Sudah dua minggu Ainul berbakti di syarikat Elegance & Beauty. Selama dua minggu itu juga kehidupannya terasa agak tenang tanpa kehadiran wajah yang dia tidak mahu lihat. Bukannya tidak terserempak langsung, namun dirinya yang mengelak daripada bertembung empat mata dengan Zarul. Jika dia melihat Zarul berjalan masuk ke dalam office mereka, dia akan memencilkan diri di meja. Takut untuk bergerak kerana tidak mahu kejadian tempoh hari berulang lagi. Dan jika dia melihat Zarul memasuki lif, dirinya sanggup berpeluh menaiki tangga asalkan tidak berada dalam satu ruang dengan jejaka itu.
Tetapi hari ini, dia dapat merasakan ketenangannya bakal digugat pergi dengan kehadiran perempuan yang boleh dikatakan musuhnya sejak sekolah menengah. Terpacak dan menayangkan wajah jengkel di hadapan meja kerjanya.
"Kau dengar tak apa aku cakap?" Suara halus Sofia melantun masuk ke dalam lubang telinga. Siap dengan tangan yang terawang-awang ke udara. Cuba menyedarkan dirinya yang sedang berkhayal.
"Ha?" Sejujurnya, Ainul tak dengar langsung apa yang disampaikan Sofia sebentar tadi.
Sofia mengeluh bosan. Rasa mahu sahaja diketuk kepala Ainul yang suka mengelamun jauh. 'Aku dah macam orang gila terang dekat dia tadi, boleh dia tak dengar?' Hati Sofia mula menggerutu geram.
"Orang datang kerja buat kerja, bukannya berangan. Kalau nak berangan baik tak payah datang, ramai lagi orang dekat luar sana yang nak position kau!" Selar Sofia sambil meletakkan timbunan fail di atas meja Ainul dengan kasar.
Ainul sekadar diam menerima tohmahan itu. Sedar jawatan yang disandang Sofia lebih tinggi dan kerap berurusan dengan bos, membuatkan dia hanya menelan bulat-bulat kemarahan Sofia. Maunya perempuan itu mengadu pada bos nanti, habislah dia. Lagipun, salahnya juga membuatkan gadis itu marah.
"Dengar elok-elok. Aku suruh kau tulis balik semua laporan ni dalam word. Tapi jangan asal tulis je, check sekali grammar and types of chemical yang disenaraikan. Sebab kadang-kadang orang yang buat laporan ni dia pakai hentam sahaja tulis nama chemical salah, asalkan siap cepat." Arah Sofia penuh berwibawa. Panas juga hatinya apabila mengenangkan balik laporan yang dihantar padanya sebelum ini selalu tidak lengkap dan banyak kesalahan.
"Ni, senarai chemical untuk kau rujuk. Pastikan siap hari ni sebab aku nak hantar pada bos esok." Kata Sofia lagi.
"Tapi, ini kan kerja kau. Kenapa kau suruh aku pula?" Tanya Ainul tidak puas hati. Bukan satu dua fail yang diberi, banyak! Dan setiap satu fail itu terselit beberapa keping kertas. Memang sengaja betul perempuan ni.
"Sebab... " Sengaja Sofia meleretkan suaranya. Wajah terus dihiasi dengan senyuman sinis, mengejek ke arah Ainul.
"Aku tak boleh tengok kau hidup senang. Aku nampak kau selalu balik awal. So, why not hari ini kau berkorban masa untuk aku pula." Mata Sofia sengaja dikerdip berkali-kali. Membuat muka comel kepada Ainul.
"Kau..." Jari telunjuk Ainul mula naik tearah pada mata Sofia. Suaranya tertahan-tahan cuba mengawal amarah di dalam hati.
"Oh!" Jam tangan dipandang, pura-pura terkejut.
"Aku dah lambat dinner malam ni. Tolong eh Ainul." Dengan selamba, Sofia berlalu pergi meninggalkan Ainul terkebil-kebil.
"Sofia!" Dia menjerit nama itu penuh kegeraman. Tidak terlalu kuat kerana tidak mahu didengari oleh pekerja lain. 'Lambat tengkorak kau, baru pukul tiga setengah petang sekarang.'
"Adios." Dan tubuh langsing itu hilang dari pandangan.
Badan dihempas kasar ke atas kerusi. 'Tak guna kau Sofia. Tunggu kau, aku patahkan lipstik mahal yang kau selalu pakai tu. Padan muka!' Bebel Ainul dalam hati. Marah-marah pun, fail di atas meja tetap dibuka dan dibelek sekilas. Cuba memahami isi kandungan laporan tersebut.
Ainul tersenyum senang apabila dia perasan tulisan tangan itu tidaklah sesusah mana untuk difahami. Masih boleh dibaca. Tanpa membuang masa, Ainul mula melakukan tugas yang disuruh Sofia. Dia mahu cepat-cepat selesaikan kerjanya dan ingin pulang awal ke rumah.
Ktik! Ktik! Ktik! Bunyi papan kekunci ditekan semakin laju. Sesekali Ainul mengeliat meregangkan otot bahu dan leher yang terasa sengal. Ruang pejabat mula kosong tanpa kehadiran sesiapa kerana sudah melepasi waktu kerja. 'Dah pukul enam. Ada dua lagi belum siap. Tak apa, sempat ni. Nasib baik aku tak boleh solat.' Ainul bermonolog sendiri. Dia kembali fokus dengan kerjanya.
Sedang asyik dia menaip, tiba-tiba ada satu tangan kekar muncul dari sebelah, bertindak mengambil fail di atas meja. Ainul sedikit tersentak dengan kemunculan itu. Pantas kepala menoleh melihat insan yang telah mengganggu fokusnya.
"Oh!" Tindakan refleks. Ainul terbangun dari duduk sehingga kerusi roda yang diduduki tertolak kuat ke belakang. Bukk! melanggar dinding. Badan pula digerakkan ke tepi menjauhi insan tersebut.
"Rileks. Ni aku." Zarul tertawa halus. Tidak menyangka kehadirannya boleh membuatkan Ainul terkejut bukan kepalang.
Ainul diam tidak membalas. 'Sebab aku nampak kaulah aku tak boleh rileks. Buat apa datang sini? Tak boleh ke biar aku kerja dengan tenang?' Tetapi kutukan itu hanya mampu bergema di dalam hati. Untuk berkata depan-depan, dia memang tidak berani. Tengok mata sahaja pun sudah mahu menangis, inikan pula mahu memaki jejaka itu.
"Aku nampak kau buat kerja sorang-sorang tadi. So, aku datang nak tengok. Mana tahu boleh tolong." Jelas Zarul tanpa dipinta. Fail ditangan masih dibelek bersama dahi berkerut.
"Tak apa. Saya boleh buat sendiri." Laju Ainul menolak. Dia hanya melihat ke arah komputer di atas meja.
"Aku tahu kau akan jawab macam tu." Zarul membidas.
Jeda seketika. Ainul masih membatukan diri dan Zarul masih setia membaca fail di tangan. Sesekali kepala terangguk-angguk, faham dengan apa yang dibaca.
"Biar aku tolong. Cepat sikit siap kerja kau." Kepala menoleh memandang Ainul.
"Tak ap... "
"Let me help you Ainul, atau aku tak bagi fail ni dekat kau balik." Nada tegas mula keluar dari mulut Zarul. Dia tak faham dengan Ainul. Ainul nampak takut dengan dirinya tetapi gadis itu berani melawan kata.
Ainul mula rasa serba salah. Memang dia mahu siapkan kerja dengan cepat. Tetapi jika diberi pilihan, dia tidak mahu menerima pertolangan dari Zarul. Lagipun, boleh sahaja dia siapkan sorang-sorang.
Melihatkan Ainul masih diam tidak menjawab, Zarul mula menghela nafas panjang. "Look! Aku duduk sini okay? Aku baca, kau taip." Zarul menarik kerusi di meja Kak Siti sebelum melabuhkan duduk. Ainul hanya memandang.
"Ainul..." Lembut dan cukup gemersik Zarul menyebut nama itu dengan pandangan tajam. Menyuruh Ainul duduk dan menyambung kerja semula.
Tidak dapat tidak, Ainul kembali duduk di kerusi. Ainul di hujung kiri dan Zarul di hujung kanan. Hati cuba ditenangkan. Demi kerja yang ditinggalkan Sofia, dia perlu hadap juga wajah Zarul.
Zarul mula membaca bait-bait perkataan yang tertulis di dalam fail. Manakala Ainul menaip dengan laju apa yang dibaca oleh Zarul. Sesekali Zarul perlu mengeja nama chemical yang tidak pernah didengar oleh Ainul sebelum ini. Siap dengan penerangan lagi supaya Ainul lebih faham.
Setelah bertungkus lumus selama sejam, akhirnya berjaya juga Ainul siapkan laporan tersebut. Tinggal untuk save dan diletakkan dalam satu folder sahaja supaya senang dicari apabila diminta oleh Sofia esok. Hujung bibirnya mula tersungging dengan senyuman puas. Tanpa Ainul sedar, kelakuannya diperhatikan oleh Zarul.
'First time aku nampak kau senyum.' Desis hati Zarul teruja. Dia ralit merenung sinar mata itu yang bercahaya terkena pantulan skrin komputer. Bibir merah yang tersenyum manis membuatkan lekuk pipinya naik menolak mata menjadi sepet. Cukup manis.
Apabila sedar diri terlanjur merenung anak dara orang, Zarul berdehem menutup debaran di hati. Dia kembali menyusun fail di atas meja Ainul. Dilihatnya Ainul sudah berkemas untuk pulang.
"Kau datang kerja dengan apa?" Prihatin Zarul bertanya.
"Teksi." Sepatah Ainul menjawab. Dia dapat mengagak apa yang bakal dikatakan Zarul nanti.
"Kalau macam tu, biar aku han..."
"Saya minta diri dahulu. Terima kasih sebab tolong saya tadi." Laju Ainul memintas. Siap membongkok sembilan puluh darjah ke arah Zarul. Tanpa menunggu balasan Zarul, terus sahaja dia meninggalkan ruang pejabat menuju ke lif.
"Eh, Ainul!" Tidak sempat Zarul menahan, Ainul sudah meninggalkannya seperti lipas kudung. 'Dia ni nampak betul takut dengan lelaki.' Tergeleng-geleng kepala Zarul melihat telatah Ainul. Langkah kaki dibawa menuju ke arah surau. Mahu menunaikan tanggungjawab kepada yang maha Esa.
Share this novel