BAB 25

Romance Series 19166

"Would you mind sharing it with me?"


Sandwich yang lagi satu jengkal mahu masuk ke dalam mulut terhenti begitu sahaja. Ainul memandang Zarul yang santai berpeluk tubuh sambil menyandarkan diri di birai pintu pantry. Memandangnya sambil tersenyum simpul. Tahu soalan tersebut ditujukan khas buat dirinya, terus bekal makanan dikemas dan Ainul berjalan laju mahu keluar dari situ.


Apabila dirinya berjalan di sisi Zarul, terasa bekal makanan dirampas dari tangan dengan penuh selamba. Zarul membawa bekal itu lalu diletakkan di atas meja makan semula. Tempat sama yang diduduki Ainul tadi.


"Tu... Tuan Zarul." Ainul rasa mahu marah dengan tindakan lelaki itu tetapi diingatkan diri bahawa dia harus bersabar. Dia tidak layak untuk meninggikan suara kepada Zarul.


"Kalau kau nak bekal kau balik, duduk sini. Ada perkara penting aku nak cakap." Zarul memberi arahan. Dia sudah masak dengan perangai Ainul. Asyik nak mengelak sahaja daripada bertemu empat mata dengannya.


"Tapi, Tuan Zarul dah janji semalam tak akan desak saya lagi dengan soalan bukan-bukan." Ainul cuba mengingatkan. Dia fikir hari ini bolehlah dia menarik nafas lega tanpa gangguan dari Zarul, tetapi tidak sampai empat puluh lapan jam lelaki itu sudah terpacak di hadapannya.


"Ada aku cakap aku nak tanya kau apa-apa, hmm? Aku cuma suruh kau datang duduk sini." Zarul mula mengambil tempat di kerusi yang diduduki Ainul sebentar tadi. Sepuluh saat berlalu. Dia mengeluh melihat Ainul yang tiada tanda-tanda mahu mendekatinya.


"Kau jangan sampai aku pergi sana dukung kau bawa datang sini." Sengaja nada suara dikeraskan memberi amaran. Menggertak Ainul untuk memberi kerjasama. Nampaknya, tindakan Zarul berjaya membuatkan Ainul perlahan-lahan berjalan menghampiri.


"Duduk!" Mata sengaja dijegil menyuruh Ainul duduk di hadapan. Hampir sahaja dia ketawa melihat telatah Ainul yang takut-takut menurut arahan. Sepi seketika suasana di antara mereka sebelum...


"Tujuh tahun lepas..." Zarul memulakan perbualan. Dilihat wajah Ainul mula memandang tepat ke arahnya dengan dahi berlapis.


"Aku dipertemukan dengan seorang budak perempuan yang berani mati, sanggup lompat ke dalam api untuk selamatkan aku." Wajah Ainul berubah pucat setelah memahami isi kata Zarul.


"Dia pujuk aku, tenangkan aku yang tengah menangis. Bawa aku keluar dari kilang tersebut dengan selamat sampaikan dia tidak peduli dengan keadaan tangan kirinya yang sudah melecur terkena api." Dada Ainul pula berombak kasar.


"Dia merayu-rayu pada orang ramai untuk masuk selamatkan orang tua aku. Menangis ketakutan ibarat mereka yang terperangkap dalam kebakaran itu adalah dari darah dagingnya sendiri. Dan saat aku meraung dengan kehilangan orang tua aku, dia juga turut berkongsi rasa yang sama. Turut meratapi kehilangan mereka." Zarul tersenyum kelat. Agak sukar untuk membuka semula memori hitam yang sudah dikubur jauh ke dalam hati. Tanpa Zarul sedar, Ainul sudah memandangnya dengan mata bergetar dan wajah memerah menahan tangis.


"Ke... Kenapa Tuan Zarul ceritakan semua ini pada saya?" Suara cuba ditenangkan sebaik mungkin. Dia harus berpura-pura tidak tahu selagi Zarul tidak membuka mulut mengatakan bahawa budak perempuan itu adalah dirinya.


"Kenapa?" Zarul tergelak halus. Tubuhnya dibawa tegak ke hadapan, menjauhkan belakang badan daripada terus bersandar pada kerusi.

"Let me ask you something." Anak mata Zarul bergerak memandang pada tangan kiri Ainul.


"How's your hand? Adakah kesan melecur tujuh tahun lepas masih berbekas dekat situ?" Berderau darah Ainul apabila dihadapkan dengan pertanyaan sebegitu. Sekaligus menyedarkannya bahawa Zarul sudah mengetahui tentang identiti dirinya.


"Tu... Tuan..."


"Aku tahu budak perempuan itu kau dan aku sangat pasti kau ingat tentang aku, sebab tu kau pernah mention nama K&L depan muka aku sebelum ni. Cuma apa yang aku tak faham kenapa kau bisukan mulut dan berpura-pura tak kenal aku dekat sini? Kau tahukan aku berhutang nyawa dengan kau? Dan reaksi kau yang nampak takut dan cemas bila jumpa aku buatkan aku confuse sendiri. Just why?" Zarul rasa lega dapat meluahkan segala kekusutan dalam kepala. Rasanya ini bukan reaksi yang dia bayangkan daripada seseorang yang telah menyelamatkan nyawanya.


Ainul memejamkan mata buat seketika. Rahang diketap kuat bersama tangan yang sudah menggenggam erat satu sama lain. Jujur dia penat, penat dihadapkan dengan soalan yang sama. Soalan yang dia sendiri tidak sanggup untuk jawab dan ungkapkan di mulut. Sepatutnya, dia 'blah' sahaja dari situ tadi.


"Tuan Zarul tidak berhutang apa-apa dengan saya. Saya selamatkan tuan kala itu disebabkan keadaan memaksa saya untuk melakukannya." Ainul sudah malas mahu menafi. Biarlah dia mengaku bahawa semua tekaan Zarul itu benar. Dia letih untuk mencipta kebohongan lain.


"Jadi..." Pertanyaan yang baru keluar dari mulut Zarul dipotong laju oleh Ainul.


"Saya mengaku saya berpura-pura tak kenal dengan Tuan Zarul sebelum ini. Kalau boleh saya tak nak jumpa langsung dengan tuan atau bercakap sekalipun." Ainul menayangkan wajah kosong memandang Zarul. Perasaan takut yang berputik di hati sebentar tadi mula berterbangan pergi.


Zarul menayang muka tidak percaya mendengar butir bicara Ainul. Tidak sangka Ainul yang pada mulanya pendiam dan takut kini berani berkata begitu kepadanya.


"Saya ada sebab saya sendiri kenapa saya selalu takut atau gelisah bila berhadapan dengan Tuan Zarul. Sebab yang tidak akan saya ceritakan kepada sesiapa selagi masanya belum tiba." Kerusi terus ditolak ke belakang sebelum Ainul mula bangun dari duduknya. Ingin pergi dari situ. Entah mana datang keberanian untuk dia bertindak sampai begitu sekali di hadapan Zarul, dia sendiri tidak tahu. Mungkin kerana dia sudah lelah menghadap semua ini. Jika Zarul ingin memecatnya sekalipun dia tidak kisah. Malah, dia lagi suka kerana tidak perlu terus-terusan dihadap dengan rasa yang mendera jiwa seperti ini.


Pantas Zarul berlari menghadang jalan Ainul. Tidak menyangka perbincangan yang pada awalnya bermula dengan tenang boleh berubah tegang begini. Dia tidak tahu di mana silapnya. Adakah kerana dia memungkiri janji untuk tidak mendesak Ainul dengan pelbagai soalan semalam?


"Ainul... Sorry kalau aku buat kau rasa serabut." Riak bersalah terpancar di wajah Zarul. Hati menjadi tidak senang apabila Ainul melayannya begini.


Ainul tersenyum sinis. "Sorry?" Kepala dipanggung melawan panahan mata Zarul buat pertama kali tanpa sebarang paksaan. Memberikan pandangan redup kepada lelaki itu.


"Saya tak layak untuk terima kemaafan dari Tuan Zarul. Kalaulah tuan tahu apa yang telah saya lakukan pada tuan, muka saya pun tuan tak akan pandang." Kini, wajah Ainul berubah mendung.


Tubuh Ainul dibawa berganjak ke kiri, berjalan melepasi Zarul yang masih memandangnya dengan rasa bersalah. Seketika, Ainul berhenti tanpa berkalih ke belakang dan bersuara.


"Dari awal lagi..." Ainul menghela nafas berat. Soalah-olah nafas itu membawa separuh masalahnya pergi.


"Kita tak sepatutnya berjumpa. Bukan... Kita tak sepatutnya tahu bahawa salah seorang daripada kita wujud! Tetapi takdir Allah, tiada siapa mampu menghalang. Walau saya lari sehingga ke hujung dunia sekalipun, jika sudah ditakdirkan saya dan Tuan Zarul akan berjumpa, kita tetap akan bersua muka juga." Serentak dengan itu, Ainul kembali membawa langkah kembali ke mejanya. Membiarkan Zarul tergapai-gapai mencari punca sebenar kepada masalah mereka sekali lagi. Tanpa Zarul dan Ainul sedar, ada telinga lain yang sedang mencuri dengar perbualan mereka sedari tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience