BAB 2

Romance Series 19166

"Abang?" Melihat sahaja mata suaminya terbuka luas di atas katil hospital, Datin Lidya pantas bangun menggenggam tangan Datuk Kamarul.


"Awak tak apa-apa Lidya?" Laju sahaja soalan itu meluncur keluar dari mulut Datuk Kamarul. Tidak kisah dengan balutan yang terdapat di kaki kanannya dan dahi yang bertampal. Keadaan isteri lebih penting. Luluh hatinya melihat wajah si isteri yang penuh dengan kesan lebam dan luka sana sini.


"Saya tak apa-apa abang. Cedera sikit sahaja."


"Alhamdulillah. Syukur kerana Allah masih melindungi kita." Berkaca-kaca mata Datuk Kamarul mengucapkan hal itu. Tangan isteri di dalam genggaman diperkemaskan lagi.


Jeda. Hening menguasai mereka buat seketika. Hanya kedengaran bunyi drip air dan helaan nafas dari kedua-duanya. Mata saling bertatapan seolah-olah berbicara dari hati ke hati.


"Lidya..." Datuk Kamarul menyeru lembut. Dia nampak kolam mata isterinya bergenang. Dan dia tahu untuk apa air mata tersebut tiba-tiba wujud.


"Macam mana keadaan..." Tidak sempat Datuk Kamarul menghabiskan ayat, Datin Lidya sudah teresak-esak menangis. Lantas Datuk Kamarul mengengsot sedikit menyandarkan belakang badan pada kepala katil. Dahinya berkerut seribu. Dia memilih untuk merenung kosong ke hadapan tanpa niat mahu memujuk isterinya. Keadaan Datin Lidya yang sebegitu sudah memberikan jawapan kepada persoalannya tadi.


"Tak abang! Lelaki tu tak selamat..." Dalam sedu-sedan Datin Lidya bersuara.


"Kita selamat tetapi, bukan dia abang." Sambung Datin Lidya lagi.


Nyata kenyataan itu berjaya menyentap jantung Datuk Kamarul walaupun dia sudah dapat mengagak sejak tadi. Dia menoleh kepada isterinya bersama linangan air mata. Kedua-dua bahu Datin Lidya digenggam kemas.


"Mana awak tahu?" Datuk Kamarul terus menyoal. Bukan dia tidak percaya kepada Datin Lidya tetapi dia cuma mahukan kepastian.


Datin Lidya tidak terus menjawab. Dia mengelap hidungnya yang berair. Pandangan tajam diberikan kepada suaminya. "Dia meninggal dekat tempat kejadian abang. Dia meninggal dekat situ."


"Allah..." Hanya kalimat itu yang keluar dari mulut Datuk Kamarul. Dia ingat dengan anggota bomba tersebut. Dia ingat apa yang terjadi selepas dibawa keluar dari kereta yang remuk sebelum kembali tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital. Lelaki itu. Lelaki itu sudah berkorban nyawa demi menyelamatkan dirinya dan rakan sekerja.


Perlahan-lahan tangan Datuk Kamarul jatuh longlai dari bahu isterinya. Air mata jantan kembali lebat membasahi pipi. Dia rasa berdosa. Sangat berdosa kerana ada insan lain yang meninggal dunia disebabkan dirinya.


Kreakkk. Bunyi pintu bilik yang ditolak dari luar membuatkan Datin Lidya dan Datuk Kamarul berpusing serentak. Terlihat dua orang anggota polis masuk dengan penuh bergaya mendekati mereka. Datuk Kamarul mahupun Datin Lidya laju mengesat air mata di pipi masing-masing. Cuba mengukir senyuman yang terasa kelat sekali.


"Maaf mengganggu tuan dan puan waktu ini. Tetapi ada perkara penting yang memerlukan keterangan daripada pihak tuan dan puan dengan segera." Jelas salah seorang daripada anggota polis. Bukan dia tidak hormat keadaan pasangan ini sekarang, tetapi perkara yang ingin ditanya adalah sangat mustahak.


Datuk Kamarul berpandangan dengan Datin Lidya. Pelbagai persoalan bermain dalam kepala otak mereka. Semestinya bukan perkara yang baik melihatkan pihak polis yang muncul di hadapan mata. Datuk Kamarul akhirnya mengangguk setuju menyuruh sahaja polis itu meneruskan bicara.


"Tuan dan puan ada bermusuh dengan sesiapa?" Soalan pertama diaju. Salah seorang anggota mula membuka sekeping fail di tangan. Ingin mencatat keterangan yang bakal keluar dari mulut Datuk Kamarul dan Datin Lidya.


Walaupun pelik dengan soalan itu, Datuk Kamarul dan Datin Lidya hanya menggeleng menjawab. Setahu mereka, tiada pula mereka bergaduh mahupun menyakiti hati sesiapa selama ini.


Dua anggota polis itu mula berpandangan sesama sendiri. Sesekali mereka berbisik perlahan. Kelihatan sangat serius seperti ada masalah besar.


"Kami dah siasat punca terjadinya kemalangan tersebut. Dan kami mendapati bahawa brek kereta tuan tidak berfungsi dengan baik." Jelas anggota itu tanpa dipinta.


"Atau lebih tepat dirosakkan seseorang." Sambungnya lagi.


Sekali lagi Datuk Kamarul terpempam mendengarkan penjelasan itu. Patutlah semasa dia memijak pedal brek untuk cuba mengawal keretanya tadi, langsung tidak memberi kesan. Rupa-rupanya...


"Ada orang cuba untuk bunuh kita!" Terlafaz juga pemikiran ngeri itu dimulutnya. Jantung Datuk Kamarul mula berdetak laju. Dia memandang Datin Lidya yang turut memandangnya dengan wajah tidak percaya.

HUJAN renyai-renyai mula membasahi kawasan perkuburan Islam Al-Falah. Tadinya kawasan itu dibanjiri dengan kehadiran manusia yang tidak putus-putus dengan doa. Kini, hanya tinggal dua batang tubuh masih setia berteleku di sisi kubur dan beberapa kenalan rapat berdiri di pintu pagar kubur.


Si ibu sesekali teresak merenung lama ke arah tanah merah itu. Berharap bahawa kepergian arwah hanyalah mimpi buruk dalam hidupnya. Berharap bahawa semua itu tidak berlaku hari ini. Apabila sedar pemikiran sudah tersasar jauh, cepat-cepat dia beristighfar dan cuba menerima qada dan qadar Allah. Pandangan sayu mula teralih buat si anak yang masih berusia lima tahun.


Walaupun baru berusia lima tahun, anaknya sudah memahami segala yang berlaku. Buktinya, tubuh kecil anak perempuannya sedang terhinjut-hinjut menangis sambil memanggil nama ayah untuk kembali. Memanggil dan terus memanggil.


"Assalammualaikum." Suara garau kedengaran menyapa dari belakang. Si ibu berkalih melihat gerangan yang menegur.


"Waalaikummussalam." Jawabnya dengan nada lemah.


"Saya minta izin untuk melawat arwah." Datuk Kamarul menyusun ayat dengan berhati-hati. Takut tersilap kata akan meremukkan lagi hati wanita itu.


"Pergilah." Balas si ibu dengan nada tenang. Dia tiada hak untuk menghalang malah lebih baik jika arwah didoakan orang ramai.


Bersama kaki yang berbalut dan tongkat menampung badan, Datuk Kamarul berjalan mendekati kubur arwah ditemani Datin Lidya di sisi. Seketika, kubur direnung sebelum tangan ditadah ke langit dan mulut mula terkumat-kamit membaca doa untuk disedekahkan kepada arwah. Sempat dia mengerling kepada budak perempuan di sebelah yang langsung tidak menghiraukan kehadiran mereka. Tidak sekalipun budak itu menoleh ke arah lain. Seperti tenggelam dalam kesedihannya sendiri.


Langkah kaki kedua-duanya kembali dibawa kepada si ibu yang sedia menanti. Dengan helaan nafas berat, Datin Lidya memegang bahu si ibu dengan lembut.


"Kami minta maaf puan. Kami tak sangka arwah... " Datin Lidya menggigit bibir melihat mutiara jernih mula lebat di wajah wanita itu.


"Panggil sahaja saya Maria. Tak perlu berpuan-puan dengan saya." Maria membalas.


"Encik dan puan yang kemalangan semalam? Kenapa datang sini? Sepatutnya encik dan puan berehat sahaja di hospital." Kata Maria lagi. Nadanya lembut malah siap tersenyum ke arah pasangan itu. Senyuman kekok pastinya.


"Kami datang untuk beri penghormatan terakhir kepada arwah. Kerana arwah pergi disebabkan... " Tidak sempat Datin Lidya menghabiskan ayat, Maria memotong laju.


"Disebabkan encik dan puan? Itu apa yang puan nak cakap?" Kata Maria tenang. Setenang riak wajahnya tika itu.


Datuk Kamarul dan Datin Lidya mula menayangkan wajah bersalah. Mereka tahu di sebalik ketenangan yang ditunjuk, tersimpan sejuta kesedihan di atas kepergian suami tercinta. Dan mereka sedikit sebanyak menjadi asbab kepada kematian itu.


"Suami saya merupakan seorang anggota bomba. Tugas arwah sentiasa berhadapan dengan bahaya. Cuma kali ini nasibnya mungkin tidak baik seperti sebelum ini. Encik dan puan tidak perlu minta maaf pada saya kerana apa yang berlaku adalah ketentuan Allah. Bukan salah sesiapa." Tangan Datin Lidya digenggam erat. Cuba meminjam sedikit kekuatan yang terbang pergi sebentar tadi.


"Tetapi Maria, kami rasa terhutang budi dan bersalah jika tidak mampu membalas segala kebaikkan arwah. Walaupun hanya doa yang mampu kami kirim, namun kami rasa tak tenang. Biarlah kami lakukan sesuatu supaya jasa itu dapat dibalas dengan sebaiknya." Datuk Kamarul bersuara. Itulah apa yang dirasa sekarang. Memang pada Maria mereka tidak bersalah, tetapi pada mereka tidak sama sekali. Jika kemalangan itu tidak berlaku, pasti arwah masih hidup sekarang. Jika bukan kerana ada orang dengki dan sengaja rosakkan brek keretanya, pasti arwah masih hidup sekarang. Pendek kata akar kepada kematian itu adalah berpunca daripada mereka!


Maria menggelengkan kepala berkali-kali. Dia tidak mahu terima apa-apa balasan daripada pasangan itu. Budi dan jasa suaminya tidak perlu dibalas kerana apa yang dilakukan sememangnya tugas yang wajib dilaksanakan. Dia redha dengan segalanya. Lagipun kematian suaminya bukanlah sesuatu yang disengajakan.


"Cukuplah Al-Fatihah dan setangkai doa yang dikirim dari encik dan puan mengiringinya di alam sana. Untuk terima perkara lain, saya tidak boleh. Malah kemaafan daripada encik dan puan pun saya tak boleh terima kerana semua ini bukan salah kamu berdua." Tegas Maria lagi. Dia mula membuka langkah ke arah anaknya yang masih menangis. Bahu anaknya dipegang bersama pujukan lembut di bibir. Beberapa minit berlalu, barulah anaknya mahu bangkit berjalan beriringan bersamanya.


Datuk Kamarul dan Datin Lidya memandang dengan mata berkaca. Sungguh mulia hati wanita ini sehingga budi yang ingin dibalas pun dia tidak mahu terima. Lagi bertambah rasa bersalah dalam hati mereka.


Dilihat Maria bersama anaknya berjalan melintasi pasangan itu. Hanya beberapa langkah melepasi, Maria berhenti dan berkalih dengan senyuman manis di bibir. Tidak kekok seperti tadi. "Jika encik dan puan mahu datang ke sini melawat arwah lagi selepas ini, silakan. Saya tidak akan menghalang sama sekali. Tetapi satu sahaja saya pinta, tolong berhenti salahkan diri sendiri dengan apa yang jadi sepertimana saya yang sedang cuba menerima apa yang berlaku hari ini tanpa salahkan sesiapa." Jeda seketika. Datuk Kamarul mahupun Datin Lidya hanya memberikan pandangan sayu.


"Assalamualaikum." Ucap Maria apabila dilihat pasangan itu tidak membalas bicaranya. Dia akhirnya berlalu pergi meninggalkan Datuk Kamarul dan Datin Lidya dalam gelora hati yang tidak berpenghujung.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience