Sepanjang perjalanan, Zarul Akhtar dihidangkan dengan pemandangan indah dan saujana mata memandang. Dia mengerling ke arah daddy yang sedang tekun memandu. Sesekali kedengaran gelak ketawa daddy dan mummy di bahagian duduk hadapan. Entah apa yang dibualkan, Zarul sendiri tidak tahu. Dia lebih tertarik dengan kehijauan sawah padi di kampung ini.
"Rul? Jom, kita dah sampai." Tegur Datin Lidya kepada anak terunanya yang sedang ralit merenung ke luar tingkap.
Zarul hanya mengangguk sekali sebelum mula melangkah keluar membontoti langkah daddy dan mummy menuju masuk ke dalam kilang. Kilang K&L Kosmetik. Kilang yang bakal menjadi tempat untuk menghasilkan barangan kosmetik milik keluarganya. Ini merupakan kilang kedua di mana kilang pertama berada di Shah Alam.
Baru sahaja melepasi pintu utama, mereka sudah disambut oleh dua orang lelaki. Semestinya pekerja yang bertanggungjawab menjaga kilang ini semasa ketiadaan mereka.
"Macam mana? Semua barang dah dibawa ke sini?" Soal Datuk Kamarul sambil menanggalkan kaca mata hitamnya. Dia tekun merenung kertas yang dipegang oleh dua pekerjanya itu.
"Exactly as I have told Datuk semalam. Kami dah check defect untuk setiap barangan dan alatan yang dah sampai, so far tiada masalah." Jelas pekerja itu penuh yakin. Zarul dan Datin Lidya turut memasang telinga dan menumpukan perhatian.
"Bagus. Kalau semua dalam keadaan baik, kilang ini boleh beroperasi dalam masa terdekat."
"Yup. Kalau Datuk nak buat double check, ini senarai yang dah saya prepare and also bilangan bagi setiap barangan tersebut." Sekeping fail biru diserahkan kepada Zarul. Tanpa menunggu sesaat, fail tersebut bertukar tangan.
"Do me a favour Zarul. Daddy dengan mummy nak rehat dalam office kejap. Nanti kami follow up." Datuk Kamarul mengerling ke arah Datin Lidya sekilas. Menghantar maksud pandangan yang hanya difahami mereka.
"Baiklah daddy. Lagipun daddy kan penat memandu? Serahkan sahaja dekat Zarul." Suara husky Zarul membalas. Dia menepuk bahu daddynya memberitahu bahawa dia mampu menguruskan benda kecil ini. Bukannya dia tidak pernah buat.
"Baiklah." Datuk Kamarul dan Datin Lidya mula melangkah menuju ke arah bilik pejabat yang terletak di penjuru kanan kilang tersebut.
Melihat kelibat mummy dan daddynya hilang, Zarul berjalan pergi bersama dua pekerja itu untuk memeriksa stok barangan di bahagian tengah kilang.
"ABANG? Abang ajak Lidya dengan Zarul balik sini bukan sebab kilang ni kan?" Datin Lidya memulakan bicara. Dilihat suaminya sedang memicit kepala seperti menghadapi masalah besar.
"Betul sangkaan awak selama ni Lidya. Abang sahaja yang buta mata untuk nampak semua tu." Datuk Kamarul menjawab lirih.
"Apa sebenarnya berlaku ni abang? Cuba bagitahu Lidya. Lidya tak faham." Datin Lidya mula mendesak. Dia tidak suka dirinya terus-terusan dibanjiri dengan tanda tanya.
"Orang yang cuba bunuh kita selama ni adalah orang yang sama Lidya pernah beritahu abang dulu. Lepas apa yang terjadi semalam, abang baru nampak wajah dan perangai sebenarnya." Tangan Datin Lidya dipegang erat.
"Allah... Apa yang dia dah buat dekat abang? Apa yang dia buat semalam?" Datin Lidya bertanya cemas. Sepatutnya dia menahan suaminya daripada mengikuti ajakan lelaki itu semalam. Sepatutnya dia lebih berkeras untuk tidak mahu suaminya makan malam di rumah lelaki itu.
"Dia cuba racun abang." Dengan pandangan jauh merenung ke hadapan, Datuk Kamarul akhirnya memberitahu apa yang terjadi.
Tangan Datin Lidya naik menekup mulut, dia tidak sangka sejauh itu lelaki yang ingin membunuh mereka berani bertindak. Hati turut beristighfar panjang sambil ingatan membayangkan wajah baik yang selalu ditayangkan oleh lelaki itu apabila bersama mereka. Nampaknya kebaikkan yang ditunjuk adalah topeng semata-mata.
"Dia letak racun dalam minuman abang. Nasib baik abang tersiku cawan tersebut jatuh ke lantai. Jadi, abang tak sempat minum."
"Abang nampak dia letak racun?"
"Abang tak nampak tapi, waktu air tu tumpah dekat lantai, kucing dia datang dan jilat. Lepas tu abang dapat panggilan telefon daripada pekerja abang tadi. And selepas abang pergi balik untuk lap air tu, abang tengok kucing dia dah berbuih mulut dan menggelupur. Abang terus lari keluar dari rumah. Nasiblah time tu dia tengah sediakan makanan dekat dapur." Terang Datuk Kamarul lagi. Boleh dikatakan semalam, dirinya umpama cacing kepanasan dan wajahnya pucat sewaktu memandu pulang. Terkejut dan takut bercampur dalam hati.
"Sebab tu abang buat keputusan untuk bawa Lidya dan Zarul ke sini. Mudah untuk abang terangkan dekat Zarul apa yang berlaku. Abang takut dia muncul dekat rumah kita nanti."
Datin Lidya mengangguk faham. Sekarang tahulah dia mengapa Datuk Kamarul membuat keputusan untuk melawat kilang last minute. Rupa-rupanya ada perkara lain yang disembunyikan oleh suaminya.
"Kenapa abang tak telefon polis terus?"
"Abang terkejut sangat sampai tak sempat nak fikir. Lagipun abang tak sangka orang yang dah bertahun kita kenal, sanggup nak bunuh kita." Terdapat nada kecewa dalam pertuturannya. Datuk Kamarul mengaku, dia bodoh kerana tidak terus menghubungi pihak berkuasa selepas apa yang terjadi. Pastinya sekarang lelaki itu sudah berjaya menghapuskan semua bukti.
"Bravo! Jadi Zarul masih tak tahu tentang aku?" Suara garau itu mencelah perbualan mereka berdua.
Pantas Datuk Kamarul dan Datin Lidya berkalih melihat gerangan yang tiba-tiba muncul di pintu pejabat. Mereka berdiri dengan wajah terkejut. Tidak menyangka dengan kemunculan lelaki itu. Tanpa membuang masa, Datuk Kamarul melangkah ke hadapan dan menarik isterinya untuk berlindung di belakang badan.
"Memang dia tak tahu sekarang, tetapi dia akan tahu juga nanti!" Dengan mata tajam menikam, Datuk Kamarul membidas garang. Matanya meliar memandang sekeliling. Melihat kalau-kalau ada orang lain yang lalu-lalang, jadi mudah untuk dia meminta tolong.
"Tidak, kalau kau berdua tutup mulut. Hahahaha." Lelaki itu ketawa seronok. Tangannya mula mengeluarkan pisau lipat dari jaket hitam yang dipakai.
"Dan aku akan pastikan, rahsia ini kekal tersimpan antara kita bertiga." Sempat lelaki itu berkata sebelum tersenyum lebar ke arah Datuk Kamarul dan Datin Lidya.
Saat itu, mereka berdua tahu bahawa nasib tidak menyebelahi mereka seperti sebelum ini dan mereka hanya mampu menjerit, meminta tolong tanpa sempat melarikan diri. Namun, mereka lupa bahawa bilik tersebut jauh terletak di sudut kilang dan kalis bunyi!
Share this novel