Selepas pertemuan yang tidak terduga itu, Ainul menjadi pendiam sepanjang hari. Sehinggakan Kak Siti sendiri pelik melihat perangai Ainul berubah tiga ratus enam puluh darjah. Wajah kelihatan sugul dan sesekali mata Ainul meliar seperti mencari seseorang.
"Kamu dah kenapa Ainul? Akak tengok macam tak senang duduk sahaja? Punggung kamu naik bisul ke?" Terus Kak Siti menyerbu dengan pelbagai soalan. Atas bawah dipandangnya Ainul.
Ketakutan dalam diri Ainul mula dihambat pergi berganti dengan rasa geli hati mendengar soalan Kak Siti. Bahu Kak Siti ditampar mesra.
"Apa Kak Siti nih? Malulah orang dengar."
"Jadi, betullah punggung kamu naik bisul?!" Terkejut. Tidak menyangka tekaannya tepat.
Terus terhambur ketawa yang ditahan sejak tadi. Haih, Kak Siti memang pandai hiburkan hatinya yang sedang lara. Lapang sedikit terasa dada apabila boleh bergurau senda begini.
"Bukanlah! Ainul cuma suka tengok suasana dalam pejabat ni. Tadi, mungkin sebab nervous, first time masuk kerja tak perasan pula yang ruang office ni luas dan nampak eksklusif." Bohong Ainul. Hentam sahajalah asalkan kegelisahannya tidak diketahui oleh Kak Siti.
"Patutlah dari tadi kepala kamu tertoleh-toleh kiri kanan. Akak ingat apalah tadi." Tangannya kembali laju menyusun fail dan dokumen penting untuk diberikan kepada Tuan Aiman esok.
"Akak? Ainul nak tanya sikit boleh?" Perlahan sahaja Ainul menutur kata. Takut didengari orang lain. Nasib baik mejanya bersebelahan sahaja dengan Kak Siti. Senang untuk bergosip.
"Apa? Kalau akak tahu, akak jawab."
"Ainul nak tanya tentang seseorang. Tapi, tak tahulah akak kenal atau tak." Berdebar pula rasanya mahu menyebut nama itu. Rasa macam dia tengah buat kerja jahat sekarang.
Kak Siti mula menumpukan sepenuh perhatian pada Ainul. Wajah Ainul menunjukkan bahawa apa yang bakal ditanya nanti adalah perkara yang serius benar.
"Akak kenal tak seorang lelaki nama Za..."
"Ainul!" Tidak sempat Ainul menghabiskan ayat, namanya diseru oleh Aiman.
"Ya, Tuan Aiman." Balas Ainul seraya bingkas bangun dari duduk. Dilihat tubuh Aiman sedang berjalan mendekati mejanya. Kak Siti pula laju sahaja menolak kerusi ke mejanya semula. Berpura-pura menyibukkan diri.
"Tolong buat tiga photocopies untuk slide ni and dua untuk template. Hitam putih sahaja, tak perlu warna. Hantar dalam bilik saya ya?" Arah Aiman dalam satu nafas. Sempat dia tersenyum ke arah Kak Siti sebelum berlalu pergi.
"Nantilah Ainul tanya akak. Nampak macam urgent sangat."
Kak Siti mengangguk faham dan membuat tanda okay dengan jarinya. Kertas yang dihulur Aiman tadi diambil untuk melaksanakan tugas yang disuruh. Nasiblah Kak Siti sudah mengajarnya menggunakan mesin photostat pagi tadi.
Baru sahaja dia mahu membelok masuk ke dalam bilik yang menempatkan mesin itu, bahunya dilanggar seseorang. Habis berterabur kertas yang dipegang.
"Sorry." Ainul menunduk memohon maaf tanpa melihat gerangan yang melanggarnya.
"Aku yang patut minta maaf sebab langgar kau. Sorry." Zarul pula membalas. Salahnya, tidak berhati-hati sewaktu membelok tadi. Kan dah langgar anak dara orang. Tubuh terus dibawa membongkok mengutip kertas yang bersepah di lantai.
Perasan dengan kehadiran Zarul, Ainul seperti biasalah, terus menikus merenung tidak berkelip. Dia hanya membiarkan sahaja Zarul mengutip semua kertas tanpa niat mahu menolong. Setelah melihat jejaka itu bangun berdiri di hadapannya semula, Ainul mula berundur ke belakang. Menambahkan jarak dan ruang antara mereka. Kepalanya menunduk menekur lantai.
"Here." Kertas disuakan ke arah Ainul.
Dengan tangan terketar-ketar sama seperti tengah hari tadi, Ainul menyambut huluran tersebut. Dah macam orang parkinson Ainul rasa. Kertas cuba ditarik tetapi lelaki itu seperti sengaja tidak melepaskan pegangan. Ainul mengangkat kepala memandang wajah itu hairan. Cuma seketika, sebelum dia menunduk semula.
"We meet again. Ainul, right?" Senyuman mula terukir di bibir Zarul. Dia merenung tajam ke arah Ainul yang masih menunduk.
Mendengar sahaja teguran itu, kalut-kalut Ainul menarik kembali kertas di tangan. Dia berasa lega kerana kali ini Zarul melonggarkan pegangannya. 'Macam mana dia tahu nama aku?' Hati mula berlagu resah memikirkan segala kemungkinan.
"Ye.. Yes and thank you." Jawab sahajalah, asalkan dirinya cepat-cepat pergi dari situ. Tanpa menunggu balasan Zarul, dia terus mendekati mesin photostat.
Manakala Zarul masih kekal berdiri, merenung dan memerhati tingkah laku Ainul di muka pintu. Nak tergelak rasanya melihat Ainul yang kalut menekan butang sana sini. Pasti gadis itu tidak selesa dengan kehadirannya. Zarul sangat pasti kerana riak wajah Ainul sama dengan apa yang dipamerkan di pantry tengah hari tadi.
Zarul mula masuk mendekat apabila teringatkan sesuatu. Ada perkara yang dia mahu tanya kepada Ainul. Perkara yang sering menganggu fikirannya sejak pertama kali bertemu. Mungkin dengan bertanya terus kepada Ainul mampu membuatkan dia membuang jauh-jauh perkara itu dari otaknya.
Jari Ainul kelihatan mengetuk-ngetuk mesin photostat berkali-kali. Berharap tindakannya itu dapat membuatkan mesin bergerak laju. Dia sudah macam cacing kepanasan sekarang. Sesekali matanya mengerling tubuh Zarul yang mula masuk menghampiri. 'Aduh, dah kenapa nak datang sini?' Ainul berbisik cemas.
Saat kertas terakhir keluar, Ainul terus menarik kasar dan cepat-cepat mahu berlalu pergi. Namun, tubuhnya dihalang oleh tubuh tegap Zarul. Terdongak kepala Ainul memandang wajah putih bersih milik jejaka itu. Kertas dibawa rapat ke dada. Sungguh! dia sangat takut sekarang.
"Ke... Kenapa?" Rasanya hampir tidak terkeluar suaranya menyoal.
Kepala Zarul dibawa menunduk menyamai kedudukan wajah Ainul yang hanya tinggi paras bahunya. Mata mula merayap merenung segenap ruang wajah itu sebelum bibir bergerak menyoal.
"Kita pernah jumpa ke sebelum ni?" Terucap jua persoalan itu.
Ainul terpana. Tidak menyangka akan disoal begini. Dua saat dia cuba menghadam dan akhirnya kepala dibawa menggeleng laju. Tangan pula naik menutup muka dengan kertas yang dipegang. Tidak mahu Zarul terus menerus merenung. Takut lelaki itu akan mengenali dirinya. 'Mak! Tolong Ainul mak.'
"Then..." Zarul bertindak menarik kertas dari pegangan Ainul sehingga terlepas. Ingin melihat wajah itu lagi.
"Kenapa kau jadi gelisah bila pandang aku? Kau nampak takut. Macam nampak hantu. Hmm?" Kening Zarul terjongket sebelah. Bibirnya masih dihiasi dengan senyuman. Senyuman yang dia tidak mampu kawal apabila melihat telatah kalut Ainul yang sedikit sebanyak mencuit hatinya.
"Saya... Saya... " Tergagap-gagap Ainul mahu menjawab. Dadanya terasa mahu pecah. Habis hilang semua perkataan untuk membidas soalan Zarul.
Zarul masih setia menanti. Seronok pula dia melihat reaksi Ainul sekarang. Nampak comel dengan dahi berkerut-kerut dan wajah yang memerah. Mata itu juga sudah meliar memandang kiri kanan atas bawah. Yang pasti bukan terarah pada mukanya.
"Saya tak biasa dengan lelaki!" Pantas dan yakin Ainul menjawab. 'Wow Ainul! Mana kau dapat idea untuk jawab macam tu?' Ainul rasa mahu termuntah pula mengingat kembali kenyataan yang keluar dari mulut.
Semakin melebar senyuman Zarul. Dia rasa mahu ketawa tetapi disabarkan hati untuk tidak berbuat demikian, takut Ainul berkecil hati dengan reaksinya. 'First time aku jumpa perempuan yang takut dengan lelaki. Sampai terketar satu badan. Macam manalah Aiman boleh ambil budak ni bekerja.' Zarul menegakkan tubuh badannya semula. Nampaknya jawapan yang diberi Ainul bukan seperti yang dia harapkan.
"Itu sahaja?" Entahlah. Hati Zarul seakan-akan tidak dapat menerima jawapan itu. Dia dapat merasakan ada asbab lain yang membuatkan Ainul takutkan dirinya.
Ainul mengangguk. Memang tidaklah dia mahu beritahu perkara sebenar. Mahunya lelaki ini sembelih dia hidup-hidup dekat sini. Lepas tu, mayatnya dibuang dekat laut atau bagi ikan makan. 'Ish, ngeri! Baik aku pergi sebelum dia tanya lebih-lebih.' Tangan di sisi naik menadah ke arah Zarul.
"Kertas." Ringkas Ainul meminta. Masih tidak memandang jejaka itu.
"Tak apa. Aku boleh bagi pada Tuan Aiman." Balas Zarul lembut sambil membelek kertas di tangan. Template dan slide untuk meeting esok!Pasti Aiman ingin membincangkan perkara ini dengannya.
Lagi dan lagi Ainul mengangguk. Rasa mahu tercabut leher kalau hari-hari macam ni. Tanpa sebarang kata, Ainul berjalan laju keluar menuju ke mejanya. Meninggalkan Zarul dengan satu persoalan baru.
Share this novel