September 2021
Bagunan tinggi yang terbentang di hadapan mata dipandang penuh teruja. Ainul menarik dan menghembus nafas berkali-kali cuba mengusir rasa gementar dalam hati. Setelah berasa yakin, dia mula menapak masuk ke dalam bagunan itu dengan satu semangat. Semangat untuk mendapatkan kerja.
"Ya cik? Cari siapa?" Tegur seorang wanita dengan wajah manis di kaunter penyambut tetamu.
"Saya datang untuk interview kerja." Kata Ainul dengan ramah.
"Sebentar ya cik." Balas wanita itu sebelum mengangkat gangang telefon dan mendail nombor seseorang. Sempat Ainul merenung personaliti wanita itu yang kelihatan cukup bergaya dalam persalinan baju kerjanya.
'Cantik dan nampak matang.' Puji Ainul dalam hati. Tiba-tiba dia merasa kerdil pula berada di situ. Semua pekerja di sini nampak sungguh high class. Tidak seperti dirinya yang hanya mengenakan baju kurung bewarna pink dan tudung bawal yang dililit simple di atas kepala juga dari rona warna yang sama.
"Cik boleh naik ke tingkat tiga. Nanti akan ada orang bawa cik pergi bilik interview. Lif sebelah sana." Arahan lembut yang keluar dari mulut wanita itu mematikan khayalan Ainul. Dia memandang ke arah yang ditunjukkan sebelum mengucapkan terima kasih dan berlalu dari situ.
Melihatkan pintu lif yang hampir tertutup membuatkan Ainul tergopoh-gapah berlari. Nasib baik dia sempat menahan dengan tangannya dan laju sahaja memboloskan diri ke dalam. Fail di tangan dibawa rapat ke dada dan butang nombor tiga ditekan. Seketika hidungnya terbau wangian maskulin yang mula memenuhi ruangan lif tersebut.
Ainul pantas mengangkat wajah dan terpampanglah satu figura tubuh sedang berdiri di belakangnya dari pantulan dinding lif. Hanya samar-samar tetapi Ainul tahu orang itu adalah lelaki. 'Macam mana aku boleh tak perasan ada orang lain dalam lif ni? Mesti dia nampak aku gelabah macam biawak tadi.' Ainul mengetuk kepalanya memikirkan kebodohan sendiri.
Setibanya di tingkat tiga, Ainul melangkah keluar dengan perasaan gemuruh. Bohonglah kalau dia tidak merasa gugup untuk menghadiri sesi temuduga ini. Sejak semalam lagi dia tidak tidur lena kerana memikirkan tentang nasibnya sewaktu sesi interview itu berlangsung. Harapannya janganlah mereka menyoal perkara yang dia tidak tahu.
Namun, baru sahaja beberapa tapak menjauhi lif, Ainul mendengar namanya seolah-olah diseru dari belakang. Cukup perlahan seperti hembusan angin lalu.
"Ainul Liyana..."
Ainul terkedu. Kepala ditoleh pantas dan apa yang dapat dilihat hanyalah tubuh lelaki yang menaiki lif bersamanya tadi. Tinggi dan berbadan tegap. Pandangan mata Ainul naik perlahan untuk mengamati wajah empunya badan sebelum lif tertutup rapat. Ainul termangu sendiri memandang lif yang sudah menuju ke tingkat empat. Wajah itu! Dia tidak pasti tetapi rasanya wajah yang baru dilihat persis...
"Perasaan aku je kot." Ainul cuba menyedapkan hati. Dia mengusir jauh satu nama yang singgah dalam kepalanya. Terasa kelat air liur yang ditelan.
"Cik datang untuk interview?" Sapaan itu menyentak batang tubuh Ainul. Ainul mengangguk kepala kepada seorang lagi wanita cantik yang menegurnya. 'Siti'. Tag nama yang menghiasi dada baju wanita itu dibaca.
"Ikut saya."
Tidak bertanya lebih, Ainul hanya membontoti langkah Siti melepasi pintu kaca. Sesekali matanya menoleh ke arah lif semula dengan seribu satu pertanyaan.
MENDENGAR sahaja derap kaki bos melintas, semua pekerja mula beredar ke tempat duduk masing-masing. Tidak mahu dipanggil curi tulang mahupun mengambil kesempatan. Tidak mahu membangkitkan kemarahan bos yang sudah diketahui dengan sifat tegasnya.
Zarul Akhtar hanya menayangkan wajah tanpa riak. Dia berjalan penuh berkarisma menuju ke bilik kerjanya yang terletak di hujung sudut. Badan dihempas kasar atas kerusi kulit dan pandangan dibawa merenung ke arah jalan raya di luar tingkap.
"Ainul Liyana..." Nama itu tidak henti-henti meniti di bibir Zarul. Masih terbayang wajah manis gadis itu merenungnya dengan penuh tanda tanya sewaktu dia menyebut nama itu. Ya! Memang dia yang menyebut nama itu tadi apabila terpandangkan profile gadis itu di dalam fail lutsinar yang dipegang.
"Nama kau sangat familiar dengan aku." Zarul mula memusing pen di tangan. Otak dikerah sehabis mungkin untuk mengingat kembali kalau-kalau wajah itu pernah ditemuinya sebelum ini. Tetapi hampa. Dia tidak ingat langsung wajah jelita itu.
"Ainul... Ainul..."
"Hoi!!" Tepukan kuat di atas meja membuatkan Zarul terlompat dari kerusi. Terasa mahu gugur jantung apabila disergah begitu. Membuntang matanya merenung insan yang entah bila sudah terpacak di hadapan meja.
"Apahal kau? Aku ketuk pintu tak jawab. Masuk-masuk tengok kau tengah bercakap sorang-sorang. Kau okay ke tak ni?" Aiman bertindak memegang dahi Zarul. Ingin memastikan sepupunya itu berada dalam keadaan baik-baik sahaja.
"Tak ada apa lah. Aku cuma hilang fokus sekejap. Ada benda ganggu fikiran aku. Kau kenapa datang sini?" Zarul menepis tangan Aiman dan menyuruh jejaka itu duduk dahulu.
"Nih, dokumen berkaitan product baru yang kita bakal launching nanti. User experience, effect and defect semua aku letak dalam ni. Kau bernasib baik cause the quality turned out as good as we expected." Dokumen diserahkan kepada Zarul. Sekilas Zarul membelek helaian demi helaian di tangan. Dia mengangguk berpuas hati dengan hasil kerja Aiman.
"Dan lagi satu. Aku dah recruit seorang pekerja baru under aku. Perempuan. Aku baru lepas interview dia." Jelas Aiman lagi sambil menarik kerusi untuk duduk.
"Ainul Liyana?" Laju sahaja Zarul bertanya. Dia yakin gadis itu datang ke sini untuk interview kerja.
"Wow, aku impressed sekejap." Tak jadi Aiman melabuhkan duduk. Dia membongkok badannya ke hadapan, mendekatkan wajah kepada Zarul bersama senyuman nakal.
"Macam mana kau tahu?" Tanya Aiman bersama kening terjongket.
"Aku terserempak dengan dia dalam lif tadi. Kau tak payah nak fikir bukan-bukan." Zarul menepuk dahi Aiman dengan kuat. Dia menekan bahu Aiman untuk kekal duduk di atas kerusi.
"Terserempak atau mengurat. Siap tahu nama penuh lagi?" Tak habis-habis Aiman mengusik.
"Malas aku nak layan kau." Zarul cuba untuk kembali fokus dengan kerja di hadapan. Dia mula menaip sesuatu di komputer ribanya. Sesekali tangan naik mencoret dan menulis maklumat tambahan pada dokumen yang diserahkan Aiman tadi.
"Not badlah." Komen Aiman secara tiba-tiba.
"Ha?" Berkerut dahi Zarul mendengar semua itu. 'Apa yang not badnya? Aku rasa aku tak cakap apa-apa pun tadi.'
"Perempuan tu. Ainul Liyana." Jelas Aiman seakan faham dengan persoalan yang bermain dalam fikiran Zarul.
"Ohh... hmmm." Zarul hanya mengiyakan. Dia berpura-pura tidak melayan Aiman dan terus memberikan tumpuan pada kerja.
"Itu sahaja respond kau?" Soal Aiman tidak berpuas hati.
"Haih. Habistu kau nak aku bagi respond macam mana? Dia cantik, cute and nampak ayu bertudung. Macam tu?" Zarul membalas jengkel. Kecik besar kecik besar sahaja Aiman pada pandangannya sekarang.
Ketawa besar Aiman mendengar jawapan itu. Melihat wajah masam Zarul, lagilah membuatkan tawanya semakin galak sampai terkeluar air mata.
"Jangan nak seronok sangat. Ambil ni balik. Aku dah approve and tambah apa yang patut. Kau boleh bagi pada marketing and sales department untuk buat promotion." Arah Zarul sebelum menyerahkan kembali dokumen di tangan.
Aiman mengesat air mata dan menyambut huluran itu. Tawanya masih bersisa. Dia bingkas bangun berjalan menuju ke pintu, ingin menjalankan tugas yang diarahkan oleh Zarul.
"Jangan lupa lunch sekali nanti." Sempat Aiman berpesan. Belum lagi tubuhnya melepasi pintu, dia berkalih semula.
"Oh ya. Terlupa pula. 'Not bad' yang aku maksudkan tadi merujuk kepada resume dan experience dia. Bukan wajah dia." Kata Aiman dengan selamba. Sempat dia melambai ke arah sepupunya itu sebelum menutup pintu. Suka kerana dapat mengenakan Zarul kali ini.
Berona merah wajah Zarul apabila sedar dia sudah terperangkap dalam soalan Aiman sebentar tadi. Macam manalah dia boleh terfikir bahawa komen sepupunya itu terarah pada rupa paras, padahal sah-sah lelaki itu merujuk kepada resume yang membuatkan gadis itu diterima kerja. 'Apa kena dengan kau ni, Zarul?' Lagi Zarul berbisik dalam hati sambil kembali membuang pandang ke luar tingkap.
Share this novel