahu pecah. Dia terundur ke belakang sambil memeluk erat kertas di tangan. "Zarul Akhtar?" Bibir mula menyeru nama lelaki itu dengan perlahan tetapi masih boleh didengari oleh Zarul.
"Yes? Why you look so surprised? Bukan kau datang sini untuk jumpa aku?" Zarul tertanya-tanya. Sepatutnya dia yang terkejut dengan kehadiran Ainul yang tiba-tiba, tetapi kenapa terbalik pula.
"N.. No. Saya datang nak jumpa Tuan Aiman." Fikiran Ainul sudah mula memikirkan sebarang kemungkinan. Kemungkinan yang dia harap semua itu tidak betul. Kemungkinan bahawa Zarul Akhtar merupakan...
Tatkala Ainul membaca ukiran nama Zarul beserta jawatannya pada name plate yang terletak di atas meja, tahulah Ainul bahawa semua kemungkinan yang bermain dalam otaknya adalah betul. Zarul Akhtar merupakan bos di sini. Zarul Akhtar adalah CEO Elegance & Beauty Cosmetic!
"Awak bos dekat sini?!" Lancar sahaja soalan itu terpancul keluar dari mulut Ainul. Matanya sudah membesar merenung wajah Zarul.
"Ha?" Zarul menayang wajah keliru. Takkanlah Ainul tak tahu yang dia president syarikat ini? Melihat wajah terpana yang dipamerkan Ainul, tahulah Zarul bahawa Ainul tidak main-main. Gadis itu memang tidak tahu tentang jawatan yang disandangnya. Zarul bingkas bangun dari kerusi lalu berjalan membawa diri ke hadapan meja.
"Dah hampir sebulan kau dekat sini, kau masih tak tahu aku bos kau?" Rasa kelakar pula apabila memikirkan hal itu. Nampak sangat Ainul tidak mengambil tahu tentang hal syarikat. Tidakkah gadis itu bertanya kepada sesiapa tentang siapa dirinya yang sebenar?
"Tak mungkin! Awak sepatutnya CEO kepada K&L, bukan syarikat ini." Kepala Ainul sudah tergeleng-geleng tidak percaya. Tidak dapat menerima hakikat yang baru didengar.
Mati terus senyuman Zarul mendengar nama yang disebut Ainul. K&L adalah satu nama yang dia cuba kuburkan sejak tujuh tahun dahulu. Hanya kenalan rapat sahaja yang tahu tentang nama itu. Malah, pekerja di sini juga tidak pernah menyebut tentang nama itu di hadapannya. Jadi, bagaimana? Bagaimana Ainul tahu tentang K&L. Bukankah gadis itu bermati-matian menafikan bahawa mereka pernah berjumpa dahulu?
Sedar diri sudah terlanjur kata, Ainul kalut sendiri. Dia nampak perubahan wajah Zarul. Pantas sahaja dia berjalan menuju ke meja kopi dan meletakkan kertas yang digenggam di situ. "Nampaknya Tuan Aiman tak ada sekarang. Saya letak chart ni dekat sini." Ainul berkata sambil membelakangi Zarul. Dia harap Zarul tidak membuka mulut menyoalnya macam-macam.
Namun, harapan hanya tinggal harapan. Saat tubuh berkalih mahu berlalu ke pintu, Zarul sudah terpacak tegak di hadapannya. Nasib baik kaki sempat dibrek, kalau tidak pasti mukanya tersembam di dada lelaki itu. Ainul mendongak memandang Zarul yang sudah merenungnya tajam.
"Macam mana kau tahu tentang K&L? Siapa kau sebenarnya?" Terasa desah nafas lelaki itu menampar wajahnya. Ainul mula berundur ke belakang sambil otak ligat berfikir mencari jawapan yang sesuai.
Setapak Ainul berundur, setapak juga Zarul maju ke hadapan. Sehinggalah belakang badan Ainul dihadang oleh dinding. Zarul bertindak melekapkan tangan kanannya pada dinding, tepi kepala Ainul. Menghalang Ainul daripada melarikan diri.
"Saya... Saya... " Mata Ainul sudah berkaca-kaca. Dia rasa mahu terjun keluar tingkap sekarang. Mahu menghilangkan diri dari pandangan mata helang Zarul.
"Hanya orang yang kenal aku sejak tujuh tahun lepas tahu tentang K&L. Maksudnya kita sudah berjumpa sejak tujuh tahun lepas. Tetapi kenapa aku tak ingat tentang kau?" Tangan kiri pula naik mengepung Ainul.
"Jadi, Ainul... Bagitahu aku semuanya." Zarul makin mendesak. Dia tak akan lepaskan Ainul selagi tidak mendapat jawapan yang diingini.
"Saya... Saya tak boleh. Saya betul-betul tak boleh." Kenyataan itu pula terlepas dari mulut Ainul. Zarul perasan bibir pink itu sudah tercebik-cebik menahan tangis.
"Kenapa? Apa yang terjadi antara kita sebenarnya sampai kau nak berahsia macam ni sekali?" Lagi dan lagi Zarul mendesak.
Akhirnya, menitis jua air mata Ainul di hadapan Zarul. Soalan lelaki itu tadi membuatkan dia terkenangkan dosa yang telah dia lakukan. Membuatkan kekesalan dalam hatinya semakin menebal.
Terpana. Automatik tubuh Zarul terundur menambahkan jarak antara mereka. Dia tidak menyangka bahawa dirinya sudah mendesak Ainul sehingga membuatkan gadis tersebut menangis. Sudahlah Ainul takut akan dirinya sebelum ini. Rasa bersalah mula bertamu jauh di lubuk hati Zarul.
"Ainul, aku..." Zarul mahu memujuk, namun tindakannya terhenti apabila pintu bilik ditolak dari luar.
"Sorry Zarul, aku lam..." Aiman memandang Zarul dan Ainul bersilih ganti. Ainul dengan mata memerah dan Zarul dengan wajah serba salah.
"What happened here? Aku salah timing ke?" Aiman dapat rasakan aura tegang dan kekok mula memenuhi ruang bilik.
Tidak berkata apa, Ainul terus berlari-lari anak keluar dari bilik Zarul. Sedikit sebanyak dia berterima kasih kepada Aiman yang muncul pada saat-saat genting. 'Oh Tuhan! Jauhilah dia daripada aku selepas ini.' Tanpa Ainul sedar, ada mata yang memandangnya berlalu pergi dengan pandangan tajam.
Share this novel