"Duduklah uncle." Pelawa Zarul sopan.
"Siapa tadi tu?" Tuan Razali tidak dapat menahan rasa ingin tahunya. Dia merenung ke arah Aiman sebelum mengalihkan pandangan kepada Zarul semula.
"Just one of my workers." Ringkas Zarul berkata. Dalam hati dia berharap unclenya tidak berfikir bukan-bukan sewaktu melihat keadaan dirinya dan Ainul sebentar tadi. Aiman pun satu. Kenapalah lelaki itu tidak memberitahunya bahawa Tuan Razali mahu datang.
Seketika Aiman dan Tuan Razali berpandangan penuh curiga. Cuba berbicara melalui hati. Dari apa yang Tuan Razali nampak, gadis itu bukan sekadar pekerja di mata Zarul.
"Don't mind her. Uncle sihat?" Sebolehnya, Zarul mahu ubah topik perbualan. Tidak mahu menyentuh tentang Ainul. Tidak mahu menyemakkan lagi kepala tentang persoalan siapa Ainul sebenarnya. Tentang pengetahuan gadis itu mengenai K&L. Biarlah, dia akan selesaikan urusannya dengan Ainul selepas ini.
"Alhamdulillah sihat. Aiman ada bagitahu uncle semalam tentang masalah yang dihadapi syarikat kamu. Sebab tu uncle datang nak tengok keadaan kamu." Jelas Tuan Razali tanpa dipinta. Ingin sahaja mulutnya bertanya lebih lanjut tentang gadis yang merempuh keluar dari bilik Zarul sebentar tadi, namun melihat Zarul seperti cuba menukar topik perbualan, dia terpaksa menelan sahaja semua persoalannya.
"Tak ada apalah uncle. Biasalah bila buat business, ada pasang surutnya. Lagipun kami dalam persiapan untuk iklankan semula product tersebut supaya pembeli dekat luar sana tahu bahan apa yang kami guna." Bibir cuba mengorak senyuman manis kepada Tuan Razali, berharap lelaki itu tidak risau tentangnya. Dilihat Tuan Razali hanya mengangguk faham.
"Kamu tak syak sesiapa Zarul? Yelah, mungkin ada yang berdendam atau sakit hati dengan kamu." Aiman di sisi dikerling sekilas.
"Tak mungkinlah papa. Si Zarul ni jarang berurusan dengan pekerja lain. Selalunya Aiman yang kerap bercakap dengan pekerja dekat sini. Kalau jumpa pun mesti akan bercakap tentang kerja sahaja. Tak ada masa nak sentuh soal peribadi, papa." Aiman mencelah. Zarul mengangguk setuju dengan kenyataan itu. Betullah apa yang Aiman cakap. Segala komunikasi antara dia dan pekerja lain memang terarah tentang hal syarikat. Hanya dengan Sofia dan Aiman sahaja dia boleh bergurau senda. Oh, dan... Ainul. Nama itu tetap juga mahu melintas dalam fikirannya.
"Uncle bukan apa, risau bila tiba-tiba product kamu kena aim dengan orang yang tak dikenali. Hairan pun ada sebab selama ni tak pernah pula muncul masalah seperti ini. Kalau betul dia pekerja kamu, kenapa dia tak buat dari dulu lagi?"
Zarul sedikit tersentak mendengar rumusan dari Tuan Razali. Dia baru terfikir kewajaran dari kata-kata itu. Kalau tiada angin masakan pokok boleh bergoyang tiba-tiba? Pasti ada sesuatu yang mendorong kepada munculnya permasalahan ini. Sama ada pokok itu digoncang oleh seseorang ataupun ditiup dek angin. Zarul tidak pasti.
"MAK." Ainul merebahkan kepala secara mengiring di atas paha ibunya yang baru sahaja selesai menunaikan solat isyak.
"Hmm?" Kepala Ainul digosok perlahan. Tidak kekok kerana Ainul selalu bermanja dengannya begini.
"Kalau Ainul tanya sesuatu dekat mak boleh?" Ainul memandang kosong dinding bilik dihadapan. Dia takut air matanya cepat tumpah apabila bertentang mata dengan emaknya.
"Kenapa?" Maria sudah pelik. Naluri keibuannya dapat merasakan ada sesuatu yang disembunyikan Ainul.
"Betul ke segala sesuatu yang berlaku dalam hidup kita, ada sebab disebaliknya?" Syahdu Ainul bertanya sambil cuba mengawal perasaan yang mula beremosi.
Walaupun hairan apabila ditanya begitu, Maria tetap menjawab pertanyaan Ainul sebaik mungkin. "Yup. Setiap yang berlaku dalam hidup kita, pasti ada hikmah dan asbab di sebalik semua itu. Termasuklah pertemuan dan perpisahan dengan seseorang. Semuanya ada hikmah tersendiri. Hanya Allah yang tahu."
"Jadi..." Suara Ainul mula bertukar serak. Dia menggigit bibir menahan air mata dari tumpah ke riba emaknya.
"Macam mana pula apabila kita dipertemukan dengan orang yang salah? Adakah itu satu ujian atau juga boleh dianggap sebagai hikmah?" Serentak pertanyaan itu, wajah Zarul terlayar di ruang minda Ainul. Bukan Zarul yang berwajah kacak dengan sut kerjanya, tetapi Zarul yang menangis dan meraung-raung memanggil nama orang tuanya tujuh tahun lepas.
Maria tersenyum nipis. "Boleh jadi kedua-duanya. Ujian untuk kita terus mendekatkan diri kepada-Nya dan bertaubat dengan dosa lalu. Atau hikmah yang datang untuk menjadikan orang itu atau diri sendiri lebih baik. Yang pasti Allah tidak akan hadirkan seseorang dalam hidup kita dengan saja-saja."
Ainul terdiam. Otak cuba mencerna setiap bait-bait perkataan emaknya yang menusuk jauh ke lubuk hati. Maksudnya, pertemuan dia dan Zarul pasti ada sebab tersendiri. Sebab yang tiada siapa tahu. Sebab yang hanya diketahui oleh Allah.
"Ainul jumpa dengan orang yang Ainul tak suka?" Suara Maria menyentak lamunan Ainul. Ainul pantas membetulkan posisi baring daripada mengiring menghadap wajah emak yang menunduk.
"Lebih kurang macam tulah mak. Ainul tak sangka dia kerja sekali dengan Ainul. Ainul rasa tak selesa sikit." Jujur Ainul menceritakan kepada Maria. Tetapi, tidak pula dia ceritakan semuanya secara terperinci. Mahunya emak pergi menyerang Zarul di office esok kerana telah membuatnya menangis hari ini.
Maria mula menarik nafas lega. Ingatkan apalah tadi apabila melihat reaksi Ainul yang muram dan sedih. "Sejak bila anak mak ni kisah tentang orang lain, hmm? Ainul yang mak kenal selalunya buat hal sendiri. Kawan pun tak sampai lima orang." Sempat Maria berseloroh.
"Mak! Apa ni perli-perli orang." Ainul bangun dari pembaringan sambil terjerit kecil. Sempat dia menampar manja lengan kiri Maria.
"Betul apa mak cakap." Maria tidak mahu kalah.
"Yelah, yelah." Tangan kiri Maria pula dipeluk. Dia merehatkan kepala di atas bahu emaknya.
'Kalaulah mak tahu tentang Zarul? Adakah mak akan suruh Ainul berhenti kerja? Atau kita akan pindah jauh dari sini? Ainul bukan tak nak cerita dekat mak. Cuma, biarlah Ainul tunggu masa yang sesuai.' Ainul sempat berbisik dalam hati sambil merenung wajah Maria yang sedang melipat sejadah di sisi. Wajah tua itu masih cantik seperti dahulu.
Share this novel