BAB 4

Romance Series 19166

"Woii!!"


Ainul mengeluh panjang mendengarkan suara sumbang yang memanggilnya dari arah bus stop. Dengan selamba dia tetap meneruskan langkah ingin melepasi kawasan itu tanpa menghiraukan sapaan tadi. Sudahlah dia baru sahaja dimarahi, kini datang pula masalah lain.

"Kau tak dengar aku panggil?" Muncul seorang gadis cantik sebaya umur dengannya bersama kawan-kawan lelaki yang lain. Ainul menayang wajah bosan.

"Kau nak apa Sofia?" Ainul memeluk tubuh memandang rakan sekelasnya. Matanya sempat mengerling bahu Sofia yang dipeluk mesra oleh remaja lelaki juga berpakaian sekolah seperti mereka.


"Kena marah lagi?" Sofia ketawa mengejek.


"Haah. Sebab tu sekarang aku tak ada masa nak layan kau. Aku tengah serabut." Terus terang Ainul menjawab.


"Kalau kau stress, kau boleh lepak dengan kami. Aku sentiasa ada masa untuk dengar masalah kau." Sofia memegang bahu Ainul dengan lembut. Siap pakej wajah prihatin ditayangkan.


"Tak payah. Aku tak nak. Masalah aku biar aku uruskan sendiri." Segera, tangan Sofia ditepis kasar. Sejujurnya, Sofia merupakan rakan sekelas yang selalu menegur dan bertanya khabarnya sebelum ini sehingga sekarang, tetapi untuk menerima salam persahabatan daripada Sofia, tidak sama sekali. Kerana apa? Kerana Sofia mampu membawa pengaruh buruk kepada dirinya. Dia tidak mahu tersilap pilih kawan. Memanglah Sofia seorang gadis yang baik, tetapi gadis itu terlalu sosial dengan kehidupan remajanya.

"Jangan berlagaklah Ainul. Kau tak rasa bersyukur ke sebab aku nak jadi kawan kau? Kau bukannya ada kawan lain dekat sekolah ni." Sofia masih memujuk. Dia memang begitu. Suka menghulurkan bantuan dan berkawan dengan mereka yang berada dalam masalah. Apabila sudah menjadi teman rapat nanti, senanglah dia mahu mengahanyutkan mereka seperti dirinya. Baginya zaman remaja adalah zaman untuk berfoya-foya bukan menghadap buku dua puluh empat jam.


"Aku lebih baik tak ada kawan daripada aku berkawan dengan orang yang boleh merosakkan masa depan aku." Penuh yakin, Ainul memandang satu-persatu wajah di hadapannya. Tiada langsung rasa gentar menuturkan ayat pedas itu. Dapat dilihat wajah Sofia sedikit berubah. Mungkin terkesan dengan kata-katanya. Kaki kembali dihayun. Dia merempuh bahu Sofia yang menyekat jalan sedari tadi.

"Hei!"


Tidak semena-mena terasa ada tangan kasar memegang pergelangan tangan kanan Ainul. Ainul sedar bahawa tangan tersebut milik salah seorang lelaki yang ada bersama Sofia. Mungkin lelaki itu marah melihat dia berkasar dan melanggar Sofia tadi. Walaupun begitu, lelaki itu tiada hak untuk menyentuh kulitnya.

Dengan hati yang membara, sekelip mata sahaja Ainul mengilas tangan itu ke belakang badan lelaki tersebut. Kemudian, tangan kirinya naik mencengkam belakang rambut lelaki itu lalu kepala ditolak dan ditekan kepada tiang bus stop.

"Aku tak suka orang macam kau sentuh tangan aku. Pastikan ini kali terakhir kau buat macam ni kalau kau tak nak kaki aku hinggap celah kangkang kau!" Bergetar suara Ainul memberi amaran. Cengkaman di rambut lelaki itu diperkuatkan lagi. Terkeluar bunyi erangan sakit dari mulut lelaki tersebut.


"Woah! Chill babe. Apahal garang sangat ni?" Sofia menegur. Dia kembali mendekati Ainul. Tangan mengeluarkan sesuatu dari poket baju sekolah. Melihatkan hal itu, Ainul melepaskan cengkaman dengan kasar.


"Ni, ambiklah. Mungkin sedikit sebanyak dapat kurangkan stress kau." Sofia berbisik perlahan ke arah Ainul sebelum memasukkan 'barang' itu ke dalam poket baju sekolah Ainul. Dia ketawa seronok sebelum berlalu pergi dari situ. Sempat tangannya naik menyekeh kepala rakannya yang cari pasal dengan Ainul sebentar tadi.

"Adios." Sofia menjerit.


Maka, tinggallah Ainul berseorangan sambil tangan kembali meraba 'barang' di dalam poket bajunya. Dia tersenyum sinis apabila mula menebak 'barang' yang diberi Sofia. 'Aku dah agak. Kau memang tak putus asa kan perempuan?' Sinis Ainul dalam hati.

KOTAK rokok jenama John yang berada di atas telapak tangan dipandang sepi. Itulah 'barang' yang diberi oleh Sofia sebentar tadi. Siap dengan lighter bewarna kuning perempuan itu beri.


"Jadi, benda ni boleh hilangkan stress aku?" Ainul berbisik sendiri. Nafas panjang dihela sebelum pandangan ditebarkan merenung sawah padi yang menghijau di hadapan mata. Dia sekarang berada di belakang sebuah kilang yang belum siap sepenuhnya. Ingin mengambil angin dan jauh daripada kehadiran manusia lain. Sementelah, kilang itu terletak jauh dari mata-mata orang. Jadi, biarlah dia melayan perasaan seorang diri di sini.


Dengan segala apa yang berlaku, Ainul rasa dia tidak mungkin dapat bekerja dengan tenang di kedai Pak Cik Samad. Maka, biarlah untuk hari ini sahaja, dia melepaskan lelah dan berehat tanpa melakukan apa-apa. Untuk hari ini sahaja, dia mahu menyendiri dan lari dari masalah.


Mata dipejam rapat untuk lebih menghayati suasana di sekitar. Terasa tenang angin bertiup membuatkan t-shirt lengan panjang berbelang merah putih, beserta tudung dan kain sekolah yang tersarung di tubuh beralun lembut. Sememangnya Ainul membekalkan beberapa helai baju t-shirt di dalam beg galas kerana dia akan terus ke tempat kerja setelah pulang dari sekolah.


'Kalau ayah kamu masih hidup mesti dia sedih tengok anak dia jadi macam ni. Mak kamu pun takkanlah tak cari kerja untuk tampung pembelanjaan kamu?' Tohmahan itu kembali menerjah telinga membuatkan mata Ainul terbuka luas.


'Kau dah la datang dari keturunan susah. Malas belajar pula tu. Kesian mak bapak kau dapat anak macam ni. Menyusahkan orang!' Lagi hinaan yang pernah dia dapat daripada rakan sekelas.


"Ayah... Kenapa?" Kelopak mata mula bergenang.


"Kenapa ayah tinggalkan Ainul dengan mak dekat dunia ni? Kenapa ayah tinggalkan Ainul membesar tanpa kehadiran ayah? Kenapa ayah?" Langit biru dipandang penuh emosi. Lama sebelum pandangan kembali ditunduk memandang kotak rokok di tangan.


"Kali ni sahaja, Ainul harap benda ni dapat tenangkan fikiran Ainul." Tanpa sedar tangannya sudah mula mengeluarkan sebatang rokok dan dibawa ke mulut. Dia sudah tidak peduli. Tekanan yang diterima daripada orang sekeliling cukup membuatkan fikirannya bercelaru sekarang. Harapannya rokok tersebut mampu membawa separuh masalahnya pergi.


Lighter cuba dinyalakan berkali-kali, tetapi tidak berjaya dek kerana angin bertiup. Ainul bertindak berjalan masuk ke dalam kilang melalui pintu belakang. Dia mahu menyalakan lighter di situ tanpa memikirkan sebarang risiko.


Tubuh dibawa bersembunyi di sebalik himpunan kotak di penjuru kilang. "Paraffin wax." Sempat dia membaca tulisan yang tertulis di atas setiap kotak. Ada beberapa kotak yang terbuka dan tertutup.


Ainul meliarkan pula mata memerhati kawasan dalam kilang yang luas dan dipenuhi dengan barang sebelum tangannya kembali ligat menyalakan lighter. Dua kali mencuba, akhirnya rokok di tangan berjaya dicucuh. Dia tertawa girang. Namun belum sempat batang rokok itu dibawa mendekati mulut, dirinya disergah kuat oleh satu suara garau. Rokoknya tercampak memasuki salah satu kotak yang tersusun di situ.


"Siapa?!!" Jerit suara itu kuat. Dari celah susunan kotak, Ainul nampak batang tubuh seorang lelaki berpakaian serba hitam serta bertopi. Lelaki itu jelas sedang menapak menghampiri dirinya.


Ainul cemas. Badan dipusing ingin melarikan diri dari situ, tetapi tidak jadi apabila ekor matanya ternampak nyalaan api datangnya dari arah rokoknya yang terpelanting tadi. Semakin lama semakin marak. Ainul mula terkaku di tempatnya berdiri.


"Siapa kau?!" Semakin dekat suara itu menghampiri membuatkan Ainul semakin cemas.


Dia memandang ke arah api yang mula menjulang tinggi dan lelaki itu bersilih ganti. Tanpa berfikir panjang, Ainul membuka langkah seribu berlari keluar dari kilang tersebut. Walau apapun yang terjadi, dirinya tidak boleh tertangkap merokok di situ. Dia tidak sanggup melihat wajah kecewa emaknya di rumah. Dia tidak mahu dianggap anak yang tidak berguna lagi.


Setelah agak jauh berlari, Ainul berpaling ingin melihat sama ada lelaki tersebut mengejarnya atau tidak. Tetapi kornea matanya melihat perkara lain yang lebih dahsyat. Dari jauh, kelihatan asap hitam bergumpal-gumpal naik ke atas awan.

"Takkanlah... " Ainul terpempam. Dia terundur beberapa langkah sebelum tersedar.


"Kilang tu... Terbakar?" Setapak Ainul mara ke hadapan.


"Sebab aku!" Keras suara Ainul berkata. Dia berlari menuju ke arah kilang itu kembali.


"Ya Allah! Apa aku dah buat? Apa aku dah buat?" Ainul rasa mahu menangis melihat semua itu. Larian semakin dilajukan. Dalam hati tidak henti-henti berdoa semoga semuanya baik-baik sahaja. Semoga kilang itu tidak berpenghuni dan kosong tanpa kehadiran orang lain.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience