"Dah nak balik?" Aiman menyandarkan badan di meja Sofia dengan penuh santai. Memandang Sofia yang sedang kalut mengemas barang.
"Haah, ada hal aku kena settle." Mendatar sahaja Sofia membalas. Tidak perlu berbahasa formal memandangkan waktu pejabat sudah habis. Lagipun dia memang tidak rapat sangat dengan Aiman. Hubungan mereka hanya sekadar rakan sekerja sahaja, tidak lebih dan tidak kurang. Walaupun Aiman dianggap seperti adik kandung kepada Zarul, tetapi Sofia masih tidak suka bergaul dengan lelaki itu. Dia pun tidak tahu kenapa. Mungkin kerana dia tidak mengenali Aiman selama mana dia mengenali Zarul.
"Mana bos kesayangan kau? Aku tak nampak pun selepas waktu lunch tadi?" Kepala Aiman sudah terjenguk-jenguk ke dalam bilik Zarul. Berkali-kali dia cuba menghubungi Zarul, tetapi satu panggilan pun tidak berjawab. Tertanya-tanya juga ke mana Zarul menghilangkan diri.
"No idea. Dia keluar semula lepas makan tengah hari and sampai sekarang belum balik. Mungkin dah tak masuk office." Tisu basah dibawa mengelap meja kerja sehingga bersih. Sofia memang begitu. Selalu memastikan tempat kerjanya kelihatan rapi dan teratur sebelum meninggalkan pejabat.
"Hai, bukan kau PA dia? Selalu melekat dua puluh empat jam, takkan kau tak tahu?" Sebelah kening Aiman terjongket tinggi. Terhenti segala pergerakkan Sofia. Dia bercekak sebelah pinggang sambil memandang Aiman.
"Bukan kau sepupu dia? Selalu balik dan lunch sekali, takkan kau tak tahu?" Penuh sinis Sofia memulangkan paku buah keras. Bukannya dia isteri Zarul untuk menjaga lelaki itu dua puluh empat jam.
Aiman hanya buat tidak layan. Hati cuba ditenangkan, tidak mahu amarah menguasai diri. Takut tertinggi suara kepada Sofia nanti. Bukannya dia tidak biasa mendapat layanan sebegitu daripada Sofia. Malah, lebih dingin daripada itu pun dia pernah dapat sebelum ini.
"Aku dah lambat. Kalau kau nak tahu sangat mana dia pergi, kau carilah sendiri dekat rumah dia." Cadang Sofia sebelum mengambil bag tangan dan berjalan melintasi Aiman.
"Kau nak tahu something?" Aiman cuba menarik perhatian Sofia kembali dengan suara tenangnya. Nampaknya dia berjaya apabila melihat Sofia mematikan langkah. Dia mula berjalan berdiri di hadapan wanita seksi itu dengan senyuman mengejek.
"Aku nampak Zarul dengan Ainul pagi tadi. Berdua-duaan dalam bilik stor. Sesuatu sangat." Tangan dibawa mengusap-usap dagu. Seolah-olah berfikir hubungan yang terjalin antara Zarul dan Ainul di belakang mereka.
"So?" Riak wajah bosan ditayang oleh Sofia. Ingatkan gosip apalah tadi. Nyata reaksi Sofia itu mampu mengundang tawa Aiman.
"Come on lah Sofia. Tujuh tahun kau kawan dengan Zarul, takkan kau tak rasa apa-apa bila ada perempuan lain dekat dengan dia?" Tempelak Aiman pula. Sempat dia senyum sinis apabila mengesan perubahan pada muka Sofia.
Sofia memandang Aiman lama sebelum kaki bertindak melangkah setapak ke hadapan, betul-betul berdiri bertentangan dengan Aiman. Matanya merenung jauh ke dalam anak mata hitam Aiman tanpa berkelip. Cuba menyelami isi hati lelaki itu. Cuba memahami niat sebenar Aiman memberitahunya semua ini.
"Kalau aku cakap aku tak rasa apa-apa, kau percaya?" Soalan berbalas soalan. Wajah Aiman mula berubah mendengarkan hal itu.
"Sikit pun aku tak percaya. Zarul ada di sisi kau selama tujuh tahun. Tujuh tahun! Berkongsi masalah dan berjumpa hampir setiap hari, hanya manusia yang tak ada perasaan sahaja yang tidak tertarik dengan Zarul. Mengaku sahajalah Sofia." Mata Aiman tajam melawan panahan mata Sofia. Dia yakin dengan nalurinya. Dia yakin bahawa Sofia menyimpan perasaan pada Zarul.
"Sama ada aku suka dia atau tak, itu hal aku. Kau tak perlu masuk campur. Apa yang aku nak tahu sekarang, apa motif sebenar kau bagitahu aku semua ini?" Aiman tergamam mendengar soalan itu, namun tidak lama sebelum wajah prihatin mula ditayangkan. Seperti dia betul-betul kisahkan tentang perasaan Sofia sekarang.
"Yelah! Aku cuma nak ingatkan kau sebagai seorang kawan. Takut kalau-kalau kau lambat bertindak, barang kesayangan kau akan dikebas orang lain nanti. Harapnya, kau tak berputih matalah bila saat itu tiba."
"Aku harap nasihat yang kau bagi tu betul-betul ikhlas dari hati, bukan sebab benda lain." Bidas Sofia pula. Dia semakin mendekati Aiman sambil berpeluk tubuh.
"Agak pelik, kau tiba-tiba timbulkan isu tentang mereka dekat aku. Macam ada niat lain." Aiman mula terundur ke belakang.
"Apa kau mengarut ni Sofia? Mestilah aku nasihat sebab aku ambil peduli tentang kau. Kau kan dah macam family Zarul. Family Zarul, family aku juga." Aiman memaksa bibirnya mengukir senyuman manis kepada Sofia. Cuba membuang prasangka buruk dalam hati wanita itu.
"Terima kasih atas nasihat kau, cuma..." Sofia menghentikan langkah, kemudian kaki kanan yang tersarung kasut tumit tinggi bewarna merah diangkat tinggi dan...
Klak! Dibawa memijak kuat kaki tong sampah kecil yang terletak betul-betul bersebelahan dengan kaki Aiman. Aiman sedikit tersentak dengan bunyi itu. Dilihat tisu basah dalam genggaman tangan Sofia tadi dilempar kasar tepat memasuki mulut tong sampah yang sudah ternganga luas.
"Cuma aku harap kau tak buat semua itu disebabkan niat lain. Busuk tong sampah tu aku boleh bau lagi, tapi busuk hati manusia boleh ditutup dengan sifat pura-pura baik dia. Susah aku nak jangka. Aku harap kau bukan salah satu daripadanya." Pandangan mata Sofia mula bertukar redup tetapi penuh amaran. Dia tidak mahu orang yang paling dipercayai Zarul menikamnya dari belakang. Dia tidak sanggup melihat Zarul kecewa lagi.
Kaki diangkat. Automatik tong sampah itu terkatup semula. Sofia kembali menjarakkan tubuh dari Aiman. Wajah selamba ditayang seperti tiada apa-apa yang berlaku. Dia kemudian kembali menghayunkan langkah menuju ke pintu exit. Dibiarkan Aiman berdiri tercengang-cengang di situ tanpa menoleh lagi.
"BAIK. Terima kasih Zamani." Butang merah ditekan, mematikan panggilan.
Perlahan-lahan Zarul membawa diri berdiri di balkoni bilik merenung kepekatan malam. Nampaknya malam ini, bulan tidak bersinar keseorangan. Ditemani kerlipan bintang dan cahaya satelit memantul indah. Cantik. Sangat cantik. Bibir mula memekar dengan senyuman sambil tangan diangkat tinggi seakan-akan ingin menggapai salah satu bintang di dada langit. Dan di sebalik jari jemari itu, dia bagaikan dapat melihat mata bundar milik Ainul merenung ke arahnya seperti tujuh tahun lepas.
"We meet again, Ainul Liyana..."
Share this novel